Julai 1985 aku melanjutkan pelajaranku di Institut Teknologi MARA (ITM) cawangan Pahang dalam kursus Diploma Pentadbiran Awam (DPA), Kajian Pentadbiran dan Undang-Undang. Kampus ITM Pahang terletak di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, Pahang.
Aku ditempatkan di bilik 3407, Blok C, Asrama Remaja selama dua semester. Kemudian di semester 3 aku ditempatkan di bilik 1402, Asrama Bukit Sekilau sebelum ditempatkan di bilik 2210 Blok B, Asrama Remaja, pada semester 4. Manakala di semester 5 dan 6 aku ditempatkan di bilik 6505 Asrama Delima 6, ITM Shah Alam.
ITM telah banyak mengubah kehidupan harianku. Aku yang selalu tidur awal dengan keadaan bilik yang gelap terpaksa mengubah tidur harianku dengan tidur lambat dan bilik yang terang. Aku juga terpaksa menghadapi asap rokok kerana dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang merokok. Selain daripada itu aku menyalin seluar jeans 2 hari sekali yang tidak pernah aku buat semasa di kampung kerana kebiasaannya aku akan menyalinnya setiap hari. Di ITM juga aku mengenali makanan yang dikenali sebagai nasi kawah, ikat jaket, telur raksaksa dan juga mee dawai. Setiap malam aku sering membancuh air nescafe yang akhirnya membuat aku rapat dengan seorang pelajar yang sering berkongsi segala cerita dan masalah beliau padaku. Manakala di ITM Shah Alam aku sering tidak menghadiri kelas matapelajaran Perhubungan Perusahaan kerana membosankan.
Adalah menjadi kebiasaanku semasa di ITM Pahang akan menjadi pelajar atau kumpulan pertama yang membuat perbentangan kertas kerja sewaktu kelas tutorial. Ini adalah kerana memudahkan aku melihat gelagat rakan-rakan pelajar samada mengkritik kertas kerja aku secara ikhlas ataupun ada perasaan hasad dengki. Ini pernah terjadi sewaktu pembentangan matapelajaran Ekonomi pada semester 4 ada pelajar yang menghasut Encik Shafie agar memberi markah '0' kepada kumpulan aku kerana gagal membuat pembentangan pada hari yang ditetapkan. Ianya berlaku kerana Encik Shafie telah meminta aku menerima seorang senior memasuki kumpulan aku tetapi senior tersebut disaat akhir senior tidak memberi kerjasama. Oleh kerana kemungkinan Encik Shafie merasa bersalah maka ia telah menangguhkan pembentangan kertas kerja apabila awal pagi aku menceritakan hal ini kepada beliau.
Aku bukanlah pelajar yang popular di ITM, namun ada juga beberapa aktiviti yang aku sertai. Aku pernah membuat persembahan di atas pentas Seni dan Budaya, Hari Terbuka ITM Pahang pada April 1986. Selain daripada itu pada semester 3 aku mewakili kursus DPA untuk pertandingan Kuiz Bahasa Malaysia. Manakala di semester 6 ITM Shah Alam kumpulan aku menjadi Johan Pertandingan Kuiz antara Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Asrama dan ITM 1988. Oleh kerana kesilapan teknik yang dilakukan oleh pihak juri menyebabkan aku menjadi peserta ke 5 markah tertinggi yang menyaksikan hanya 4 perserta terbaik mewakili Asrama Delima untuk bertanding ke peringkat seterusnya untuk mewakili ITM.
Di ITM Pahang pelajar semester 1 diwajibkan menyertai ko-kurikulum Kesatria kecuali yang ada masalah kesihatan. Ada juga pelajar yang mengkutuk aku lembik dan bongkok semasa latihan kawad tetapi terdiam dan menghormati aku apabila peperiksaan akhir kawad, aku memperolehi markah penuh '4 point' mengalahkan beliau. Aku sebenarnya dah biasa berkawad kerana semasa di sekolah aku adalah ahli Persatuan Bulan Sabit Merah. Manakala di semester 2 hingga 4 aku menyertai ko-kurikulum Penulisan yang pada peringkat permulaan ada sedikit kekecohan ko-kurikulum ini yang hampir dibatalkan sehingga di bawa kes ini ke pihak pentadbiran ITM. Aku berbangga sebab dapat berguru dengan penulis kewartawanan Pahang Encik Subari Ahmad.
Sebenarnya terlalu banyak kenangan yang tidak akan aku lupakan sebagai pelajar ITM yang banyak berjasa kepada aku. Dari Dewan Latihan pada November 1956 menjadi Maktab MARA pada 1965 sebelum bertukar nama kepada ITM pada 14 Oktober 1967. Pada tahun 1996 ITM dinaikkan taraf sebagai universiti namun secara rasminya nama ITM ditukarkan kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999.
Pada 16 Oktober 1988 adalah hari bersejarah buat diriku apabila menerima Diploma Pentadbiran Awam di hari Konvokesyen ITM ke 28 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment