Sunday 25 October 2009

4th AGM 2009

Hari ini kawasan perumahan tempat aku tinggal mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) yang baru. Adalah menjadi kebiasaan seperti setiap tahun sambutan penduduk pasti dingin. Aku sendiri tidak tahu mengapa perkara seperti ini sering berlaku terutama kepada penghuni Melayu. Apabila pihak pengurusan membuat peraturan baru atau menaikkan yuran penyelenggaraan mulalah masing-masing merungut. Tetapi apabila ada kesempatan untuk menyuarakan pendapat atau tidak puas hati melalui perjumpaan yang diadakan masing-masing enggan hadir.

Sebenarnya sudah kerap kali mereka ingin melantik aku menjadi AJK tetapi aku sering menolak dengan cara yang baik. Tetapi kali ini aku bersetuju untuk menjadi AJK dengan harapan aku dapat memberi beberapa pandangan dan sekaligus untuk melihat apa sebenarnya yang dilakukan oleh AJK sebelum ini. Walaupun ada penambahan 5 orang AJK namun yang pasti 9 orang lama masih lagi dikekalkan dengan jawatan terdahulu. Nampak gayanya pi mai pi mai tang tu juga.

Mesyuarat kali ini agak tegang juga memandangkan ada beberapa orang yang tidak berpuashati dengan corak pentadbiran AJK terdahulu. Apa yang pasti aku dan beberapa orang penduduk kaum Melayu yang sebelum tidak pernah hadir telah membuat satu strategi tentang pemilihan AJK namun tidak berjaya memandangkan kurang sokongan. Tetapi sekurang-kurangnya ada 3 orang Melayu berjaya menjawat jawatan AJK termasuk aku.

Apakah dengan kehadiran 3 orang AJK baru yang bermulut laser atau bukan jenis pak turut akan mampu mengubah corak pentadbiran sebelum ni? Apa-apapun tunggu dan lihat...

Thursday 22 October 2009

Arwah Heidi - 16 Tahun

Hari ini genap 16 tahun anak saudaraku yang sulung Azur Heidi menyahut panggilan Illahi. Pemergian arwah Heidi kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya dalam usia 18 tahun memberi kesan yang amat mendalam kepada kami sekeluarga.

Aku pada mulanya sukar untuk menerima hakikat ini kerana apa sahaja yang aku lakukan ataupun makan akan membuat aku terbayang pada arwah Heidi. Ini adalah kerana ada beberapa perkara yang kami mempunyai persamaan. Kami berkongsi tarikh kelahiran yang sama iaitu 23 hb tetapi cuma berbeza bulan iaitu arwah Heidi bulan Mac dan aku pula bulan April. Aku masih ingat semasa aku menyambut ulangtahun kelahiranku yang ke 10, arwah Heidi berusia sebulan.

Oleh kerana aku dan arwah Heidi sangat meminati kek krim membuat aku agak lama tidak menjamah makanan kegemaran aku ini. Ini adalah kerana setiap kali aku memakan kek tersebut pasti aku akan terbayang gelagat arwah Heidi yang suka menaburkan cip coklat di atas kek krim tersebut untuk dimakan. Selain daripada itu sate dan burger juga terpaksa aku lupakan kerana arwah Heidi pernah membuat kerja 'part time' membakar sate dan membuat burger. Setelah aku boleh menerima hakikat pemergian arwah Heidi barulah aku boleh menjamah makanan tersebut.

Arwah Heidi meninggal dunia pada malam Jumaat dan Allah telah kabulkan permintaan beliau agar dapat meninggal dunia pada malam Jumaat.

Al-Fatihah buat arwah anak saudaraku Azur Heidi bin Mahat semoga dicucuri rahmat.

Monday 19 October 2009

Made In Sabah

Ini adalah pasangan kembar berasal dari Sabah. Gambar ini diambil di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru semasa pasangan kembar ini berkunjung ke Johor Bahru. Lelaki yang memakai t-shirt warna gelap atau hitam itu adalah abang bernama Shidi dan seorang lagi adik kembar iaitu Subri. Walaupun mereka ini kembar namun si adik iaitu Subri perangainya nakal sedikit dan suka loyar buruk. Ala... maklum sahaja remaja yang sedang meningkat usia. Hehe...

Aku sebenarnya hanya mengenali Subri kerana beliau pernah bekerja di tempat aku bekerja tetapi di Jabatan Store. Ada sesetengah pekerja memang tidak boleh menerima perangainya yang kadangkala mengeluarkan perkataan tidak bertapis. Tetapi berlainan aku yang menerima Subri ini seadanya. Walaupun Subri ini kadangkala agak nakal dan suka cakap merapu namun beliau amat menghormati aku. Aku suka mengusik Subri apabila beliau ingin menuntut pembayaran "Medical Fee" daripada aku. Apabila Subri menelefon untuk bertanya perkara ini aku akan berpesan "kalau dah tak de duit baru datang jumpa abang". Aku hanya mampu tersenyum apabila melihat gelagat beliau menunjukkan beg duit. Aku langsung tidak berniat untuk menghina beliau, tetapi tujuan aku sekadar untuk melatih beliau agar berjimat. Terima kasih Subri kerana sebagai seorang adik yang amat memahami niat murni abang.

Subri kini telah balik ke kampung halaman di Sabah. Aku bersyukur kerana kehidupan beliau sudah mula teratur kerana beliau telah berkhidmat dengan agensi kerajaan dan dapat berkumpul dengan keluarga terutama abang kembar beliau, Shidi. Namun begitu aku amat merindui perangai beliau yang nakal, suka loyar buruk dan sesekali menyakat aku. Aku hanya mampu berdoa dari jauh untuk kesejahteraan, kebahagiaan dan keselamatan pasangan kembar "Made In Sabah".

Wednesday 14 October 2009

Selipar

Entah kenapa semasa aku hendak cepat keluar dari surau tempat kerja aku boleh tersalah memakai selipar. Aku sebenarnya tidak terfikir selain daripada aku, rupanya ada juga pekerja lain yang mempunyai selipar yang hampir sama. Apa hendak dikatakan sebab semuanya tidak disengajakan. Huhu...


Sebenarnya menjadi kebiasaannya bila pergi sembahyang aku akan memakai selipar bagi memudahkan mengambil air sembahyang. Jadi aku tak kisah semasa aku tengah sembahyang pekerja lain meminjam untuk mengambil air sembahyang. Maka macam biasa aku akan menunggu sebentar jika aku selesai sembahyang selipar aku tiada di depan pintu surau. Tetapi hari ini ianya berlaku seperti hari biasa, namun bezanya kerana aku hendak cepat tanpa melihat selipar itu kerana amat yakin itu adalah selipar aku walaupun aku macam rasa janggal sebaik sahaja aku memakai selipar tersebut.

Aku hanya tersedar sebaik sahaja aku sampai ke pejabat dan hendak memakai kasut. Aku berharap akan dapat menemui kembali semula selipar aku. Aku rasa tak selesa memakai selipar milik orang lain. Aku rasa bersalah pula di dalam hal ini walaupun semuanya bukan disengajakan.

Monday 12 October 2009

Pekerja Kontrak

Sejak kebelakangan ini perkerja di tempat aku mulai dipenuhi oleh pekerja kontrak dikalangan operator samada lelaki atau perempuan. Setiap hari ada sahaja pekerja baru yang masuk dengan pelbagai gaya dan ragam. Ada yang aku perhatikan memang serious untuk bekerja dan tidak mengabaikan hal ibadat, namun ada juga di kalangan mereka yang aku lihat lebih kepada untuk berseronok maklum sahaja kilang elektronik dimonopoli dengan operator perempuan.

Tadi semasa aku ke kantin waktu rehat petang aku terdengar salah seorang pekerja kontrak lelaki bertanya harga makanan pada salah seorang pekerja kantin. Aku begitu sayu apabila melihat keadaan ini. Maklum sahaja mereka baru hendak memulakan alam pekerjaan pasti tidak mencukupi wang. Adalah lebih baik bertanya harga makanan sebelum mengambil dan membawa ke kaunter, manalah tahu kalau harga melebihi dari wang yang ada di dalam kocek seluar.

Aku pada mulanya hendak sahaja bersuara supaya budak itu mengambil sahaja makanan dan aku membayarkan. Tetapi bila kenangkan kembali sesetengah orang yang sering lupa diri dan kurang ajar setelah aku membantu membuat aku mendiamkan diri. Aku bukanlah hendak mengungkit kepada orang yang aku bantu atau meminta balasan dari mereka tetapi cukuplah sekadar menghargai dan menghormati aku. Aku pasti kalau rakan sekerja yang rapat membaca pasti mengetahui perkara yang aku maksudkan ini. Aku dah serik hendak membantu orang terutama pekerja kontrak ini yang sering lupa diri asal usul mereka.

Friday 2 October 2009

Sejadah, Melayu dan Bangla

Hari ini macam biasa aku pergi sembahyang Jumaat di masjid berdekatan tempat kerja yang biasa dikunjungi oleh pekerja lain. Kali ini agak sesak juga bas yang disediakan oleh pihak majikan memandangkan pekerja kontrak semakin bertambah termasuklah pekerja lelaki warganegara Bangladesh.

Manakala masjid pula hari ini dipenuhi oleh sejadah di segenap sudut terutama di sudut luar, belakang atau kawasan bukan ruangan utama masjid. Kebiasaannya sejadah disusun sebaris untuk sujud, manakala untuk duduk hanya beralaskan simen. Aku macam biasa akan duduk di tempat yang selalu aku duduk. Tapi hari ini aku perhatikan ramai di antara pekerja yang biasa duduk di tempat belakang yang bersandarkan tembuk atau dinding terpaksa mengubah tempat duduk apabila tempat itu dikuasai oleh Bangla.

Oleh kerana aku sudah biasa dengan kedudukan saf maka tidak menjadi masalah untuk duduk walaupun ruangan dipenuhi dengan sejadah kerana aku amat peka samada saf untuk duduk atau sujud. Tetapi memang menjadi kebiasaan Bangla suka redah sahaja maka mereka tidak peduli tentang kedudukan barisan saf. Malah yang membuat aku rasa pelik bila melihat jemaah Melayu termasuklah rakan sekerja boleh mengikut Bangla duduk di saf yang salah. Aku hanya berdiam diri sahaja kerana aku yakin bila waktu sembahyang nanti pastilah mereka akan membetulkan kedudukan saf seperti mana bertahun-tahun sembahyang di masjid tersebut.

Apabila tiba waktu sembahyang jemaah mulai kelam kabut untuk menentukan kedudukan barisan saf. Oleh kerana Imam sudah memulakan sembahyang jadi masing-masing membuat hal sendiri. Alangkah terkejutnya aku bila selesai sembahyang dan memberi salam aku lihat barisan saf aku di sebelah kiri penuh macam kebiasaannya tetapi di sebelah kanan aku selang tiga atau empat orang jemaah di dapati kosong. Manakala di saf belakang tersebut aku lihat majoritinya Bangla dan terselit beberapa jemaah orang Melayu. Aku hanya mampu gelengkan kepala semasa melangkah keluar dari masjid.

Inilah akibatnya kalau masjid dipenuhi dengan sejadah tanpa dapat membezakan ruang untuk duduk atau sujud, manakala orang Melayu memang tiada pendirian dan suka mengikut serta apabila orang Bangla mula menguasai masjid di Malaysia.