Zakat Fitrah di negeri Johor pada tahun ini yang diwajibkan bagi umat Islam ialah sebanyak RM5.00 atau RM7.50 berdasarkan harga beras yang dimakan. Jadi terserahlah kepada penduduk di Johor untuk memilih yang mana satu untuk mereka membayar zakat samada mengikut beras yang mereka makan atau tidak perlu berkira dengan membayar RM7.50 kerana hanya setahun sekali.
Adalah menjadi kebiasaan aku akan membayar zakat fitrah selepas waktu zohor kerana mungkin menjadi tradisi di Johor Bahru kaunter zakat di masjid dibuka selepas waktu zohor. Kali ini aku berhasrat untuk membayar zakat fitrah berdekatan masjid di rumah aku. Tapi aku pelik sebaik sahaja aku sampai di masjid tersebut lebih kurang jam 2.oo petang kaunter zakat ditutup dan notis memberitahu kaunter dibuka jam 2.45 petang.
Aku terus beredar dari masjid tersebut dan menuju ke masjid di kawasan lain yang menjadi tradisi aku sejak 5 tahun yang lalu. Sebenarnya sebelum ini bertahun-tahun aku lebih suka membayar zakat fitrah di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru tetapi berubah sejak 5 tahun yang lalu. Sementara ku menanti giliran motor aku di "service" aku pergilah ke masjid yang biasa aku bayar zakat sebelum ini yang berdekatan dengan kedai motor. Sekali lagi aku menerima kejutan apabila amil zakat tiada dan terdapat notis yang menyatakan kaunter dibuka jam 1.30 petang.
Sebaik sahaja aku selesai membetulkan motor, aku bergegas sekali lagi ke masjid yang kedua aku pergi namun kaunter zakat masih sunyi dan seterusnya ke masjid pertama yang berdekatan di rumah aku juga sunyi walaupun jam telah menunjukkan jam 3.00 petang. Walaupun di kedua-dua kaunter zakat terdapat notis menyatakan nombor telefon amil zakat untuk dihubungi, namun prinsip aku tidak akan menelefonnya. Aku terus tertanya-tanya di dalam hati apakah amil zakat 1430H ini terlalu sibuk dan tidak perlu menunggu di masjid walaupun kelazimannya mereka pasti sentiasa berada di masjid selepas waktu zohor.
Oleh kerana aku memang tidak suka melengahkan pembayaran zakat fitrah aku terus ke pusat membeli-belah yang juga berdekatan di rumah aku. Kali ini aku bernasib baik kerana amil zakat fitrah berada di situ untuk menanti orang ramai membayar zakat. Aku terus menjalankan kewajipan aku untuk membayar zakat. Syukur Alhamdulillah kerana tidak perlulah aku membuat temujanji dengan amil zakat untuk membayar zakat pada tahun ini.
No comments:
Post a Comment