Tuesday 26 January 2010

Mulut Jahat

Hari ini si Mulut Jahat buat perangai lagi. Aku hairan kenapalah si Mulut Jahat ini masih tidak serik dengan perbuatan beliau yang lalu. Entah mengapa hari ini Mulut Jahat nak cari pasal dengan aku pula hanya sekadar tidak puas hati mengenai lontong. Perkara tersebut cuma kecil sahaja tetapi kalau memang dasar mulut jahat, pastilah beliau akan menjaja cerita dan membesarkan isu.

Sebenarnya ramai staf nampak aku makan lontong dan masing-masing berminat untuk mengirim aku membelinya. Oleh kerana aku baik dengan orang yang menjual lontong dan suami beliau pula bekerja sebagai pemandu di tempat aku berkerja maka aku menjadi orang tengah mengambil tempahan sebanyak 15 bungkus lontong. Namun begitu aku dapat maklumat dari pemandu ada penambahan beberapa bungkus termasuklah milik si Mulut Jahat ini. Ala... si Mulut Jahat ini memang banyak cikadak sebab aku dengar lontong untuk dia percuma. Oleh kerana aku telah mengambil tempahan sebanyak 15 bungkus, maka aku kena pastikan bahawa tiada seorang pun di antara kami tidak dapat memakannya. Ini adalah kerana aku ada mendengar sedikit kekecohan kuantiti penambahan lontong tanpa pengetahuan aku. Oleh kerana memang beliau bermulut jahat maka pasti dia tidak puas hati dengan aku. Hello.. cik kak mulut jahat, 15 bungkus lontong tu berbayar tau dan bukan makan percuma macam kau.

Sebelum ini si Mulut Jahat pernah bergaduh dengan ramai staff sebab suka menjaja cerita. Contohnya dia akan menceritakan keburukan si A kepada si B tetapi apabila dia berjumpa si A dia akan beritahu si B mengata si A walaupun si B tiada mengeluarkan kata-kata. Ada seketika dahulu si Mulut Jahat kena panggil dengan pihak Ketua Jabatan Personnel, seorang Ketua dari jabatan lain dan beberapa staff kerana mulut jahatnya. Apa yang paling menarik dia boleh memandai buat terjemahan dan pemahaman sendiri dari bahasa Cina ke bahasa Melayu. Kalau terjemahan itu betul tidak mengapa tetapi dasar mulut jahat maka terlebih sudu dari kuah. Si Mulut Jahat menangis dan bertaubat hendak berubah. Tetapi memang dah mulut jahat, dia tetapi mengadakan cerita yang tidak betul. Itu sebab dia dikenali sebagai Mulut Jahat sehingga hari ini.

Apa yang lebih menarik ada seorang staf bernazar kalau si Mulut Jahat ini berhenti kerja beliau hendak membuat pulut kuning. Ermmm... bila ek si Mulut Jahat ini hendak berhenti kerja supaya dapat kami makan pulut kuning percuma. Hehe....

Thursday 21 January 2010

Teruja Reunion ITM Pahang

Selepas sembahyang dan membaca surah Yassin aku menelefon Muslim kerana terdengar dan melihat "missed call" pada telefon bimbit. Topik utama yang kami berbual mengenai reunion ITM Pahang batch tahun 1985 yang akan diadakan pada 29hb Mei 2010.

Dari perbualan kami, rupanya Muslim dilantik sebagai wakil DSS batch Julai'85. Selain daripada itu perancangan AJK ialah untuk mengabadikan gambar dahulu dan sekarang bekas pelajar-pelajar ITM Pahang tahun 1985. Aku beritahu pada Muslim bahawa aku begitu teruja untuk menghadiri reunion tersebut tetapi aku menghadapi masalah pasal kerja. Aku bukanlah untuk mencari alasan tetapi memandangkan pada awal bulan dan hujung bulan aku memang terlalu sibuk. Alangkah seronok kalau mereka buat reunion tersebut seminggu sebelum ataupun selepas dari tarikh tersebut. Tapi siapalah aku untuk meminta mereka mengubah tarikh tersebut.

Muslim pada mulanya tidak begitu pasti menghadirinya tetapi bila aku beritahu aku teruja untuk menghadiri tetapi cuma masalah bebanan kerja, maka beliau rasa teruja untuk hadir dan menyuruh aku fikir dahulu dan beritahu beliau keputusan tersebut. Kami membuat perancangan untuk pergi bersama memandangkan rumah anak saudara aku dan rumah beliau bersebelahan taman atau landasan LRT. Apa yang pasti aku mungkin tidak bermalam di asrama UiTM Shah Alam sebagai tempat penginapan memandangkan aku harus bergegas pulang awal ke JB pada keesokkannya.

InsyaAllah aku akan cuba menyusun jadual kerja dan terpaksa berkorban sedikit masa dan tenaga untuk memastikan semua kerja ofis selesai agar dapat menghadiri reunion ITM Pahang batch tahun 1985 sempena ulangtahun penubuhan ITM Pahang ke 25.

Saturday 16 January 2010

Komen Dari Alam

Entah mengapa aku tetiba tergerak hati untuk membaca semula artikel lama yang aku tulis di dalam blog ini. Namun begitu antara artikel tersebut aku amat tertarik dengan artikel yang aku tulis pada 4 Februari 2009 bertajuk "Alam's Story". Aku terlihat ada komen baru oleh pembaca blog ini seperti ini.....


Alam said...
HYehyehye...Alam ni...heheh thks sbb ada cite psl alam..niway add me facebook under Alam Sytycd k..!c u there...
16 December 2009 04:28


Aku amat terkejut dengan komen tersebut. Adakah aku bermimpi? Tetapi kenyataannya ada secebis catatan atau komen dari seseorang yang telah menjadi bahan tulisan aku di dalam artikel "Alam's Story" iaitu Muhammad Haslam Abdul Rahman atau dikenali sebagai Alam.


Kepada Alam, aku ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi membaca dan memberi komen di dalam blog aku walaupun kemungkinan hanya artikel tersebut sahaja yang beliau baca.


Aku berharap suatu hari nanti aku berpeluang berjumpa Alam dan bolehlah aku jadi wartawan tidak bertauliah. Hehe... Apa-apapun aku berbangga dengan anak Muar ini yang memiliki nama Muhammad Haslam atau Alam yang pernah memenangi pertandingan tarian 2007 "So You Think You Can Dance". Good Luck Alam and thank you...

Friday 15 January 2010

Budaya Pengampu

Hari ini aku berkesempatan berbual kosong dengan salah seorang 'Department Head' atau 'Department Division' untuk bertanya mengenai penilaian seseorang ketua memberi gred bonus kepada pekerja-pekerja. Sebelum ini berbagai-bagai andaian dan penerangan yang dibuat oleh pekerja sendiri berkaitan hal ini. Kini barulah aku tahu bahawa penilaian gred telah ditetapkan berdasarkan kepada peratusan setiap gred tersebut. Ini bermakna andaikata sesuatu jabatan iaitu mempunya 4 staf maka setiap seorang akan diberi gred A. B, C dan D.

Aku sendiri tidak faham sistem apakah yang telah digunakan oleh pihak syarikat di dalam penilaian gred seseorang pekerja untuk kenaikan gaji atau pemberian bonus. Adakah ini budaya masyarakat Jepun? Entahlah. Kalau beginilah budaya masyarakat Jepun, patutlah masyarakat Jepun berkerja bermatian-matian dan akhirnya ramai yang membunuh diri kerana terlalu kecewa apabila gagal mencapai impian. Oleh itu juga akan wujudnya budaya pengampu di dalam masyarakat Malaysia.

Memang diakui budaya pengampu di Malaysia telah lama wujud termasuk di tempat aku bekerja walaupun tidak begitu meluas. Tetapi kalau begini sistem yang diwujudkan oleh pihak pengurusan, aku percaya mulai saat ini pasti budaya pengampu oleh semua pekerja akan berleluasa. Jadi apa maknanya falsafah syarikat yang dibaca setiap hari. Apa gunanya amanat yang disampaikan oleh MD pada awal tahun baru. Pada pendapat aku lebih baik pekerja-pekerja diberi falsafah syarikat yang baru iaitu pekerja-pekerja dikehendaki mengampu ketua jabatan untuk memastikan dapat ganjaran yang lumayan.

Oleh itu kepada rakan-rakan sekerja mulai saat ini jangan terlalu kecewa andaikata anda bagus dan rajin bekerja tetapi masih diberi gred D kerana yang pastinya anda telah gagal mengampu ketua jabatan. Namun begitu anda boleh berbangga andaikata kedatangan kerja tidak memuaskan dan kerja pula tidak efektif, tetapi boleh mendapat gred A kerana anda berjaya mengampu ketua jabatan. Inilah falsafah baru syarikat iaitu mesti mengamalkan budaya pengampu.

Wednesday 13 January 2010

Mulut Longkang

Semenjak akhir-akhir ini terlalu ramai kehadiran pekerja-pekerja baru untuk memenuhi pelbagai jawatan di tempat aku bekerja. Namun apa yang ingin aku tuliskan ialah ada dikalangan pekerja-pekerja baru yang aku boleh katogeri sebagai pekerja yang berlagak, mengampu dan berbagai-bagai lagi.

Aku sebenarnya ingin bercerita perihal seorang pekerja baru yang kelihatan bersopan-santun atau kata orang kalau pijak semut pun tak mati. Sesekali kita pandang kira sempurna walaupun 'Nobody Is Perfect'. Aku kata ni pun sebab aku pandang dari sudut latarbelakang keluarga, tuturkata, cara berjalan dan macam-macam lagi. Tetapi rupanya aku silap pandang disebabkan aku ini kemungkinan terlalu jujur kepada orang walaupun sesekali mulut aku ni laser. Aku kalau laser pun pada bertempat.

Aku dengar khabar pekerja baru ini tidak boleh dipercayai. Sebelum itu aku pernah juga terdengar ada pekerja lain komplain kononnya pekerja baru itu nampak macam sombong. Itu tak kisahlah sebab mungkin dia itu budak baru dan belum mengenali ramai orang. Tetapi apa yang aku dengar sekarang pekerja baru ini boleh tahan cakap besar, mulut pun boleh tahan laser, pandai mengampu, suka mengutuk pekerja-pekerja lama, suka juga kepoh dan berbagai-bagai lagi. Alamak... janganlah kau fikir kau dari keluarga yang berada atau baik boleh buat sesuka hati. Kalau nak rasa bagaimana kena pulau dengan pekerja lama, maka amalkan perbuatan kau itu.

Adalah menjadi kebiasaan pekerja-pekerja lama ini suka sangat mengelar atau menamakan seseorang atau pekerja baru yang suka membuat onak. Mereka hendak memanggil gelaran Mulut Jahat 2 atau MJ2, tetapi aku rasa gelaran paling sesuai untuk pekerja baru ini adalah Mulut Longkang.

Monday 11 January 2010

Urusan Semasa Cuti

Hari ini aku mengambil cuti tahunan. Oleh itu cuti hari ini aku mengambil keputusan untuk melakukan beberapa perkara yang memang sukar hendak dilakukan pada hari Sabtu dan Ahad.

Lebih kurang jam 8.30 pagi aku ke pejabat pos berdekatan untuk kemaskinikan buku pelaburan ASB dan juga menambahkan sedikit pelaburan. Ala....kalau tak cuti memang jangan harap lah nak menambah pelaburan. Hehe...

Kemudian ke Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membayar cukai harta. MBJB sudah ada perubahan kerana mendapat bangunan baru untuk membayar cukai. Tapi penat aku menunggu giliran nombor dipanggil, staf di kaunter 4 boleh sewenang-wenangnya mengizinkan 3 pembayar cukai iaitu seorang nyonya, lelaki India dan Ah Mooi membayar bil tanpa perlu menunggu nombor giliran. Aku berkata di dalam hati kalau lepas ini staf tersebut masih bersikap demikian pasti aku akan jerit seperti yang pernah aku buat kepada Pejabat Pos suatu ketika dahulu. Namun tidak sempat untuk aku memerhatikan nombor giliran aku dipanggil di kaunter 4. Ermmm... kedekut sebab tidak dapat cenderahati seperti tahun-tahun sebelumnya tetapi kenapa di kaunter lain aku nampak pembayar cukai dapat kelendar kecil.

Selepas itu ke OCBC Bank sebab bimbang kalau tiada berurusan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun akaun bank akan disekat. Ini pernah terjadi pada aku tahun lepas.

Setelah urusan OCBC bank selesai aku terus ke Bank Simpanan Nasional (BSN). Semenjak BSN tidak buka pada hari Sabtu, aku juga tidak berurusan di kaunter sehingga baru hari ini aku tahu BSN sudah bertukar warna pakaian seragam. Huhu...

Apabila semua urusan selesai perut aku terasa lapar memandangkan sejak dari pagi aku tidak menjamah apa-apa makanan. Aku pun mengambil peluang balun makan tengahari di tempat yang biasa aku makan suatu ketika dulu. Setelah perut kenyang dan badan letih aku pun mengambil kesempatan untuk berehat semasa cuti ini. Apa lagi aku pun zzzzzz........

Sunday 10 January 2010

Arwah Abah - 30 Tahun

Semalam genap 30 tahun arwah abah meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Ketika itu aku masih lagi menuntut di tingkatan 3. Aku amat terasa kehilangannya kerana semenjak dari itu aku menjadi anak yatim.

Arwah abah adalah bekas seorang anggota polis berpangkat sarjan. Arwah abah boleh dikatakan bersifat bengis dan tegas memandangkan jawatan beliau sebagai Ketua Polis Balai. Walau bagaimanapun arwah abah tidak pernah menyekat kebebasan anak-anak asalkan kami tahu batas-batas apabila melakukan sesuatu perkara. Oleh itu segala tindak-tanduk kami adik beradik di luar selalu berfikir panjang kerana tidak mahu menerima kesan akibat dari kesalahan kami sendiri.

Walaupun arwah abah seorang yang garang namun tanggungjawab dan kebajikan keluarga tidak pernah diabaikan. Arwah abah sungguh menyayangi keluarga dan sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagian dan kesenangan keluarga. Aku masih ingat lagi semasa kecil aku suka mengikut arwah abah ke surau dan apabila ada jamuan makanan arwah akan memberi bahagian makanannya kepada aku. Arwah abah sanggup tidak makan makanan tersebut untuk memastikan aku kenyang dan gembira.

Selain daripada itu arwah abah juga menitikberatkan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Arwah abah akan memastikan anak-anaknya mendapatkan pendidikan sekolah agama. Selain daripada arwah emak, arwah abah juga mengajar mengaji kepada anak-anak jiran di kampung dan aku adalah salah seorang anak murid mereka. Arwah abah dan arwah emak pada mulanya hanya mengajar anak-anaknya mengaji tetapi jiran tertangga pula meminta arwah emak dan abah mengajar anak-anak mereka mengaji. Tetapi macam biasalah arwah abah memang garang mengajar mengaji. Namun begitu ramai juga anak-anak muridnya mewakili sekolah dalam pertandingan musabaqah Al-Quran dan ada dua orang anak muridnya pernah menduduki Johan dan Naib Johan Musabaqah Al-Quran di kampung.


Walaupun setelah 30 tahun arwah abah meninggalkan aku, namun segala memori aku semasa kecil bersama arwah abah akan aku pahatkan di dalam saubariku. Aku tidak akan melupakan arwah abah kerana setiap bulan apabila aku pulang ke kampung pasti tempat yang aku aku tuju dan ziarahi adalah pusara arwah abah. Walaupun aku sedih dan terkilan semasa aku memperolehi Diploma ITM arwah abah tiada di sisi, namun aku percaya arwah abah pasti berbangga dengan aku.

Al-Fatihah buat arwah abah Allahyarham Mahamood bin Saat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

Friday 8 January 2010

Tension....

Tension........ Itulah ungkapan yang dapat aku katakan hari ini. Semalam kena kerja lebih masa sebab 'Stock Report' ada masalah. Data Stock Report sentiasa sahaja berubah dari semasa ke semasa setiap kali mendapat maklumat terkini.

Giant mengamuk lagi. Mesyuarat diadakan untuk menyelesaikan masalah. Apa yang paling aku tension dan sakit hati ialah setiap kali stock yang mempunyai masalah pasti jabatan Accounts akan jadi sasaran kemarahan. MD terpaksa turun padang untuk melihat data-data dan laporan setiap jabatan. Akhirnya beberapa kesalahan laporan data dari jabatan Production dapat dikesan. Maka setiap kali masalah timbul pasti pihak pengurusan berangan buat sistem baru tetapi masalahnya kedekut mengeluarkan bajet. Habis tu macam mana...

Si Giant pula asyik hendak melatah bila keadaan ini timbul dan akan emel kepada Ketua Jabatan untuk tutup kilang. Kelakar betul aku tengok perangai si Giant ni sebab tidak serik kerana perbuatan beliau pernah di tegur oleh pihak HQ di Jepun. Sebenarnya Giant ni gila kuasa. Aku rasa sia-sia sahaja setiap hari membaca falsafah syarikat kalau si Giant sendiri tidak pernah mengamalkannya.

Aku berharap selepas bulan Mac ini nanti si Giant akan balik ke Jepun dan tidak perlu datang kembali ke Malaysia. Buat menyemak aje dan tidak perlu aku hendak tension.....

Thursday 7 January 2010

Bonus 2009

Ada yang merasa gembira, ada yang biasa sahaja, ada yang muram dan ada juga yang menangis pada hari ini. Inilah realiti suasana yang terjadi hari ini disebabkan mendapat bonus 2009. Apakah nilaian ketua jabatan atau pihak pengurusan berdasarkan kepada prestasi pekerja sepanjang tahun 2009 ataupun mengikut mood atau perasaan seseorang ketua jabatan. Apa-apapun sebagai pekerja yang makan gaji kita terpaksa menerima pernilaian ketua jabatan walaupun kadangkala ada perkara yang boleh dipertikaikan.

Kali ini pemberian bonus gred A = 2.0, gred B = 1.4, gred C = 1.1 dan gred D = 0.5 iaitu gred yang lebih baik dari sebelumnya.

Walau bagaimanapun ada juga mereka yang tidak dapat bonus walaupun telah berkhidmat lebih kurang 5 bulan kerana jawatan belum disahkan. Namun begitu ada yang lebih malang setelah berahun-tahun bekerja tetapi tidak dapat bonus 2009 disebabkan kebodohan diri sendiri dan kebodohan ketua jabatan. Inilah akibatnya kalau pekerja jujur tidak bertempat dan mendapat seorang ketua jabatan di dalam kelompok lurus bendul atau lebih tepat aku katakan bodoh dan bingai.

Apa-apapun aku tetap bersyukur dengan mendapat bonus 2009 ini kerana maklum sahajalah aku setiap tahun pasti jadi pekerja contoh. Huhuhu..... sahaja untuk menyedapkan hati.

Wednesday 6 January 2010

Rombakan Kabinet

Hari ini berlaku rombakan kabinet. Hehe... jangan salah sangka ya sebab ini bukan rombakan kabinet Malaysia tetapi rombakan kabinet di jabatan Accounts. Beberapa persoalan tentang kedatangan 2 staf baru semalam terlerai sedikit walaupun ada beberapa perkara masih bermain di dalam fikiranku. Akhirnya Ketua Jabatan mengumumkan secara resmi bahawa 2 orang staf lama iaitu seorang 'senior staff' dan seorang 'junior staff' akan dan telah ditukarkan ke jabatan lain.

Apakah dengan rombakan kabinet ini akan memantapkan keadaan di jabatan Accounts atau akan lebih menghancurkan. Aku malas nak memikirkan kerana bagiku sebagai orang yang bekerja makan gaji kena menerima apa sahaja perubahan yang dibawa atau diarahkan oleh pihak pengurusan. Walaupun ada berlaku rombakan staf dan tanggungjawab kerja di jabatan Accounts, namun yang pasti aku masih berada di kabinet jabatan Accounts dan masih menjalankan kerja terdahulu.

Tuesday 5 January 2010

Siapa Yang Kena....

Hari ini Managing Director (MD) membuat perjumpaan serta memberi sedikit taklimat kepada semua 'Senior Staff' sempena tahun baru 2010. Ada beberapa perkara yang disampaikan oleh MD termasuk rasa kekecewaan terhadap produk model E41 yang terpaksa membuat 'rework'. Oleh kerana kualiti yang agak teruk maka lebih kurang 8 orang Jepun akan datang berkhidmat untuk memulihkan keadaan. Aku hanya mampu tersenyum kerana persoalannya adakah 8 orang Jepun ini akan menjadi operator untuk memastikan kualiti terjamin. Pada pandangan aku semua ini kesilapan pihak pengurusan kerana mengambil operator kontrak yang tiada kualiti yang setiap hari ada sahaja yang keluar masuk. Selain daripada itu pihak pengurusan memberi saguhati untuk memastikan pengeluaran mencapai sasaran tetapi pada masa yang sama terleka tentang kualiti. Jadi sekarang siapa yang kena.

Hari ini juga satu kejutan berlaku di Jabatan Accounts kerana tanpa disangka ada seorang staf telah ditukarkan ke jabatan lain. Aku tidak tahu alasan sebenarnya kerana kalau lima orang yang aku tanya maka lima jawapan berlainan yang aku perolehi. Namun begitu di sebalik berita ini jabatan Accounts telah menerima kemasukan dua lagi staf baru. Ini membuatkan aku rasa semakin pelik dan tertanya-tanya apakah ada rombakan staf di jabatan Accounts. Apakah yang akan terjadi kepada staf lama yang lain memandangkan seorang telahpun ditukarkan pada hari ini. Apakah ada permainan politik di jabatan Accounts? Tunggu dan lihat siapa yang kena.

Friday 1 January 2010

Tahun 2010

Apakah azam kita di tahun baru 2010? Aku pasti ramai yang akan menanamkan berbagai azam di tahun baru 2010. Tahniah kepada mereka yang selalu membuat azam tapi tidak melaksanakan. Kalau gagal laksanakan mungkin boleh diterima juga tetapi kalau sekadar cakap azam tahun baru tapi tidak usahakan maka lupakan sahaja. Itu sebab aku malas nak buat azam sebab sama sahaja. Hehe...

Aku berharap dengan munculnya 1 Januari 2010 bersamaan 15 Muharam 1431 yang jatuhnya pada hari Jumaat akan memberi sinaran dan kebahagiaan buat aku. Walaupun di tahun 2009 aku mendapat berita gembira tentang kenaikan pangkat, namun disebalik itu aku sedih kerana tercetus sedikit kontroversi. Tapi peduli apa aku.

Kini di tahun 2010 aku perlu berhati-hati dengan orang di sekeliling aku terutama di tempat kerja. Ini kerana bukan sahaja ada yang talam dua muka malah ada talam yang banyak muka. Ermm... macam mana tu. Hehe...

Aku dengar khabar di tempat kerja akan berlaku banyak perubahan terutama tentang staf yang ada. Apa yang aku pasti pada minggu depan ada staf baru memulakan kerja di Jabatan Accounts. Persoalannya apa yang akan terjadi dengan staf lama yang ada itu. Apakah ada di antara kami akan ditukarkan ke jabatan lain atau masih kekal di situ. Apa-apapun sikap aku yang terlalu ramah dengan staf baru perlu aku kurangkan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Alamak, ini macam azam tahun 2010 pula. Hehe...

Apa-apapun kepada semua rakan dan pembaca blog ini aku ingin mengucapkan terima kasih dan Selamat Tahun Baru 2010.