Friday 30 April 2010

Sebulan Berlalu

Sebulan sudah berlalu arwah kakakku meninggal dunia. Oleh kerana hari ini adalah cuti gantian yang diambil oleh majikan tempat aku bekerja dan ianya pada hari Jumaat maka aku mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung. Inilah peluang aku untuk menziarahi pusara insan-insan yang amat aku sayangi. Alhamdulillah cuaca di pagi hari amat baik dan memberi kesempatan kepada menziarahi pusara-pusara arwah mereka.

Aku bersyukur rumah perninggalan arwah emak dan abah yang diwariskan kepada arwah kakakku masih terjaga rapi. Apa yang pernah dilakukan oleh arwah kakakku semasa hayatnya masih diamalkan oleh adik-beradikku yang lain walaupun mungkin tidak sebaik arwah kakakku. Oleh kerana aku boleh dikatakan agak rapat dengan arwah kakakku maka aku cuba mengemas dan menyusun rapi segala perkakas rumah seperti yang dilakukan oleh arwah. Kini setelah sebulan berlalu barulah aku faham mengapa arwah kakakku begitu teliti dan sering menegur segala tindak-tanduk aku yang kadangkala tidak memuaskan hatinya yang diwarisi dari sikap arwah emak. Apa yang termampu kini aku akan cuba sebaik mungkin untuk melakukannya dan akan menjaga pokok-pokok bunga milik arwah.

Walaupun sudah sebulan berlalu aku masih merindui arwah kakakku. Segala kenangan aku bersama arwah kakakku akan aku pahatkan di hati ini.

Wednesday 28 April 2010

Dugaan

Sejak akhir-akhir ini berbagai-bagai dugaan terpaksa aku tempuhi. Aku tidak pernah menyalahkan sesiapa kerana aku tahu ini semua adalah dugaan yang Allah berikan kepada aku untuk menguji sejauh mana aku boleh menghadapi dan mengatasinya.

Sebaik sahaja arwah kakakku pulang dari umrah beliau dimasukkan ke Hospital Mahkota Melaka kerana penyakit lama beliau kembali lagi. Apa yang membuat aku resah dan berduka apabila aku menerima berita pada masa itu bahawa penyakit arwah kakakku di peringkat tahap ketiga. Aku terus termenung dan hatiku semakin berkecamuk dan mengharapkan keajaiban dari Allah agar arwah kakakku sembuh.

Apa yang membuat aku hatiku semakin resah apabila menerima laporan perubatan kesihatan tahunan aku yang agak mendukacitakan. Aku hampir menangis di depan doktor panel syarikat namun doktor tersebut cuba mententeramkan aku dan mengarahkan aku membuat pemeriksaan kesihatan lanjut di Hospital Pakar Kempas, Johor Bahru. Semasa itu aku rasa duniaku semakin gelap dan semenjak hari itu aku mulai berubah sikap di pejabat menjadi seorang yang murung dan pendiam.

Aku yang sepatutnya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Pakar Kempas pada 28hb Mac terpaksa dibatalkan apabila menerima berita arwah kakakku dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar sehari sebelum itu. Walaupun di depah ahli keluarga aku terpaksa tersenyum dan ceria tetapi hatiku tetap risau dengan kesihatan kakakku dan diriku sendiri. Aku tidak mahu keluarga terutama arwah kakakku risau dengan kedaan serentak ini. Hatiku tersentap, semangatku hilang dan aku rasa duniaku semakin gelap apabila insan yang telah menanggung persekolahanku hingga ke Institut Teknologi MARA selepas arwah abah meninggal dunia dan menjaga segala keperluan harianku selepas arwah emak meninggal dunia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya di depan mataku.

Setelah tiga hari bercuti aku dengan berat hati terpaksa kembali ke Johor Bahru untuk kembali bertugas kerana untuk menyiapkan laporan tahunan 2009. Walaupun jasadku berada di pejabat untuk menyiapkan laporan tetapi hatiku masih berada di kampung, namun begitu aku berjaya juga menyiapkan laporan tersebut seperti yang ditetapkan untuk auditor menyemak laporan tahunan 2009.

Pada 4hb April aku ke Hospital Pakar Kempas untuk membuat pemeriksaan lanjutan kesihatan. Aku semakin takut dan hatiku semakin resah apabila pelbagai ujian harus diambil termasuk ultrasound untuk melihat tahap kesihatan aku. Apakah sebenarnya penyakitku ini. Aku mula fobia melihat makanan dan minuman. Fikiranku semakin kusut dan apa juga aku lakukan semuanya ada yang tak kena dan tidak sempurna. Aku boleh terlupa membawa kad pekerja di tempat kerja dan kad ATM pun boleh hilang. Berbagai-bagai dugaan aku terima termasuklah aku tersedar sendiri ada kesilapan laporan akaun stok yang aku buat walaupun pada masa itu laporan akaun telah ditutup. Aku rasa bersalah dan malu dengan keadaan ini. Malah pihak auditor pula dapat mengesan beberapa laporan dan formula yang aku buat ada beberapa kesilapan. Entahlah, aku semakin tergamam dan gelisah dengan keadaan ini.

Namun aku tahu bahawa ini semua dugaan dari Allah. Aku harus pasrah. Aku tahu mungkin disebalik dugaan yang aku terima mungkin ada rahmat dari Allah. Aku tahu Allah ingin melihat sejauhmana aku boleh menghadapi dugaan dan bagaimana cara aku menyelesaikan segala dugaan ini. Aku tahu Allah masih sayangkan aku dan tidak mahu aku terus terleka dan dibuai mimpi. Aku bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang membuat aku semakin rapat denganNya dan aku semakin menyayangi diriku sendiri.

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan di tempat kerja seperti Rahimah Othman (Ucu) yang menjadi orang pertama memberi dorongan, nasihat dan semangat apabila aku menceritakan keadaan kesihatan aku. Terima kasih kepada Aishah bekas kerani yang aku anggap seperti adikku sendiri yang memberi semangat dan mendoakan kesejahteraanku. Terima kasih juga kepada Hanis dan Siti Zaharah yang sanggup berkongsi masalah dan amat memahami situasi aku sepanjang aku menghadapi segala dugaan dari Allah.

Tuesday 27 April 2010

Ucapan Hari Jadi

Hari ini lebih kurang jam 11.00 pagi aku menerima panggilan telefon dari Norhuda bertanyakan mengenai reunion 25 tahun UiTM Pahang dan mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada aku. Apapun terima kasih aku ucapkan walaupun sambutan Hari Jadi aku beberapa hari yang lepas. Aku turut mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada beliau kerana tarikh lahir kami hanya selang sehari sahaja walaupun berlainan tahun.

Sunday 11 April 2010

Sunyi Dan Sepi

Hari Jumaat 9 April, selepas waktu kerja aku pulang ke kampung sekali lagi setelah hampir dua minggu kakakku meninggal dunia. Sebaik sahaja aku sampai di rumah, aku kelihatan sayu kerana rumah terlalu sunyi dan sepi. Ini adalah kerana kebiasaannya pasti aku melihat arwah kakakku sedang menonton televisyen. Apa yang pasti pada malam itu hanya abang aku yang menunggu rumah itu memandangkan masing-masing mempunyai urusan tersendiri. Kemudian abang aku balik ke rumah beliau membiarkan aku sendirian.

Selepas sembahyang Isyak, aku menonton televisyen sebentar sambil memerhati tempat-tempat yang biasa kakakku duduk. Aku benar-benar rasa sunyi dan kehilangan. Ini dapat dirasakan kerana adalah menjadi kebiasaannya aku pasti akan berbual dengan arwah kakakku sehingga masing-masing mengantuk. Tetapi kini tiada siapa lagi yang akan melayan aku berbual.

Pada hari esok pula iaitu 10 April selepas sembahyang subuh iaitu lebih kurang jama 6.30 pagi aku berhasrat untuk menziarahi pusara arwah emak, arwah abah, arwah anak saudara dan arwah kakak tergendala memandangkan hujan. Erm... tidak apalah kata hati kecilku memandangkan mungkin aku boleh pergi pada waktu petang ataupun pada hari esok. Tetapi lebih kurang jam 7.00 pagi hujan berhenti dan aku terus mencapai motor untuk meneruskan hasrat aku untuk menziarahi pusara mereka. Alhamdulillah.

Sepanjang dua hari aku berada di kampung aku benar-benar rasa sunyi dan sepi. Apabila rindukan arwah kakakku, aku akan melihat tempat-tempat yang biasa arwah duduk seperti kerusi makan, bilik sembahyang, tempat menonton televisyen dan aku akan membuka almari untuk melihat pakaian-pakaian arwah. Aku begitu sebak. Aku juga melihat dan menjaga pokok-pokok bunga arwah yang masih tinggal kerana ada sebahagian pokok bunga abang aku yang sulung telah mengambil untuk menjaganya. Apa yang pasti aku cuba melakukan yang terbaik dan cuba mengamalkan apa yang sering arwah kakakku lakukan pada rumah pusaka peninggalan arwah abah dan arwah emak.