Wednesday 30 December 2009

Annual Dinner Batal

Kecoh mengenai Jamuan Tahunan Syarikat sampai kemuncaknya. Kali ini 3 pihak iaitu AJK Annual Dinner 2009/2010, AJK Penasihat (Welfare and Receration Club) dan AJK Kesatuan Sekerja mengadakan perjumpaan.

Oleh kerana pihak pengurusan masih mahu meneruskan tender makanan dikendalikan oleh Hui Bin Restaurant yang diragui status halal, maka AJK Annual Dinner berhasrat untuk meletakkan jawatan. Manakala pihak AJK Kesatuan Sekerja membuat keputusan mengambil tindakan untuk mengeluarkan memo kepada pekerja tentang status makanan tersebut dan terserah kepada para pekerja samada untuk menghadiri jamuan tersebut atau tidak.

Para pekerja mula berbincang sesama sendiri dan masing-masing mula membuat pelbagai keputusan, pendapat, hujah dan bermacam-macam lagi. Aku malas nak masuk campur kerana tidak mahu memeningkan kepala kerana aku ada cara tersendiri untuk menghadapi masalah ini. Namun ada juga pekerja yang berkobar-kobar memberi pendapat yang merasa marah atas tindakan pihak pengurusan kerana tidak menghormati pekerja yang ramai beragama Islam. Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi sekadar tersenyum kerana mereka yang cakap berkobar-kobar itu sendiri selama ini banyak memalukan kami orang Melayu dan Islam.

Oleh kerana kekecohan berlaku, akhirnya waktu petang sebelum waktu kerja berakhir untuk tahun 2009 aku menerima berita dan emel bahawa Managing Director telah membuat keputusan untuk membatalkan Annual Dinner. Fuhhh... lega aku rasakan kerana tidak perlu untuk memikirkan lagi memandangkan sebelum ini pihak AJK Welfare dan Receration Club telah diarah untuk mengendali dan mengambilalih semula Annual Dinner seperti biasa.

Tuesday 29 December 2009

Sijil Halal

Akhirnya pihak Pengurusan memilih Hui Bin Restaurant mengendalikan makanan untuk Jamuan Tahunan yang akan diadakan pada 16 Januari 2010 di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru. Pihak Pengurusan memberi alasan bahawa Hui Bin Restaurant telah mengemukakan bukti sijil Halal yang dikeluarkan oleh pihak IFRC Asia yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor.

Persoalannya samada sijil ini memang betul halal atau sekadar boleh dibeli oleh sesiapa sahaja. Ini semua bermain di kepala AJK Annual Dinner. Apa yang menjadi tandatanya bagaimana sesebuah restoran yang dikendalikan di Johor Bahru tetapi dengan mudah pihak IFRC Asia di Selangor mengeluarkan sijil Halal tanpa penyelidikan yang terperinci. Aku dapat maklumat dari siasatan AJK bahawa pihak Jabatan Agama Islam Johor tidak tahu bahawa Hui Bin Restaurant mendapat sijil Halal.

Aku semakin keliru kerana tidak tahu wujudnya IFRC Asia yang boleh mengeluarkan sijil Halal kepada mana-mana pihak. Selama ini aku hanya menyangkakan bahawa sijil Halal akan dikeluarkan oleh pihak JAKIM yang akan dipantau oleh pihak Jabatan Agama Islam setiap negeri.

Sekarang terserahlah kepada para pekerja untuk membuat keputusan samada mahu menyertai atau tidak Jamuan Tahunan Makan Malam Syarikat berdasarkan kepada sijil Halal dari IFRC Asia.

Saturday 26 December 2009

Hanya Pandai Cakap

Aku dapat maklumat bahawa mesyuarat perumahan minggu lepas ramai yang tidak hadir. Walaupun aku tidak dapat hadir kerana telah merancang balik kampung, namun sekurang-kurangnya aku telah sms untuk memberitahu keadaan aku.

Apa yang membuat aku bengang semasa pemilihan AJK baru ada segelintir hanya pandai cakap sahaja itu ini. Ada yang mahukan AJK biasa lama disingkirkan dan beri kesempatan orang baru kendalikan. Tetapi apabila mereka dilantik langsung tidak berkerjasama, malah tidak pernah datang mesyuarat. Inilah masalahnya orang-orang kita hanya pandai cakap sahaja. Kalau bab hendak hentam AJK, serah sahaja kepada mereka. Apa sahaja yang dibuat oleh AJK tidak betul tetapi bila sudah dilantik jadi AJK kenapa larikan diri. Inilah penyakit orang-orang Melayu kalau sekadar hanya pandai cakap tetapi tidak pernah hendak laksanakan.

Thursday 24 December 2009

Emel Si Budak Kecil

Semalam kami staf di Jabatan Accounts menerima emel dari si budak kecil. Alamak... si budak kecil ni sudah mulai tunjuk taring. Padan muka kami. Hehe....

Budak kecil meminta kami mengikut 4 peraturan yang perlu diikuti oleh staf Accounts.
1. Amalkan 5S.
2. Tiada panggilan telefon peribadi sewaktu kerja. Jika mustahak mesti jawap di luar pejabat.
3. Tidak boleh makan di pejabat.
4. Mesti memberi ucapan bila berjumpa seperti 'Selamat Pagi'.

Emel budak kecil ini pada mulanya untuk staf Accounts tetapi sekelip mata sahaja telah di "forward" kepada semua staff 'General Admin" seperti General Affairs, Personnel dan Education. Ermm... padan muka kau orang. Aku pasti tidak lama lagi akan heboh di dalam mesyuarat Ketua Jabatan. Tapi aku percaya perkara ini akan diikuti sebulan sahaja sebab biasalah macam peribahasa ketam mengajar anak supaya berjalan betul.

Apa-apapun aku menerima emel ini dengan fikiran positif sebab kita kerja makan gaji beb.

Wednesday 23 December 2009

Jejak Kawan

Hari ini aku dapat menjejak dan berbual di telefon dengan seorang kawan ataupun bekas pelajar Diploma Pentadbiran Awam, ITM Pahang batch Julai 1985, Zuraida Mohamed Taib. Beliau kini bekerja di salah sebuah universiti di Melaka sebagai Pengurus Asrama. Semasa perbualan kami, aku dapat tahu beliau sering datang ke Johor Bahru. InsyaAllah sedikit hari lagi aku berpeluang berjumpa dengan beliau yang berkemungkinan jatuh pada hari jadi beliau.

Tuesday 22 December 2009

Reunion ITM Pahang

Aku ada menerima emel dan juga membaca blog berkaitan untuk mengadakan reunion bekas pelajar-pelajar ITM Pahang. Idea ini dicetuskan oleh bekas pelajar-pelajar pelopor atau generasi pertama iaitu Januari 1985 memandangkan tahun 2010 adalah genap usia penubuhan ITM Pahang ke 25.

Walaupun idea ini sangat menarik tetapi kadangkala akan tercetusnya kontroversi. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa di dalam hal ini tetapi kadangkala kerana sebaris ayat atau sekadar pandangan akan terus dijadikan sesuatu isu yang besar. Namun apa yang dapat aku perhatikan sejak dari dahulu lagi majoriti pelajar Jan 1985 dan Jul 1985 memang tidak sehaluan di dalam banyak perkara. Apa yang lebih parah kalau ada segelintir orang yang suka mengambil kesempatan atau cuba mencurahkan minyak di dalam api yang hampir padam.

Sebenarnya kerana hasrat untuk reunion juga membuat ada seorang kawan yang berkecil hati dengan aku kerana kata-kata aku yang semakin laser. Ini semua tiada kena-mengena langsung dengan komen atau artikel yang terdapat di dalam blog lain. Oleh itu jangan salah sangka atau menuduh aku pula yang memberi komen membangkitkan sedikit kontroversi itu.

Oleh kerana tahun hadapan genap usia ITM Pahang 25 tahun, aku berharap generasi kedua ITM Pahang sessi Julai 1985 kursus Diploma Pentadbiran Awam (DPA) dapat membuat reunion.

Monday 21 December 2009

Non Halal dan Diskaun

Aku sekali lagi menerima kejutan apabila pihak pengurusan berkeras mahukan makanan untuk Jamuan Malam Tahunan Syarikat dikendalikan oleh sebuah restoran yang diragui status halal. Aku juga tergelak besar apabila mendengar khabar pihak pengurusan meminta restoran itu memberi diskaun atau kurangkan harga hanya kerana "Non Halal". Persoalannya apa kena-mengena dengan diskaun dan 'Non Halal'. Ini adalah kerana kedua-dua masalah atau perkara ini adalah subjek yang amat berbeza.

Aku sendiri tidak faham dengan segala keputusan pihak pengurusan sejak kebelakangan ini. Adakah pihak pengurusan benar-benar ikhlas untuk membuat jamuan untuk pekerja-pekerja atau pun sengaja mencabar maruah pekerja yang majoriti beragama Islam. Aku sebagai salah seorang penasihat Jamuan Malam Tahunan hanya sekadar boleh memberi pandangan sahaja dan terserahlah kepada AJK untuk tindakan selanjutnya.

Harapan aku agar masalah penyediaan makanan untuk Jamuan Malam Tahunan Syarikat akan dapat diselesaikan dan diketahui jawapannya secepat mungkin. Apa-apapun biarlah restoran atau katering yang mengendalikannya adalah berstatus "Halal" dan bukannya "Non Halal".

Monday 14 December 2009

Setahun Berlalu

Kini telah setahun aku memiliki dan menulis di dalam blog sendiri. Walaupun mungkin blog aku ini tidak sehebat ataupun tidak menarik seperti orang lain tetapi sekurang-kurangnya ia mampu untuk aku menulis apa sahaja yang terlintas di hati dan fikiranku.

Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja samada dikenali ataupun tidak dikenali yang telah sudi meluangkan masa untuk singgah sebentar di blog ini. InsyaAllah selagi ada masa atau bahan cerita pasti aku akan terus menulis di dalam blog Dairi Hairie.

Friday 4 December 2009

Terlebih Bajet

Lebih kurang jam 10.oo pagi satu mesyuarat diadakan untuk pembentangan kertas kerja atau bajet oleh AJK baru Annual Dinner. Aku tersenyum bila melihat data-data dan pembentangan oleh Pengerusi Annual Dinner. Aku faham mereka mesti hendak membuat jamuan itu lebih bagus daripada AJK sebelumnya. Tetapi kalau Ringi atau bajet belum lagi dibuat atau belum ditandatangani dan diluluskan oleh Managing Director bagaimana pula emel sudah dikeluarkan oleh Setiausaha tentang beberapa acara yang hendak diadakan di malam tersebut. Aku tidak hairan kalau mereka heboh akan membuat terbaik dan paling meriah tetapi jika terlebih bajet dari yang dicadangkan atau ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Apabila Nobita sebagai wakil pihak pengurusan dan orang yang bertanggungjawab mahukan AJK baru dilantik dipanggil, beliau terus meminta semua acara yang melibatkan pekerja di malam itu dibatalkan kerana sudah terlebih bajet. Aku melihat wajah AJK berubah kerana apa yang telah dirancangkan atau diheboh berkubur hanya sekelip mata sahaja. Aku pelik mengapa mereka tidak mengendahkan nasihat kami agar jangan buat perancangan hingga terlebih bajet. Sekarang siapa yang malu? Mereka dan keluaraga mereka.

Selepas Nobita keluar dari bilik mesyuarat AJK melahirkan rasa tidak puashati dengan keputusan pihak pengurusan. Aku kemudian bersuara mengatakan begitulah yang kami telah alami sebelum ini dan sekurang-kurangnya sekarang mereka boleh memahami mengapa kadangkala kami tidak mampu berbuat lebih baik memandangkan bajet telah ditetapkan.

Aku berharap ini sebagai satu pengajaran buat mereka andaikata mereka dilantik lagi sebagai AJK Annual Dinner pada tahun mendatang. Apa yang perlu mereka ingat bahawa jangan fikir jadi AJK Annual Dinner akan menjadi glamour. Jangan asyik hendak mengutuk AJK terdahulu apabila sesuatu jamuan itu tidak memenuhi kehendak mereka. Selain daripada itu bersedialah menghadapi kutukan demi kutukan memandangkan beberapa acara yang dirancangkan oleh mereka telah dibatalkan. Apa yang penting lain kali jangan terlebih bajet.

Monday 30 November 2009

Orang Baru

Hari ini aku kembali bertugas setelah beberapa hari bercuti untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha. Sebaik sahaja aku tiba di pejabat, aku terus membuka komputer untuk melihat emel yang bertimbun-timbun. Ini adalah kerana sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha aku telah mengambil cuti untuk balik ke kampung untuk menghabiskan cuti tahunan yang masih banyak walaupun pihak audit sedang membuat audit.

Aku sebenarnya tetarik hati untuk membuka satu emel yang yang dihantar oleh Pengerusi "Welfare and Receration Club" mengenai senarai nama AJK "Annual Dinner 2009/10". Aku agak terkejut dari senarai 8 orang yang dilantik sebagai AJK minggu lepas tapi sekarang telah menjadi 10 orang iaitu penambahan 2 orang baru. Aku sendiri tidak tahu samada ini satu kejutan ataupun memang telah aku jangkakan akan terjadi. Aku sendiri sudah masak dengan perangai Pengerusi "Welfare and Receration Club" yang suka membuat apa sahaja tanpa berbincang dengan AJK lain. Itu sebabnya aku kadangkala malas juga hendak memegang apa-apa jawatan selagi ada nama si Pengerusi ini.

Apa yang pasti sekarang ini AJK untuk Annual Dinner telah menjadi 10 orang iaitu 5 orang lelaki dan 5 oang perempuan. AJK ini terdiri daripada 7 orang yang juga merupakan exco Kesatuan Sekerja. seorang bekas exco Kesatuan Sekerja dan 2 orang lagi mungkin sekadar ahli biasa ataupun mungkin bukan ahli Kesatuan Sekerja. Apa yang pasti hanya seorang sahaja yang usia bawah 30an walaupun pada hakikatnya pihak pengurusan mahukan mereka yang bawah 30an sahaja mengendalikan Annual Dinner. Namun seperti yang aku jangkakan senarai nama yang aku tolak pada mulanya untuk dilantik sebagai AJK terpilih juga dalam senarai orang baru iaitu si Sundel Bolong.

Apabila aku melihat kembali emel aku geleng kepala sebab emel asal yang dihantar oleh AJK baru Annual Dinner bukan dibuat oleh Setiausaha ataupun Pengerusi tetapi yang peliknya AJK biasa sahaja. Alamak sis, janganlah gila kuasa. Inilah akibatnya kalau orang yang sama sahaja memegang jawatan pelbagai kelab dan tidak dapat membezakan diri sendiri di alam realiti dan fantasi.

Walaupun hari ini sibuk dengan "stock check" di akhir bulan tetapi aku pelik macam mana Pengerusi baru Annual Dinner boleh mengadakan mesyuarat sedangkan majoriti ahli terlibat dengan 'stock check'. Entahlah, mungkin terlalu teruja. Aku pula mendapat maklumat si Sundel Bolong buat perangai kerana asyik beliau sahaja yang bercakap di mesyuarat itu yang kononnya tahu segalanya dan meninggalkan awal mesyuarat kononnya banyak kerja. Ada segelintir ahli mula cakap sesama sendiri kerana kurang selesa dengan si Sundel Bolong. Jawapan aku senang sahaja " No komen". Itu sebabnya sejak dari awal lagi aku telah menolak nama si Sundel Bolong ini.

Hari ini juga Jabatan Accounts menerima kehadiran orang baru iaitu seorang staf perempuan Melayu. Aku sendiri tidak pasti samada orang baru ini akan bertahan lama memandangkan kerja beliau ada kaitan dengan seseorang yang memang tidak boleh dibawa berunding yang hanya manis di bibir tetapi di dalam hatinya penuh dengan warna hitam dan hasad dengki. Aku dengar khabar ada yang sudah mula panas punggung. Aku cuma berharap staf baru ini pandai-pandai membawa diri dan berhati-hati dengan staf di sekeliling samada di Jabatan Accounts ataupun di jabatan lain kerana ramai yang talam dua muka.

Friday 27 November 2009

Salam Aidil Adha

Hari ini semua umat Islam yang berada di Mekah melakukan salah satu rukun Haji iaitu wukuf di Arafah. Ini juga bermakna seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha atau dikenali dengan Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.

Oleh kerana tahun ini 10 Zulhijah 1430 jatuh pada hari Jumaat, maka hari ini ada 2 khutbah untuk sembahyang Hari Raya dan sembahyang Jumaat. Di Malaysia kebiasaan sambutan Hari Raya Aidil Adha disambut secara sederhana tetapi berbeza dengan negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia ianya akan disambut secara meriah.

Aku ingin mengucapkan tahniah kepada kenalan aku yang telah berjaya menunaikan fardu Haji pada tahun ini yang sekarang akan bergelar Haji Azmi Abu Bakar (kawan sekelas di Institut Teknologi MARA), Haji Lokman Md Dali (bekas kawan sekerja dan agen insuran Uni.Asia) dan juga mungkin Haji Zulkarnain Mustafa (kawan sekelas Sekolah Tinggi Muar dan pengurus Restoran JM Bariani House). Aku tidak pasti Zulkarnain menunaikan Haji tahun ini ataupun tahun hadapan.

Thursday 26 November 2009

AJK Annual Dinner 2009/10

Semalam AJK "Welfare and Receration Club' telah memanggil 8 orang pekerja yang telah dilantik sebagai AJK Annual Dinner 2009/10. Mereka telah diberi sedikit taklimat dan diberi pilihan untuk mengundurkan diri jika tidak sanggup memikul tanggungjawab ini memandangkan tugas ini adalah secara sukarela. Oleh kerana teruja dan mungkin juga rasa glamour tiada seorang pun yang menarik diri.

Mereka diminta melantik sesama mereka untuk jawatan Pengerusi, Setiausaha dan sebagainya. Sebelum bermulanya pemilihan itu ada seorang dua yang bertanya samada boleh atau tidak mereka untuk memilih Pengerusi selain daripada nama yang disenaraikan. Aku menyatakan tidak boleh tetapi ada diantara mereka mahukan aku menjadi Pengerusi kerana menurut mereka usia aku dan mereka lebih kurang sebaya sahaja. Fuuhh... nasib baik pihak pengurusan mahukan AJK baru, kalau tidak, pastilah aku akan dilantik oleh mereka sebulat suara.

Namun begitu aku tidak faham dengan mereka ini kerana terlalu teruja atau rasa glamour dengan pemilihan AJK Annual Dinner hingga terlupa bahawa kerja ini hanyalah secara sukarela. Apa yang membuat aku agak terkejut apabila ada diantara mereka cuba bertanya kepada aku secara peribadi tentang ganjaran sebagai AJK. Maaflah beb, aku bukan orang yang sering hendakkan ganjaran atau lebih tepat masuk duit poket. Tetapi kalau AJK lain ada buat seperti itu, aku tidak boleh komen apa-apa.

Apabila mereka ingin menambah 2 orang lagi AJK menjadikan 10 orang dengan alasan tidak cukup orang dan kononnya AJK perempuan hanya ada 4 orang sahaja, aku membantah. Hello beb, kalau nak tahu AJK lama cuma 7 orang sahaja dan semuanya lelaki. Selain itu kalau ramai AJK pun tidak bermanafaat kalau yang bertungkus lumus buat kerja hanya beberapa orang sahaja. Apa yang membuat aku tersenyum ada diantara mereka mahu buat kelainan dan kononnya hendak pastikan bahawa hadiah "lucky draw" kali ini lebih banyak. Hello cik kak, kalau setakat bajet pihak pengurusan cuma RM 5,000 berapa banyak lah hadiah untuk 'lucky draw" boleh dibeli. Janganlah hendak kembali macam dahulu sebelum aku dilantik sebagai AJK bahagian "lucky draw" yang membeli barang-barang plastik yang merepek.

Tuesday 24 November 2009

Tergempar

Lebih kurang jam 2 petang AJK "Welfare and Receration Club" telah dipanggil untuk mesyuarat tergempar. Ermm... rupa-rupanya pihak pengurusan menyuruh kami berbincang mengenai Annual Dinner 2009/2010. Aik.... ini satu berita tergempar dan juga perkembangan yang amat menarik kerana tahun lepas Annual Dinner tidak boleh diadakan lagi kerana dianggap satu pembaziran walaupun AJK cuba membuat budget setakat lebih kurang 50K sahaja.

Aku kemudian dapat maklumat budget yang dikemukakan oleh pihak pengurusan lebih kurang 108K. Aku pada mulanya agak keliru bagaimana salah seorang AJK dari Jabatan Personnel mencatat data-data di "white board" berkaitan dengan budget Annual Dinner sedangkan perbincangan belum dimulakan. Tetiba AJK dari Jabatan General Affairs terus bangun hendak meninggalkan bilik mesyurat kerana bagi beliau tidak perlu dibincangkan lagi memandangkan budget telahpun dibuat oleh pihak pengurusan dan telah ditandatangani oleh Managing Director.

Kemudian Nobita bagi pihak pengurusan masuk ke bilik mesyuarat dan mahukan pemilihan AJK baru yang kononnya dipilih dibawah usia 30an yang akan mengendalikan Annual Dinner dan kami AJK lama sebagai penasihat. Ini satu lagi berita tergempar yang diterima. Pihak pengurusan memberi alasan supaya ada pelapis walaupun aku dapat mengagak perkara yang sebenarnya. Setelah Nobita keluar dari bilik mesyuarat, ada diantara AJK lama meninggalkan bilik mesyuarat kerana bagi beliau adalah tidak perlu berada untuk perbincangan seterusnya.

Aku tersenyum bila Pengerusi lama mencalunkan nama-nama AJK baru kerana mereka lebih kurang sebaya sahaja dengan aku. Selain daripada itu 6 orang daripada mereka adalah AJK Kesatuan, seorang bekas AJK kesatuan dan hanya seorang sahaja yang tiada kaitan dengan AJK kesatuan yang berusia 20an yang dicadangkan oleh aku. Inilah akibatnya kalau Pengerusi Annual dinner dan Ketua Kesatuan adalah orang yang sama. Jadi tidaklah rasa tergempar dengan pemilihan AJK Annual Dinner 2009/2010.

Sunday 22 November 2009

Mesyuarat AJK Apartmen

Hari ini mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) yang pertama diadakan oleh pihak pengurusan apartmen tempat aku tinggal selepas pemilihan AJK baru untuk sessi 2009/2010 lebih kurang sebulan yang lepas. Sebenarnya mesyuarat sepatutnya diadakan seminggu yang lepas tetapi dibatalkan disebabkan kesilapan teknikal.

Adalah menjadi kebiasaan seperti mesyuarat di tempat lain walaupun mesyuarat sepatutnya diadakan pada jam 10.00 pagi tetapi mesyuarat pasti diadakan lewat 30 minit kerana kelewatan kehadiran AJK. Namun begitu juga adalah menjadi kebiasaan aku akan hadir sekurang-kurangnya 5 minit lebih awal kecuali beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Penantian sungguh menyeksakan.

Memang telah menjadi kelaziman mesyuarat atau perlantikan AJK, pasti ramai yang sanggup atau menerima jawatan tersebut dengan rasa bangga mungkin kerana rasa glamour, tetapi bila diminta hadir untuk mesyuarat keadaan amat menyedihkan. Kalau di luar mesyuarat cakap berkobar-kobar hendak tanya itu ini atau hendak ubah konsep fikiran AJK lama jika terpilih, tetapi apabila telah diberi peluang sebagai AJK jawapannya cakap tak serupa bikin.

Inilah kalau lidah tidak bertulang. Inilah juga yang mungkin berlaku di dalam dunia politik di Malaysia hari ini. Kata orang kalau bab bangkang-membangkang dan suara lantang ini serah sahaja kepada golongan tertentu pasti akan keluar suara sumbang berkata AJK tidak betul, makan duit dan sebagainya. Tetapi bila dapat peluang mana janji mereka? Mana batang hidung mereka? Mana suara lantang mereka? Mengapa hanya berani jadi jaguh di luar gelanggang sahaja. Apa guna ada taji kalau sekadar perhiasan sahaja. Apakah ini sebenarnya sikap orang Melayu? Jawapannya tepuklah dada tetapi jangan tanya pada selera. Lu fikirlah sendiri....

Thursday 19 November 2009

Cuai

Aku tak tahu kenapa hari ini aku begitu cuai sekali kerana selalunya aku amat berhati-hati jika mengendalikan kotak simpanan duit "petty cash". Tetapi aku hanya sedar kecuaianku sebaik sahaja waktu rehat tengah hari tamat dan apabila aku kembali ke pejabat didapati kotak simpanan "petty cash" berada di atas meja tanpa langsung dikunci. Namun yang peliknya laci meja terkunci dengan rapi.

Aku mula gelisah dan rasa tak sedap hati. Andaikata duit hilang, pastilah aku kena ikat perut untuk membayar semula kehilangan duit tersebut atas kecuaianku sendiri. Itu belum termasuk kena sumbat kapas di lubang telinga untuk mendengar suara mak nenek yang 24 jam sengaja mencari kesalahan orang lain. Maklum aje kalau kat dunia ni dia sahaja yang sempurna dan orang lain semua salah. Kalau dia salah pun, dia tetap menyalahkan orang lain atas kesalahan yang dilakukannya.

Sepanjang hari senyuman aku tawar sahaja dan gelisah sebab menanti samada abang cik ataupun Nobita menegur kecuaianku. Tapi aku tidak kisah sangat sebab aku boleh memberi jawapan kalau ianya terjadi. Syukur, Alhamdulillah sebab semua ini tidak berlaku. Adakah mereka tidak perasan kotak tersebut berada di atas meja tanpa aku berada di situ. Entahlah. Namun aku berharap selepas ini aku tidak akan cuai lagi berkaitan dengan kotak "petty cash" yang pertama kali terjadi.

Monday 16 November 2009

Kerana Tanah

Sekali lagi pergolakan dalam saudara-mara aku berlaku hanya kerana tanah pusaka yang ditinggalkan arwah datuk sebelah arwah abah. Sebenarnya beberapa tahun yang lepas pergolakan ini telah berlaku di mana kami saudara-mara tidak bertegur sapa dan bermasam muka. Apa yang lebih pelik orang yang memiliki sedikit sahaja bahagian tanah yang lebih berkuasa atau hendak tunjuk kedegilan. Ala senang cakap gila kuasa. Hehe...

Permusuhan mula berlaku sebaik sahaja bapa saudara aku iaitu adik bungsu arwah abah telah menjualkan bahagian tanah beliau kepada menantu sepupu aku. Aku tahu ada yang tidak setuju kerana harganya terlalu murah, tetapi kami adik-beradik tidak ambil peduli tentang hal ini. Masalah semakin bertambah sebaik sahaja sepupu perempuan aku yang lain pula telah menjualkan tanah bahagian beliau kepada anak saudaranya si A.

Apabila menantu sepupu aku berhasrat untuk membuat projek perumahan di atas tanah bahagian beliau dan seterusnya memecahkan geran atau lot tanah masing-masing, si A mula bersuara lantang dan enggan tandatangan tanda persetujuan. Si A mula lah buat dajal dan tunjukkan rasa bongkak memandangkan nama dia dah tersenarai di dalam geran tanah sebagai salah seorang pemilik walaupun bahagian yang dibeli cuma kecil sahaja. Tetapi bagi aku perbuatan beliau sebenarnya menunjukkan kebodohan. Akhirnya projek perumahan hanya jadi khayalan sahaja. Kemudian si A dan beberapa orang adik-beradik pula bermusuh dengan keluarga aku memandangkan kami juga setuju untuk bergabung membina projek perumahan. Apa yang dikesalkan apabila si A turut kurang ajar kepada bapa saudaraku iaitu Pak Andak yang merupakan generasi kedua pemilik tanah sedangkan si A hanya generasi ke empat.

Tapi sudah jadi lumrah alam kehidupan kita ibarat roda yang berputar. Kalau dulu si A dengan bongkak dan buat lawak bodoh meminta 1 juta jika mahu beliau tandatangan persetujuan ke atas projek menantu sepupuku yang juga merupakan suami kepada sepupu beliau, kini beliau terpaksa berhadapan dengan situasi yang sama. Kami menentang sebaik sahaja si A dengan bangga kononnya membantu anak-anak yatim iaitu anak saudaranya sendiri untuk membina sebuah rumah projek orang miskin.

Apa yang menjadi tandatanya kenapa kawasan tanah lain yang dipohon untuk projek itu tetapi kawsan tanah lain yang dibangunkan. Selain daripada itu berapa banyak bahagian tanah yang sebenarnya dimilikinya hingga sesuka hati sahaja hendak membina rumah di tapak yang jadi milik orang lain. Inilah masalahnya kalau orang kurang pemahaman atau cetek tentang tanah, matematik, ukuran, undang-undang dan faraid. Selain daripada itu masalahnya kalau orang berangan menjadi kaya dengan memangkah orang lain atau memiliki tanah sekangkang kera tetapi macam memiliki berekar-ekar tanah.

Kini pihak atasan yang berwajib telah mengarah supaya projek rumah miskin di atas tanah tersebut dibatalkan apabila ada bangkangan dan dipersoalkan. Pihak berwajib mahukan semua pemilik tanah tandatangan tanda setuju jika sesuatu projek hendak dilaksanakan di atas tanah tersebut. Persoalannya mengapa sebelum ini pihak berwajib begitu mudah meluluskan projek tersebut. Aku rasa tak perlulah aku menjawabnya kerana pasti jawapannya terlalu mudahkan. Aku kemudian buat lawak bodoh dengan adik-beradik bahawa tandatangan aku bernilai 1 juta.

Thursday 5 November 2009

Giant Mengamuk

Setelah hampir 6 bulan kami di Accounts Department berkerja di dalam keadaan tenang tanpa jerit pekik dari Giant tetapi tetiba hari ini penyakit gila si Giant datang kembali. Ini semua gara-gara ada sedikit masalah tentang 'stock'.

Giant mengamuk dan tidak membenarkan aku balik jika gagal menyelesaikan masalah tersebut. Aku yang sudah menutup komputer bersedia untuk balik terpaksa membuka semula komputer apabila Giant mula mengarut meminta data itu ini. Aku yang memang malas hendak melayan orang gila ini menurut sahaja apa yang dipinta. Kadangkala aku sendiri tidak faham tentang apa sebenarnya data yang dikehendaki maka jadilah seperti ayam dan itik berkomunikasi.

Namun yang paling aku pelik setelah bertahun-tahun cara dilakukan mengenai "pending parts" tetiba hari ini Giant boleh persoalkan kenapa ada 'pending parts. Kenapa mesti ditolak nilai 'pending parts' dan berbagai-bagai lagi untuk menunjukkan kebodohan beliau. Giant semakin gila apabila menyuruh semak semula dan tanya jabatan yang terlibat. Apa yang aku nak semak mahupun pergi tanya orang-orang yang terlibat kalau masing-masing telah balik. Apa yang aku mampu sekadar pura-pura selak sana sini kertas sehingga 2 jam untuk 'claim' overtime. Hehe..

Sunday 25 October 2009

4th AGM 2009

Hari ini kawasan perumahan tempat aku tinggal mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) yang baru. Adalah menjadi kebiasaan seperti setiap tahun sambutan penduduk pasti dingin. Aku sendiri tidak tahu mengapa perkara seperti ini sering berlaku terutama kepada penghuni Melayu. Apabila pihak pengurusan membuat peraturan baru atau menaikkan yuran penyelenggaraan mulalah masing-masing merungut. Tetapi apabila ada kesempatan untuk menyuarakan pendapat atau tidak puas hati melalui perjumpaan yang diadakan masing-masing enggan hadir.

Sebenarnya sudah kerap kali mereka ingin melantik aku menjadi AJK tetapi aku sering menolak dengan cara yang baik. Tetapi kali ini aku bersetuju untuk menjadi AJK dengan harapan aku dapat memberi beberapa pandangan dan sekaligus untuk melihat apa sebenarnya yang dilakukan oleh AJK sebelum ini. Walaupun ada penambahan 5 orang AJK namun yang pasti 9 orang lama masih lagi dikekalkan dengan jawatan terdahulu. Nampak gayanya pi mai pi mai tang tu juga.

Mesyuarat kali ini agak tegang juga memandangkan ada beberapa orang yang tidak berpuashati dengan corak pentadbiran AJK terdahulu. Apa yang pasti aku dan beberapa orang penduduk kaum Melayu yang sebelum tidak pernah hadir telah membuat satu strategi tentang pemilihan AJK namun tidak berjaya memandangkan kurang sokongan. Tetapi sekurang-kurangnya ada 3 orang Melayu berjaya menjawat jawatan AJK termasuk aku.

Apakah dengan kehadiran 3 orang AJK baru yang bermulut laser atau bukan jenis pak turut akan mampu mengubah corak pentadbiran sebelum ni? Apa-apapun tunggu dan lihat...

Thursday 22 October 2009

Arwah Heidi - 16 Tahun

Hari ini genap 16 tahun anak saudaraku yang sulung Azur Heidi menyahut panggilan Illahi. Pemergian arwah Heidi kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya dalam usia 18 tahun memberi kesan yang amat mendalam kepada kami sekeluarga.

Aku pada mulanya sukar untuk menerima hakikat ini kerana apa sahaja yang aku lakukan ataupun makan akan membuat aku terbayang pada arwah Heidi. Ini adalah kerana ada beberapa perkara yang kami mempunyai persamaan. Kami berkongsi tarikh kelahiran yang sama iaitu 23 hb tetapi cuma berbeza bulan iaitu arwah Heidi bulan Mac dan aku pula bulan April. Aku masih ingat semasa aku menyambut ulangtahun kelahiranku yang ke 10, arwah Heidi berusia sebulan.

Oleh kerana aku dan arwah Heidi sangat meminati kek krim membuat aku agak lama tidak menjamah makanan kegemaran aku ini. Ini adalah kerana setiap kali aku memakan kek tersebut pasti aku akan terbayang gelagat arwah Heidi yang suka menaburkan cip coklat di atas kek krim tersebut untuk dimakan. Selain daripada itu sate dan burger juga terpaksa aku lupakan kerana arwah Heidi pernah membuat kerja 'part time' membakar sate dan membuat burger. Setelah aku boleh menerima hakikat pemergian arwah Heidi barulah aku boleh menjamah makanan tersebut.

Arwah Heidi meninggal dunia pada malam Jumaat dan Allah telah kabulkan permintaan beliau agar dapat meninggal dunia pada malam Jumaat.

Al-Fatihah buat arwah anak saudaraku Azur Heidi bin Mahat semoga dicucuri rahmat.

Monday 19 October 2009

Made In Sabah

Ini adalah pasangan kembar berasal dari Sabah. Gambar ini diambil di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru semasa pasangan kembar ini berkunjung ke Johor Bahru. Lelaki yang memakai t-shirt warna gelap atau hitam itu adalah abang bernama Shidi dan seorang lagi adik kembar iaitu Subri. Walaupun mereka ini kembar namun si adik iaitu Subri perangainya nakal sedikit dan suka loyar buruk. Ala... maklum sahaja remaja yang sedang meningkat usia. Hehe...

Aku sebenarnya hanya mengenali Subri kerana beliau pernah bekerja di tempat aku bekerja tetapi di Jabatan Store. Ada sesetengah pekerja memang tidak boleh menerima perangainya yang kadangkala mengeluarkan perkataan tidak bertapis. Tetapi berlainan aku yang menerima Subri ini seadanya. Walaupun Subri ini kadangkala agak nakal dan suka cakap merapu namun beliau amat menghormati aku. Aku suka mengusik Subri apabila beliau ingin menuntut pembayaran "Medical Fee" daripada aku. Apabila Subri menelefon untuk bertanya perkara ini aku akan berpesan "kalau dah tak de duit baru datang jumpa abang". Aku hanya mampu tersenyum apabila melihat gelagat beliau menunjukkan beg duit. Aku langsung tidak berniat untuk menghina beliau, tetapi tujuan aku sekadar untuk melatih beliau agar berjimat. Terima kasih Subri kerana sebagai seorang adik yang amat memahami niat murni abang.

Subri kini telah balik ke kampung halaman di Sabah. Aku bersyukur kerana kehidupan beliau sudah mula teratur kerana beliau telah berkhidmat dengan agensi kerajaan dan dapat berkumpul dengan keluarga terutama abang kembar beliau, Shidi. Namun begitu aku amat merindui perangai beliau yang nakal, suka loyar buruk dan sesekali menyakat aku. Aku hanya mampu berdoa dari jauh untuk kesejahteraan, kebahagiaan dan keselamatan pasangan kembar "Made In Sabah".

Wednesday 14 October 2009

Selipar

Entah kenapa semasa aku hendak cepat keluar dari surau tempat kerja aku boleh tersalah memakai selipar. Aku sebenarnya tidak terfikir selain daripada aku, rupanya ada juga pekerja lain yang mempunyai selipar yang hampir sama. Apa hendak dikatakan sebab semuanya tidak disengajakan. Huhu...


Sebenarnya menjadi kebiasaannya bila pergi sembahyang aku akan memakai selipar bagi memudahkan mengambil air sembahyang. Jadi aku tak kisah semasa aku tengah sembahyang pekerja lain meminjam untuk mengambil air sembahyang. Maka macam biasa aku akan menunggu sebentar jika aku selesai sembahyang selipar aku tiada di depan pintu surau. Tetapi hari ini ianya berlaku seperti hari biasa, namun bezanya kerana aku hendak cepat tanpa melihat selipar itu kerana amat yakin itu adalah selipar aku walaupun aku macam rasa janggal sebaik sahaja aku memakai selipar tersebut.

Aku hanya tersedar sebaik sahaja aku sampai ke pejabat dan hendak memakai kasut. Aku berharap akan dapat menemui kembali semula selipar aku. Aku rasa tak selesa memakai selipar milik orang lain. Aku rasa bersalah pula di dalam hal ini walaupun semuanya bukan disengajakan.

Monday 12 October 2009

Pekerja Kontrak

Sejak kebelakangan ini perkerja di tempat aku mulai dipenuhi oleh pekerja kontrak dikalangan operator samada lelaki atau perempuan. Setiap hari ada sahaja pekerja baru yang masuk dengan pelbagai gaya dan ragam. Ada yang aku perhatikan memang serious untuk bekerja dan tidak mengabaikan hal ibadat, namun ada juga di kalangan mereka yang aku lihat lebih kepada untuk berseronok maklum sahaja kilang elektronik dimonopoli dengan operator perempuan.

Tadi semasa aku ke kantin waktu rehat petang aku terdengar salah seorang pekerja kontrak lelaki bertanya harga makanan pada salah seorang pekerja kantin. Aku begitu sayu apabila melihat keadaan ini. Maklum sahaja mereka baru hendak memulakan alam pekerjaan pasti tidak mencukupi wang. Adalah lebih baik bertanya harga makanan sebelum mengambil dan membawa ke kaunter, manalah tahu kalau harga melebihi dari wang yang ada di dalam kocek seluar.

Aku pada mulanya hendak sahaja bersuara supaya budak itu mengambil sahaja makanan dan aku membayarkan. Tetapi bila kenangkan kembali sesetengah orang yang sering lupa diri dan kurang ajar setelah aku membantu membuat aku mendiamkan diri. Aku bukanlah hendak mengungkit kepada orang yang aku bantu atau meminta balasan dari mereka tetapi cukuplah sekadar menghargai dan menghormati aku. Aku pasti kalau rakan sekerja yang rapat membaca pasti mengetahui perkara yang aku maksudkan ini. Aku dah serik hendak membantu orang terutama pekerja kontrak ini yang sering lupa diri asal usul mereka.

Friday 2 October 2009

Sejadah, Melayu dan Bangla

Hari ini macam biasa aku pergi sembahyang Jumaat di masjid berdekatan tempat kerja yang biasa dikunjungi oleh pekerja lain. Kali ini agak sesak juga bas yang disediakan oleh pihak majikan memandangkan pekerja kontrak semakin bertambah termasuklah pekerja lelaki warganegara Bangladesh.

Manakala masjid pula hari ini dipenuhi oleh sejadah di segenap sudut terutama di sudut luar, belakang atau kawasan bukan ruangan utama masjid. Kebiasaannya sejadah disusun sebaris untuk sujud, manakala untuk duduk hanya beralaskan simen. Aku macam biasa akan duduk di tempat yang selalu aku duduk. Tapi hari ini aku perhatikan ramai di antara pekerja yang biasa duduk di tempat belakang yang bersandarkan tembuk atau dinding terpaksa mengubah tempat duduk apabila tempat itu dikuasai oleh Bangla.

Oleh kerana aku sudah biasa dengan kedudukan saf maka tidak menjadi masalah untuk duduk walaupun ruangan dipenuhi dengan sejadah kerana aku amat peka samada saf untuk duduk atau sujud. Tetapi memang menjadi kebiasaan Bangla suka redah sahaja maka mereka tidak peduli tentang kedudukan barisan saf. Malah yang membuat aku rasa pelik bila melihat jemaah Melayu termasuklah rakan sekerja boleh mengikut Bangla duduk di saf yang salah. Aku hanya berdiam diri sahaja kerana aku yakin bila waktu sembahyang nanti pastilah mereka akan membetulkan kedudukan saf seperti mana bertahun-tahun sembahyang di masjid tersebut.

Apabila tiba waktu sembahyang jemaah mulai kelam kabut untuk menentukan kedudukan barisan saf. Oleh kerana Imam sudah memulakan sembahyang jadi masing-masing membuat hal sendiri. Alangkah terkejutnya aku bila selesai sembahyang dan memberi salam aku lihat barisan saf aku di sebelah kiri penuh macam kebiasaannya tetapi di sebelah kanan aku selang tiga atau empat orang jemaah di dapati kosong. Manakala di saf belakang tersebut aku lihat majoritinya Bangla dan terselit beberapa jemaah orang Melayu. Aku hanya mampu gelengkan kepala semasa melangkah keluar dari masjid.

Inilah akibatnya kalau masjid dipenuhi dengan sejadah tanpa dapat membezakan ruang untuk duduk atau sujud, manakala orang Melayu memang tiada pendirian dan suka mengikut serta apabila orang Bangla mula menguasai masjid di Malaysia.

Sunday 27 September 2009

Seminggu Raya Di Kampung

Seminggu Hari Raya telah berlalu dan semalam aku telah kembali ke Johor Bahru kerana esok aku akan memulakan kerja semula. Sepanjang seminggu berhari raya di kampung berbagai-bagai peristiwa akan menjadi satu kenangan dalam hidupku di Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Selain melayan tetamu yang berhari raya untuk mengumpul duit raya, rumah di kampung juga dikunjungi oleh saudara-mara yang lama tidak berjumpa.

Hari Raya pertama sewaktu aku menziarahi pusara arwah emak, abah, anak saudara dan atuk aku menerima pesanan ringkas (sms) jam 7.21 pagi dari Adzreen. Masih bernafas lagi rupanya si mamat ni. Hehe... Sebenarnya aku sudah lama tidak berhubungan dan berjumpa dengan Adzreen. Setiap tahun beliau sering menghantar sms untuk mengucapkan Selamat Hari Raya tetapi tahun lepas aku tidak menerima sebarang sms dari beliau. Adzreen ini pernah berkerja di tempat aku bekerja tetapi di Jabatan Komputer. Beliau banyak membantu aku mengenai komputer selepas adik angkatku Khairunnizat mendapat pekerjaan di Agro Bank Kuala Lumpur.

Di malam Hari Raya pertama pula jam 7.33 malam, aku menerima panggilan telefon dari kawan semasa menuntut di ITM, Faraliza (Rambo). Beliau kemudian menyerahkan perbualan di telefon dengan seseorang. Oleh kerana sudah berpuluh tahun aku tidak mendengar suara ini maka aku tidak dapat meneka dengan tepat gerangan suara yang bercakap dengan aku. Aku terkejut kerana aku dapat bercakap dengan kawan semasa di ITM iaitu Mohd. Niza. Terima kasih Niza kerana sudi bercakap dengan aku dan juga masih mengenali aku. Terima kasih juga kepada Rambo sebab selalu berhubung dengan aku.

Hari Raya ketiga jam 11.35 pagi aku mendapat panggilan telefon dari 'private number'. Aku terkejut juga menerima panggilan telefon ini walaupun aku dapat meneka pemilik 'private number' ini. Itulah adik angkat aku, Khairunnizat. Aku sebenarnya sudah lama tidak mendengar khabar samada melalui emel, sms atau telefon mengenai adik aku ini. Hubungan kami terputus apabila tempat beliau bekerja bertukar nama dari Bank Pertanian kepada Agro Bank. Beliau sering menelefon atau sms aku untuk mengucapkan Selamat Hari Raya tetapi tidak pada tahun lepas. Aku tidak sangka Khairun masih mengenali aku. Entah bilalah aku dapat berjumpa dengan beliau kerana apabila aku berada di kampung, beliau akan balik ke JB dan apabila aku kembali ke JB, beliau sudah kembali berkerja.

Hari Raya keempat jam 8.56 pagi aku sahaja menghantar ucapan Selamat Hari Raya kepada seseorang walaupun aku tidak pasti nombor tersebut masih aktif. Tetiba aku mendapat panggilan telefon yang tiada tersenarai dalam simpanan aku. Aku pada mulanya meragui untuk menjawab namun aku terus melayan panggilan ini. Aku tak sangka mamat ini masih lagi mengenali aku. Itulah Subri yang pernah bekerja di tempat aku bekerja yang kini telah bekerja di kampung halaman sendiri iaitu Sabah. Aku bersyukur kerana Subri telah bekerja dengan jabatan kerajaan dan tidaklah hidup tidak tentu arah di bandaraya JB ini seperti dahulu. InsyaAllah, awal bulan Oktober ini Subri akan datang ke Semenanjung sempena konvokesyen abang beliau dan berjanji akan berjumpa aku di JB bersama kembar beliau.

Walapun dalam kegembiraan menerima berita tentang kawan dan adik-adikku, aku juga teringat mengenai adik aku Ani yang khabarnya telah membuka perniagaan di Keratong. Namun aku masih tertanya-tanya di manakah adik aku Norizal Singgin berada kerana telah terputus hubungan begitu lama. Walaupun aku dapat sedikit panduan tentang di mana Rizal berada tetapi aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan untuk menjejak beliau kecuali ada bantuan dari polis dan mereka yang berkaitan dengan mahkamah.

Sunday 20 September 2009

Selamat Hari Raya

Hari ini umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya. Selamat Hari Raya kepada semua pembaca blog aku ini samada mereka yang mengenali aku ataupun tidak. Tapi tahukah kita betapa uniknya Hari Raya tahun ini.

Cuba kita perhatikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut pada 20 September 2009 iaitu satu angka yang unik 20.09.2009 (20092009). Harapan aku semoga Hari Raya tahun ini memberi seribu makna dan kegembiraan buat diriku.

Selamat Hari Raya AidilFitri 1 Syawal 1430H bersamaan 20 September 2009 (20092009).

Saturday 19 September 2009

Esok Hari Raya

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Ahad, 20 September 2009. Ini bermakna esok hari raya.

Di hari yang mulia ini aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca blog aku ini terutama buat kawan-kawan dan pensyarah semasa belajar di Institut Teknologi MARA, kawan-kawan dan guru-guru di sekolah rendah dan menengah, kawan-kawan sekerja atau bekas kawan-kawan sekerja, adik-adik angkat Khairunnizat, Norizal dan Rohani di mana jua kamu berada dan khas buat keluarga aku yang tercinta.

Esok Hari Raya maka bermulalah bulan Syawal dan berakhirnya Ramadan 1430H. Apa yang pasti malam ini aku akan sibuk membantu kakak aku mengantung langsir dan menyalin kusyen yang memang menjadi tanggungjawab aku setiap tahun. Selain daripada itu tidak lupa untuk memasak ketupat.

Walaupun sudah 13 tahun aku hanya menyambut Hari Raya bersama adik beradik tanpa arwah emak dan abah di sisi, namun esok Hari Raya tetap disambut sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Friday 18 September 2009

Berakhir Ramadan 1430H

Aku kini sudah berada di kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Sepanjang perjalanan dari Johor Bahru ke Muar ada beberapa kawasan yang agak sesak. Tambahan perjalanan agak membosankan kerana pemandu memainkan lagu raya Deepavali. Sakit jiwa dibuatnya. Apa-apapun aku selamat sampai di kampung sebelum waktu berbuka puasa.

InsyaAllah, esok merupakan hari terakhir Ramadan 1430H atau puasa. Sempurnakah puasa kita selama sebulan ini. Tapi bagaimana bagi mereka yang tidak berpuasa tanpa alasan yang munasabah yang dikatogeri sebagai insan yang tidak wajib berpuasa. Aku bukanlah seorang insan yang warak tetapi aku masih tahu tanggungjawab aku sebagai umat Islam yang diwajibkan untuk berpuasa.

Aku kadangkala sedih, geram dan rasa terhina melihat sikap orang-orang Melayu yang kononnya mengaku beragama Islam tetapi tidak berpuasa malah merasa bangga makan di khalayak ramai. Aku melihat di tempat kerja ramai pekerja kontrak lelaki Melayu berusia remaja tidak berpuasa. Pada mulanya mereka menyorok untuk merokok tetapi dari hari ke sehari mereka tidak lagi merasa malu untuk merokok dan minum dengan tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melihat kelibat aku balik dari mengerjakan sembahyang zohor. Aku sendiri tidak tahu apa hendak jadi dengan mereka ini.

Malah katanya ada juga segelintir pekerja lama dewasa yang telah beranak-pinak juga tidak berpuasa malah marah jika kita melihat mereka makan dengan selambanya. Selain daripada itu aku sendiri melihat ada di antara penjual makanan di bazar ramadan samada di lorong kompleks Kota Raya, Johor Bahru dan juga di Kip Mart Tampoi tanpa rasa segan makan ataupun merokok. Apa nak jadi?

Sekejap sahaja masa berlalu dan InsyaAllah esok akan berakhirnya Ramadan 1430H. Kepada mereka yang telah menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan iaitu Rukun Islam ke 3, syukur Alhamdulillah. Tetapi bagaimana mereka yang tidak berpuasa pada tahun ini adakah mereka akan berjumpa lagi Ramadan pada tahun hadapan......

Thursday 17 September 2009

Balik Kampung

Balik kampung ooo... balik kampung. Esok aku akan balik kampung untuk menyambut 1 Syawal 1430H. Walaupun setiap bulan aku akan balik kampung tetapi berlainan pada hari esok kerana esok kepulanganku ke kampung kerana menyambut Hari Raya Aidil Fitri atau 1 Syawal.

Walaupun hari esok aku masih lagi bekerja tetapi aku telah mengambil cuti separuh hari. InsyaAllah aku akan pulang ke kampung menaiki bas jam 3.30 petang.

Kepada semua umat Islam yang akan pulang ke kampung masing-masing di mana jua anda berada berhati-hati di jalanraya dan ingatlah kepada insan tersayang yang menanti di kampung.

Jom balik kampung....

Monday 14 September 2009

Gambar

Aku sering ditanya mengenai gambar. Entah mengapa aku sendiri tidak tahu amat sukar untuk mempamerkan gambar terbaru aku. Adakah kerana aku terlalu berahsia? Adakah kerana aku masih seperti dahulu suka 'low profile'? Adakah aku masih lagi bersikap pemalu seperti dahulu? Aku sendiri tidak pasti.

Aku tahu ada pembaca yang mengikuti blog aku ni pasti untuk melihat wajah aku yang sebenar. Manakala kawan-kawan sekolah atau ITM pasti juga ingin melihat wajah aku yang terbaru setelah lebih 20 tahun terpisah. Mungkin hanya beberapa orang sahaja yang telah melihat wajah aku setelah 20 tahun berpisah seperti kawan-kawan di ITM iaitu Muslim, Hussain, Apek, Kudin Mekanik, Amy Jarr dan Azmi serta Zul kawan semasa di sekolah menengah.

Apa pun yang cuba diperkatakan atau pertikaikan tentang wajah aku yang terkini semuanya tidak pernah aku fikirkan. Aku masih seperti dahulu seorang insan yang pemalu yang 'low profile' walaupun fizikal aku yang suatu ketika dahulu kurus melidi kini telah berisi banyak. Haha... Aku bukan tidak mahu bergambar tetapi sebenarnya aku tidak pandai bergaya untuk bergambar atau lebih tepat bukan fotogenik.

Namun begitu, aku tetap aku....

Sunday 13 September 2009

JM Bariani House

Hari ini jam 3.15 petang aku menerima panggilan telefon dari bekas kawan sekolah semasa tingkatan 4 dan 5, Sekolah Tinggi Muar. Kawan aku ini sebenarnya sudah menjadi taukeh nasi bariani. Sebenarnya sejak dari sekolah lagi aku memang telah nampak minat beliau ke arah perniagaan. Setelah tamat sekolah aku dengar khabar beliau terlibat dengan catering tapi tak sangka sekarang beliau melangkah setapak lagi dengan membuka restoran menjual nasi bariani.



Kepada pembaca yang teringin makan nasi bariani tu, apa kata mencuba merasai nasi bariani JM Bariani House yang berada di Subang Jaya, Tesco Shah Alam, Tesco Ampang, Mydin Subang Jaya dan Pusat Bandar, Bandar Baru Bangi.

Macam mana Zul, aku dah promosi JM Bariani House dalam blog aku walaupun aku tahu setiap hari di suratkhabar KOSMO pasti terpampang nama JM Bariani House. Jangan lupa kalau aku tersesat ke sana dapat makan free atas nama tetamu, bekas kawan sekolah dan sepupu arwah suami mak saudara kau ye. Hehehe.....

Saturday 12 September 2009

Sahur


Aku tidak tahu entah kenapa hari ini aku terlelap semula walaupun jam handphone aku telah berbunyi jam 4.55 pagi. Nasib baik aku tersedar semula hampir jam 5.30 pagi dan aku hanya sempat bersahur dengan secawan kopi radix dan segelas air sejuk sahaja.

Sunday 6 September 2009

Kenangan Puasa di ITM

Hari ini adalah hari ke 16 umat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadan 1430H ataupun berpuasa. Semalam aku berbuka bersama-sama kawan sekerja di Danga Bay. Ini telah mengimbau kenangan aku semasa berpuasa ataupun berbuka puasa sewaktu aku belajar di ITM dahulu.

Apa yang paling melucukan ialah kali pertama aku berpuasa di rantauan dan juga asrama semasa di ITM Pahang semester kedua. Aku yang biasa sahur di kampung setengah jam sebelum imsak pasti ingin melakukan di asrama kononnya hendak mengambil fadilat sunat lambat bersahur. Adalah menjadi kebiasaan tinggal di asrama ni memang waktu bersahur adalah 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi. Namun begitu aku akan bangun sebelum imsak dan subuh untuk bersahur sekadar minum secawan air nescafe dan mungkun biskut sahaja. Tapi entah pada suatu hari aku boleh tertidur semula walaupun jam loceng sudah berbunyi untuk mengejutkan aku dari tidur untuk bersahur. Aku hanya tersedar bila jam sekali lagi berbunyi yang aku sangkakan untuk mengejutkan aku untuk bersahur. Tetapi tiba-tiba aku terdengar suara Sidi atau Che Dat bertanya aku nak buat apa semasa aku memanaskan air. Alangkah terkejutnya aku bila aku melihat jam sebab dah waktu subuh. Huhu... Sepanjang hari itu Sidi asyik mengutuk aku sahaja.

Semasa aku di ITM Shah Alam semester pula ada kejadian yang amat memalukan dan menyedihkan pada hari pertama berbuka puasa. Adalah menjadi kebiasaan apabila berbuka puasa aku akan meminum seteguk air dan manisan seterusnya sembahyang maghrib dahulu sebelum mengisi perut dengan makanan yang berat. Sebaik sahaja aku ke dewan makan, aku dapati nasi dan lauk pauk sudah habis. Aku keluar dari dewan makan dengan perasaan yang hampa dan sedih. Aku terus berjalan dengan pantas sambil menundukkan muka kerana rasa malu kalau semua orang di dewan makan tahu apa yang berlaku. Aku sendiri tidak pasti samada mereka yang berada di dewan itu tahu kejadian yang berlaku. Andaikata mereka tahu adakah mereka bersimpati atau mereka akan ketawakan aku.

Namun begitu ada juga berlaku kesilapan waktu berbuka puasa yang tidak disengajakan. Semasa aku di ITM Shah Alam aku sering mendengar siaran radio KL. Aku pun lupalah nama siaran radio KL ini maklum sahaja dah lama tinggalkan Shah Alam dan KL dan sekarang pula siaran radio ada pelbagai nama. Aku pada masa itu tidak mengetahui waktu berbuka puasa di KL dan Shah Alam adalah berbeza. Jadi apabila radio KL menyiarkan azan maghrib aku terus berbuka tanpa ragu-ragu kerana tidak terfikir yang KL dan Shah Alam adalah dua kawasan yang berbeza waktu berbuka puasa. Tapi entah tetiba suatu hari aku terdengar suara juruhebah membaca waktu imsak dan berbuka puasa untuk seluruh negeri. Aku tergamam bila mengetahui bahawa waktu berbuka bagi kawasan KL adalah lebih awal sedikit dari Shah Alam.

Aku paling seronok apabila berbuka puasa dengan kawan-kawan di luar. Kebiasaannya berlaku apabila hari terakhir peperiksaan semester. Selepas aku mengemaskan semua pakaian untuk pulang ke kampung pada keesokannya, aku akan ke KL keseorangan. Apa yang pasti dua kawan baik aku iaitu Muslim dan Syed Sham akan menanti aku di sana. Tempat pertemuan kami biasanya di depan pintu masuk Central Market. Kami bertiga akan berbuka puasa di KFC dan pastinya tempat duduk lain silih berganti namun kami bertiga masih di situ berborak-borak. Nasib baik KFC tidak kenakan sebarang 'charge' untuk kami duduk berjam-jam di situ.

Saturday 29 August 2009

Zakat Fitrah

Zakat Fitrah di negeri Johor pada tahun ini yang diwajibkan bagi umat Islam ialah sebanyak RM5.00 atau RM7.50 berdasarkan harga beras yang dimakan. Jadi terserahlah kepada penduduk di Johor untuk memilih yang mana satu untuk mereka membayar zakat samada mengikut beras yang mereka makan atau tidak perlu berkira dengan membayar RM7.50 kerana hanya setahun sekali.

Adalah menjadi kebiasaan aku akan membayar zakat fitrah selepas waktu zohor kerana mungkin menjadi tradisi di Johor Bahru kaunter zakat di masjid dibuka selepas waktu zohor. Kali ini aku berhasrat untuk membayar zakat fitrah berdekatan masjid di rumah aku. Tapi aku pelik sebaik sahaja aku sampai di masjid tersebut lebih kurang jam 2.oo petang kaunter zakat ditutup dan notis memberitahu kaunter dibuka jam 2.45 petang.

Aku terus beredar dari masjid tersebut dan menuju ke masjid di kawasan lain yang menjadi tradisi aku sejak 5 tahun yang lalu. Sebenarnya sebelum ini bertahun-tahun aku lebih suka membayar zakat fitrah di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru tetapi berubah sejak 5 tahun yang lalu. Sementara ku menanti giliran motor aku di "service" aku pergilah ke masjid yang biasa aku bayar zakat sebelum ini yang berdekatan dengan kedai motor. Sekali lagi aku menerima kejutan apabila amil zakat tiada dan terdapat notis yang menyatakan kaunter dibuka jam 1.30 petang.

Sebaik sahaja aku selesai membetulkan motor, aku bergegas sekali lagi ke masjid yang kedua aku pergi namun kaunter zakat masih sunyi dan seterusnya ke masjid pertama yang berdekatan di rumah aku juga sunyi walaupun jam telah menunjukkan jam 3.00 petang. Walaupun di kedua-dua kaunter zakat terdapat notis menyatakan nombor telefon amil zakat untuk dihubungi, namun prinsip aku tidak akan menelefonnya. Aku terus tertanya-tanya di dalam hati apakah amil zakat 1430H ini terlalu sibuk dan tidak perlu menunggu di masjid walaupun kelazimannya mereka pasti sentiasa berada di masjid selepas waktu zohor.

Oleh kerana aku memang tidak suka melengahkan pembayaran zakat fitrah aku terus ke pusat membeli-belah yang juga berdekatan di rumah aku. Kali ini aku bernasib baik kerana amil zakat fitrah berada di situ untuk menanti orang ramai membayar zakat. Aku terus menjalankan kewajipan aku untuk membayar zakat. Syukur Alhamdulillah kerana tidak perlulah aku membuat temujanji dengan amil zakat untuk membayar zakat pada tahun ini.

Monday 24 August 2009

Arwah Emak - 13 Tahun

Hari ini adalah 3 Ramadan 1430H bersamaan dengan 24 Ogos 2009. Hari ini adalah genap 13 tahun arwah emak meninggal dunia yang menjadikan aku anak yatim piatu. Masa begitu cepat berlalu kerana telah 13 tahun juga aku tidak dapat berpuasa bersama arwah emak dan sekaligus tidak dapat mencium tangan arwah emak setiap pagi Hari Raya.

Hari ini aku masih berada di kampung dan akan pulang ke Johor Bahru pada petang ini jam 5.00 petang. Walaupun arwah emak telah meninggalkan aku selama 13 tahun namun segala kenangan terutama di bulan puasa sentiasa di dalam memori aku. Aku tahu masa tidak akan berputar kembali kerana yang hidup perlu teruskan perjalanannya. Walaupun pada masa itu aku sudah bekerja, namun apabila aku pulang ke kampung pada bulan puasa pasti arwah emak akan bertanya lauk atau kuih apa yang aku teringin nak makan. Apa juga makanan atau kuih yang aku sebut pasti dia akan dengan senang hati membuatnya. Apabila sehari dua sebelum sambutan Hari Raya aku telah pulang ke kampung pasti dia akan bertanya samada aku telah membayar zakat atau belum walaupun arwah emak tahu aku sebenarnya adalah anaknya yang sering membayar awal.

Walaupun telah 13 tahun berlalu, segala memori bersama arwah emak pasti tidak akan aku lupa. Aku akan terus berdoa selagi mampu agar arwah emak dicucuri rahmat oleh Allah dan di tempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal salleh.

Sunday 23 August 2009

2 Ramadan 1430H

Alhamdulillah hari ini adalah hari ke 2 umat Islam di Malaysia menunaikan ibadat puasa. Aku masih lagi berada di kampung untuk menyambut bulan Ramadan. Ini bermakna aku dapat lagi berbuka puasa pada 2 Ramadan bersama-sama keluarga. Namun suasana berbuka puasa 2 Ramadan ini amat berbeza kerana kami adik-beradik berkumpul walaupun tidak kesemuanya ada bersama-sama. Tetapi yang pasti ia mengamit kenangan aku bersama arwah emak dan abah.Walaupun juadah berbuka puasa hanyalah makanan biasa namun keriuhan berbuka puasa tetap terasa dengan gelagat anak-anak saudara aku walaupun mereka semua sudah membesar. Anak saudara aku yang berusia 15 tahun mencadangkan berbuka puasa dengan mee kari. Jadi terpaksalah kami mengikut perancangan yang diaturkan oleh beliau.


Anak saudara aku yang tinggal di Johor Bahru pula mencadangkan buat air sirap bandung. Dia kemudian sms kepada sepupu dia yang sebaya meminta bapanya membeli aiskrim soda. Aku pula dengan segera membekukan ais di dalam peti ais. Anak-anak saudara aku juga sesama mereka membuat kuih buah melaka atau onde-onde. Kalau dah tiga orang yang membuatnya, pastilah bentuknya tidak sama. Jadi apabila 15 minit lagi waktu berbuka, kakak ipar aku pula mengambil giliran untuk membuat air sirap bandung. Aku yang memang jarang berbuka dengan air batu terliur juga untuk meminumnya walaupun aku tetap dengan berbuka dengan air panas. Semasa hendak membuat air teh didapati air panas tinggal sedikit sahaja dan dalam kelam kabut tu tetiba dengar suara azan menandakan berakhirnya 2 Ramadan 1430H.

Walaupun kami tidak dapat mengumpulkan kesemua adik-beradik dan ipar duai serta anak-anak saudara, namun kemeriahan 2 Ramadan cukup terasa. Jadi tidaklah sia-sia aku mengambil cuti pada hari esok semata-mata untuk menyambut bulan Ramadan di kampung.

Saturday 22 August 2009

Ramadan 1430H

Hari ini bermulanya 1 Ramadan bermakna bermula puasa bagi umat Islam terutamanya di Malaysia. Sebenarnya agak lama juga sejak aku bekerja dan merantau tidak dapat menyambut puasa di hari pertama di kampung. Oleh kerana kerinduan suasana tersebut dan bermulanya Ramadan pada hari Sabtu, aku cuba luangkan masa untuk pulang ke kampung dan juga mengambil cuti pada hari Isnin ini.

Bermula Ramadan ini selepas bersahur dan sembahyang subuh aku pergi menziarahi pusara arwah emak, abah dan anak saudara. Selain membaca dan sedekahkan bacaan surah Yassin, aku juga sempat membersihkan daun-daun dan lalang yang tumbuh di sekeliling pusara. Aku puas melihat pusara mereka bersih. Oleh kerana aku hampir terkucil (faham-faham aje lah) aku terus pulang tanpa berkesempatan menziarahi puasara arwah atuk. Maafkan aku.

Apakah bermula Ramadan 1430H akan memberi cahaya kepada kita semua untuk meneruskan perjuangan hidup. Apakah kita masih ditahap lama dengan memberi sejuta alasan untuk tidak berpuasa. Aku gembira kerana ada seorang kawan perempuan menjadikan awal Ramadan 1430H sebagai langkah pertama beliau ingin memakai tudung. Tahniah.

Aku ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf dan mengucapkan Salam Ramadan 1430H kepada pembaca blog ini, semua kawan-kawan dan bekas kawan-kawan serta bekas guru-guru di Sekolah Agama Parit Setongkat dan Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Sekolah Rendah Ismail (Satu), Sekolah Menengah Sri Muar, Sekolah Tinggi Muar, ITM Pahang dan Shah Alam dan rakan sekerja di mana jua anda berada. Kepada Kak Antoi terima kasih kerana menghantar sms malam tadi sewaktu aku berada di Perhentian Bas Larkin dan Azmi Abu Bakar (Bilal), terima kasih kerana menghantar 'sms' jam 11.58 malam tadi.

Selamat berpuasa dan Salam Ramadan 1430H.

Friday 14 August 2009

Kematian

Hampir setiap hari kita mendengar angka kematian akibat H1NI atau selsema babi terus meningkat. Tapi apakah langkah-langkah yang perlu kita ambil untuk menghindar perkara ini terus berlaku. Kalau semasa wabak selsema burung atau SARS pada tahun 2003 kasihan pada ayam Mak Temah, Mak Kiah, Pak Leman dan Pak Abu di pelusuk kampung terpaksa dimusnahkan tetapi kenapa selsema babi atau H1N1 babi Pak Chin, Pak Chong, Mak Lim dan Mak Yong tidak dimusnahkan. Kasihan...

Sebenarnya pagi tadi aku menerima berita kematian suami kepada staf 'Production Department' iaitu Azizah Jamaluddin (Azie). Kematian Jais ini amat mengejutkan memandangkan kami tidak pernah mendengar Jais mengalami penyakit yang serious. Sebenarnya suami Azie yang berusia sekitar 40an ini pernah bekerja di tempat kami pada sekitar tahun 1990an di Jabatan Store sebagai Storekeeper. Apa yang aku dengar beliau menghembuskan nafas yang terakhir tanpa siapapun di sisi kerana meninggal sewaktu tidur dan Azie hanya mengetahui apabila cuba mengejutkan suaminya dari tidur di waktu pagi.

Takziah kepada Azizah Jamaluddin sekeluarga.

Saturday 1 August 2009

Akta ISA

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Akta ISA kini hangat diperkatakan lagi. Aku sendiri tidak faham dengan kerenah masyarakat Malaysia sejak kebelakangan ini. Apakah masyarakat Malaysia kini semakin pandai memandangkan terlalu banyak universiti dan pangajian tinggi ataupun sebenarnya masyarakat Malaysia semakin bodoh.

Aku bukanlah seorang ahli politik tetapi sebagai masyarakat Malaysia aku kadangkala semakin keliru dengan situasi politik hari ini. Aku bukanlah seorang rakyat yang jahil langsung tidak mengetahui tentang sejarah wujudnya Akta ISA, tetapi bagaimana dengan pemahaman orang lain. Adakah rakyat kita hari ini telah buta sejarah? Ataupun adakah sejarah telah membutakan rakyat Malaysia.

Apakah perlu dan berbaloi rasanya demontrasi jalanan diadakan semata-mata untuk menjadi jaguh dengan menggesa pihak kerajaan memansuhkan Akta ISA. Adakah Akta ISA ini adalah satu akta untuk kesenangan kerajaan Barisan Nasional? Adakah ianya juga merupakan satu malapetaka kepada pihak pembangkang? Adakah ia memberi kebaikan kepada rakyat? Jadi fikirkanlah sendiri dengan hati yang terbuka dan fikiran yang waras.

Walau apapun jawapan yang diberi, setakat hari ini aku belum pernah terdengar pula mereka yang ditahan di bawah Akta ISA diseksa. Apakah memang ada tetapi aku yang ketinggalan tentang fakta ini. Entahlah.

Pada pandangan aku janganlah kerana permainan bibir-bibir orang politik ini akan memusnahkan kedaulatan negara Malaysia. Janganlah kerana kita buta sejarah maka kita terus menjadi pak turut. Jangan kita salahkan sejarah kalau kita tidak faham tentang sejarah. Jangan kita lupakan sejarah yang telah memerdekakan Tanah Melayu. Namun yang aku rasa pelik kenapa orang Melayu yang bersugguh-sungguh menentang Akta ISA hingga sanggup mengadakan demontrasi yang kemudian menyusahkan kaum Melayu sendiri.

Friday 31 July 2009

Internet

Sejak dua tiga hari ini di tempat kerja begitu hangat diperkatakan apabila si Kepohci dari HQ menghantar emel dan senaraikan seramai 100 orang yang kerap menggunakan internet termasuklah senarai 10 orang yang paling tinggi penggunaan internet.

Oleh kerana ianya menjadi isu yang hangat maka pihak Jabatan Personnel terpaksa mengeluarkan amaran kepada staf-staf berdasarkan "Rules and Regulations" syarikat tentang penyalahgunaan hak syarikat. Apabila dilihat senarai nama yang dicatatkan oleh si Kepohci terdapat ramai yang disenaraikan adalah staff baru yang yang berkerja kurang dari 5 tahun. Apa yang lebih memeranjatkan ada staff yang baru berkhidmat yang belum pun disahkan jawatan menjadi antara 10 orang yang paling tinggi penggunaan internet.

Apakah penggunaan internet ini menjadi isu yang besar? Entahlah susah untuk aku memberi sebarang komen. Tapi pada pandangan aku kalau setakat untuk membaca akhbar ataupun hal-hal peribadi namun sekejap mungkin bukanlah isu yang besar. Kalau kita tanya pada sesiapa sekalipun pasti mereka akan menggunakan internet tersebut terutama jika ianya percuma. Aku rasa tidak perlulah jika ada sesiapa mendabik dada kononnya mereka begitu jujur dan langsung tidak mengambil kesempatan menggunakan internet secara percuma.

Tetapi yang menjadi isu apabila si Kepohci dapat mengesan staf menggunakan internet untuk melihat youtube, facebook dan yang lebih hebat dengar khabar prono. Akupun amat terperanjat apabila si Kepohci menyenaraikan nama-nama staf yang terlibat di dalam hal ini. Aku berpendapat adalah lebih baik pasang sahaja internet di rumah kalau berminat di dalam hal macam ini. Tetapi telah menjadi rasmi manusia semuanya hendak percuma ataupun mungkin sahaja untuk memberitahu keluarga yang masing-masing bahawa mereka orang yang baik. Akhirnya staf diberi amaran tidak boleh menggunakan internet walaupun ada juga staff yang masih berani mengendahkan amaran tersebut.

Namun begitu yang menjadi kemusykilan dikalangan staf mengapa ada jerung yang dikatakan sering menggunakan internet langsung tidak disenaraikan nama beliau. Entahlah sebab aku sendiri tidak pasti akan hal ini, namun aku boleh agak akan jawapan tersebut. Oleh itu terserah kepada staf untuk memikirkan sendiri samada akur pada amaran pihak pengurusan atau masih menggunakan internet tersebut untuk kegunaan peribadi dengan kadar yang sedikit atau masih mengamalkan sikap yang terdahulu.

Wednesday 29 July 2009

Terima Kasih

Malam semalam jam 10.44 malam aku menerima sms dari seseorang yang bertulis seperti ini "Tahniah krn promotion, jgn kecewa, dlm blog nko ada sebut nama aku sikit kira ok le, .........."

Aku sebenarnya tidak tahu siapa yang menghantar sms tersebut kerana nombor maxis yang bermula dari 9 dan berakhir dengan 65 tiada dalam simpanan telefon bimbit aku. Aku kemudian membalas untuk mengetahui siapa sebenarnya pemilik nombor tersebut.

Kemudian jam 10.53 malam beliau membalasnya "Hahhaha hari2 aku baca blog nko, bagus juga luahan rasa tu, at least berterus terang, tapi kat itm dulu diam aje."


Aku terus tertanya-tanya siapalah beliau ini sebab masih lagi enggan memperkenalkan diri. Aku kemudian membalas lebih kurang macam ini "Tq kerana sudi membaca blog aku...."

Oleh itu aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca blog aku ini. Apa yang aku tulis adalah apa yang aku rasa, apa yang aku alami, apa yang aku lihat, apa yang aku dengar, apa yang aku baca dan apa yang aku ingin tulis. Kepada yang membaca dan memberi komen, terima kasih kerana sudi meluangkan masa terhadap blog aku ini. Kepada yang sekadar membaca sahaja terima kasih juga diucapkan sebab ada juga orang yang sudi membaca apa yang aku tulis.


Ermm... berbalik kepada kata-kata sms, aku ni pendiam ker. Aku pemalulah bukan pendiam. Hehe... Oleh kerana kita tidak begitu rapat maka mungkin itu yang menyebabkan aku dianggap pendiam. Kalau tak percaya tanya Zambran sebab selalu kena bebel dengan aku. Hehe... Apa-apapun terima kasih kerana masih mengenali aku serta mengikuti blog ini dan menghantar sms kepada aku malam semalam. InsyaAllah artikel akan datang aku akan menyambung "Kenangan di ITM" yang akan mencatat nama kau, Clark Gable.

Sunday 26 July 2009

Tinggal Kenangan - Tumiran

Semasa aku dalam perjalanan balik ke rumah dari bank OCBC di bandar JB aku mendapat panggilan telefon dan sms. Aku tidak menjawabnya maklum sahaja masa itu aku sedang menunggang motosikal. Sebaik sahaja aku tiba di rumah aku membuka pesanan sms dari Siti Zaharah yang dihantar jam 11.38 pagi dan dua kali panggilan 'missed calls' dari Azian jam 11.44 pagi yang ingin memberitahu Tumiran telah meninggal dunia.

Arwah Tumiran Manjir adalah salah seorang staff tempat aku bekerja yang dahulu pada awalnya hanyalah seorang pemandu yang kemudian dinaikkan pangkat sehingga bergelar Officer 2 yang bertanggungjawab mengendalikan pemandu syarikat dan juga bas yang membawa pekerja-pekerja. Beliau dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada hari Rabu sebaik sahaja mengadu sesak nafas sewaktu tiba di tempat kerja.

Selepas waktu pejabat, aku, Normaliza dan suaminya Rashid telah melawat Tumiran. Walaupun pada masa itu Tumiran masih sedar dan membuka mata, aku tidak bercakap apa-apapun dengan beliau kerana aku tidak mahu mengganggu memandangkan dia menggunakan alat pernafasan. Tetapi aku yakin Tumiran tahu kedatangan aku. Kemudian pada hari Jumaat sekali lagi aku ke HSI untuk melawat beliau yang telah dimasukkan ke wad ICU. Aku amat terperanjat bila melihat terlalu ramai staff yang berpusu-pusu melawat beliau sehingga keadaan luar di wad ICU seperti tidak dapat dikawal lagi. Akhirnya pihak wad terpaksa memanggil pengawal keselamatan untuk mengawal keadaan.

Aku dan pelawat lain diberi masa yang singkat untuk melawat beliau. Walaupun beliau di dalam koma namun aku yakin bahwa beliau masih boleh mendengar. Aku memohon maaf dan menyatakan bahawa aku telah menunaikan janji aku kepada beliau. Aku masih ingat lagi bulan April 2003 semasa aku dimasukkan ke Hospital Pakar Johor, Jalan Sultan Abdul Samad, Johor Bahru untuk menjalani pembedahan di antara kepala dan tengkuk. Hanya beliau sahaja staff yang melawat aku dengan membawa senaskah akhbar metro untuk aku baca bagi menghilangkan rasa bosan.

Setelah aku menerima berita kematian Tumiran aku bergegas ke HSI untuk melawat beliau buat kali terakhir memandangkan aku tidak mengetahui rumah beliau. Semasa aku sampai di HSI jenazah arwah telah dibawa ke bilik mayat. Aku sempat menatapi wajah beliau yang belum dikapankan dengan sedekahkan surah Al Fatihah. Aku terus menunggu sehingga jenazah arwah dikapan dan dibawa pulang di rumah beliau di Taman Kota Puteri.

Sebaik sahaja jenazah arwah dan pelawat lain meninggalkan bilik mayat, aku diberitahu oleh Encik Saad bahawa anak kedua arwah yang masih berada di situ terlibat dengan kemalangan jalanraya pada pagi ini. Aku terus merapati anak arwah dan bertanya tentang keadaan ini. Anak kedua arwah menangis sambil memeluk aku. Aku terus menenangkan beliau dan memberi nasihat. Anak kedua arwah menanggis kerana rasa terkilan beliau tidak dapat melihat arwah bapanya di saat akhir kerana pada masa itu beliau berada di balai polis untuk membuat laporan. Beliau merasakan bahawa beliau anak yang tidak berguna tetapi aku terus beri nasihat dan kata-kata semangat agar beliau berdoa dan sedekahkan surah Al Fatihah kepada arwah bapanya.

Aku faham dengan keadaan anak kedua arwah Tumiran dan memberitahu memandangkan aku sendiri pernah mengalami perkara yang sama 28 tahun yang lalu tidak dapat melihat arwah abah menghembuskan nafas terakhir sewaktu aku berusia 15 tahun. Sewaktu aku terus menceritakan kepada anak arwah bahawa semasa hayat hanya arwah sahaja yang melawat aku semasa dimasukkan ke hospital tanpa disedari aku begitu sebak dan gagal mengawal air mata. Sekali lagi anak arwah memeluk aku. Anak arwah meminta maaf jika arwah bapa beliau ada membuat kesilapan padaku. Aku jawab segala kesilapan telah aku maafkan dan halalkan dunia dan akhirat. Sebelum kami meninggalkan bilik mayat, anak arwah sekali lagi memeluk aku dengan erat dan aku menasihatkan beliau supaya berhati-hati menunggang motor.

Mulai esok yang pasti aku tidak akan menerima lagi emel yang suka mengaitkan aku dengan setiap perkara yang berlaku. Tiada lagi kawan untuk bertekak. Tiada lagi kawan yang mudah untuk aku bertanya arah jalan di persekitaran Johor Bahru. Tiada lagi kawan yang suka menceritakan hal perkembangan politik semasa. Tiada lagi kawan perantaraan yang suka mengambil pesanan kawan-kawan untuk membeli nasi padang. Kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Al-Fatihah untuk arwah Tumiran Manjir dan takziah untuk keluarga arwah.

Friday 24 July 2009

Kenaikan Pangkat

Aku telah pun dinaikkan pangkat yang kali terakhir ianya berlaku pada tahun 2000. Apabila sahaja diketahui oleh kawan-kawan di tempat kerja ramai yang mengucapkan tahniah kepada aku. Selain daripada itu ramai yang mula menyakat dengan mendesak untuk belanja makan dan ada juga yang kononnya mengatakan bahawa sudah terlalu lama aku menunggu saat ini atau kononnya aku terlalu gembira atas kenaikan pangkat ini.

Walau apapun kemungkinan tanggapan kawan-kawan atau mungkin juga melihat aku gembira tetapi hakikatnya aku tidak gembira langsung dengan kenaikan pangkatku ini. Apa guna kalau kenaikan pangkat ini ada tentangan, perbalahan atau tidak ikhlas dari majikan. Aku tahu ramai yang tidak tahu tentang sejarah kenaikan pangkatku ini. Biarlah aku kupas sedikit demi sedikit agar orang lain tahu betapa perit untuk aku menerima hakikat ini.

Aku dapat tahu sejak dari tahun lepas nama aku telah dicalunkan untuk kenaikan pangkat ini tetapi telah ditolak. Perkara yang sama juga berlaku pada tahun ini tetapi disaat akhir nama aku tersenarai untuk kenaikan pangkat. Aku tidak sangka orang yang menentang kenaikan pangkat aku ini adalah orang yang berpengaruh di dalam jabatan aku sendiri iaitu manusia yang berhati busuk yang dikenali dengan gelaran pakcik atau Nobita. Sejak dari dahulu lagi jika aku dapat kelebihan dari segi pemberian bonus, kenaikan gaji atau kenaikan pangkat maka beliau adalah orang pertama yang akan menentangnya.

Setelah 19 tahun aku berkerja di bawahnya belum pernah dia mencalunkan nama aku untuk semua ini kecuali perkara-perkara yang orang lain memang tidak menyukainya seperti pembentangan "Target Department". Aku tidak kisah jika Nobita enggan mencalunkan nama aku untuk kenaikan pangkat tetapi mengapa dia mesti menentang apabila orang lain mencalunkan nama aku. Sebelum ini kalau aku mendapat bonus gred A, kenaikan gaji yang tinggi dan kenaikan pangkat adalah atas jasa Chong, BB Khoo, FL Wong dan terbaru KC Chang.

Aku tahu ramai yang meminta aku membelanja mereka makan atas kenaikan pangkat aku ini. Ada yang sekadar cakap sahaja tetapi ada juga yang asyik mendesak setiap hari supaya membelanja mereka makan. Aku hanya buat tidak tahu dan tidak ambil peduli samada mereka serious atau sekadar untuk menyakat sahaja. Aku tidak kisah kalau ada diantara mereka ingin menggelar aku kedekut jika aku enggan belanja mereka makan tetapi tahukah mereka kalau sekadar kenaikan gaji yang sedikit tidak mampu untuk aku membelanja semua orang.

Sebenarnya aku bukan tidak mahu membelanja tetapi mereka tidak faham dengan perasaan aku. Siapa yang tidak gembira bila dinaikkan pangkat tetapi tidak bagi aku kerana aku merasakan suatu penghinaan bila aku dinaikkan pangkat. Adalah amat memeranjatkan kalau aku nyatakan bahawa aku telah mencipta satu sejarah di tempat kerja dengan kenaikan pangkat ini. Setahu aku di hujung tahun 90an sesiapa yang dinaikkan pangkat secara otomatik akan dberikan kenaikan gaji gred C sahaja tidak boleh diberi gred A atau B kerana kononnya mereka telah dapat ganjaran lumayan dalam bulan yang sama iaitu kenaikan gaji dan kenaikan pangkat. Tetapi tidak bagi aku, kerana aku adalah staff yang mendapat kenaikan gaji pangkat D yang kemudiannya mendapat kenaikan pangkat.

Orang lain pasti akan menyatakan aku sepatutnya bersyukur kerana kenaikan pangkat. Tetapi tahukah mereka, kenaikan gaji pangkat D adalah untuk orang yang mempunyai displin yang teruk seperti ponteng kerja, datang lambat, dapat surat amaran dan sebagainya. Walaupun aku bukanlah staff yang terlalu baik, tetapi aku juga bukanlah staff yang suka ponteng kerja atau datang lambat ataupun yang mendapat surat amaran. Aku juga bukan jenis staff yang suka memohon cuti saat akhir kerana kebiasaannya seminggu sebelum cuti aku dah memohon dan kadangkala sebulan sebelum itu dah memberi bayangan kepada Ketua Jabatan untuk mengambil cuti.

Aku rasa kecil hati dan rasa satu penghinaan kerana staff yang kebiasannya mendapat kenaikan gaji pangkat D sebenarnya secara otomatik tidak layak untuk mendapat kenaikan pangkat. Tetapi berlainan dengan aku apabila nama aku tersenarai disaat akhir sebagai calun-calun yang layak dinaikkan pangkat. Adakah aku perlu gembira dengan situasi ini? Aku tidak faham mengapakah manusia yang mendapat gelaran Nobita ini terlalu membenci aku. Aku pun tak faham adakah manusia seperti Nobita ini layak dipanggil manusia?

Namun aku berterima kasih kepada Chang yang mungkin telah mencalunkan nama aku untuk kenaikan pangkat. Aku juga berterima kasih kerana Nakagwa dan Satoi yang banyak mempertahankan nama aku sehingga disaat akhir aku dipilih untuk kenaikan pangkat. Walaupun staff Accounts memang tidak menyukai Nakagawa tetapi sekurang-kurangnya aku harus mengenangkan jasa beliau sebelum beliau pulang ke Jepun tahun hadapan. Manakala Satoi yang baru 3 bulan bekerja dan mengenali aku namun beliau amat menghargai aku dengan menyokong kuat atas kenaikan pangkat aku ini. Kepada orang yang aku tidak pasti samada layak dinamakan manusia atau tidak bergelar Nobita, terima kasih kerana memberi kesempatan untuk aku berkongsi cerita dengan pembaca betapa busuknya hati engkau.

Aku bersyukur kepada Allah kerana masih menghargai dan menyayangi aku. Kepada Chang, Nakagawa dan Satoi terima kasih kerana menjadi jauhari kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Apa-apapun aku tetap bersyukur dengan kenaikan pangkat walaupun hatiku telah lama terluka.

Tuesday 21 July 2009

Surat

Hari ini aku menerima 2 pucuk surat dari majikan yang berlainan isi kandungannya. Setiap tahun di bulan Julai ini kebiasaannya aku akan hanya menerima satu surat sahaja.

Surat 1. Surat ini adalah surat yang biasa aku dan pekerja-pekerja menerimanya setiap tahun. Antara isi kandungan tertulis seperti ini,

"Please be informed that with effect from July 1st, 2009, your salary will be adjusted as follows".

Isi kandungan seterusnya tidak boleh aku pamerkan kerana biarlah rahsia. Walaupun kenaikan gaji tahun ini amat sedikit dalam sejarah, namun aku terpaksa menerimanya.


Surat 2. Walaupun beberapa minggu lalu sudah mula diperkatakan tentang surat ini namun hari ini aku menerimanya secara rasmi. Antara isi kandungan tertulis di dalam surat ini adalah seperti ini ,

"We are pleased to inform you that you have been selected for promotion to the position of ............... with effect from July 1st, 2009.

Upon your promotion, your basic salary shall be adjusted as below with immediate effect."

Itulah sebahagian dari kandungan yang terdapat di dalam surat ini yang isi kandungan selebihnya hanya untuk tatapan aku seorang sahaja. Sebenarnya surat berbentuk seperti ini yang terakhir pernah aku terima 9 tahun yang lalu.

Monday 20 July 2009

Kenangan di ITM

Aku pasti setiap orang pasti ada kenangan tersendiri yang tidak akan dapat dilupakan. Kali ini aku ingin berkongsi cerita kenangan aku bersama kawan-kawan semasa menuntut di ITM. Aku tidak pasti samada secebis kenangan ini masih lagi bertahta di hati kawan-kawan. Apa-apapun aku ingin memohon maaf kerana mengembalikan kenangan ini tanpa izin dari kawan-kawan.

Muslim Othman (DSS). Aku pada mulanya memang tidak rapat dan tidak mengenali langsung beliau ini. Tapi entah tiba-tiba pada pada hari peperiksaan semester beliau mengetuk pintu bilik aku untuk meminjam jam tangan. Aku seperti macam dipukau terus memberi jam tangan tanpa bertanya. Namun itu adalah rahmat kerana sejak dari hari itu aku mulai rapat dan terus menjadi kawan yang paling baik sehingga hari ini. Walaupun ada ketika kami mempunyai pendapat yang berbeza namun ianya tidak pernah menjejaskan persahabatan kami.

Azmi Abu Bakar (DPA). Dikenali dengan gelaran Bilal kerana menjadi tukang azan semasa orientasi pelajar-pelajar baru. Sepanjang aku menuntut di ITM, beliau banyak membantu aku menunjukkan persekitaran jalan-jalan di Kuantan, Shah Alam dan Kuala Lumpur memandangkan aku langsung tidak memahami persekitaran ini. Kadangkala beliau menjadi rakan pembentangan kertas kerja. Semasa aku ingin mendaftarkan diri di ITM Shah Alam pada semester 5, beliau juga yang telah menumpangkan aku kereta keluarga beliau. Malah untuk ke kuliah di ITM Shah Alam aku juga menumpang motor beliau dengan berkongsi mengisi minyak. Walaupun hubungan kami rapat namun kadangkala beliau masih tidak memahami sikap aku.

Sidi (DPA). Rakan sekelas dan juga rakan sebilik semester 1 dan 2 yang dikenali dengan nama Che Dat. Aku pernah tersilap melihat jam semasa ingin bangun sahur di bulan puasa. Semasa aku sedang memasak air, beliau terus bangun dan bertanya aku buat apa. Aku terus tergamam bila beliau menunjukkan jam loceng kerana waktu imsak telah habis. Sepanjang hari aku asyik kena perli dengan beliau.

W.Mazlan (DPA). Rakan sekelas dan juga rakan sebilik semester 1 dan 2 serta rakan serumah semasa semester 3 yang dikenali sebagai Apek atau Lemberg. Dengan sikap dan wajah yang sering blur, kadangkala suka menyakat aku. Semasa aku memotong kek hari jadi ke 22 di semester 4 dengan pantas dia memegang tangan aku semasa rakan lain mengambil gambar. Nak tumpang sambut hari jadilah tu. Hehe. Namun dia tak berani menyakat aku di depan Sidi.

Hashim Rahim (DCS). Rakan sebilik semester 1 dan 2 yang berasal daripada Muar. Beliau dikenali dengan gelaran Inspektor kerana cara berpakaian. Kasut hitam sentiasa berkilat. Oleh kerana kejutan budaya, beliau telah menukar penampilan berpakaian dari memakai seluar slack kepada jeans. Maklum sahaja kerana aku, Apek dan Sidi memang memakai seluar jeans. Beliau juga menjadi seorang perokok kerana terpengaruh dan hasutan kawan-kawan.

Muliadi (DPA). Beliau lebih dikenali dengan gelaran Guru Besar atau DO kerana fizikal dan penampilan diri. Beliau adalah kawan baik aku dan kami sering bersama semasa di bilik kuliah dan sering menjadi rakan pembentangan kertas kerja. Jangan sesekali beliau dicabar kerana pasti beliau akan melakukannya. Walaupun kami berkawan baik, namun aku dengar khabar dia tidak begitu mengenali aku sekarang. Aku faham dengan keadaan ini kerana beliau sekarang pensyarah dan bakal begelar Professor di UUM pasti tidak layak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan aku.

Zambran Ismail (DBS). Aku mulai rapat dengan beliau semasa semester 3 kerana menjadi rakan sebilik. Beliau amat pendiam dan mempunyai ramai peminat wanita. Walaupun dia sering berkongsi masalah dengan aku, namun ada juga beberapa perkara yang dia akan cuba merahsiakan kerana katanya tidak tahan mendengar leteran aku. Aku pernah berleter apabila dapat tahu dia pergi dating waktu maghrib pada semester 4.


Khairudin Ismail (DBS). Aku juga mengenali dan mulai rapat dengan beliau di semester 3 apabila menjadi rakan sebilik. Kalau beliau rasa tidak puas hati dengan Zambran berkaitan sesuatu perkara maka beliau akan memberitahu aku dengan harapan aku akan menasihatkan Zambran. Entah macam mana suatu hari tetiba sahaja beliau boleh menceritakan kepada aku hal yang terlalu peribadi yang kini aku simpan hingga hari ini. Katanya, dia dapati peribadi aku amat berbeza dengan kawan-kawan lain di ITM dan kerana kesederhanaan aku yang membuatkan dia menjadikan aku sebagai idola selepas melihat kematian atuknya.

Hussain Moh (DPA). Beliau berasal dari Kota Tinggi dan dikenali dengan gelaran Birah dengan sikap romeo beliau. Beliau pernah menjadi rakan serumah aku semasa di semester 3. Sejak dari semester 1 hanya beliau sahaja yang berani minum seteguk air nescafe yang aku buat setiap malam walaupun aku belum lagi meminumnya. Walaupun kawan-kawan tidak nampak keakraban kami namun aku percaya ramai akan terkejut kalau aku katakan bahawa beliau sering mencari aku jika ingin berkongsi segala cerita termasuk hal-hal peribadi. Kalau beliau boleh menghidu air nescafe yang aku bancuh, begitu jugalah dia boleh menghidu aku walaupun aku bersembunyi di perpustakaan. Selagi aku tidak mendengar cerita beliau maka selagi itu juga dia akan mencari dan mengacau aku. Hehe...

Syed Sham (DSS). Beliau banyak membantu aku semasa aku menyiapkan tugasan pembentangan kertas kerja Bahasa Inggeris. Beliau juga yang membantu aku menaip menggunakan mesin taip elektrik. Selain daripada itu beliau pernah memilihkan aku tali leher semasa aku ingin membeli tali leher untuk kegunaan temuduga yang aku simpan hingga sekarang. Kata-kata beliau pada aku sehingga kini masihku pegang untuk dijadikan panduan kehidupan "Jangan kisah apa orang kata, hanya jadi diri sendiri".

Mohd. Nizam (DPA). Beliau dikenali dengan nama Selambe Jr. Suatu peristiwa di ITM Shah Alam di malam sambutan ulangtahun kemerdekaan semasa aku, Arash dan beliau masuk ke kedai 7 Eleven akan sentiasa menjadi kenangan iaitu ungkapan ayat "Kun or Cup". Aku dan Arash ketawa terbahak-bahak melihat gelagat beliau selepas keluar dari kedai 7 Eleven.

Mazlan Mokhtar (DBS). Aku tidak begitu rapat dengan pemilik nama gelaran Lan Kida tetapi beliau pernah juga berbual dengan aku kisah percintaan beliau dengan Anim yang telah pun menjadi isteri beliau yang sah. Apa yang pasti mereka mempunyai latarbelakang yang sama iaitu anak sulung dan nama adik beradik bermula dari huruf 'M". Beliau pernah memberitahu aku kenapa selepas SPM kami tidak terus sahaja memohon masuk ITM memandangkan kursus yang kami ikuti sebenarnya untuk lulusan SPM sedangkan aku ada sijil STPM dan beliau Sijil Politeknik.

Wan Rozain (DBS). Aku pernah jadi rakan sebilik beliau pada semester 4. Aku pernah terkunci di dalam bilik air lebih kurang 3 jam kerana gara-gara kami berebut bilik air. Beliau yang cuba bergurau dengan menguncikan aku dari luar tetapi beliau telah terlupa untuk membukanya. Aku pernah membonceng beliau menaiki basikal ke kuliah. Lenguh juga kaki aku duduk di belakang.

Ahmad Shakri (DIA). Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh rapat dengan beliau walaupun kami berlainan kursus dan bilik. Beliau agak sensitif dan kadangkala tidak begitu serious dalam beberpa perkara. Walau bagaimanapun gelagat beliau ini kadangkala membuat kumpulan kami sentiasa ceria. Beliau pernah membantu aku membawa beg yang mengandungi kasut kesatria sewaktu terserempak dengan aku di bandar Kuantan pada semester 2 untuk mendaftar. Namun begitu aku hanya dapat bersama beliau selama 3 semester sahaja.


Syed Hamid (DIA). Beliau tidaklah begitu rapat dengan aku tetapi pernah juga beliau meminjam beg yang aku selalu bawa ke kuliah untuk beliau balik ke kampung.


Shariff (DPA). Semasa aku dan kawan-kawan menziarahi kematian bapa Clark Gable tetiba sahaja aku diserang migrain dan beliau telah membantu memicit kepala aku dan menegur kenapa aku dan kawan-kawan lain tidak mengalas perut sebelum bertolak ke Temerloh. Ermm.. kepala brutal pun pandai merawat orang sakit. Hehe...


Hashim Idris (DPA). Oleh kerana beliau berasal dari Mersing maka beliau dikenali sebagai Pak Malau sempena watak di dalam filem Sri Mersing. Ada kawan-kawan rasa terkejut bagaimana aku boleh bersama beliau berjalan-jalan di Klang sehingga waktu Isyak. Aku tahu ramai yang tidak begitu selesa dengan beliau tetapi aku mengikut tradisi masuk kandang kambing mengembek. Walaupun beliau orang kuat tabligh namun beliau tidak pernah memaksa aku kerana kata beliau jika aku berminat pasti aku tahu hendak mencari beliau.

Abd. Rahman (DSS). Dikalangan pelajar DSS beliau dikenali sebagai Rahman DPA. Ini satu lagi kejutan kerana tidak ramai yang tahu aku agak rapat juga dengan beliau. Beliau selalu menceritakan segala masalah yang dihadapi dan sering meminta nasihat daripada aku.


Nor Huda (DPA). Beliau dikenali dengan gelaran Kuda. Sebenarnya aku pernah meraikan sambutan hari jadi bersama memandangkan hari jadi aku dengan beliau hanya selang sehari sahaja. Taman Gelora dan rojak ayam pernah menjadi saksi. Hehe...

Zuraida (DPA). Dikalangan pelajar lelaki beliau dikenali dengan gelaran Golden, manakala pelajar perempuan memanggil beliau Mummy. Aku pada mulanya hairan melihat beliau sering menggunakan sudu dan garpu sewaktu makan, tetapi bila aku mengenali beliau lebih rapat baru aku tahu tangan beliau alergi pada lada. Beliau pernah meminjam beg yang juga pernah dipinjam oleh Syed Hamid semasa beliau ada latihan komander Kesatria.

Rohani (DPA). Aku agak rapat dengan beliau kerana beliau adalah kawan baik dan serumah dengan kawan sekolah aku semasa tingkatan 6 iaitu Aspalila. Aku pernah meminta beliau menyanyikan lagu Francesca "Aku Hanya Pendatang" kerana aku ingin mendengar lagu tersebut bila mendapat tahu lagi ini menduduki carta pertama di radio.


Mohd. Niza (DPA). Oleh kerana beliau anak seorang VIP maka tentulah beliau popular dikalangan pensyarah dan staff ITM. Keluarga beliau pernah mengundang kami ke rumah untuk jamuan makan. Apa yang menariknya salah satu menu ialah Laksa Johor. Oleh kerana beliau mengetahui aku minat dengan kek lapis maka beliau sering memberi aku merasainya setiap kali mak beliau membuatnya.

Ini adalah sebahagian kenangan aku bersama-sama kawan-kawan di ITM. Andaikata nostalgia ini menyentuh peribadi, aku memohon ampun dan maaf. Aku tidak bermaksud untuk mengungkit atau mengaibkan sesiapa tetapi sesungguhnya inilah satu kenangan yang masih aku ingat. Kepada kawan-kawan terutama pelajar DPA yang tidak aku ceritakan di sini tidak bermakna aku melupakan kamu tetapi mungkin dikesempatan yang lain akan aku coretkan. Walaupun ada dikalangan kawan-kawan telah melupakan aku namun kalian sentiasa dalam ingatan aku seperti Kak Ita, Pendita, Mr T, Kham Beserah, Marina Che Puan, KC, Clark Gable, Jimmy, Antu, Muzafar, Man Rapu, Man Gelap, Helmy (Tengku), arwah Somprak, Rambo dan Arash.

Wednesday 15 July 2009

Followers - izharrashid

Sebaik sahaja membuka blog ini, aku terlihat di ruang "Followers" ada senarai nama baru iaitu "izharrashid". Aku tertanya-tanya siapakah pemilik nama izharrashid ini. Adakah pemilik nama ini begitu berminat dengan tulisan di dalam blog aku ini. Entahlah... kerana aku kurang pasti. Namun aku dapat rasakan izharrashid ini pasti budak Muar dan juga junior aku.

Oleh itu kepada pemilik nama izharrashid yang telah mengikuti blog aku bermula 11 Julai 2009 supaya dapat memperkenalkan diri dan meninggalkan pesanan. Andaikata beliau adalah junior aku pasti membuatkan aku gembira. Namun jika beliau bukan junior aku, maka ucapan terima kasih juga kerana masih sudi membaca blog aku ini.

Wednesday 8 July 2009

Institut Teknologi MARA

Julai 1985 aku melanjutkan pelajaranku di Institut Teknologi MARA (ITM) cawangan Pahang dalam kursus Diploma Pentadbiran Awam (DPA), Kajian Pentadbiran dan Undang-Undang. Kampus ITM Pahang terletak di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, Pahang.

Aku ditempatkan di bilik 3407, Blok C, Asrama Remaja selama dua semester. Kemudian di semester 3 aku ditempatkan di bilik 1402, Asrama Bukit Sekilau sebelum ditempatkan di bilik 2210 Blok B, Asrama Remaja, pada semester 4. Manakala di semester 5 dan 6 aku ditempatkan di bilik 6505 Asrama Delima 6, ITM Shah Alam.

ITM telah banyak mengubah kehidupan harianku. Aku yang selalu tidur awal dengan keadaan bilik yang gelap terpaksa mengubah tidur harianku dengan tidur lambat dan bilik yang terang. Aku juga terpaksa menghadapi asap rokok kerana dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang merokok. Selain daripada itu aku menyalin seluar jeans 2 hari sekali yang tidak pernah aku buat semasa di kampung kerana kebiasaannya aku akan menyalinnya setiap hari. Di ITM juga aku mengenali makanan yang dikenali sebagai nasi kawah, ikat jaket, telur raksaksa dan juga mee dawai. Setiap malam aku sering membancuh air nescafe yang akhirnya membuat aku rapat dengan seorang pelajar yang sering berkongsi segala cerita dan masalah beliau padaku. Manakala di ITM Shah Alam aku sering tidak menghadiri kelas matapelajaran Perhubungan Perusahaan kerana membosankan.

Adalah menjadi kebiasaanku semasa di ITM Pahang akan menjadi pelajar atau kumpulan pertama yang membuat perbentangan kertas kerja sewaktu kelas tutorial. Ini adalah kerana memudahkan aku melihat gelagat rakan-rakan pelajar samada mengkritik kertas kerja aku secara ikhlas ataupun ada perasaan hasad dengki. Ini pernah terjadi sewaktu pembentangan matapelajaran Ekonomi pada semester 4 ada pelajar yang menghasut Encik Shafie agar memberi markah '0' kepada kumpulan aku kerana gagal membuat pembentangan pada hari yang ditetapkan. Ianya berlaku kerana Encik Shafie telah meminta aku menerima seorang senior memasuki kumpulan aku tetapi senior tersebut disaat akhir senior tidak memberi kerjasama. Oleh kerana kemungkinan Encik Shafie merasa bersalah maka ia telah menangguhkan pembentangan kertas kerja apabila awal pagi aku menceritakan hal ini kepada beliau.

Aku bukanlah pelajar yang popular di ITM, namun ada juga beberapa aktiviti yang aku sertai. Aku pernah membuat persembahan di atas pentas Seni dan Budaya, Hari Terbuka ITM Pahang pada April 1986. Selain daripada itu pada semester 3 aku mewakili kursus DPA untuk pertandingan Kuiz Bahasa Malaysia. Manakala di semester 6 ITM Shah Alam kumpulan aku menjadi Johan Pertandingan Kuiz antara Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Asrama dan ITM 1988. Oleh kerana kesilapan teknik yang dilakukan oleh pihak juri menyebabkan aku menjadi peserta ke 5 markah tertinggi yang menyaksikan hanya 4 perserta terbaik mewakili Asrama Delima untuk bertanding ke peringkat seterusnya untuk mewakili ITM.

Di ITM Pahang pelajar semester 1 diwajibkan menyertai ko-kurikulum Kesatria kecuali yang ada masalah kesihatan. Ada juga pelajar yang mengkutuk aku lembik dan bongkok semasa latihan kawad tetapi terdiam dan menghormati aku apabila peperiksaan akhir kawad, aku memperolehi markah penuh '4 point' mengalahkan beliau. Aku sebenarnya dah biasa berkawad kerana semasa di sekolah aku adalah ahli Persatuan Bulan Sabit Merah. Manakala di semester 2 hingga 4 aku menyertai ko-kurikulum Penulisan yang pada peringkat permulaan ada sedikit kekecohan ko-kurikulum ini yang hampir dibatalkan sehingga di bawa kes ini ke pihak pentadbiran ITM. Aku berbangga sebab dapat berguru dengan penulis kewartawanan Pahang Encik Subari Ahmad.

Sebenarnya terlalu banyak kenangan yang tidak akan aku lupakan sebagai pelajar ITM yang banyak berjasa kepada aku. Dari Dewan Latihan pada November 1956 menjadi Maktab MARA pada 1965 sebelum bertukar nama kepada ITM pada 14 Oktober 1967. Pada tahun 1996 ITM dinaikkan taraf sebagai universiti namun secara rasminya nama ITM ditukarkan kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999.

Pada 16 Oktober 1988 adalah hari bersejarah buat diriku apabila menerima Diploma Pentadbiran Awam di hari Konvokesyen ITM ke 28 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Saturday 4 July 2009

Tawaran Belajar

Pelajar-pelajar baru sudah mula mendaftarkan diri di universiti atau pusat pengajian tinggi yang telah ditawarkan. Aku percaya bukan sahaja di minda pelajar-pelajar malah ibubapa pasti bercelaru antara suka, bangga, sedih dan berbagai-bagai lagi sebaik sahaja mereka atau anak-anak mereka menjejakkan kaki di menara gading. Ini juga mengimbau kenangan aku 24 tahun yang lalu sebaik sahaja ditawarkan melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi MARA (ITM) cawangan Pahang di dalam kursus Diploma Pentadbiran Awam (DPA).

Sebenarnya semenjak kecil lagi aku tidak pernah terfikir untuk melanjutkan pelajaran aku di ITM kerana tumpuan aku lebih kepada universiti. Tapi kata orang tak kenal maka tak cinta. Apa yang kita benci atau tidak suka itulah sebenarnya akan menjadi yang paling kita sayangi. Segala-galanya bermula apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) aku tidak memberangsangkan yang membuatkan aku memilih ITM atas galakan dari kawan baik abang aku yang ketika itu sedang menuntut di ITM Shah Alam dalam kursus Kejuruteraan.

Oleh kerana ITM bukan pilihan aku maka sudah pastilah aku langsung tidak terfikir untuk membeli borang kemasukan ke ITM sedangkan tarikh tutup hampir tamat. Kawan baik abang aku bernama Suhaimi yang bersusah payah membelikan dan poskan borang tersebut kepada aku dan menggalakkan aku memohon kursus Accountancy (DIA). Disaat-saat akhir aku memilih DPA sebagai pilihan pertama dan DIA sebagai pilihan kedua.

Aku sekali lagi di dalam dilema apabila mendapat tawaran belajar di ITM Pahang. Fikiran aku main berkecamuk sebab tempat yang ditawarkan begitu jauh iaitu di Kuantan Pahang. Aku hanya memikirkan macam mana aku hendak ke sana nanti dan begitu apabila hendak balik semula maklum sahaja tiada bas ekspress dari Muar ke Kuantan. Oleh kerana perasaan ego yang tinggi aku membuat keputusan enggan menerima tawaran tersebut. Tetapi setelah disedarkan oleh salah seorang jiran yang kebetulan pula anak beliau ditawarkan di tempat yang lebih jauh iaitu ITM Perlis membuat aku mengubah keputusan untuk menerima tawaran ITM Pahang kerana terpaksa.

Setelah aku memulakan langkah sebagai pelajar ITM Pahang aku mula membuang sikap ego aku. Aku mula merasa seronok dan bangga menjadi warga ITM. Asrama Remaja yang menjadi tempat penginapanku yang berdekatan dengan bandar dan kampus di Taman Gelora yang juga berdekatan Teluk Cempedak membuat aku seronok menjadi tetamu Kuantan, Pahang. Di ITM aku mula berkawan rapat dan mengenali kawan-kawan Melayu terutama orang-orang Pantai Timur. Di Pahang aku mula mengenali makanan masyarakat Pantai Timur iaitu keropok lekor dan sata. Walaupun hanya 2 tahun aku mengenali masyarakat Pantai Timur namun gaya percakapan aku mula berubah kepada lenggok atau slang Pantai Timur yang lebih ke arah Kelantan. Apa lebih melucukan sewaktu aku sambung belajar di ITM Shah Alam ada pelajar Kelantan sendiri fikir aku budak Kelantan.
Walaupun kini sudah 21 tahun aku menamatkan pelajaran di ITM, namun aku masih lagi terbayang saat pahit dan manis sepanjang 3 tahun menjadi pelajar ITM. Walaupun suatu ketika dahulu ITM hanya dikenali sebagai universiti kelas kedua tetapi kini ITM boleh berbangga kerana melahirkan ramai graduan bumiputera yang kini telah dinaikkan taraf sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjadi pilihan utama kebanyakkan pelajar lepasan sekolah.
Kini 3 orang anak saudara aku juga telah berjaya menamatkan pelajaran mereka di UiTM dalam kursus Perbankan, Komunikasi Massa dan Teknologi Pejabat. Aku berbangga kerana menerima tawaran belajar di ITM suatu ketika dahulu. Terima kasih ITM...