Semalam setelah beberapa hari berpuasa di kampung aku kembali semula ke Johor Bahru. Entah mengapa sewaktu menaiki bas jam 5.00 petang, aku merasakan sesuatu yang kurang menyenangkan. Adakah aku kena gastrik? Semasa bas mula bergerak meninggalkan bandar Muar, perutku mula rasa sakit. Alamak, tak kan di dalam bas perut nak meragam pula. Aku hanya mampu berdoa semoga tidak mengalami kesulitan sepanjang perjalanan tersebut.
Selepas kawasan rehat Pagoh, kesakitan perutku semakin kuat. Aku rasa menyesal pula tidak meminta pemandu bas berhenti sebentar di kawasan rehat Pagoh. Oleh kerana aku tidak mahu menghadapi risiko dengan muka tidak malu aku terpaksa meminta pemandu bas berhenti sebentar di kawasan rehat seterusnya. Semakin hampir di kawasan rehat Yong Peng kesakitan perutku semakin kuat. Alhamdulillah, di dalam keadaan hujan Allah telah kabulkan doaku.
Sebaik sahaja aku turun dari bas telah masuk waktu berbuka puasa bagi kawasan Johor Bahru. Jadi semasa berjalan menuju ke rumah aku hanya berbuka dengan air mineral dan sekeping coklat. Tetapi entah mengapa tetiba sahaja sakit perutku datang kembali. Aku terus melajukan langkah kaki dan sesekali berlari untuk memastikan cepat sampai ke rumah. Apabila tiba di rumah sakit perutku semakin kuat dan lintang-pukanglah aku terus ke bilik air melepaskan hajat.
Selepas mandi aku terus menunaikan solat maghrib dan kemudian aku makan makanan yang dibekalkan oleh abang-abang aku iaitu bubur lambuk dan pengat sagu. Alhamdulillah, kalau dahulu arwah kakak yang akan membekalkan aku makanan dan sekarang sekurang-kurangnya masih ada abang-abang yang mengambil berat tentang diriku.
No comments:
Post a Comment