Sunday 31 May 2009

Tak Nak Merokok

Hari ini adalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia atau lebih tepat untuk katakan TAK NAK merokok. Aku bukanlah mahu perkatakan kebaikan dan keburukan merokok sebab aku rasa ramai orang telah tahu akan keburukannya. Oopss... ada kebaikan merokok ker? Teringat pula kata kawan aku semasa di ITM, Hussein kebaikannya sebab ada ramai kawan. Hahaha....

Kadangkala aku tengok juga gelagat orang yang merokok ini kerana aku sering dikelilingi oleh orang yang merokok. Berbagai-bagai gaya aku perhatikan namun yang kurang bajet terpaksa juga berkongsi rokok. Haha... Apa yang seronoknya merokok ini hanya mereka yang merokok sahaja yang tahu. Kata segelintir orang, tak macho kalau lelaki tak merokok. Tapi bagaimana pula kalau wanita yang merokok.

Walaupun berbagai cara telah dibuat oleh kerajaan seperti memapar amaran bergambar pada kotak rokok namun masih ramai yang tidak memperdulikannya. Malah fatwa tentang merokok pun tidak memberi kesan. Apa yang aku dengar kalau dah mulai merokok, maka jika ingin melaksanakan ucapan tak nak memang sukar dilakukan. Kata orang kalau tidak kuat iman maka perkataan "tak nak" itu hanya sekadar kata-kata sahaja.

Aku ada seorang adik angkat yang juga seorang perokok. Aku pernah menasihat beliau supaya berhenti merokok tapi beliau akan gelak sahaja. Suatu hari semasa dia sedang merokok aku sengaja meminta rokok dari bibir dia untuk mencuba merokok. Tapi dia tidak membenarkan aku merokok kerana dia kata kalau orang lain ingin mencuba dia benarkan tetapi kalau aku, dia tidak benarkan.

Selepas peristiwa itu aku gembira bila dia beritahu telah berhenti merokok. Kalau tidak silap aku sebulan selepas itu dia merokok kembali. Namun yang membuat aku tersenyum apabila dia hendak merokok pasti dia akan menyorok dari pengetahuan aku. Pernah terjadi semasa dia sedang merokok dan terus menyorok rokok tersebut apabila dia nampak kelibat aku. Haha.. Entah macam mana suatu hari dia terpaksa menghentikan lakonan tersebut dan berterus terang memberitahu bahawa dia sudah kembali merokok. Sebenarnya dia takut aku membebel kat dia. Namun sekarang aku tidak pasti samada dia telah melaksanakan perkataan TAK NAK merokok atau sekadar membaca dan menyebut sahaja.

Wednesday 20 May 2009

Kursus

Hari ini aku menghadiri kursus Tatacara Siasatan Dalaman dan Prosedur di Mutiara Hotel, Johor Bahru yang dikendalikan oleh Kelab Sosial Jabatan Tenaga Rakyat. Walaupun jawatan atau pekerjaan aku bukan dibidang Human Resources namun sebagai seorang daripada ahli panel Siasatan Dalaman pihak majikan menghantar aku kursus untuk mendalami lagi ilmu tersebut.


Sepanjang hari mengikuti kursus tersebut berbagai-bagai prosedur berkaitan siasatan dalaman dapat aku pelajari. Walaupun aku sudah biasa mengendalikan kes-kes di tempat kerja ternyata prosedur yang selama ini aku dan ahli panel lain menjalankan tatacara adalah salah. Namun begitu aku tidak boleh dipersalahkan kerana aku dilantik tanpa mengikuti kursus yang sebenar dan tambahan pula tatacara selama ini diajar oleh pihak Jabatan Personnel sendiri.


Aku kadangkala tidak faham mengapa segelintir masyarakat tidak faham atau kadangkala mungkin tidak ambil peduli sesuatu yang perlu dilakukan. Aku bukanlah untuk mencari kesalahan orang lain ataupun untuk dunia bahawa akulah sebenarnya yang pandai dan prihatin tetapi macam bengang apabila ada perserta suka menyoal sesuatu yang di luar dari tajuk kursus tersebut. Kalau dah skop kursus berkaitan dengan prosedur siasatan dalaman mengapa pula ditanya hal-hal yang berkaitan bagaimana untuk menyelesaikan masalah pekerja.

Ada pula bila penceramah kata bila kendalikan kes maka soalan yang bebentuk lucah tidak boleh digunakan maka ada juga peserta yang bertanya macam mana soalan berbentuk lucah yang dimaksudkan. Aku rasa macam pelik kalau perserta tidak tahu macam mana soalan yang berbentuk lucah. Apa yang lebih membuat aku rasa pelik tu bila soalan itu dikemukakan oleh seorang wanita yang sudah berkahwin dan juga seorang dua lelaki yang cuba kontrol macho ataupun cuba nampak macam terlalu baik. Apa yang aku rasa macam tidak puas hati bila mereka tetap mahukan jawapan. Peliklah mereka ni.

Apa-apapun kursus ini amat berguna buat diriku dan akan aku gunakan sepenuhnya ilmu tersebut sebagai menjalankan tanggungjawab aku sebagai Ahli Panel Siasatan Dalaman yang telah diamanahkan oleh syarikat kepada aku.

Thursday 14 May 2009

Satar


Satar ikan adalah makanan yang berasal dari Pantai Timur iaitu Kelantan yang menjadi makanan kegemaran aku.



Bahan yang digunakan untuk membuat satar ikan ialah ikan segar terutama selayang selain kelapa, bawang, lada dan beberapa bahan lain. Satar ini akan dibungkus dalam daun pisang supaya membangkit aroma ketika dibakar dengan arang. Satar yang dibakar secara kaedah tradisional iaitu dengan menggunakan arang adalah lebih enak berbanding teknik pembakaran moden.



Kalau di pantai timur satar ini dijual pada harga RM 1.50 sebatang yang mengandungi empat bungkus. Manakala di Kuala Lumpur dengan kuantiti yang sama ianya dijual pada harga RM 2.00. Ia berbeza di Johor Bahru, satar dijual pada harga RM 2.00 sebatang yang mengandungi tiga bungkus sahaja namun dijual pada harga RM 5.00 tiga batang.

Sunday 10 May 2009

Emak

Emak, ummi, mummy, mama, mak atau ibu adalah gantinama diri yang sering digunakan untuk memanggil insan paling istimewa yang telah melahirkan kita di dunia ini. Aku lebih selesa memanggil insan ini dengan panggilan 'Emak' atau 'Mak'. Oleh kerana hari ini adalah Hari Ibu maka aku ingin berkongsi cerita dengan pembaca tentang arwah emak aku yang telah pun meninggal dunia hampir 13 tahun lalu.

Bagi aku arwah emak adalah segala-galanya buat aku. Arwah emak aku adalah seorang yang pendiam dan kalau sesiapa suka mengumpat di depan dia maka dia akan tersenyum sahaja. Aku bersyukur walaupun aku tidak mampu memberi kemewahan kepada arwah emak namun ada juga beberapa perkara yang aku mampu berbuat untuknya.

Aku masih teringat sewaktu aku di sekolah rendah arwah emak tersenyum lebar apabila ada jiran tertangga yang anak mereka sama sekolah dengan aku memuji-muji aku kerana telah diumumkan salah seorang pelajar terbaik sekolah. Sewaktu arwah emak dan arwah atuk berbaris untuk memasuki dewan sekolah di Hari Penyampian Hadiah, aku melambai-lambai tangan ke arah mereka sambil melihat arwah emak tersenyum.

Arwah emak memang faham benar sikap dan kerenah aku yang kepala batu dan degil. Kata arwah emak, aku dilahirkan pada hari Jumaat iaitu sewaktu imam sedang berkhutbah. Arwah emak akan sentiasa memastikan makanan seperti ikan goreng, ayam goreng atau telur goreng akan sentiasa panas untuk aku atau lebih tepat apabila aku hendak makan baru arwah emak akan mengorengkannya. Arwah emak juga akan memastikan pakaian seragam sekolah digosok dengan rapi kerana dia tahu aku memang cerewet di dalam hal ini. Namun apabila arwah emak menunaikan fardu haji aku terpaksa belajar untuk mengosok pakaian sekolah atas tunjuk ajar beliau. Sejak dari hari itu aku tidak lagi mengharapkan arwah emak menggosokkan pakaian aku dan sikap cerewet aku terhadap pakaian mula berubah.

Apabila aku dapat melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi MARA (ITM) Pahang arwah emak begitu gembira walaupun pada hakikatnya aku tidak begitu gembira. Walaupun berjauhan dari arwah emak namum aku kerap menelefon beliau untuk bertanya khabar. Apabila aku hendak balik ke kampung pasti aku akan menelefon arwah emak. Apa yang paling menarik sekali aku memesan arwah emak membelikan tiket bas walaupun pada hakikatnya yang membeli tiket itu sebenarnya kakak aku yang masa itu bekerja di Melaka kerana untuk ke Pahang dari Muar dengan menaiki bas hanya boleh dinaiki di Melaka atau Segamat. Namun begitu apabila hendak kembali semula ke ITM aku tidak pernah menyatakan tidak cukup duit walaupun sering diajukan soalan oleh arwah emak kerana aku tidak sampai hati untuk menyatakannya.

Arwah emak cukup gembira apabila melihat aku menerima Diploma di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada tahun 1988 walaupun sebenarnya aku gagal mengulangi kejayaan seperti di sekolah rendah suatu ketika dahulu. Arwah emak pernah bertanya samada aku mahu meneruskan pelajaran di peringkat Ijazah namum aku menolak. Mungkin ada rahmatnya disebalik aku enggan menyambung pelajaran apabila arwah emak jatuh sakit akibat dari unsur-unsur mistik.

Aku sendiri tidak pasti samada arwah emak aku kena buatan orang ataupun unsur-unsur mistik yang tidak bertuan itu yang cuba mendekati beliau. Oleh kerana masa itu aku menganggur disebabkan kegawatan ekonomi maka inilah masanya untuk aku menjaga arwah emak. Segala-galanya tentang arwah emak aku uruskan seperti mandi, dandanan, pakaian dan sebagainya. Sejak dari hari itulah aku belajar ke kedai untuk membeli ikan, sayur dan sebagainya yang dulu dilakukan oleh arwah emak untuk dimasak oleh kakak aku. Syukur Alhamdulillah akhirnya arwah emak pulih dari penyakit misteri itu.

Apabila aku memperolehi pekerjaan di Johor Bahru aku sentiasa pulang ke kampung dan memberi sedikit wang kepada arwah emak sebagai membalas jasa memelihara aku sejak dari kecil. Apa yang pasti arwah emak adalah insan yang menyambut kepulangan aku dengan membukakan pintu rumah dan kemudian akan ke dapur untuk memanaskan lauk sementara menanti aku mandi dan menyalin pakaian. Itulah rutin arwah emak terhadap aku sejak dari kecil termasuklah menjadi orang tengah untuk meminta abang aku membelikan tiket bas atau dengan adik-beradik yang lain dalam apa jua urusan.

Arwah emak menjadi sayu dan sepi apabila tetiba pada suatu malam di tahun 1993 apabila aku dan abang sulung yang pada masa itu ada urusan di Johor Bahru pulang dan masuk ke rumah bersama untuk memberitahu cucu sulung kesayangan beliau iaitu arwah Heidi meninggal dunia dalam kemalangan. Arwah emak terduduk di kerusi mungkin memikirkan kesunyian kerana selepas ini dia tahu tiada lagi deruman motor cucu beliau ke rumah untuk menikmati masakan beliau, berkongsi cerita dan kadangkala tidur di rumah peninggalan arwah abah.

Namun pada suatu hari di bulan Ogos 1996 aku menerima panggilan telefon dari kampung memberitahu arwah emak sakit. Aku terus pulang ke kampung pada pagi Sabtu itu juga dan mengambil cuti selama dua hari. Hati aku tersentuh apabila arwah meminta maaf kerana telah menyusahkan aku yang terpaksa pulang ke kampung. Aku sendiri tidak tahu mengapa pada malam itu arwah emak hendak tidur di bilik aku yang mempunyai bilik air walaupun sebelum ini jangan kata hendak tidur di bilik aku, hendak gunakan bilik air di dalam bilik aku pun arwah emak tidak berminat.

Pada malam itu buat pertama kali dan terakhir setelah aku dewasa tidur bersama arwah emak. Esoknya di pagi Ahad arwah emak dihantar ke hospital apabila tidak sedarkan diri. Namun aku terpaksa kembali ke Johor Bahru pada petang Selasa untuk kembali bekerja. Aku sempat mencium pipi arwah emak dan membisikkan di telinga memberitahu aku akan pulang lagi ke kampung pada hari Jumaat untuk menjaga beliau. Aku telah tunaikan janji aku kepada arwah emak. Aku sayu sebab aku tahu arwah emak memang menanti aku anak bungsu beliau kerana kemungkinan arwah emak mahu menghembuskan nafas terakhir di depan mata aku sendiri kerana akulah orang terakhir membisikkan dan mengajar arwah emak untuk mengucapkan dua kalimah syahadat pada malam itu.

Semasa jenazah arwah emak dibawa pulang ke rumah pada malam itu dari hospital aku jugalah yang mengiringi jenazah arwah emak di dalam van jenazah. Kami adik-beradik lelaki yang mengusung jenazah arwah emak semasa hendak dimandikan dan selepas dimandikan. Hari itu buat kali terakhir arwah emak berada dibilik aku kerana urusan memandikan jenazah dilakukan di bilik aku. Aku telah bersama-sama jemaah lain untuk sembahyang jenazah walaupun aku tidak menjadi imam untuk sembahyang jenazah arwah emak aku sendiri.

Kini segala rutin yang biasa dilakukan oleh arwah emak terhadap aku terpaksa aku lakukan sendiri. Setiap kali aku pulang ke kampung dengan keizinan Allah sudah pasti aku akan menziarahi pusara arwah emak untuk sedekahkan bacaan surah Yassin. Segala kenangan aku bersama arwah emak sentiasa tersemat di hatiku. Walaupun hampir 13 tahun menjadi anak yatim piatu aku masih terlalu rindu arwah emak.

Al Fatihah untuk arwah emak Allahyarhamah Hajjah Esah binti Muahmad.

Thursday 7 May 2009

Makan Di Sabak Awor


Semasa cuti sambutan Hari Pekerja aku telah pulang ke kampung. Oleh kerana seminggu sebelum itu aku menyambut hari ulangtahun kelahiran yang ke 44 dan mengambil kesempatan untuk berkumpul bersama keluarga yang lain aku telah membelanja kaum keluarga makan malam. Walaupun bilangan ahli keluarga kami adalah sederhana namun memang sukar juga untuk mengumpulkan kesemuanya memandangkan masing-masing mempunyai urusan tersendiri dan keadaan yang lain.
Walaupun sebelum ini kami sekeluarga sering menjadikan Melaka sebagai destinasi untuk makan, namun kali ini aku memilih kampung halaman aku sendiri iaitu Medan Ikan Bakar Sabak Awor, Muar. Secara jujur aku katakan inilah pertama kali aku menjejakkan kaki ke tempat ini walaupun ianya sudah lama wujud dan berdekatan dengan rumah aku di kampung. Menurut cerita adik-beradik aku yang dah beberapa kali makan di Sabak Awor ini, tempat ini pada mulanya hanyalah warung-warung yang berdekatan dengan persisiran Sungai Muar tetapi kini telah diindahkan.


Oleh kerana ada beberapa kesilapan teknikal dan keadaan sedikit kelam-kabut malam itu, aku tidak berkesempatan untuk mengambil gambar pemandangan dan suasana di situ. Ini pun aku bernasib baik semasa tengah makan teringat untuk mengambil gambar beberapa makanan yang telah kami makan pada malam itu. InsyaAllah jika ada kesempatan dilain masa aku ke Medan Ikan Bakar Sabak Awor pasti aku akan abadikan gambar sebagai kenangan.

Tuesday 5 May 2009

Wabak H1N1

Sekarang dunia dilanda wabak virus H1N1. Walaupun Malaysia masih selamat dari wabak ini namun pihak pengurusan tempat aku bekerja telah mengambil langkah berjaga-jaga. Hari ini setiap pekerja yang melangkah ke kawasan kilang dikehendaki melalui pemeriksaan untuk mengesan suhu badan masing-masing.

Oleh kerana tempat cis clock kedatangan dan pemeriksaan suhu badan adalah di kawasan yang sama maka sudah pasti suasana agak sedikit kelam-kabut. Aku pada mulanya berbaris untuk melalui kawasan tersebut akhirnya terus meluru kehadapan untuk cis clock kedatangan dengan bergilir dengan orang yang berbaris di belakang aku. Akhirnya ramai yang mengikut cara aku kerana bimbang dianggap datang lewat. Apabila ramai dah berpusu-pusu maka sudah pasti dari satu barisan sudah menjadi entah berapa barisan.

Akhirnya oleh kerana masih terlalu ramai yang berbaris sedangkan masa untuk waktu bekerja semakin hampir pihak pengurusan terpaksa membenarkan pekerja-pekerja memasuki kawasan kilang tanpa pemeriksaan. Ermm... macam begitulah yang sering berlaku kepada pihak pengurusan yang tidak bersedia apabila ingin melakukan sesuatu dasar seperti kata pepatah hangat-hangat tahi ayam.

Apakah hari esok pihak pengurusan sudah bersedia untuk mengatasi masalah seperti hari ini? Apa-apapun aku akan mengatur strategi supaya tidak penat berbaris seperti hari ini. Hehe..

Monday 4 May 2009

Makan Di Luar

Kali ini aku ingin berkongsi cerita dan juga pengalaman makan di luar kepada pembaca. Oopss... jangan salah sangka ya. Aku yakin mungkin ada sebahagian pembaca pernah mengalami ataupun sekurang-kurangnya mengetahui kejadian yang pernah berlaku kepada orang lain. Apa yang ingin aku ceritakan kali ini mengenai unsur-unsur yang tidak diundang di dalam makanan atau minuman yang kita pesan apabila makan di luar seperti di kedai, warung, restoran dan sebagainya.

Beberapa minggu lepas aku dan rakan sepejabat bersama keluarganya makan di kedai kek Lavender Permas Jaya, Johor Bahru. Rakan sepejabat aku itu telah memesan sepinggan mee. Sebaik sahaja beliau hendak makan mee tersebut beliau ternampak ada sehelai rambut di dalam mee tersebut. Beliau hanya membuang rambut tersebut itu dan meneruskan makan mee tersebut tanpa membuat aduan kepada pelayan berkenaan untuk menukar mee tersebut.

Seminggu kemudian aku balik ke kampung dengan menaiki bas ekspress. Sementara menanti bas bertolak ke destinasi, aku mengisi perutku dengan segelas teh tarik dan murtabak di restoran bawah di perhentian bas Larkin. Beberapa minit kemudian meja di sebelahku diduduki oleh dua orang lelaki dengan memesan makanan dan minuman. Tiba-tiba seorang daripada lelaki tersebut yang duduk sebaris denganku telah memanggil salah seorang pelayan dan bercakap sesuatu sambil menunjukkan gelas teh O beliau. Walaupun aku tidak mendengar butiran perbualan mereka tetapi aku boleh mengagak apa yang cuba diperkatakan.

Setelah itu pelayan tersebut mengambil gelas teh O itu dan terus menuju ke tempat membuat air. Oleh kerana aku telah selesai mengisi perut maka mata aku terus memerhati pelayan tersebut. Pelayan restoran tersebut terus mengambil sudu dan aku melihat dia mengambil sesuatu di dalam gelas air. Kemudian pelayan itu membawa gelas yang mengandungi air yang sama sambil melihat di dalam gelas tersebut menuju ke meja lelaki di sebelah aku. Aku hanya mampu tersenyum lebar sambil menutup mulut dengan tangan apabila melihat gelagat pelayan tersebut.

Kalau berdasarkan kepada dua kejadian ini apakah langkah atau cara terbaik yang sepatutnya dilakukan. Adakah mengikut cara rakan sepejabat aku dengan hanya membuang unsur yang tidak diundang tanpa membuat aduan kepada pelayan untuk menggantikan dengan makanan yang baru. Atau mengikut cara lelaki yang bersebelahan dengan meja aku dengan membuat aduan tetapi diperbodohkan oleh pelayan tersebut.

Sebenarnya ada pelbagai cara yang kita boleh lakukan jika menghadapi situasi seperti ini apabila makan di luar tetapi terpulanglah kepada kita untuk memilih cara yang terbaik. Apakah cara yang terbaik itu hanya kita yang boleh menentukan sendiri.