Friday, 31 July 2009

Internet

Sejak dua tiga hari ini di tempat kerja begitu hangat diperkatakan apabila si Kepohci dari HQ menghantar emel dan senaraikan seramai 100 orang yang kerap menggunakan internet termasuklah senarai 10 orang yang paling tinggi penggunaan internet.

Oleh kerana ianya menjadi isu yang hangat maka pihak Jabatan Personnel terpaksa mengeluarkan amaran kepada staf-staf berdasarkan "Rules and Regulations" syarikat tentang penyalahgunaan hak syarikat. Apabila dilihat senarai nama yang dicatatkan oleh si Kepohci terdapat ramai yang disenaraikan adalah staff baru yang yang berkerja kurang dari 5 tahun. Apa yang lebih memeranjatkan ada staff yang baru berkhidmat yang belum pun disahkan jawatan menjadi antara 10 orang yang paling tinggi penggunaan internet.

Apakah penggunaan internet ini menjadi isu yang besar? Entahlah susah untuk aku memberi sebarang komen. Tapi pada pandangan aku kalau setakat untuk membaca akhbar ataupun hal-hal peribadi namun sekejap mungkin bukanlah isu yang besar. Kalau kita tanya pada sesiapa sekalipun pasti mereka akan menggunakan internet tersebut terutama jika ianya percuma. Aku rasa tidak perlulah jika ada sesiapa mendabik dada kononnya mereka begitu jujur dan langsung tidak mengambil kesempatan menggunakan internet secara percuma.

Tetapi yang menjadi isu apabila si Kepohci dapat mengesan staf menggunakan internet untuk melihat youtube, facebook dan yang lebih hebat dengar khabar prono. Akupun amat terperanjat apabila si Kepohci menyenaraikan nama-nama staf yang terlibat di dalam hal ini. Aku berpendapat adalah lebih baik pasang sahaja internet di rumah kalau berminat di dalam hal macam ini. Tetapi telah menjadi rasmi manusia semuanya hendak percuma ataupun mungkin sahaja untuk memberitahu keluarga yang masing-masing bahawa mereka orang yang baik. Akhirnya staf diberi amaran tidak boleh menggunakan internet walaupun ada juga staff yang masih berani mengendahkan amaran tersebut.

Namun begitu yang menjadi kemusykilan dikalangan staf mengapa ada jerung yang dikatakan sering menggunakan internet langsung tidak disenaraikan nama beliau. Entahlah sebab aku sendiri tidak pasti akan hal ini, namun aku boleh agak akan jawapan tersebut. Oleh itu terserah kepada staf untuk memikirkan sendiri samada akur pada amaran pihak pengurusan atau masih menggunakan internet tersebut untuk kegunaan peribadi dengan kadar yang sedikit atau masih mengamalkan sikap yang terdahulu.

No comments: