Monday, 22 February 2010

Bantal Busuk


Semalam aku menonton televesyen TV9 rancangan 'Alahai Fafau' yang dikendalikan oleh pengacara dan juhebah radio Farah Fauzana. Aku bukan hendak komen rancangan tersebut tetapi aku amat tertarik dengan satu slot berkaitan bantal busuk. Aku tersenyum dan tergelak kerana ia membuatkan aku terkenang anak-anak saudara dan juga cucu saudara kerana telatah mereka dengan bantal busuk.


Aku sendiri tidak tahu mengapa bantal busuk seolah-olah menjadi satu kemestian bagi mereka. Aku perhatikan tanpa bantal busuk anak-anak buah aku macam kehilangan sesuatu terutama apabila hendak tidur. Kalau tanpa bantal busuk di sisi mereka, pasti mereka akan sukar untuk tidur tapi apabila bantal di sisi mereka akan mudah terlena dengan nyenyaknya.


Aku memang sejak dulu suka menyakat anak-anak saudara dengan menyorok bantal busuk mereka. Kadangkala aku gelihati kerana sedang rancak mereka bermain tetiba boleh berhenti sekejap dari bermain semata-mata untuk mencium bantal busuk. Ada di antara mereka sedang tidur dalam buaian boleh terjaga bila aku sengaja mengambil bantal busuk tersebut. Kini anak-anak saudaraku sudah meningkat dewasa dan aku tidak pasti samada mereka masih lagi mempunyai bantal busuk. Namun aku dengar khabar ada juga diantara anak saudaraku yang tidur pasti akan memintal bucu bantal walaupun ianya bukan bantal busuk.

Kini aku perhatikan cucu-cucu saudaraku juga mempunyai bantal busuk. Ada diantara mereka pernah membawa beg sekolah balik ke kampung. Aku sangka mereka berangan hendak ke sekolah maka ibu bapa masing-masing membelikan beg sekolah walaupun usia belum layak ke sekolah tadika. Apabila aku membuka beg tersebut, aku tergelak besar dan memperli mereka kerana ada bantal busuk dan mereka tersenyum tersipu malu.


Aku sendiri tidak tahu kewujudan bantal busuk bermula dari era mana kerana semasa kecil aku tidak mempunyai bantal busuk. Adakah bantal busuk ini bermula di era tahun 1980an? Selain daripada itu bagaimana pula boleh wujudnya bantal busuk ini. Adakah kanak-kanak yang meminta disediakan bantal busuk ataupun ibu bapa yang sengaja memberi bantal busuk kepada kanak-kanak.

No comments: