Monday 22 February 2010

Bantal Busuk


Semalam aku menonton televesyen TV9 rancangan 'Alahai Fafau' yang dikendalikan oleh pengacara dan juhebah radio Farah Fauzana. Aku bukan hendak komen rancangan tersebut tetapi aku amat tertarik dengan satu slot berkaitan bantal busuk. Aku tersenyum dan tergelak kerana ia membuatkan aku terkenang anak-anak saudara dan juga cucu saudara kerana telatah mereka dengan bantal busuk.


Aku sendiri tidak tahu mengapa bantal busuk seolah-olah menjadi satu kemestian bagi mereka. Aku perhatikan tanpa bantal busuk anak-anak buah aku macam kehilangan sesuatu terutama apabila hendak tidur. Kalau tanpa bantal busuk di sisi mereka, pasti mereka akan sukar untuk tidur tapi apabila bantal di sisi mereka akan mudah terlena dengan nyenyaknya.


Aku memang sejak dulu suka menyakat anak-anak saudara dengan menyorok bantal busuk mereka. Kadangkala aku gelihati kerana sedang rancak mereka bermain tetiba boleh berhenti sekejap dari bermain semata-mata untuk mencium bantal busuk. Ada di antara mereka sedang tidur dalam buaian boleh terjaga bila aku sengaja mengambil bantal busuk tersebut. Kini anak-anak saudaraku sudah meningkat dewasa dan aku tidak pasti samada mereka masih lagi mempunyai bantal busuk. Namun aku dengar khabar ada juga diantara anak saudaraku yang tidur pasti akan memintal bucu bantal walaupun ianya bukan bantal busuk.

Kini aku perhatikan cucu-cucu saudaraku juga mempunyai bantal busuk. Ada diantara mereka pernah membawa beg sekolah balik ke kampung. Aku sangka mereka berangan hendak ke sekolah maka ibu bapa masing-masing membelikan beg sekolah walaupun usia belum layak ke sekolah tadika. Apabila aku membuka beg tersebut, aku tergelak besar dan memperli mereka kerana ada bantal busuk dan mereka tersenyum tersipu malu.


Aku sendiri tidak tahu kewujudan bantal busuk bermula dari era mana kerana semasa kecil aku tidak mempunyai bantal busuk. Adakah bantal busuk ini bermula di era tahun 1980an? Selain daripada itu bagaimana pula boleh wujudnya bantal busuk ini. Adakah kanak-kanak yang meminta disediakan bantal busuk ataupun ibu bapa yang sengaja memberi bantal busuk kepada kanak-kanak.

Friday 19 February 2010

Cuti Tahun Baru Cina

Sepanjang cuti 6 hari menyambut Tahun Baru Cina ini berbagai-bagai peristiwa yang aku alami.

13hb (Sabtu) - Walaupun cuti sudah bermula aku masih lagi berada di Johor Bahru. Aku malas hendak bergegas pulang ke kampung memandangkan cuti perayaan ini tiada kaitan dengan aku. Oleh itu aku mengambil kesempatan untuk mencuci pakaian, mengosok baju dan sebagainya. Apabila aku melayari blog didapati ada tetamu blog yang tidak berpuashati dengan artikel yang aku tulis. Ada aku kisah.

14hb (Ahad) - Aku pulang ke kampung. Aku sangka perhentian bas Larkin akan sunyi sedikit tetapi masih ramai dipenuhi dengan kaum Cina. Ermm... kemungkinan ada segelintir di antara mereka pulang ke rumah mertua masing-masing. Di dalam bas cuma ada 4 orang sahaja kaum Melayu termasuk pemandu. Lebih kurang jam 12.oo tengahari aku sampai ke kampung. Entah mengapa tetiba magrain aku datang kembali.

15hb (Isnin) - Selepas sembahyang subuh aku menaiki motor Honda C70 ke tanah perkuburan Bakri Batu 6 untuk menziarahi pusara arwah emak, arwah abah, arwah anak saudara dan juga arwah atuk. Selepas sarapan aku rumah abang sulung untuk melihat cucu saudara. Aku cuma dapat berjumpa dengan Fairuz sahaja kerana Syafrie tidak balik kampung. Aku terhibur dengan gelagat cucu saudaraku yang terpengaruh dengan cerita ultraman.

16hb (Selasa) - Aku pergi ke Pusat Rawatan Iridology & Aura, Taman Tasik Utama, Air Keroh, Melaka. Pusat rawatan ini menggunakan kaedah mengesan penyakit melalui mata dan menggunakan penawar biotech. Oleh kerana terlalu ramai pesakit maka giliran aku lebih kurang jam 2.oo petang menyebabkan migrain aku muncul kembali. Tetapi apabila doktor tersebut mengurut kepala aku dengan Bioliz Cream, migrain aku pulih pada masa itu. Selepas itu aku bersama keluarga pergi makan tengahari di sebuah restoran makanan arab kerana aku ingin merasai makanan tersebut. Aku sebenarnya tidak tahu nama nasi tersebut tetapi nasi tersebut lebih kurang macam nasi beriani atau nasi minyak. Kalau makan nasi tersebut tanpa laukpun tetap sedap. Anak saudara aku menggelar nasi itu sebagai nasi arab.

17hb (Rabu) - Lebih kurang jam 2.00 pagi aku dikejutkan oleh abang aku untuk menghantar kakak aku sakit ke Hospital Mahkota, Melaka. Aku bergegas mengemas untuk membawa barang keperluan peribadi yang penting. Lebih kurang jam 3.00 pagi kami sampai di hospital dan kakak dimasukan ke wad kerana kekurangan darah dan jangkitan kuman pada paru-paru. Walaupun rasa mengantuk, aku tidak dapat melelapkan mata. Oleh kerana kakak aku terpaksa bermalam di hospital, lebih kurang jam 6.30 petang aku pulang ke rumah untuk mengambil barang keperluan lain yang terlupa untuk dibawa kerana aku ingin menjaga kakak aku pada malam itu.

18hb (Khamis) - Lebih kurang jam 8.30 pagi doktor memberitahu kakak aku masih perlu lagi dimasukan darah dan akan keluar dari hospital hari esok. Sebenarnya doktor yang biasa merawat kakak aku masih bercuti jadi doktor gantian mungkin merasa ragu-ragu untuk membuat sesuatu keputusan. Jam 3.10 petang, aku meninggalkan hospital untuk balik ke Muar memandangkan aku harus balik ke Johor Bahru jam 5.00 petang. Lebih kurang jam 7.30 malam aku sampai rumah di Johor Bahru. Walaupun aku merasa letih dan kurang tidur namun aku berpuas hati dapat menjaga kakak aku yang banyak menanggung persekolahan aku.

Saturday 13 February 2010

Marah Dan Maaf...?

Hari ini ada pembaca blog aku rasa marah dengan beberapa artikel aku yang mungkin menyentap hati mereka. Aku sebenarnya kadangkala malas hendak mengulas atau membalas balik apa-apa yang diperkatakan kerana nanti tiada kesudahannya. Tetapi kalau aku membisu ada pula yang mengatakan aku takut ataupun aku rasa bersalah. Ermm... entahlah.

Apa-apapun aku terima kasih sahaja kepada yang memberi komen, pandangan ataupun mengutuk aku. Aku dah lali dengan benda-benda ini. Aku bukanlah tidak berani untuk berhadapan dengan sesiapa tentang artikel yang aku tulis tetapi kadangkala aku tidak tahu cara yang terbaik untuk aku luahkan perasaan. Kalau digunakan orang tengah, adakah orang tengah akan jujur ataupun akan menambahkan lagi perkara yang tidak benar. Aku cuma berharap artikel-artikel aku itu kadangkala boleh menjadi panduan kepada orang lain dengan apa yang aku alami ataupun mungkin jangan mengikuti jejak langkah atau cara aku mengatasi sesuatu masalah.

Aku sendiri tidak sangka ada juga orang yang sudi membaca blog walaupun mungkin secara tak sengaja. Adakah aku perlu meminta maaf pada orang yang membuat salah pada aku dulu? Kalau orang ingin mengatakan aku ego, tetapi boleh tanya pada orang yang rapat dengan aku bagaimana aku pernah meminta maaf dengan seorang staf kerana pernah meninggikan suara. Aku juga pernah meminta maaf dengan bekas Ketua Jabatan kerana mengecilkan hati beliau kerana ketawakan kesilapan yang dilakukannya.

Kalau ada orang bertanya apa perasaan aku bila orang lain memburukan nama, menghina, mengumpat atau menulis yang bukan-bukan mengenai aku. Kalau setakat aku hendak menyatakan rasa marah, rasanya tidak perlu. Orang lain tidak pernah tahu dan alami apa yang pernah aku alami selama ini di dalam hal-hal begini. Aku lebih banyak membisu walaupun aku marah dan kecil hati dan hanya dengan blog inilah aku melahirkan rasa marah ataupun apa yang tersimpan di hati ini.

Aku pernah membaca satu artikel secara tidak langsung tentang aku di dalam satu blog, namun aku berdiam diri walaupun aku rasa marah. Aku tidak mengutuk atau memarahi atau memberi komen negatif pada blog tersebut kerana aku faham mereka adalah kawan-kawan aku yang sekadar menulis secara sengaja atau tidak sengaja. Aku tidak pernah memboikot blog tersebut malah masih mengikuti dan kadangkala aku memberi komen yang positif jika bersesuaian.

Sepanjang aku bekerja berbagai fitnah dan sering dianiaya tetapi aku tidak pernah ambil tindakan seperti menyangsang orang lain tetapi aku sekadar bersabar dan cuba menahan kemarahan tersebut. Kalau setakat aku menulis artikel untuk melahirkan rasa kekecewaan boleh membuat yang orang terkena batang hidung itu marah, tetapi pernah orang itu tahu bagaimana marah dan kecewanya aku bila aku cuba pertahankan beliau selama ini rupa-rupanya dia sendiri membuat onak pada aku. Itu sebab aku tidak akan memohon maaf pada beliau selagi beliau sendiri tidak memohon maaf pada aku.

Apa yang dapat aku perkatakan kepada pembaca blog aku ini samada kawan-kawan aku atau sesiapa sahaja yang suka membaca blog yang dihormati ataupun mereka yang menjadi tetamu yang tidak diundang, tidak perlulah membaca blog aku ini kalau merasakan artikel aku selama ini tidak pernah membuka minda ataupun langsung tidak profesional. Apa yang aku tulis adalah apa yang aku alami, apa yang aku rasa dan apa yang aku lihat. Apa yang aku tulis sekadar untuk mengingatkan sesuatu perkara yang kadangkala kita terlupa yang mungkin boleh menjadi panduan untuk kita hadapi dan perbaiki situasi ini. Malah ianya juga boleh menjadikan orang lain untuk berfikir supaya jangan mengikuti cara tulisan blog aku yang tdak pernah membuka minda atau tidak profesional. Ada aku kisah...

Wednesday 10 February 2010

Roti Prata

Adalah menjadi kebiasaan aku akan membuat secawan kopi O sebaik sahaja tiba di tempat kerja. Tetiba hari ini aku terserempak dengan ML membawa banyak roti prata untuk belanja staf di bahagian pentadbiran. ML mengajak aku bersarapan roti prata yang masih panas tetapi aku memberi alasan jarang makan di waktu pagi. ML memberitahu agar mengambil roti prata ini nanti. Aku hanya sekadar mengangguk tanpa bersuara dan terus membancuh secawan kopi O dan terus meninggalkan 'tea room'.

Semasa waktu rehat pagi ramai staf berkunjung ke 'tea room' untuk membuat air termasuk juga untuk makan roti prata yang dibawa oleh ML. Aku buat tidak tahu sahaja apa yang berlaku dan terus memakan sebungkus nasi lemak yang telah aku beli di warung berdekatan rumah. Apabila ada staf bertanya mengenai roti prata aku sekadar menjawab tidak tahu dan terus menghayati nasi lemak. Ermmm... nasib baik aku membeli nasi lemak kerana itu sahaja alasan yang dapat aku berikan untuk mengelak untuk menjamah roti prata tersebut apabila ditanya oleh staf lain.

Aku tidak kisah kalau sesiapapun hendak mengutuk aku kerana enggan memakan roti prata yang dibelanja oleh ML. Aku ada maruah dan harga diri dan mengapa perlu aku terlalu menjaga hati orang lain kalau aku selalu dianiaya. Aku tetap aku. Namun begitu aku ketawa di dalam hati apabila ada seorang staf jatuh terduduk macam nangka busuk kerana teruja hendak makan roti prata percuma. Nasib baik roti prata dan kuah tak terikut sama. Kalau tak, pastilah tak dapat merasa makan roti prata percuma dari ML hari ini. Hehe...

Thursday 4 February 2010

Staf Lembab

Aku tidak tahu bagaimana hendak menghuraikan salah seorang staf baru yang membuat aku tidak berpuashati dengan kerja-kerja beliau. Aku bukan hendak mencari kesalahan staf ini tetapi kalau dah terlalu lembab siapa tidak naik angin. Kalau hendak kata aku ini tidak pandai mengajar, kenapa pula seorang lagi staf baru begitu mudah memahami apa yang aku ajar. Apa yang buat aku naik angin setiap masa staf ini asyik blur sahaja, tidak pandai berdikari, asyik hendak kena pantau sahaja atau lebih tepat langsung tak layak bekerja dengan jawatan yang dipegangnya.

Aku kadangkala kasihan juga dengan beliau apabila aku naik angin sebab beliau sebagai staf baru hanya mendiamkan diri. Hari itu aku pernah juga meninggikan suara sebab beliau terkial-kial menyiapkan kerja walaupun "date line" telah diberitahu. Apa yang membuat aku naik angin beliau tak faham langsung kerja yang sepatut dibuat dan boleh relax memanjang. Kalau setakat sekali dua aku mengajar beliau tidak faham masih boleh diterima tetapi kalau sudah banyak kali siapa yang boleh sabar. Apabila aku sudah mengajar waktu pagi tetapi apabila waktu petang beliau sudah tidak boleh ingat atau dah tidak faham semula. Aku tak fahamlah macam mana abang cik boleh mengambil beliau yang lembab ini bekerja dan memberi gaji besar dan jawatan yang tinggi juga.

Aku tidak bermaksud hendak menghina staf baru yang lembab ini tetapi aku tidak berpuashati kerana mengapa di antara ramai yang memohon kerja jawatan ini si abang cik boleh memilih staf yang lembab ini. Adakah kerana ..... hanya abang cik yang boleh menjawabnya

Wednesday 3 February 2010

Boikot

Entah mengapa hari ini situasi boikot-memboikot berlaku di tempat kerja. Aku sebenarnya tidak hairan dengan situasi ini kerana perkara ini sering berlaku kalau ada rasa tidak puas hati dikalangan pekerja. Ini bukan mengenai boikot seperti berpiket ataupun mogok kerana tidak puas hati terhadap pihak pengurusan, tetapi boikot kepada si Mulut Jahat dan Mulut Longkang.

Staf bengang dengan Mulut Jahat sebab cuba menjaja cerita dan melaga-lagakan orang lain. Aku ingat si Mulut Longkang kepoh pasal lontong aje tetapi rupanya mula buat perangai lain seperti dulu. Aku tidak tahulah bila si Mulut Jahat ini nak taubat. Aku dapat tahu si Mulut Jahat menelefon seseorang iaitu si A dan beritahu si B iaitu rakan sekerja si A mengular di tempat beliau. Apa yang menariknya selepas itu si Mulut Jahat beritahu si B bahawa si A sedang mencarinya. Apa dah jadi.... Oleh kerana ramai staf marah dengan si Mulut Jahat ni maka masing-masing berpakat memboikot si Mulut Jahat agar beliau sedar. Ala.. kalau dah Mulut Jahat, buat apa sekalipun beliau tidak serik sebab beliau pernah menangis konon nak taubat tetapi cuma setakat drama air mata je. Huhu...

Manakala si Mulut Longkang pula cuma aku sahaja yang memboikot sebab beliau sudah mula membuat onak dan mulai fitnah terhadap aku. Oleh kerana aku tidak mahu berlanjutan adalah baik aku memboikot atau lebih tepat malas hendak bercakap dengan Mulut Longkang selain kalau ada urusan kerja. Aku dah malas hendak senyum dengan Mulut Longkang seperti pertama kali kehadiran beliau dahulu. Lantaklah kalau Mulut Longkang hendak menjaja cerita kepada orang lain bahawa aku ni sombong. Ada aku kisah. Tunggu dan lihat sahaja apabila ada seorang staff yang dijangkakan kena transfer bulan ini baru si Mulut Longkang akan tahu langit itu tinggi atau rendah.