Monday 30 August 2010

Facebook

Sejak beberapa hari yang lalu aku cuba membuat facebook selepas kerap ditanya oleh beberapa orang kenalanku. Akhirnya aku berjaya juga membuat facebook walaupun iannya tidaklah begitu menarik. Maklum sahaja orang baru di dalam dunia ini. Apakah kelebihan facebook ini? Aku berharap facebook ini dapat menghubungkan aku dan rakan-rakan sekolah. Namun di sebalik itu aku juga berharap agar tiada orang yang suka mengacau facebook aku sepertimana yang berlaku di dalam blog milik aku. Apa yang peliknya mamat ini sering menganggu aku walaupun suatu ketika dahulu aku telah memberinya amaran.

Hasil terbinanya facebook ini aku dapat menghubungi semula rakan sekolah dan sekelas semasa darjah lima di Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar iaitu Azlan Huzairi Mustafa'l Adnan. Apa yang pasti Azlan tidak mengingati langsung kerana hubungan kami terputus begitu lama. Namun begitu beliau memuji memori aku kerana masih mengingati sedikit biodata beliau dan kenangan semasa zaman persekolahan dahulu.

Aku berharap dengan wujudnya facebook ini dapat menghubungi semula rakan-rakan sekolah semasa di Sekolah Rendah Ismail (Satu) Muar (1972 - 1977), Sekolah Menengah Sri Muar (1978 - 1980) dan Sekolah Tinggi Muar (1981 - 1984).

Wednesday 18 August 2010

Gas Dah Habis

Sewaktu aku memanaskan lauk untuk bersahur tetiba sahaja aku melihat api di dapur tiada atau telah padam. Aku sangkakan samada aku terlupa pasang api atau aku tertutup tong gas tanpa disedari. Maklum sahaja kadangkala diawal pagi kalau mengantuk akan membuat kita mamai. Apabila aku memeriksa tong gas aku dapati ianya ringan. Alamak... gas dah habis.

Oleh kerana tiada pilihan aku terpaksalah bersahur dengan lauk sejuk. Lantaklah, janji masih boleh makan dan bersahur. Kini yang menjadi masalah aku untuk membeli gas kerana di Johor Bahru ini kadangkala ada kedai yang banyak songeh tidak mahu hantar gas ke rumah. Apa yang peliknya di dalam peti surat rumah penuh dengan iklan penyediaan hantar tong gas ke rumah, tetapi apabila menelefon banyak sahaja alasannya. Nampaknya terpaksa aku cari alternatif lain sementara menunggu hari minggu menanti lori yang menjual tong gas melalui kawasan rumah aku.

Kadangkala apabila melihat keadaan ini membuatkan aku rasa menyesal tidak membeli microwave oven, tetapi apabila ada yang kata ianya merbahayakan kesihatan membuat aku seringkali melupakan hasrat tersebut. Bingung juga memikirkan...

Monday 16 August 2010

Perut Meragam

Semalam setelah beberapa hari berpuasa di kampung aku kembali semula ke Johor Bahru. Entah mengapa sewaktu menaiki bas jam 5.00 petang, aku merasakan sesuatu yang kurang menyenangkan. Adakah aku kena gastrik? Semasa bas mula bergerak meninggalkan bandar Muar, perutku mula rasa sakit. Alamak, tak kan di dalam bas perut nak meragam pula. Aku hanya mampu berdoa semoga tidak mengalami kesulitan sepanjang perjalanan tersebut.

Selepas kawasan rehat Pagoh, kesakitan perutku semakin kuat. Aku rasa menyesal pula tidak meminta pemandu bas berhenti sebentar di kawasan rehat Pagoh. Oleh kerana aku tidak mahu menghadapi risiko dengan muka tidak malu aku terpaksa meminta pemandu bas berhenti sebentar di kawasan rehat seterusnya. Semakin hampir di kawasan rehat Yong Peng kesakitan perutku semakin kuat. Alhamdulillah, di dalam keadaan hujan Allah telah kabulkan doaku.

Sebaik sahaja aku turun dari bas telah masuk waktu berbuka puasa bagi kawasan Johor Bahru. Jadi semasa berjalan menuju ke rumah aku hanya berbuka dengan air mineral dan sekeping coklat. Tetapi entah mengapa tetiba sahaja sakit perutku datang kembali. Aku terus melajukan langkah kaki dan sesekali berlari untuk memastikan cepat sampai ke rumah. Apabila tiba di rumah sakit perutku semakin kuat dan lintang-pukanglah aku terus ke bilik air melepaskan hajat.

Selepas mandi aku terus menunaikan solat maghrib dan kemudian aku makan makanan yang dibekalkan oleh abang-abang aku iaitu bubur lambuk dan pengat sagu. Alhamdulillah, kalau dahulu arwah kakak yang akan membekalkan aku makanan dan sekarang sekurang-kurangnya masih ada abang-abang yang mengambil berat tentang diriku.

Friday 13 August 2010

3 Ramadan 1431H

Hari kedua aku berpuasa di kampung. Oleh kerana hari ini merupakan hari Jumaat, aku mengambil kesempatan menziarahi pusara arwah emak, arwah abah, arwah kakak, arwah anak saudara dan arwah atuk. Inilah masa untuk aku melepaskan rasa rindu kepada mereka. Aku tidak pasti bagaimana untuk aku menyambut Hari Raya tahun ini tanpa mereka di sisi. Aku hanya mampu berdoa semoga Allah memberi aku kekuatan untuk menghadapi situasi kali ini. Apa yang pasti Ramadan dan Syawal 1431H kali ini amat berlainan dalam dairi kehidupanku.

Thursday 12 August 2010

2 Ramadan 1431H

Hari ini merupakan hari kedua umat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadan di tahun ini. Hari ini juga aku berkesempatan berpuasa di kampung walaupun tanpa arwah ibu bapa dan arwah kakakku. Aku rasa kelainan sedikit berpuasa di kampung pada tahun ini kerana tanpa arwah kakakku untuk menyediakan juadah untuk bersahur. Namun hari ini tugas itu diambil oleh anak saudaraku.

Kalau sebelum ini arwah kakakku akan bertanya apa menu untuk juadah berbuka puasa tetapi kali ini semuanya sudah tiada lagi dalam dairi kehidupanku. Aku hanya makan apa sahaja yang disediakan oleh anak saudaraku. Tetapi yang aku geram pada hari pertama aku berpuasa di kampung pihak Jabatan Kesihatan boleh membuat semburan nyamuk dikala orang kampung sedang bersiap-sedia untuk menyediakan juadah berbuka. Jadi faham-faham ajelah mulalah mulut aku ni nak membebel. Sabar ajelah dugaan di bulan puasa ini.

Monday 9 August 2010

Lanjutan Terlepas Pandang

Kekecohan terus berlaku akibat dari memo pertukaran jadual waktu kerja. Ada segelintir pekerja cuba mengeruhkan suasana dengan mengaitkan perkara ini dengan waktu solat Jumaat. Aku sekadar membaca dan malas untuk mengecohkan lagi keadaan ini. Aku sangkakan apabila pekerja tersebut dipanggil oleh pihak Personnel untuk diterangkan keadaan yang berlaku maka ianya akan berakhir, tetapi semakin kecoh.

Kemudian ada lagi emel yang dihantar oleh seseorang yang cuba mempertikaikan mengenai waktu keluar solat Jumaat bagi lelaki yang beragama Islam. Selepas itu ada pekerja bernama M bukan nama sebenar telah menjawab bagi pihak Personnel untuk menerangkan kedudukan sebenarnya. Wow... bahasanya amat tajam kepada semua pihak yang masih tidak faham akan keadaan ini. Kalau aku berada di tempat mereka seperti apa yang dijelaskan oleh si M pasti boleh membuat aku rasa malu. Aku sendiri tidak faham mengapa kita suka menunding jari untuk menyalahkan orang lain sedangkan semua itu berpunca dari kesalahan kita sendiri. Apa yang aku tahu agama Islam tidak pernah membebankan umatnya.

Aku sangka selepas jawapan dari si M pasti pekerja-pekerja akan tesentap dan lebih memahami akan segala peraturan yang telah dibuat oleh pihak syarikat. Bagi aku penerangan dari M cukup padat dan dapat menghuraikan segala persoalan pekerja lelaki beragama Islam akibat dari kita sendiri yang terlepas pandang. Tetiba ada staf baru di dalam nada serious menghantar emel cuba menyalahkan pihak Kesatuan Sekerja kerana hal yang berkaitan solat Jumaat. Aku tetiba naik angin membaca emel tersebut kerana ada juga manusia yang masih tidak faham atau terlepas pandang untuk memahami keterangan yang diberi oleh si M. Aku yang pada mulanya hanya berdiam diri terus menjawab dan menjelaskan serta meminta supaya isu solat Jumaat usah dipanjangkan jika masih tidak mahu faham apa sebenarnya yang telah berlaku. Pada pandangan aku tidak guna kita menunding jari untuk menyalahkan kepada pihak lain kerana yang pasti tundingan jari itu akan kembali kepada kita semula.

Aku bukanlah seorang ustaz tetapi aku malu kalau perbalahan ini akan menunjukkan betapa lemahnya kita umat Islam. Aku berharap emel aku itu tidak menjadi kontroversi kepada pekerja-pekerja lain. Apa yang pasti ada wakil Kesatuan Sekerja telah menyokong keterangan aku dan ada staf Jabatan Personnel tersenyum melihat aku.

Friday 6 August 2010

Terlepas Pandang

Ada sedikit kekecohan apabila Jabatan Personnel mengeluarkan memo tentang perubahan jadual waktu kerja dan rehat. Ini adalah kerana mendatangkan sedikit masalah kepada mereka yang berkerja shif ataupun 12 jam kerana didapati tiada waktu rehat untuk solat asar dan subuh. Ada segelintir pihak cuba menyalahkan pihak Personnel sendirian walaupun sebenarnya ianya patut disalahkan kepada semua pihak. Apakan tidak kerana sebelum memo itu dikeluarkan semua pihak termasuk Ketua Jabatan yang beragama Islam dan juga wakil Kesatuan Sekerja telah bersetuju. Apa hendak dikata, inilah akibatnya kalau semua pihak terlepas pandang.

Aku sendiri pun telepas pandang kerana menyangkakan bahawa pada tahun ini umat Islam di Malaysia akan menyambut awal Ramadhan pada 13hb Ogos memandangkan pada hari itu pihak syarikat mengumumkan hari cuti. Aku pula sebulan sebelum itu telah mengambil cuti pada 12hb Ogos kononnya untuk memastikan hari pertama bersahur, puasa dan berbuka di kampung. Apabila memo dikeluarkan oleh pihak Personnel tentang jadual waktu kerja barulah aku tersedar bahawa awal Ramadhan dijangkakan pada hari Rabu 11hb Ogos. Ermmm... nampak gayanya terpaksalah aku berbuka puasa pada 1 Ramadhan 1431H di stesen bas Larkin, Johor Bahru.