Sunday, 26 July 2009

Tinggal Kenangan - Tumiran

Semasa aku dalam perjalanan balik ke rumah dari bank OCBC di bandar JB aku mendapat panggilan telefon dan sms. Aku tidak menjawabnya maklum sahaja masa itu aku sedang menunggang motosikal. Sebaik sahaja aku tiba di rumah aku membuka pesanan sms dari Siti Zaharah yang dihantar jam 11.38 pagi dan dua kali panggilan 'missed calls' dari Azian jam 11.44 pagi yang ingin memberitahu Tumiran telah meninggal dunia.

Arwah Tumiran Manjir adalah salah seorang staff tempat aku bekerja yang dahulu pada awalnya hanyalah seorang pemandu yang kemudian dinaikkan pangkat sehingga bergelar Officer 2 yang bertanggungjawab mengendalikan pemandu syarikat dan juga bas yang membawa pekerja-pekerja. Beliau dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada hari Rabu sebaik sahaja mengadu sesak nafas sewaktu tiba di tempat kerja.

Selepas waktu pejabat, aku, Normaliza dan suaminya Rashid telah melawat Tumiran. Walaupun pada masa itu Tumiran masih sedar dan membuka mata, aku tidak bercakap apa-apapun dengan beliau kerana aku tidak mahu mengganggu memandangkan dia menggunakan alat pernafasan. Tetapi aku yakin Tumiran tahu kedatangan aku. Kemudian pada hari Jumaat sekali lagi aku ke HSI untuk melawat beliau yang telah dimasukkan ke wad ICU. Aku amat terperanjat bila melihat terlalu ramai staff yang berpusu-pusu melawat beliau sehingga keadaan luar di wad ICU seperti tidak dapat dikawal lagi. Akhirnya pihak wad terpaksa memanggil pengawal keselamatan untuk mengawal keadaan.

Aku dan pelawat lain diberi masa yang singkat untuk melawat beliau. Walaupun beliau di dalam koma namun aku yakin bahwa beliau masih boleh mendengar. Aku memohon maaf dan menyatakan bahawa aku telah menunaikan janji aku kepada beliau. Aku masih ingat lagi bulan April 2003 semasa aku dimasukkan ke Hospital Pakar Johor, Jalan Sultan Abdul Samad, Johor Bahru untuk menjalani pembedahan di antara kepala dan tengkuk. Hanya beliau sahaja staff yang melawat aku dengan membawa senaskah akhbar metro untuk aku baca bagi menghilangkan rasa bosan.

Setelah aku menerima berita kematian Tumiran aku bergegas ke HSI untuk melawat beliau buat kali terakhir memandangkan aku tidak mengetahui rumah beliau. Semasa aku sampai di HSI jenazah arwah telah dibawa ke bilik mayat. Aku sempat menatapi wajah beliau yang belum dikapankan dengan sedekahkan surah Al Fatihah. Aku terus menunggu sehingga jenazah arwah dikapan dan dibawa pulang di rumah beliau di Taman Kota Puteri.

Sebaik sahaja jenazah arwah dan pelawat lain meninggalkan bilik mayat, aku diberitahu oleh Encik Saad bahawa anak kedua arwah yang masih berada di situ terlibat dengan kemalangan jalanraya pada pagi ini. Aku terus merapati anak arwah dan bertanya tentang keadaan ini. Anak kedua arwah menangis sambil memeluk aku. Aku terus menenangkan beliau dan memberi nasihat. Anak kedua arwah menanggis kerana rasa terkilan beliau tidak dapat melihat arwah bapanya di saat akhir kerana pada masa itu beliau berada di balai polis untuk membuat laporan. Beliau merasakan bahawa beliau anak yang tidak berguna tetapi aku terus beri nasihat dan kata-kata semangat agar beliau berdoa dan sedekahkan surah Al Fatihah kepada arwah bapanya.

Aku faham dengan keadaan anak kedua arwah Tumiran dan memberitahu memandangkan aku sendiri pernah mengalami perkara yang sama 28 tahun yang lalu tidak dapat melihat arwah abah menghembuskan nafas terakhir sewaktu aku berusia 15 tahun. Sewaktu aku terus menceritakan kepada anak arwah bahawa semasa hayat hanya arwah sahaja yang melawat aku semasa dimasukkan ke hospital tanpa disedari aku begitu sebak dan gagal mengawal air mata. Sekali lagi anak arwah memeluk aku. Anak arwah meminta maaf jika arwah bapa beliau ada membuat kesilapan padaku. Aku jawab segala kesilapan telah aku maafkan dan halalkan dunia dan akhirat. Sebelum kami meninggalkan bilik mayat, anak arwah sekali lagi memeluk aku dengan erat dan aku menasihatkan beliau supaya berhati-hati menunggang motor.

Mulai esok yang pasti aku tidak akan menerima lagi emel yang suka mengaitkan aku dengan setiap perkara yang berlaku. Tiada lagi kawan untuk bertekak. Tiada lagi kawan yang mudah untuk aku bertanya arah jalan di persekitaran Johor Bahru. Tiada lagi kawan yang suka menceritakan hal perkembangan politik semasa. Tiada lagi kawan perantaraan yang suka mengambil pesanan kawan-kawan untuk membeli nasi padang. Kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Al-Fatihah untuk arwah Tumiran Manjir dan takziah untuk keluarga arwah.

1 comment:

zainal said...

takziah diucapkan...... semoga rohnya dicucuri rahmat...