Monday, 24 August 2009

Arwah Emak - 13 Tahun

Hari ini adalah 3 Ramadan 1430H bersamaan dengan 24 Ogos 2009. Hari ini adalah genap 13 tahun arwah emak meninggal dunia yang menjadikan aku anak yatim piatu. Masa begitu cepat berlalu kerana telah 13 tahun juga aku tidak dapat berpuasa bersama arwah emak dan sekaligus tidak dapat mencium tangan arwah emak setiap pagi Hari Raya.

Hari ini aku masih berada di kampung dan akan pulang ke Johor Bahru pada petang ini jam 5.00 petang. Walaupun arwah emak telah meninggalkan aku selama 13 tahun namun segala kenangan terutama di bulan puasa sentiasa di dalam memori aku. Aku tahu masa tidak akan berputar kembali kerana yang hidup perlu teruskan perjalanannya. Walaupun pada masa itu aku sudah bekerja, namun apabila aku pulang ke kampung pada bulan puasa pasti arwah emak akan bertanya lauk atau kuih apa yang aku teringin nak makan. Apa juga makanan atau kuih yang aku sebut pasti dia akan dengan senang hati membuatnya. Apabila sehari dua sebelum sambutan Hari Raya aku telah pulang ke kampung pasti dia akan bertanya samada aku telah membayar zakat atau belum walaupun arwah emak tahu aku sebenarnya adalah anaknya yang sering membayar awal.

Walaupun telah 13 tahun berlalu, segala memori bersama arwah emak pasti tidak akan aku lupa. Aku akan terus berdoa selagi mampu agar arwah emak dicucuri rahmat oleh Allah dan di tempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal salleh.

No comments: