Friday, 19 February 2010

Cuti Tahun Baru Cina

Sepanjang cuti 6 hari menyambut Tahun Baru Cina ini berbagai-bagai peristiwa yang aku alami.

13hb (Sabtu) - Walaupun cuti sudah bermula aku masih lagi berada di Johor Bahru. Aku malas hendak bergegas pulang ke kampung memandangkan cuti perayaan ini tiada kaitan dengan aku. Oleh itu aku mengambil kesempatan untuk mencuci pakaian, mengosok baju dan sebagainya. Apabila aku melayari blog didapati ada tetamu blog yang tidak berpuashati dengan artikel yang aku tulis. Ada aku kisah.

14hb (Ahad) - Aku pulang ke kampung. Aku sangka perhentian bas Larkin akan sunyi sedikit tetapi masih ramai dipenuhi dengan kaum Cina. Ermm... kemungkinan ada segelintir di antara mereka pulang ke rumah mertua masing-masing. Di dalam bas cuma ada 4 orang sahaja kaum Melayu termasuk pemandu. Lebih kurang jam 12.oo tengahari aku sampai ke kampung. Entah mengapa tetiba magrain aku datang kembali.

15hb (Isnin) - Selepas sembahyang subuh aku menaiki motor Honda C70 ke tanah perkuburan Bakri Batu 6 untuk menziarahi pusara arwah emak, arwah abah, arwah anak saudara dan juga arwah atuk. Selepas sarapan aku rumah abang sulung untuk melihat cucu saudara. Aku cuma dapat berjumpa dengan Fairuz sahaja kerana Syafrie tidak balik kampung. Aku terhibur dengan gelagat cucu saudaraku yang terpengaruh dengan cerita ultraman.

16hb (Selasa) - Aku pergi ke Pusat Rawatan Iridology & Aura, Taman Tasik Utama, Air Keroh, Melaka. Pusat rawatan ini menggunakan kaedah mengesan penyakit melalui mata dan menggunakan penawar biotech. Oleh kerana terlalu ramai pesakit maka giliran aku lebih kurang jam 2.oo petang menyebabkan migrain aku muncul kembali. Tetapi apabila doktor tersebut mengurut kepala aku dengan Bioliz Cream, migrain aku pulih pada masa itu. Selepas itu aku bersama keluarga pergi makan tengahari di sebuah restoran makanan arab kerana aku ingin merasai makanan tersebut. Aku sebenarnya tidak tahu nama nasi tersebut tetapi nasi tersebut lebih kurang macam nasi beriani atau nasi minyak. Kalau makan nasi tersebut tanpa laukpun tetap sedap. Anak saudara aku menggelar nasi itu sebagai nasi arab.

17hb (Rabu) - Lebih kurang jam 2.00 pagi aku dikejutkan oleh abang aku untuk menghantar kakak aku sakit ke Hospital Mahkota, Melaka. Aku bergegas mengemas untuk membawa barang keperluan peribadi yang penting. Lebih kurang jam 3.00 pagi kami sampai di hospital dan kakak dimasukan ke wad kerana kekurangan darah dan jangkitan kuman pada paru-paru. Walaupun rasa mengantuk, aku tidak dapat melelapkan mata. Oleh kerana kakak aku terpaksa bermalam di hospital, lebih kurang jam 6.30 petang aku pulang ke rumah untuk mengambil barang keperluan lain yang terlupa untuk dibawa kerana aku ingin menjaga kakak aku pada malam itu.

18hb (Khamis) - Lebih kurang jam 8.30 pagi doktor memberitahu kakak aku masih perlu lagi dimasukan darah dan akan keluar dari hospital hari esok. Sebenarnya doktor yang biasa merawat kakak aku masih bercuti jadi doktor gantian mungkin merasa ragu-ragu untuk membuat sesuatu keputusan. Jam 3.10 petang, aku meninggalkan hospital untuk balik ke Muar memandangkan aku harus balik ke Johor Bahru jam 5.00 petang. Lebih kurang jam 7.30 malam aku sampai rumah di Johor Bahru. Walaupun aku merasa letih dan kurang tidur namun aku berpuas hati dapat menjaga kakak aku yang banyak menanggung persekolahan aku.

No comments: