Monday, 4 May 2009

Makan Di Luar

Kali ini aku ingin berkongsi cerita dan juga pengalaman makan di luar kepada pembaca. Oopss... jangan salah sangka ya. Aku yakin mungkin ada sebahagian pembaca pernah mengalami ataupun sekurang-kurangnya mengetahui kejadian yang pernah berlaku kepada orang lain. Apa yang ingin aku ceritakan kali ini mengenai unsur-unsur yang tidak diundang di dalam makanan atau minuman yang kita pesan apabila makan di luar seperti di kedai, warung, restoran dan sebagainya.

Beberapa minggu lepas aku dan rakan sepejabat bersama keluarganya makan di kedai kek Lavender Permas Jaya, Johor Bahru. Rakan sepejabat aku itu telah memesan sepinggan mee. Sebaik sahaja beliau hendak makan mee tersebut beliau ternampak ada sehelai rambut di dalam mee tersebut. Beliau hanya membuang rambut tersebut itu dan meneruskan makan mee tersebut tanpa membuat aduan kepada pelayan berkenaan untuk menukar mee tersebut.

Seminggu kemudian aku balik ke kampung dengan menaiki bas ekspress. Sementara menanti bas bertolak ke destinasi, aku mengisi perutku dengan segelas teh tarik dan murtabak di restoran bawah di perhentian bas Larkin. Beberapa minit kemudian meja di sebelahku diduduki oleh dua orang lelaki dengan memesan makanan dan minuman. Tiba-tiba seorang daripada lelaki tersebut yang duduk sebaris denganku telah memanggil salah seorang pelayan dan bercakap sesuatu sambil menunjukkan gelas teh O beliau. Walaupun aku tidak mendengar butiran perbualan mereka tetapi aku boleh mengagak apa yang cuba diperkatakan.

Setelah itu pelayan tersebut mengambil gelas teh O itu dan terus menuju ke tempat membuat air. Oleh kerana aku telah selesai mengisi perut maka mata aku terus memerhati pelayan tersebut. Pelayan restoran tersebut terus mengambil sudu dan aku melihat dia mengambil sesuatu di dalam gelas air. Kemudian pelayan itu membawa gelas yang mengandungi air yang sama sambil melihat di dalam gelas tersebut menuju ke meja lelaki di sebelah aku. Aku hanya mampu tersenyum lebar sambil menutup mulut dengan tangan apabila melihat gelagat pelayan tersebut.

Kalau berdasarkan kepada dua kejadian ini apakah langkah atau cara terbaik yang sepatutnya dilakukan. Adakah mengikut cara rakan sepejabat aku dengan hanya membuang unsur yang tidak diundang tanpa membuat aduan kepada pelayan untuk menggantikan dengan makanan yang baru. Atau mengikut cara lelaki yang bersebelahan dengan meja aku dengan membuat aduan tetapi diperbodohkan oleh pelayan tersebut.

Sebenarnya ada pelbagai cara yang kita boleh lakukan jika menghadapi situasi seperti ini apabila makan di luar tetapi terpulanglah kepada kita untuk memilih cara yang terbaik. Apakah cara yang terbaik itu hanya kita yang boleh menentukan sendiri.

1 comment:

LaN KidA said...

Salam Zuhairi,
Saya bab makan ni takde la cerewet sangat. Takat jumpa rambut dalam makanan, saya boleh terima dan teruskan makan lepas buang rambut tu tapi kalau jumpa benda-benda kotor seperti serangga, tu tak boleh terima la. Biasanya saya tak jadi makan dan tinggalkan saja makanan tu dan lepas itu tak pergi dah ke kedai tu.

Satu lagi habit saya kalau kat restoran mesti pergi tandas yang selalunya di bahagian belakang kedai tu sebab boleh tengok cara mereka menyediakan makanan. Dari situ boleh buat pertimbangan samada boleh ulang ke kedai tersebut atau tidak.

Cuma saya ni sebenarnya fobia sedikit dengan warung tetapi bukan bermakna saya tak makan langsung kat warung. Ini kerana biasanya warung terletak di tempat yang tiada kemudahan tandas dan paip air yang sempurna, Jadi saya fobia sedikit sebab memikirkan di mana tuan warung gunakan tandas dan cuci selepas berhadas. Saya fobia takut lepas hadas terus sediakan makanan tanpa mencuci tangan.

Tapi selalunya kalau dah lapar sangat, ada faktor2 di atas tu tolak tepi dan buat tutup mata jer...hehe