Emak, ummi, mummy, mama, mak atau ibu adalah gantinama diri yang sering digunakan untuk memanggil insan paling istimewa yang telah melahirkan kita di dunia ini. Aku lebih selesa memanggil insan ini dengan panggilan 'Emak' atau 'Mak'. Oleh kerana hari ini adalah Hari Ibu maka aku ingin berkongsi cerita dengan pembaca tentang arwah emak aku yang telah pun meninggal dunia hampir 13 tahun lalu.
Bagi aku arwah emak adalah segala-galanya buat aku. Arwah emak aku adalah seorang yang pendiam dan kalau sesiapa suka mengumpat di depan dia maka dia akan tersenyum sahaja. Aku bersyukur walaupun aku tidak mampu memberi kemewahan kepada arwah emak namun ada juga beberapa perkara yang aku mampu berbuat untuknya.
Aku masih teringat sewaktu aku di sekolah rendah arwah emak tersenyum lebar apabila ada jiran tertangga yang anak mereka sama sekolah dengan aku memuji-muji aku kerana telah diumumkan salah seorang pelajar terbaik sekolah. Sewaktu arwah emak dan arwah atuk berbaris untuk memasuki dewan sekolah di Hari Penyampian Hadiah, aku melambai-lambai tangan ke arah mereka sambil melihat arwah emak tersenyum.
Arwah emak memang faham benar sikap dan kerenah aku yang kepala batu dan degil. Kata arwah emak, aku dilahirkan pada hari Jumaat iaitu sewaktu imam sedang berkhutbah. Arwah emak akan sentiasa memastikan makanan seperti ikan goreng, ayam goreng atau telur goreng akan sentiasa panas untuk aku atau lebih tepat apabila aku hendak makan baru arwah emak akan mengorengkannya. Arwah emak juga akan memastikan pakaian seragam sekolah digosok dengan rapi kerana dia tahu aku memang cerewet di dalam hal ini. Namun apabila arwah emak menunaikan fardu haji aku terpaksa belajar untuk mengosok pakaian sekolah atas tunjuk ajar beliau. Sejak dari hari itu aku tidak lagi mengharapkan arwah emak menggosokkan pakaian aku dan sikap cerewet aku terhadap pakaian mula berubah.
Apabila aku dapat melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi MARA (ITM) Pahang arwah emak begitu gembira walaupun pada hakikatnya aku tidak begitu gembira. Walaupun berjauhan dari arwah emak namum aku kerap menelefon beliau untuk bertanya khabar. Apabila aku hendak balik ke kampung pasti aku akan menelefon arwah emak. Apa yang paling menarik sekali aku memesan arwah emak membelikan tiket bas walaupun pada hakikatnya yang membeli tiket itu sebenarnya kakak aku yang masa itu bekerja di Melaka kerana untuk ke Pahang dari Muar dengan menaiki bas hanya boleh dinaiki di Melaka atau Segamat. Namun begitu apabila hendak kembali semula ke ITM aku tidak pernah menyatakan tidak cukup duit walaupun sering diajukan soalan oleh arwah emak kerana aku tidak sampai hati untuk menyatakannya.
Arwah emak cukup gembira apabila melihat aku menerima Diploma di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada tahun 1988 walaupun sebenarnya aku gagal mengulangi kejayaan seperti di sekolah rendah suatu ketika dahulu. Arwah emak pernah bertanya samada aku mahu meneruskan pelajaran di peringkat Ijazah namum aku menolak. Mungkin ada rahmatnya disebalik aku enggan menyambung pelajaran apabila arwah emak jatuh sakit akibat dari unsur-unsur mistik.
Aku sendiri tidak pasti samada arwah emak aku kena buatan orang ataupun unsur-unsur mistik yang tidak bertuan itu yang cuba mendekati beliau. Oleh kerana masa itu aku menganggur disebabkan kegawatan ekonomi maka inilah masanya untuk aku menjaga arwah emak. Segala-galanya tentang arwah emak aku uruskan seperti mandi, dandanan, pakaian dan sebagainya. Sejak dari hari itulah aku belajar ke kedai untuk membeli ikan, sayur dan sebagainya yang dulu dilakukan oleh arwah emak untuk dimasak oleh kakak aku. Syukur Alhamdulillah akhirnya arwah emak pulih dari penyakit misteri itu.
Apabila aku memperolehi pekerjaan di Johor Bahru aku sentiasa pulang ke kampung dan memberi sedikit wang kepada arwah emak sebagai membalas jasa memelihara aku sejak dari kecil. Apa yang pasti arwah emak adalah insan yang menyambut kepulangan aku dengan membukakan pintu rumah dan kemudian akan ke dapur untuk memanaskan lauk sementara menanti aku mandi dan menyalin pakaian. Itulah rutin arwah emak terhadap aku sejak dari kecil termasuklah menjadi orang tengah untuk meminta abang aku membelikan tiket bas atau dengan adik-beradik yang lain dalam apa jua urusan.
Arwah emak menjadi sayu dan sepi apabila tetiba pada suatu malam di tahun 1993 apabila aku dan abang sulung yang pada masa itu ada urusan di Johor Bahru pulang dan masuk ke rumah bersama untuk memberitahu cucu sulung kesayangan beliau iaitu arwah Heidi meninggal dunia dalam kemalangan. Arwah emak terduduk di kerusi mungkin memikirkan kesunyian kerana selepas ini dia tahu tiada lagi deruman motor cucu beliau ke rumah untuk menikmati masakan beliau, berkongsi cerita dan kadangkala tidur di rumah peninggalan arwah abah.
Namun pada suatu hari di bulan Ogos 1996 aku menerima panggilan telefon dari kampung memberitahu arwah emak sakit. Aku terus pulang ke kampung pada pagi Sabtu itu juga dan mengambil cuti selama dua hari. Hati aku tersentuh apabila arwah meminta maaf kerana telah menyusahkan aku yang terpaksa pulang ke kampung. Aku sendiri tidak tahu mengapa pada malam itu arwah emak hendak tidur di bilik aku yang mempunyai bilik air walaupun sebelum ini jangan kata hendak tidur di bilik aku, hendak gunakan bilik air di dalam bilik aku pun arwah emak tidak berminat.
Pada malam itu buat pertama kali dan terakhir setelah aku dewasa tidur bersama arwah emak. Esoknya di pagi Ahad arwah emak dihantar ke hospital apabila tidak sedarkan diri. Namun aku terpaksa kembali ke Johor Bahru pada petang Selasa untuk kembali bekerja. Aku sempat mencium pipi arwah emak dan membisikkan di telinga memberitahu aku akan pulang lagi ke kampung pada hari Jumaat untuk menjaga beliau. Aku telah tunaikan janji aku kepada arwah emak. Aku sayu sebab aku tahu arwah emak memang menanti aku anak bungsu beliau kerana kemungkinan arwah emak mahu menghembuskan nafas terakhir di depan mata aku sendiri kerana akulah orang terakhir membisikkan dan mengajar arwah emak untuk mengucapkan dua kalimah syahadat pada malam itu.
Semasa jenazah arwah emak dibawa pulang ke rumah pada malam itu dari hospital aku jugalah yang mengiringi jenazah arwah emak di dalam van jenazah. Kami adik-beradik lelaki yang mengusung jenazah arwah emak semasa hendak dimandikan dan selepas dimandikan. Hari itu buat kali terakhir arwah emak berada dibilik aku kerana urusan memandikan jenazah dilakukan di bilik aku. Aku telah bersama-sama jemaah lain untuk sembahyang jenazah walaupun aku tidak menjadi imam untuk sembahyang jenazah arwah emak aku sendiri.
Kini segala rutin yang biasa dilakukan oleh arwah emak terhadap aku terpaksa aku lakukan sendiri. Setiap kali aku pulang ke kampung dengan keizinan Allah sudah pasti aku akan menziarahi pusara arwah emak untuk sedekahkan bacaan surah Yassin. Segala kenangan aku bersama arwah emak sentiasa tersemat di hatiku. Walaupun hampir 13 tahun menjadi anak yatim piatu aku masih terlalu rindu arwah emak.
Al Fatihah untuk arwah emak Allahyarhamah Hajjah Esah binti Muahmad.
2 comments:
So touching...
Tiada rahsia yang nak dirahsiakan huh..??? Baguslah kerana kau mempunyai sikap yang jujur dan terbuka....
Terima kasih Anonymous kerana sudi melawati blog ini. Kadangkala sikap jujur dan terbuka ini membuat orang salah sangka dan tidak senang terhadap aku. Aku tetap berpegang dengan prinsip selagi ianya tidak salah di sisi Allah dan negara.
Post a Comment