Sunday 28 June 2009

Hari Penempatan Pekerjaan



Hari ini dan semalam telah diadakan Hari Penempatan Pekerjaan Peringkat Johor di Danga Mall, Johor Bahru. Aku telah berkunjung ke sana selama dua hari berturut-turut untuk memberi sedikit sokongan kepada staff Jabatan Personnel sambil melihat gelagat orang ramai yang berkunjung untuk mencari pekerjaan.


Aku bukanlah seorang pengkritik tetapi sekadar ingin memberi pendapat atau berkongsi cerita tentang apa yang aku lihat, dengar dan juga rasai berdasarkan kepada situasi atau riak di mata dan wajah mereka. Apa-apapun aku ingin memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang mungkin terasa dengan tulisan aku ini. Aku bukanlah ingin berlagak pandai tetapi sekadar satu teguran kepada sesiapa sahaja pencari kerja terutama kepada mereka yang baru bergelar siswazah.


Selama dua hari aku berada di Danga Mall membuat hati aku kadangkala merasa sedih melihat pencari kerja terutama siswazah yang pertama kali menempuh alam pekerjaan. Setelah bertungkus-lumus belajar di universiti, kolej, politeknik dan sebagainya apakah ada peluang pekerjaan untuk mereka. Adakah Hari Penempatan Pekerjaan hanya sekadar nama? Atau sekadar untuk memberitahu penganggur bahawa terlalu banyak kerja kosong dan mereka sebenarnya pemalas. Atau syarikat yang menyertainya sekadar turut serta untuk bermain politik. Fikir-fikirkanlah.



Aku perhatikan ramai pencari kerja yang berusaha untuk mendapatkan pekerjaan tetapi kadangkala tidak begitu peka dengan syarat-syarat yang disenaraikan. Kadangkala mereka yakin bahawa jawatan yang mereka pohon sesuai dengan kelulusan yang mereka ada tetapi mereka langsung tidak melihat syarat yang lain yang membataskan untuk mereka mendapat jawatan tersebut. Memang aku tidak nafikan kata orang cuba pohon sahaja mungkin rezeki kita. Kalau setakat syarat mahukan ada pengalaman tetapi kita sebagai graduan baru yang tiada pengalaman memang tidak salah untuk memohon kerana mungkin rezeki kita boleh mendapat jawatan tersebut. Tetapi bagaimana kalau ada syarat lain seperti mahukan penguasaan sesuatu bahasa, adakah kita masih mahu memohon jawatan tersebut? Kalau setakat mengisi borang mungkin tidak menjadi hal tetapi tidakkah membazir bila kita memberi gambar dan resume berserta salinan sijil padahal hakikatnya jawatan itu kita tidak akan perolehinya.


Ada sesetengah siswazah pula amat berbangga dengan lulusan Ijazah atau Diploma yang mereka ada walaupun tanpa ada pengalaman bekerja. Aku sendiri tidak faham mengapa mereka tidak peka untuk mengkaji keadaan ekonomi semasa atau cuba mengandaikan kemungkinan pendapatan yang boleh diperolehi dari sesebuah syarikat yang dipohon. Aku perhatikan mereka meminta gaji yang terlalu tinggi tanpa memikirkan risiko akibat dari rasa bongkak tersebut.


Ada pula setakat kelulusan SPM sahaja tetapi apabila kita mencadangkan mereka memohon jawatan yang sesuai dengan kelulusan mereka langsung tidak berminat kononnnya tidak menarik perhatian mereka. Aku tidak nafikan adakala sesuatu pekerjaan itu tidak sesuai dengan kita, seperti orang yang tidak berminat atau tahu langsung tetang kerja-kerja teknikal tetapi disuruh ke bidang ini sudah pasti akan menyusahkan diri sendiri. Tetapi kalau kita setakat kelulusan SPM tetapi enggan memohon jawatan yang kita anggap tidak menarik maka fikir-fikirkanlah sendiri.


Selain daripada itu ada juga yang bertukar kerja kerana mencari pendapatan yang lebih baik, tetapi malangnya hanya beberapa bulan di tempat baru terpaksa diberhentikan kerana masalah-masalah yang dihadapi oleh syarikat tersebut. Apa yang lebih menyedihkan bila ianya berlaku kepada lelaki berkeluarga yang isterinya adalah surirumah sepenuh masa.

Ada juga orang lain yang mahu memohon jawatan tetapi orang lain pula yang tolong isikan borang permohonan. Tidak terfikirkah mereka sikap tersebut membuat majikan lebih awal menolak permohonan tersebut. Ada yang membuat resume seolah-olah seperti membuat kertas kerja. Aku memang puji sikap tersebut tetapi tidak guna kalau secantik manapun mereka membuat tetapi langsung tidak diberi markah oleh majikan untuk mengambil mereka untuk bekerja.

Aku tidak pasti adakah Hari Penempatan Pekerjaan memberi satu harapan baru kepada siswazah dan penganggur atau sekadar mainan politik kepada majikan. Aku ingin menasihatkan kepada siswazah agar peka dengan keadaan sekeliling dan fahami syarat-syarat yang dikehendaki apabila memohon sesuatu jawatan. Jangan terlalu ego dengan kelulusan tinggi yang kita miliki. Walaupun resume, salinan sijil serta gambar memang penting dalam permohonan kerja tetapi perlulah bijak cara membuat dan penggunaannya supaya ianya tidak menjadi satu pembaziran.


Friday 26 June 2009

Terima Berita

Malam semalam aku ke rumah abang aku kerana mendapat berita anak saudara aku dapat menyambungkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 28hb Jun. Kini bertambah lagi anak saudara aku yang dapat ke menara gading. Sebelum ini tiga orang anak saudaraku mengikuti jejak langkah aku belajar di UiTM atau ITM dan seorang pula di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Semalam juga aku menerima berita gembira untuk diriku yang belum pasti. InsyaAllah aku akan cuba berkongsi kegembiraan dengan pembaca suatu ketika nanti. Tunggu....

Sunday 21 June 2009

Abah

Abah, papa, bapa, ayah atau daddy adalah satu gantinama diri yang kita ungkapan untuk memanggil bapa kita. Hari ini adalah hari bapa, jadi aku ingin berkongsi cerita kepada pembaca mengenai bapa aku yang aku panggil abah.

Arwah abah adalah seorang pegawai polis berpangkat sarjan. Kehidupan beliau sebagai anggota polis menyebabkan beliau sering berpindah-randah demi menjalankan tugas. Itu menyebabkan kami adik-beradik dilahirkan di beberapa buah tempat atau daerah di negeri Johor. Aku sendiri walaupun dibesarkan di daerah Muar tetapi dilahirkan di Paloh, Kluang. Oleh kerana arwah abah adalah seorang anggota polis maka sudah pasti anak-anak beliau dididik dengan cara tegas dan displin. Apa yang uniknya surat beranak aku ditulis dan ditandatangani oleh arwah abah.

Arwah abah aku ini memiliki tubuh yang tinggi dan mempunyai wajah yang agak serious atau garang. Walau bagaimanapun arwah abah tidak pernahpun mendera kami sekeluarga, namun dia cukup marah kalau ada diantara kami membuat kesalahan. Walaupun kami adik-beradik diberi kebebasan, namun kami tetap menghormati arwah abah dan selalu berfikir sebelum membuat sesuatu. Arwah abah cukup marah kalau ada sesiapa mengadu kenakalan kami adik-beradik. Kalau kami bergaduh dengan anak jiran, walaupun kesalahan tersebut berpunca dari anak jiran namun arwah abah tetap menyalahkan kami. Arwah abah pernah memarahi aku dengan berkata "Kalau dah tahu budak tu tak boleh diusik kenapa berkawan dengan budak tu".

Arwah abah boleh dikatakana amat murah hati dan tidak suka kalau memberi sesuatu makanan kepada orang lain setakat melepaskan batuk di tangga sahaja. Arwah abah ada menanam berbagai pokok buah-buahan untuk dinikmati oleh anak cucunya. Setiap kali ada orang ingin membeli buah-buahan pasti arwah abah tidak akan menjualnya sebaliknya hanya memberi sahaja. Kadangkala apabila ada jiran mendesak untuk membeli maka arwah abah akan menjual juga tetapi memberi lebih dari yang diminta seperti membeli 1 kg tetapi memberi lebih dari 2 kg. Oleh kerana aku yang sentiasa berada di rumah maka aku jugalah yang sering diminta menghantar buah-buahan di rumah jiran. Jadi setiap kali juga aku akan menghafal ayat "abah kata yang lebih tu sedekah" kalau disoal oleh jiran.

Semasa aku kecil arwah abah sering membawa aku naik basikal yang berpalang di hadapan ke hulur ke hilir. Aku paling suka kalau arwah abah ajak ke bandar sebab masa itulah aku berpeluang menikmati roti prata dan teh tarik di kedai mamak. Apa yang membuat aku pelik masa itu apabila arwah abah akan cakap bahasa tamil atau cina apabila berhadapan dengan kaum tersebut. Tetapi apabila aku meningkat dewasa aku mula faham bahawa sebagai anggota polis yang bertugas sebagai Ketua Polis Balai (KPB) tentulah arwah abah akan berhadapan dengan pelbagai kaum dan pastilah dia dapat memahami sedikit bahasa tersebut.

Walaupun semasa aku ke sekolah agama menaiki basikal, arwah abah pasti akan mengekori aku dari belakang dengan basikal lain. Setelah dia berpuashati aku mampu menjaga keselamatan sendiri maka aku dibiarkan pergi sendirian. Aku dapati arwah abah selalu memastikan kebajikan keluarga mesti sempurna. Aku masih ingat semasa aku kecil aku sering ke surau mengikut arwah abah. Jadi apabila ada jamuan makanan pasti kanak-kanak akan diasingkan dari orang dewasa. Setiap kali itu juga arwah abah akan bangun dari tempat duduk dia untuk melihat apa yang aku makan. Apa yang membuat aku terharu arwah abah akan mengambil makanan bahagian dia dan memberi pada aku dan beliau sanggup tidak makan kerana aku.

Pada tahun 1980 sewaktu aku menuntut tingkatan 3, arwah abah meninggal dunia. Aku terlalu sedih sebab tidak dapat melihat lagi kelibat dan senyuman arwah abah setiap kali ke sekolah mengambil kad kemajuan peperiksaan aku. Kalau dahulu arwah abah akan menghantar cucu saudara beliau melanjutkan pelajaran ke ITM tetapi apabila aku melanjutkan pelajaran di ITM aku tidak dapat menikmati kemanisan bagaimana seorang anak dihantar oleh bapanya untuk melanjutkan pelajaran. Apa yang membuat aku sebak arwah abah tiada di dalam dewan untuk melihat hari konvokesyen aku di ITM.

Kini setelah 29 tahun arwah abah meninggal dunia aku masih lagi merinduinya. Walaupun arwah abah tidak pernah merasai wang pendapatan aku, namun aku hanya mampu sedekahkan al fatihah sebagai ganti. Setiap kali aku pulang ke kampung pasti aku akan menziarahi kubur arwah abah. Sesungguhnya aku amat berbangga menjadi anak arwah abah seorang anggota polis atau Ketua Polis Balai berpangkat sarjan.

Al-Fatihah untuk arwah abah, Mahmood bin Saat.

Saturday 20 June 2009

Bahasa Inggeris

Isu penggunaan Bahasa Inggeris (BI) kini hangat semula diperkatakan. Sebelum ini ianya hangat diperkatakan penggunaan BI di dalam matapelajaran Sains dan Matematik seperti yang diamalkan sekarang tetapi kini ada cadangan diwajibkan lulus BI jika ingin mendapat sijil penuh di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Apabila kerajaan pimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mewajibkan penggunaan BI dalam matapelajaran Sains dan Matematik, suara yang tidak puashati dengan hal ini hanya sayup-sayup sahaja. Tetapi selepas Tun Mahathir meletakkan jawatan maka suara-suara itu terus gah sehingga tercetusnya situasi yang agak tegang.

Aku tidak tahu mengapakah ada segelintir masyarakat Malaysia membantah penggunaan BI dalam Sains dan Matematik. Kadangkala kedengaran agak lucu juga apabila alasan diberi kerana pelajar-pelajar di luar bandar tidak dapat menguasai BI maka sudah pasti mereka sukar untuk mempelajari Sains dan Matematik. Persoalannya adakah selama ini ianya diajar di dalam Bahasa Malaysia maka pelajar-pelajar mendapat keputusan yang baik?

Pada pandangan aku penggunaan dan penguasaan BI adalah amat penting bagi generasi sekarang. Aku bukanlah untuk menentang atau menghina Bahasa Malaysia (BM) sebagai bahasa rasmi tetapi dalam keadaan tertentu BI amat penting di dalam pelbagai urusan. Oleh itu bagi aku kerajaan harus bijak bagaimana penggunaan dan penguasaan BI perlu dilaksanakan.

Kalau kita perhatikan masyarakat hari ini penguasaan di dalam BI amat lemah sekali terutama dikalangan orang-orang Melayu. Buku-buku rujukan ilmiah di universiti terutama dibidang undang-undang dan management kebanyakkannya di dalam BI. Oleh itu kegagalan pelajar menguasai BI sudah pasti menyukarkan mereka untuk mendalami ilmu yang ada. Apabila bekerja dengan syarikat swasta maka penguasaan BI amat penting untuk komunikasi dengan pelbagai kaum di peringkat atasan atau pengurusan.

Aku bukanlah untuk menyokong ataupun untuk menentang cadangan kerajaan apabila melaksanakan BI dalam Sains dan Matematik dan kini berhasrat untuk mewajibkan lulus di dalam BI bagi mendapat sijil penuh di dalam SPM. Aku tahu kerajaan mahukan masyarakat Malaysia hari ini boleh menguasai BI tanpa melupakan bahasa kebangsaan, tetapi mungkin cara perlaksanaan tidak kena pada tempat atau cara yang sesuai. Aku amat sedih melihat para cendiakawan yang mungkin bermotifkan politik menentang hasrat kerajaan tanpa mencari jalan penyelesaian. Adalah lebih baik para cendiakawan berbincang dan memberi cadangan apa yang perlu dilakukan untuk memastikan generasi Malaysia akan datang boleh menguasai BI.

Aku bukanlah seorang cendiakawan, tetapi bagi aku tidak memadai penggunaan BI dalam matapelajaran Sains dan Matematik tetapi kalau pelajar masih lemah menguasai BI sepenuhnya dan kemudian menjadi satu isu kepada parti politik yang kononnya ramai ibubapa dan pelajar tidak bersetuju dengan perlaksanaan tersebut. Mengapa kerajaan tidak mengadakan pelajaran tersebut diajar di dalam dua bahasa dan ibu bapa dikehendaki menentukan anak-anak mereka samada diajar di dalam BI atau BM. Selain daripada itu pihak Kementerian Pelajaran dikehendaki mengubah sistem pelajaran dengan memastikan matapelajaran BI mesti diajar setiap hari di sekolah sebanyak dua sessi atau 1 jam.

Aku rasa ini sahaja cara yang boleh dilaksanakan jika ingin memastikan ada kemungkinan para pelajar boleh menguasai BI sebelum peraturan baru mewajibkan pelajar lulus di dalam BI untuk mendapat sijil penuh di dalam SPM.

Friday 19 June 2009

Jawatan Kosong

Beberapa minggu yang lepas tempat aku bekerja ada mengiklankan pelbagai jawatan kosong di akhbar dan juga internet. Aku kemudian menerima sms dari bekas rakan sekerja minta pandangan jika dia ingin memohon kembali bekerja. Aku menjawab tidak menjadi kesalahan untuk dia memohon jawatan tersebut tetapi dengan syarat kena membuat persediaan dari segi fizikal dan mental.

Aku yakin dia mesti mengagak aku sengaja membuat lawak bodoh. Tetapi begitulah hakikatnya apabila pihak pengurusan telah bertukar sudah pasti sedikit demi sedikit peraturan atau sistem akan berubah. Kalau dulu agak mudah untuk membuat kerja lebih masa tetapi kini banyak tapisan sebelum kerja lebih masa diluluskan.

Aku sendiri menjadi keliru di dalam kegawatan ekonomi ini dan kekurangan permintaan, macam tidak percaya pula pihak majikan ingin menambah pekerja dikalangan staff. Kalau dahulu majikan sering mengatakan staff terlebih tetapi kenapa sekarang masih lagi ingin menambah staff. Pelik betul.

Apa yang membuat aku tersenyum jabatan Accounts pun terdapat jawatan kosong. Kadangkala aku menggaru kepala yang tak gatal. Adakah masih tidak mencukupi staff Accounts? Pada pandangan aku tidak berguna juga kalau ditambah staff kalau yang banyak membuat kerja masih lagi staff yang lama. Apa guna mengambil staff baru kalau tidak berupaya menghadapi cabaran seperti staff lama. Apakah perlu menambah staff baru tetapi membuat kerja lembab dan hanya menunggu staff lama menyerahkan data atau menyelesaikan masalah. Tetapi siapakah aku untuk mempertikaikan terdapatnya keksongan jawatan Accounts seperti yang diiklankan.

Hingga ke saat ini aku tidak mendengar langsung ketua jabatan ada membuat temuduga untuk staff baru Accounts. Adakah tiada sesiapa yang memohon jawatan tersebut ataupun kemungkinan ada yang memohon tetapi ditolak oleh ketua jabatan sebelum dipanggil temuduga. Aku hanya mampu tersenyum sahaja kerana aku percaya tidak logik beribu-ribu graduan yang keluar dari universiti tidak mungkin tiada seorang pun yang layak untuk menjawat jawatan tersebut. Aku malas untuk mempertikaikan kerana kalau sesiapa dapat membaca minda aku ini pasti tahu apa yang ingin aku sampaikan.

Aku tidak bermaksud untuk mengeruhkan suasana tetapi sebagai abang, pakcik dan orang yang ada sedikit pengalaman, nasihat aku kepada graduan baru jika memohon jawatan kosong dalam jabatan Accounts terutama syarikat swasta perlulah berfikir banyak kali. Jika dapat menghias kerusi meja di jabatan Accounts swasta adalah sesuatu yang amat membanggakan. Adakah aku insan yang bertuah? Entahlah, tetapi aku hanyalah insan yang cuma bernasib baik dapat menempatkan diri di dalam jawatan kosong di jabatan Accounts suatu ketika dahulu yang kini ibarat seperti melukut di tepi gantang yang sekadar menanti lebih kurang 10 tahun akan datang untuk bersara.

Tuesday 16 June 2009

Salah Siapa

Hari ini aku telah diarahkan oleh Giant untuk menerangkan hal-hal kerja yang berkaitan dengan Costing atau Stock Report kepada staff dari HQ bahagian Communication System. Kehadiran mereka sebenarnya adalah untuk mengetahui tentang segala sistem yang berkaitan dengan kerja dan laporan yang selama ini dilaksanakan. Oleh kerana pihak pengurusan telah bertukar tangan maka sudah pasti satu sistem baru juga akan diperkenalkan.

Aku sendiri tidak tahu siapa harus dipersalahkan di dalam hal ini. Walaupun staff dari HQ telah datang hampir seminggu namun aku tidak diberitahu tentang kehadiran dan tujuan sebenarnya kehadiran mereka. Oleh kerana aku hanya diberitahu di saat akhir untuk mengalas tugas ini maka aku hanya menerangkan proses kerja berdasarkan kepada pengalaman dan apa yang aku buat selama ini tanpa membuat persediaan yang rapi.

Sebenarnya agak sukar juga ingin menerangkan kepada mereka ini maklum sahaja kalau itik dan ayam berkomunikasi. Apa yang aku perhatikan mereka ini macam keliru dengan proses yang aku terangkan. Aku pun tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya tentang kekeliruan tersebut maklum sahaja sebelum ini mereka mendapat penerangan dari abang cik tanpa pengetahuan aku. Andaikata ada pencanggahan penerangan pasti akan membuat mereka bertambah keliru. Jadi salah siapa.

Aku sendiri menjadi keliru apabila mereka menunjukkan satu carta yang tidak terdapat isi kandungan yang aku terangkan dan juga laporan yang dilampirkan. Aku yang tidak mengetahui hal carta tersebut pada mulanya agak tergamam juga. Namun pengalaman berhadapan dengan juruaudit sebelum ini membuat aku tenang untuk tidak mengeruhkan keadaan. Nasib baiklah mereka boleh menerima cadangan aku agar mereka bertanya kepada abang cik kerana carta tersebut dibuat oleh beliau. Namun aku tidak pastilah kalau mereka mengumpat aku kerana aku bukan faham apa pun yang mereka cakap di dalam bahasa Jepun.

Aku tidak begitu yakin bahawa mereka benar-benar memahami tentang semua laporan dan kerja-kerja aku yang berkaitan. Ini adalah kerana aku kadangkala melihat wajah mereka seperti di dalam kekeliruan dan menggaru kepala. Namun aku dapat maklumat Satoi amat memuji cara aku memberi penerangan kerana begitu jelas. Adakah pengakuan itu ikhlas atau sengaja untuk menjaga hati aku.

Siapa yang patut dipersalahkan. Salahkah Giant kerana mengarahkan aku memberi penerangan kerja kepada staff dari HQ? Adakah abang cik yang bersalah kerana tidak berbincang dengan aku terlebih dahulu? Salahkah aku kerana tidak pandai bertutur di dalam bahasa Jepun bagi memudahkan komunikasi. Atau mungkinkah aku yang bersalah kerana tidak pandai menjadi tenaga pengajar yang baik. Jadi salah siapa...

Sunday 14 June 2009

Melayu Mudah Lupa

Aku sebenarnya sudah lama ingin menulis artikel berdasarkan kepada sajak yang pernah ditulis oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed iaitu Melayu Mudah Lupa. Ini sebenarnya berkaitan pengamatan sekeliling aku sejak kebelakangan ini atau lebih tepat kehidupan yang aku lalui sejak kebelakangan ini.

Apabila aku membuka akhbar hari ini membuat hatiku lebih semangat untuk meneruskan tulisan mengenai artikel ini. Aku kesal dengan politik hari ini apabila ada pihak yang mahu pihak kerajaan membenarkan bekas Setiasusaha Parti Komunis Malaya (PKM) kembali semula ke Malaysia. Apa yang membuat aku terguris apabila pihak yang dimaksudkan adalah orang Melayu sendiri. Mengapakah kerana agenda politik semua ini boleh berlaku. Manakala di artikel lain pula ada satu laman blog tentang pungutan suara yang telah pun dikeluarkan dari blog itu yang mahukan salah satu dari komponen dalam BN keluar dari parti tersebut. Selain daripada itu cadangan Presiden Pas mahu kerajaan perpaduan UMNO-Pas sendiri mendapat tentangan pemimpin Pas yang lain. Mengapa semua ini boleh berlaku? Inilah akibatnya kalau Melayu Mudah Lupa.

Aku bukan mahu melibatkan hal politik di dalam artikel ini tetapi sekadar ingin berkongsi cerita tentang apa yang aku dengar, rasakan, alami dan melihat sendiri yang berlaku di depan mata aku sendiri. Aku tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa tetapi cuma hendak melahirkan keksesalan sahaja. Apa-apapun aku memohon maaf terlebih dahulu jika artikel ini boleh menyinggung perasaan pembaca terutama kawan-kawan yang berada disekelilingku.

Aku tidak faham mengapa ada segelintir orang Melayu akan merasa diri mereka hina atau hamba abdi jika diminta oleh orang Melayu sendiri membuat sesuatu kerja tetapi menganggap itu adalah tugas jika diminta oleh orang lain. Mengapa kita sering mengatakan itu adalah takdir yang sudah ditetapkan jika kita dibantu oleh bangsa sendiri dan tidak perlu untuk berterima kasih tetapi merasa bangga dan terus berterima kasih apabila dibantu oleh orang lain. Adakah memang itu juga ditakdirkan orang Melayu tidak perlu untuk mengenang jasa atau berterima kasih kepada orang Melayu?.

Mengapa aku lihat orang-orang Melayu terlalu berkira untuk membantu sesama Melayu. Sejak dari sekolah dahulu aku perhatikan terlalu sukar untuk aku memasuki kelompok bangsa aku sendiri. Apa yang aku sering terima ialah satu penghinaan atau kutukan. Mengapa semua ini perlu berlaku. Namun aku kadangkala bangga dengan Melayu Kelantan. Walau di mana mereka berada tetapi kalau mereka bertemu walaupun masing-masing dari daerah yang berlainan pasti mereka boleh membina ikatan persahabatan.

Selain daripada itu aku amat kesal jika ada orang Melayu sanggup jatuhkan orang Melayu sendiri. Adalah perkara yang tidak bermoral atau memalukan bangsa sendiri jika sanggup mencerca atau memburukkan bangsa sendiri di depan orang lain. Walaupun kita ada kepentingan sendiri maka tidak perlulah sanggup mengadai maruah hingga membuat bangsa kita sendiri terduduk tanpa dapat bangkit semula. Apakah segelintir orang Melayu akan merasa puas dengan cara ini? Itulah hakikat yang perlu kita terima kalau Melayu mudah lupa.

Aku juga perhatikan begitu mudahnya orang Melayu lupa tentang keikhlasan berkawan. Mengapa aku perhatikan orang Melayu hanya akan ikhlas berkawan sesama bangsa hanya kepentingan sesuatu. Inilah yang sering berlaku pada diriku sendiri sering menjadi mangsa kepada berkawan bukan dari sikap yang ikhlas. Kadangkala aku sering menjadi mangsa dengan bangsaku sendiri seperti kata perpatah sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi.

Itulah hakikatnya orang-orang Melayu yang sering berada di sekelilingku mudah lupa bahawa apa-apapun drama atau lakonan yang kamu pentaskan, aku telah tahu jalan ceritanya. Jangan jadi Melayu Mudah Lupa kerana jika kamu pelakon Melayu terbaik, maka aku juga adalah penulis skrip dan pengarah Melayu terbaik. Apa-apapun aku ingin mengingatkan diri sendiri supaya tidak menjadi Melayu Mudah Lupa.