Aku telah pun dinaikkan pangkat yang kali terakhir ianya berlaku pada tahun 2000. Apabila sahaja diketahui oleh kawan-kawan di tempat kerja ramai yang mengucapkan tahniah kepada aku. Selain daripada itu ramai yang mula menyakat dengan mendesak untuk belanja makan dan ada juga yang kononnya mengatakan bahawa sudah terlalu lama aku menunggu saat ini atau kononnya aku terlalu gembira atas kenaikan pangkat ini.
Walau apapun kemungkinan tanggapan kawan-kawan atau mungkin juga melihat aku gembira tetapi hakikatnya aku tidak gembira langsung dengan kenaikan pangkatku ini. Apa guna kalau kenaikan pangkat ini ada tentangan, perbalahan atau tidak ikhlas dari majikan. Aku tahu ramai yang tidak tahu tentang sejarah kenaikan pangkatku ini. Biarlah aku kupas sedikit demi sedikit agar orang lain tahu betapa perit untuk aku menerima hakikat ini.
Aku dapat tahu sejak dari tahun lepas nama aku telah dicalunkan untuk kenaikan pangkat ini tetapi telah ditolak. Perkara yang sama juga berlaku pada tahun ini tetapi disaat akhir nama aku tersenarai untuk kenaikan pangkat. Aku tidak sangka orang yang menentang kenaikan pangkat aku ini adalah orang yang berpengaruh di dalam jabatan aku sendiri iaitu manusia yang berhati busuk yang dikenali dengan gelaran pakcik atau Nobita. Sejak dari dahulu lagi jika aku dapat kelebihan dari segi pemberian bonus, kenaikan gaji atau kenaikan pangkat maka beliau adalah orang pertama yang akan menentangnya.
Setelah 19 tahun aku berkerja di bawahnya belum pernah dia mencalunkan nama aku untuk semua ini kecuali perkara-perkara yang orang lain memang tidak menyukainya seperti pembentangan "Target Department". Aku tidak kisah jika Nobita enggan mencalunkan nama aku untuk kenaikan pangkat tetapi mengapa dia mesti menentang apabila orang lain mencalunkan nama aku. Sebelum ini kalau aku mendapat bonus gred A, kenaikan gaji yang tinggi dan kenaikan pangkat adalah atas jasa Chong, BB Khoo, FL Wong dan terbaru KC Chang.
Aku tahu ramai yang meminta aku membelanja mereka makan atas kenaikan pangkat aku ini. Ada yang sekadar cakap sahaja tetapi ada juga yang asyik mendesak setiap hari supaya membelanja mereka makan. Aku hanya buat tidak tahu dan tidak ambil peduli samada mereka serious atau sekadar untuk menyakat sahaja. Aku tidak kisah kalau ada diantara mereka ingin menggelar aku kedekut jika aku enggan belanja mereka makan tetapi tahukah mereka kalau sekadar kenaikan gaji yang sedikit tidak mampu untuk aku membelanja semua orang.
Sebenarnya aku bukan tidak mahu membelanja tetapi mereka tidak faham dengan perasaan aku. Siapa yang tidak gembira bila dinaikkan pangkat tetapi tidak bagi aku kerana aku merasakan suatu penghinaan bila aku dinaikkan pangkat. Adalah amat memeranjatkan kalau aku nyatakan bahawa aku telah mencipta satu sejarah di tempat kerja dengan kenaikan pangkat ini. Setahu aku di hujung tahun 90an sesiapa yang dinaikkan pangkat secara otomatik akan dberikan kenaikan gaji gred C sahaja tidak boleh diberi gred A atau B kerana kononnya mereka telah dapat ganjaran lumayan dalam bulan yang sama iaitu kenaikan gaji dan kenaikan pangkat. Tetapi tidak bagi aku, kerana aku adalah staff yang mendapat kenaikan gaji pangkat D yang kemudiannya mendapat kenaikan pangkat.
Orang lain pasti akan menyatakan aku sepatutnya bersyukur kerana kenaikan pangkat. Tetapi tahukah mereka, kenaikan gaji pangkat D adalah untuk orang yang mempunyai displin yang teruk seperti ponteng kerja, datang lambat, dapat surat amaran dan sebagainya. Walaupun aku bukanlah staff yang terlalu baik, tetapi aku juga bukanlah staff yang suka ponteng kerja atau datang lambat ataupun yang mendapat surat amaran. Aku juga bukan jenis staff yang suka memohon cuti saat akhir kerana kebiasaannya seminggu sebelum cuti aku dah memohon dan kadangkala sebulan sebelum itu dah memberi bayangan kepada Ketua Jabatan untuk mengambil cuti.
Aku rasa kecil hati dan rasa satu penghinaan kerana staff yang kebiasannya mendapat kenaikan gaji pangkat D sebenarnya secara otomatik tidak layak untuk mendapat kenaikan pangkat. Tetapi berlainan dengan aku apabila nama aku tersenarai disaat akhir sebagai calun-calun yang layak dinaikkan pangkat. Adakah aku perlu gembira dengan situasi ini? Aku tidak faham mengapakah manusia yang mendapat gelaran Nobita ini terlalu membenci aku. Aku pun tak faham adakah manusia seperti Nobita ini layak dipanggil manusia?
Namun aku berterima kasih kepada Chang yang mungkin telah mencalunkan nama aku untuk kenaikan pangkat. Aku juga berterima kasih kerana Nakagwa dan Satoi yang banyak mempertahankan nama aku sehingga disaat akhir aku dipilih untuk kenaikan pangkat. Walaupun staff Accounts memang tidak menyukai Nakagawa tetapi sekurang-kurangnya aku harus mengenangkan jasa beliau sebelum beliau pulang ke Jepun tahun hadapan. Manakala Satoi yang baru 3 bulan bekerja dan mengenali aku namun beliau amat menghargai aku dengan menyokong kuat atas kenaikan pangkat aku ini. Kepada orang yang aku tidak pasti samada layak dinamakan manusia atau tidak bergelar Nobita, terima kasih kerana memberi kesempatan untuk aku berkongsi cerita dengan pembaca betapa busuknya hati engkau.
Aku bersyukur kepada Allah kerana masih menghargai dan menyayangi aku. Kepada Chang, Nakagawa dan Satoi terima kasih kerana menjadi jauhari kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Apa-apapun aku tetap bersyukur dengan kenaikan pangkat walaupun hatiku telah lama terluka.
No comments:
Post a Comment