Monday, 20 July 2009

Kenangan di ITM

Aku pasti setiap orang pasti ada kenangan tersendiri yang tidak akan dapat dilupakan. Kali ini aku ingin berkongsi cerita kenangan aku bersama kawan-kawan semasa menuntut di ITM. Aku tidak pasti samada secebis kenangan ini masih lagi bertahta di hati kawan-kawan. Apa-apapun aku ingin memohon maaf kerana mengembalikan kenangan ini tanpa izin dari kawan-kawan.

Muslim Othman (DSS). Aku pada mulanya memang tidak rapat dan tidak mengenali langsung beliau ini. Tapi entah tiba-tiba pada pada hari peperiksaan semester beliau mengetuk pintu bilik aku untuk meminjam jam tangan. Aku seperti macam dipukau terus memberi jam tangan tanpa bertanya. Namun itu adalah rahmat kerana sejak dari hari itu aku mulai rapat dan terus menjadi kawan yang paling baik sehingga hari ini. Walaupun ada ketika kami mempunyai pendapat yang berbeza namun ianya tidak pernah menjejaskan persahabatan kami.

Azmi Abu Bakar (DPA). Dikenali dengan gelaran Bilal kerana menjadi tukang azan semasa orientasi pelajar-pelajar baru. Sepanjang aku menuntut di ITM, beliau banyak membantu aku menunjukkan persekitaran jalan-jalan di Kuantan, Shah Alam dan Kuala Lumpur memandangkan aku langsung tidak memahami persekitaran ini. Kadangkala beliau menjadi rakan pembentangan kertas kerja. Semasa aku ingin mendaftarkan diri di ITM Shah Alam pada semester 5, beliau juga yang telah menumpangkan aku kereta keluarga beliau. Malah untuk ke kuliah di ITM Shah Alam aku juga menumpang motor beliau dengan berkongsi mengisi minyak. Walaupun hubungan kami rapat namun kadangkala beliau masih tidak memahami sikap aku.

Sidi (DPA). Rakan sekelas dan juga rakan sebilik semester 1 dan 2 yang dikenali dengan nama Che Dat. Aku pernah tersilap melihat jam semasa ingin bangun sahur di bulan puasa. Semasa aku sedang memasak air, beliau terus bangun dan bertanya aku buat apa. Aku terus tergamam bila beliau menunjukkan jam loceng kerana waktu imsak telah habis. Sepanjang hari aku asyik kena perli dengan beliau.

W.Mazlan (DPA). Rakan sekelas dan juga rakan sebilik semester 1 dan 2 serta rakan serumah semasa semester 3 yang dikenali sebagai Apek atau Lemberg. Dengan sikap dan wajah yang sering blur, kadangkala suka menyakat aku. Semasa aku memotong kek hari jadi ke 22 di semester 4 dengan pantas dia memegang tangan aku semasa rakan lain mengambil gambar. Nak tumpang sambut hari jadilah tu. Hehe. Namun dia tak berani menyakat aku di depan Sidi.

Hashim Rahim (DCS). Rakan sebilik semester 1 dan 2 yang berasal daripada Muar. Beliau dikenali dengan gelaran Inspektor kerana cara berpakaian. Kasut hitam sentiasa berkilat. Oleh kerana kejutan budaya, beliau telah menukar penampilan berpakaian dari memakai seluar slack kepada jeans. Maklum sahaja kerana aku, Apek dan Sidi memang memakai seluar jeans. Beliau juga menjadi seorang perokok kerana terpengaruh dan hasutan kawan-kawan.

Muliadi (DPA). Beliau lebih dikenali dengan gelaran Guru Besar atau DO kerana fizikal dan penampilan diri. Beliau adalah kawan baik aku dan kami sering bersama semasa di bilik kuliah dan sering menjadi rakan pembentangan kertas kerja. Jangan sesekali beliau dicabar kerana pasti beliau akan melakukannya. Walaupun kami berkawan baik, namun aku dengar khabar dia tidak begitu mengenali aku sekarang. Aku faham dengan keadaan ini kerana beliau sekarang pensyarah dan bakal begelar Professor di UUM pasti tidak layak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan aku.

Zambran Ismail (DBS). Aku mulai rapat dengan beliau semasa semester 3 kerana menjadi rakan sebilik. Beliau amat pendiam dan mempunyai ramai peminat wanita. Walaupun dia sering berkongsi masalah dengan aku, namun ada juga beberapa perkara yang dia akan cuba merahsiakan kerana katanya tidak tahan mendengar leteran aku. Aku pernah berleter apabila dapat tahu dia pergi dating waktu maghrib pada semester 4.


Khairudin Ismail (DBS). Aku juga mengenali dan mulai rapat dengan beliau di semester 3 apabila menjadi rakan sebilik. Kalau beliau rasa tidak puas hati dengan Zambran berkaitan sesuatu perkara maka beliau akan memberitahu aku dengan harapan aku akan menasihatkan Zambran. Entah macam mana suatu hari tetiba sahaja beliau boleh menceritakan kepada aku hal yang terlalu peribadi yang kini aku simpan hingga hari ini. Katanya, dia dapati peribadi aku amat berbeza dengan kawan-kawan lain di ITM dan kerana kesederhanaan aku yang membuatkan dia menjadikan aku sebagai idola selepas melihat kematian atuknya.

Hussain Moh (DPA). Beliau berasal dari Kota Tinggi dan dikenali dengan gelaran Birah dengan sikap romeo beliau. Beliau pernah menjadi rakan serumah aku semasa di semester 3. Sejak dari semester 1 hanya beliau sahaja yang berani minum seteguk air nescafe yang aku buat setiap malam walaupun aku belum lagi meminumnya. Walaupun kawan-kawan tidak nampak keakraban kami namun aku percaya ramai akan terkejut kalau aku katakan bahawa beliau sering mencari aku jika ingin berkongsi segala cerita termasuk hal-hal peribadi. Kalau beliau boleh menghidu air nescafe yang aku bancuh, begitu jugalah dia boleh menghidu aku walaupun aku bersembunyi di perpustakaan. Selagi aku tidak mendengar cerita beliau maka selagi itu juga dia akan mencari dan mengacau aku. Hehe...

Syed Sham (DSS). Beliau banyak membantu aku semasa aku menyiapkan tugasan pembentangan kertas kerja Bahasa Inggeris. Beliau juga yang membantu aku menaip menggunakan mesin taip elektrik. Selain daripada itu beliau pernah memilihkan aku tali leher semasa aku ingin membeli tali leher untuk kegunaan temuduga yang aku simpan hingga sekarang. Kata-kata beliau pada aku sehingga kini masihku pegang untuk dijadikan panduan kehidupan "Jangan kisah apa orang kata, hanya jadi diri sendiri".

Mohd. Nizam (DPA). Beliau dikenali dengan nama Selambe Jr. Suatu peristiwa di ITM Shah Alam di malam sambutan ulangtahun kemerdekaan semasa aku, Arash dan beliau masuk ke kedai 7 Eleven akan sentiasa menjadi kenangan iaitu ungkapan ayat "Kun or Cup". Aku dan Arash ketawa terbahak-bahak melihat gelagat beliau selepas keluar dari kedai 7 Eleven.

Mazlan Mokhtar (DBS). Aku tidak begitu rapat dengan pemilik nama gelaran Lan Kida tetapi beliau pernah juga berbual dengan aku kisah percintaan beliau dengan Anim yang telah pun menjadi isteri beliau yang sah. Apa yang pasti mereka mempunyai latarbelakang yang sama iaitu anak sulung dan nama adik beradik bermula dari huruf 'M". Beliau pernah memberitahu aku kenapa selepas SPM kami tidak terus sahaja memohon masuk ITM memandangkan kursus yang kami ikuti sebenarnya untuk lulusan SPM sedangkan aku ada sijil STPM dan beliau Sijil Politeknik.

Wan Rozain (DBS). Aku pernah jadi rakan sebilik beliau pada semester 4. Aku pernah terkunci di dalam bilik air lebih kurang 3 jam kerana gara-gara kami berebut bilik air. Beliau yang cuba bergurau dengan menguncikan aku dari luar tetapi beliau telah terlupa untuk membukanya. Aku pernah membonceng beliau menaiki basikal ke kuliah. Lenguh juga kaki aku duduk di belakang.

Ahmad Shakri (DIA). Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh rapat dengan beliau walaupun kami berlainan kursus dan bilik. Beliau agak sensitif dan kadangkala tidak begitu serious dalam beberpa perkara. Walau bagaimanapun gelagat beliau ini kadangkala membuat kumpulan kami sentiasa ceria. Beliau pernah membantu aku membawa beg yang mengandungi kasut kesatria sewaktu terserempak dengan aku di bandar Kuantan pada semester 2 untuk mendaftar. Namun begitu aku hanya dapat bersama beliau selama 3 semester sahaja.


Syed Hamid (DIA). Beliau tidaklah begitu rapat dengan aku tetapi pernah juga beliau meminjam beg yang aku selalu bawa ke kuliah untuk beliau balik ke kampung.


Shariff (DPA). Semasa aku dan kawan-kawan menziarahi kematian bapa Clark Gable tetiba sahaja aku diserang migrain dan beliau telah membantu memicit kepala aku dan menegur kenapa aku dan kawan-kawan lain tidak mengalas perut sebelum bertolak ke Temerloh. Ermm.. kepala brutal pun pandai merawat orang sakit. Hehe...


Hashim Idris (DPA). Oleh kerana beliau berasal dari Mersing maka beliau dikenali sebagai Pak Malau sempena watak di dalam filem Sri Mersing. Ada kawan-kawan rasa terkejut bagaimana aku boleh bersama beliau berjalan-jalan di Klang sehingga waktu Isyak. Aku tahu ramai yang tidak begitu selesa dengan beliau tetapi aku mengikut tradisi masuk kandang kambing mengembek. Walaupun beliau orang kuat tabligh namun beliau tidak pernah memaksa aku kerana kata beliau jika aku berminat pasti aku tahu hendak mencari beliau.

Abd. Rahman (DSS). Dikalangan pelajar DSS beliau dikenali sebagai Rahman DPA. Ini satu lagi kejutan kerana tidak ramai yang tahu aku agak rapat juga dengan beliau. Beliau selalu menceritakan segala masalah yang dihadapi dan sering meminta nasihat daripada aku.


Nor Huda (DPA). Beliau dikenali dengan gelaran Kuda. Sebenarnya aku pernah meraikan sambutan hari jadi bersama memandangkan hari jadi aku dengan beliau hanya selang sehari sahaja. Taman Gelora dan rojak ayam pernah menjadi saksi. Hehe...

Zuraida (DPA). Dikalangan pelajar lelaki beliau dikenali dengan gelaran Golden, manakala pelajar perempuan memanggil beliau Mummy. Aku pada mulanya hairan melihat beliau sering menggunakan sudu dan garpu sewaktu makan, tetapi bila aku mengenali beliau lebih rapat baru aku tahu tangan beliau alergi pada lada. Beliau pernah meminjam beg yang juga pernah dipinjam oleh Syed Hamid semasa beliau ada latihan komander Kesatria.

Rohani (DPA). Aku agak rapat dengan beliau kerana beliau adalah kawan baik dan serumah dengan kawan sekolah aku semasa tingkatan 6 iaitu Aspalila. Aku pernah meminta beliau menyanyikan lagu Francesca "Aku Hanya Pendatang" kerana aku ingin mendengar lagu tersebut bila mendapat tahu lagi ini menduduki carta pertama di radio.


Mohd. Niza (DPA). Oleh kerana beliau anak seorang VIP maka tentulah beliau popular dikalangan pensyarah dan staff ITM. Keluarga beliau pernah mengundang kami ke rumah untuk jamuan makan. Apa yang menariknya salah satu menu ialah Laksa Johor. Oleh kerana beliau mengetahui aku minat dengan kek lapis maka beliau sering memberi aku merasainya setiap kali mak beliau membuatnya.

Ini adalah sebahagian kenangan aku bersama-sama kawan-kawan di ITM. Andaikata nostalgia ini menyentuh peribadi, aku memohon ampun dan maaf. Aku tidak bermaksud untuk mengungkit atau mengaibkan sesiapa tetapi sesungguhnya inilah satu kenangan yang masih aku ingat. Kepada kawan-kawan terutama pelajar DPA yang tidak aku ceritakan di sini tidak bermakna aku melupakan kamu tetapi mungkin dikesempatan yang lain akan aku coretkan. Walaupun ada dikalangan kawan-kawan telah melupakan aku namun kalian sentiasa dalam ingatan aku seperti Kak Ita, Pendita, Mr T, Kham Beserah, Marina Che Puan, KC, Clark Gable, Jimmy, Antu, Muzafar, Man Rapu, Man Gelap, Helmy (Tengku), arwah Somprak, Rambo dan Arash.

2 comments:

Mus_Astley said...

Wahhhhhh !!!
First, bangga sebab menjadi nama NOMBOR SATU disebut di antara ke semua rakan-rakan semasa di ITM.

Kedua,.. pinjam jam??? Pernah ya? Maklumkan, terlalu banyak yg dah aku lalui. Banyak sangat benda yang lupa (dah tua tak nak mengaku lak ya..??). Tapi, pinjam jam...?? Errr... rasa nak pi time travel laah...

Ketiga... salute ! salute ! Kau boleh ingat setiap detail terhadap ke semua rakan2 baik di ITM.

Ke empat.... pujian harus diberikan kerana kau memandang positif kepada semua rakan2 yang ada samada dahulu dan sekarang mereka telah bertukar corak, warna dan rupa... ekekekeke....

Hidup Zuhairi !! Semoga kau teguh dengan keperibadian yang jarang2 ada pada kebanyakan pelajar semasa kita di ITM.

hairie @ zm said...

Thank Muslim sebab masih lagi menjadi kawan baik aku dan menerima aku seadanya.

Aik..lupa yer yg kau pinjam jam waktu nak g exam petang tu dan memulangkan jam selepas maghrib.

InsyaAllah aku masih seperti dahulu walaupun bentuk fizikal berubah sikit. Hehe..