Sunday, 6 September 2009

Kenangan Puasa di ITM

Hari ini adalah hari ke 16 umat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadan 1430H ataupun berpuasa. Semalam aku berbuka bersama-sama kawan sekerja di Danga Bay. Ini telah mengimbau kenangan aku semasa berpuasa ataupun berbuka puasa sewaktu aku belajar di ITM dahulu.

Apa yang paling melucukan ialah kali pertama aku berpuasa di rantauan dan juga asrama semasa di ITM Pahang semester kedua. Aku yang biasa sahur di kampung setengah jam sebelum imsak pasti ingin melakukan di asrama kononnya hendak mengambil fadilat sunat lambat bersahur. Adalah menjadi kebiasaan tinggal di asrama ni memang waktu bersahur adalah 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi. Namun begitu aku akan bangun sebelum imsak dan subuh untuk bersahur sekadar minum secawan air nescafe dan mungkun biskut sahaja. Tapi entah pada suatu hari aku boleh tertidur semula walaupun jam loceng sudah berbunyi untuk mengejutkan aku dari tidur untuk bersahur. Aku hanya tersedar bila jam sekali lagi berbunyi yang aku sangkakan untuk mengejutkan aku untuk bersahur. Tetapi tiba-tiba aku terdengar suara Sidi atau Che Dat bertanya aku nak buat apa semasa aku memanaskan air. Alangkah terkejutnya aku bila aku melihat jam sebab dah waktu subuh. Huhu... Sepanjang hari itu Sidi asyik mengutuk aku sahaja.

Semasa aku di ITM Shah Alam semester pula ada kejadian yang amat memalukan dan menyedihkan pada hari pertama berbuka puasa. Adalah menjadi kebiasaan apabila berbuka puasa aku akan meminum seteguk air dan manisan seterusnya sembahyang maghrib dahulu sebelum mengisi perut dengan makanan yang berat. Sebaik sahaja aku ke dewan makan, aku dapati nasi dan lauk pauk sudah habis. Aku keluar dari dewan makan dengan perasaan yang hampa dan sedih. Aku terus berjalan dengan pantas sambil menundukkan muka kerana rasa malu kalau semua orang di dewan makan tahu apa yang berlaku. Aku sendiri tidak pasti samada mereka yang berada di dewan itu tahu kejadian yang berlaku. Andaikata mereka tahu adakah mereka bersimpati atau mereka akan ketawakan aku.

Namun begitu ada juga berlaku kesilapan waktu berbuka puasa yang tidak disengajakan. Semasa aku di ITM Shah Alam aku sering mendengar siaran radio KL. Aku pun lupalah nama siaran radio KL ini maklum sahaja dah lama tinggalkan Shah Alam dan KL dan sekarang pula siaran radio ada pelbagai nama. Aku pada masa itu tidak mengetahui waktu berbuka puasa di KL dan Shah Alam adalah berbeza. Jadi apabila radio KL menyiarkan azan maghrib aku terus berbuka tanpa ragu-ragu kerana tidak terfikir yang KL dan Shah Alam adalah dua kawasan yang berbeza waktu berbuka puasa. Tapi entah tetiba suatu hari aku terdengar suara juruhebah membaca waktu imsak dan berbuka puasa untuk seluruh negeri. Aku tergamam bila mengetahui bahawa waktu berbuka bagi kawasan KL adalah lebih awal sedikit dari Shah Alam.

Aku paling seronok apabila berbuka puasa dengan kawan-kawan di luar. Kebiasaannya berlaku apabila hari terakhir peperiksaan semester. Selepas aku mengemaskan semua pakaian untuk pulang ke kampung pada keesokannya, aku akan ke KL keseorangan. Apa yang pasti dua kawan baik aku iaitu Muslim dan Syed Sham akan menanti aku di sana. Tempat pertemuan kami biasanya di depan pintu masuk Central Market. Kami bertiga akan berbuka puasa di KFC dan pastinya tempat duduk lain silih berganti namun kami bertiga masih di situ berborak-borak. Nasib baik KFC tidak kenakan sebarang 'charge' untuk kami duduk berjam-jam di situ.

2 comments:

Mus_Astley said...

Aku ingat.. aku ingat...!

fendi said...

masih kah kau ingat....?

mesti ingat punya....