Semalam genap 30 tahun arwah abah meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Ketika itu aku masih lagi menuntut di tingkatan 3. Aku amat terasa kehilangannya kerana semenjak dari itu aku menjadi anak yatim.
Arwah abah adalah bekas seorang anggota polis berpangkat sarjan. Arwah abah boleh dikatakan bersifat bengis dan tegas memandangkan jawatan beliau sebagai Ketua Polis Balai. Walau bagaimanapun arwah abah tidak pernah menyekat kebebasan anak-anak asalkan kami tahu batas-batas apabila melakukan sesuatu perkara. Oleh itu segala tindak-tanduk kami adik beradik di luar selalu berfikir panjang kerana tidak mahu menerima kesan akibat dari kesalahan kami sendiri.
Walaupun arwah abah seorang yang garang namun tanggungjawab dan kebajikan keluarga tidak pernah diabaikan. Arwah abah sungguh menyayangi keluarga dan sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagian dan kesenangan keluarga. Aku masih ingat lagi semasa kecil aku suka mengikut arwah abah ke surau dan apabila ada jamuan makanan arwah akan memberi bahagian makanannya kepada aku. Arwah abah sanggup tidak makan makanan tersebut untuk memastikan aku kenyang dan gembira.
Selain daripada itu arwah abah juga menitikberatkan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Arwah abah akan memastikan anak-anaknya mendapatkan pendidikan sekolah agama. Selain daripada arwah emak, arwah abah juga mengajar mengaji kepada anak-anak jiran di kampung dan aku adalah salah seorang anak murid mereka. Arwah abah dan arwah emak pada mulanya hanya mengajar anak-anaknya mengaji tetapi jiran tertangga pula meminta arwah emak dan abah mengajar anak-anak mereka mengaji. Tetapi macam biasalah arwah abah memang garang mengajar mengaji. Namun begitu ramai juga anak-anak muridnya mewakili sekolah dalam pertandingan musabaqah Al-Quran dan ada dua orang anak muridnya pernah menduduki Johan dan Naib Johan Musabaqah Al-Quran di kampung.
Walaupun setelah 30 tahun arwah abah meninggalkan aku, namun segala memori aku semasa kecil bersama arwah abah akan aku pahatkan di dalam saubariku. Aku tidak akan melupakan arwah abah kerana setiap bulan apabila aku pulang ke kampung pasti tempat yang aku aku tuju dan ziarahi adalah pusara arwah abah. Walaupun aku sedih dan terkilan semasa aku memperolehi Diploma ITM arwah abah tiada di sisi, namun aku percaya arwah abah pasti berbangga dengan aku.
Al-Fatihah buat arwah abah Allahyarham Mahamood bin Saat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.
No comments:
Post a Comment