Aku kini sudah berada di kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Sepanjang perjalanan dari Johor Bahru ke Muar ada beberapa kawasan yang agak sesak. Tambahan perjalanan agak membosankan kerana pemandu memainkan lagu raya Deepavali. Sakit jiwa dibuatnya. Apa-apapun aku selamat sampai di kampung sebelum waktu berbuka puasa.
InsyaAllah, esok merupakan hari terakhir Ramadan 1430H atau puasa. Sempurnakah puasa kita selama sebulan ini. Tapi bagaimana bagi mereka yang tidak berpuasa tanpa alasan yang munasabah yang dikatogeri sebagai insan yang tidak wajib berpuasa. Aku bukanlah seorang insan yang warak tetapi aku masih tahu tanggungjawab aku sebagai umat Islam yang diwajibkan untuk berpuasa.
Aku kadangkala sedih, geram dan rasa terhina melihat sikap orang-orang Melayu yang kononnya mengaku beragama Islam tetapi tidak berpuasa malah merasa bangga makan di khalayak ramai. Aku melihat di tempat kerja ramai pekerja kontrak lelaki Melayu berusia remaja tidak berpuasa. Pada mulanya mereka menyorok untuk merokok tetapi dari hari ke sehari mereka tidak lagi merasa malu untuk merokok dan minum dengan tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melihat kelibat aku balik dari mengerjakan sembahyang zohor. Aku sendiri tidak tahu apa hendak jadi dengan mereka ini.
Malah katanya ada juga segelintir pekerja lama dewasa yang telah beranak-pinak juga tidak berpuasa malah marah jika kita melihat mereka makan dengan selambanya. Selain daripada itu aku sendiri melihat ada di antara penjual makanan di bazar ramadan samada di lorong kompleks Kota Raya, Johor Bahru dan juga di Kip Mart Tampoi tanpa rasa segan makan ataupun merokok. Apa nak jadi?
Sekejap sahaja masa berlalu dan InsyaAllah esok akan berakhirnya Ramadan 1430H. Kepada mereka yang telah menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan iaitu Rukun Islam ke 3, syukur Alhamdulillah. Tetapi bagaimana mereka yang tidak berpuasa pada tahun ini adakah mereka akan berjumpa lagi Ramadan pada tahun hadapan......
No comments:
Post a Comment