Saturday, 4 July 2009

Tawaran Belajar

Pelajar-pelajar baru sudah mula mendaftarkan diri di universiti atau pusat pengajian tinggi yang telah ditawarkan. Aku percaya bukan sahaja di minda pelajar-pelajar malah ibubapa pasti bercelaru antara suka, bangga, sedih dan berbagai-bagai lagi sebaik sahaja mereka atau anak-anak mereka menjejakkan kaki di menara gading. Ini juga mengimbau kenangan aku 24 tahun yang lalu sebaik sahaja ditawarkan melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi MARA (ITM) cawangan Pahang di dalam kursus Diploma Pentadbiran Awam (DPA).

Sebenarnya semenjak kecil lagi aku tidak pernah terfikir untuk melanjutkan pelajaran aku di ITM kerana tumpuan aku lebih kepada universiti. Tapi kata orang tak kenal maka tak cinta. Apa yang kita benci atau tidak suka itulah sebenarnya akan menjadi yang paling kita sayangi. Segala-galanya bermula apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) aku tidak memberangsangkan yang membuatkan aku memilih ITM atas galakan dari kawan baik abang aku yang ketika itu sedang menuntut di ITM Shah Alam dalam kursus Kejuruteraan.

Oleh kerana ITM bukan pilihan aku maka sudah pastilah aku langsung tidak terfikir untuk membeli borang kemasukan ke ITM sedangkan tarikh tutup hampir tamat. Kawan baik abang aku bernama Suhaimi yang bersusah payah membelikan dan poskan borang tersebut kepada aku dan menggalakkan aku memohon kursus Accountancy (DIA). Disaat-saat akhir aku memilih DPA sebagai pilihan pertama dan DIA sebagai pilihan kedua.

Aku sekali lagi di dalam dilema apabila mendapat tawaran belajar di ITM Pahang. Fikiran aku main berkecamuk sebab tempat yang ditawarkan begitu jauh iaitu di Kuantan Pahang. Aku hanya memikirkan macam mana aku hendak ke sana nanti dan begitu apabila hendak balik semula maklum sahaja tiada bas ekspress dari Muar ke Kuantan. Oleh kerana perasaan ego yang tinggi aku membuat keputusan enggan menerima tawaran tersebut. Tetapi setelah disedarkan oleh salah seorang jiran yang kebetulan pula anak beliau ditawarkan di tempat yang lebih jauh iaitu ITM Perlis membuat aku mengubah keputusan untuk menerima tawaran ITM Pahang kerana terpaksa.

Setelah aku memulakan langkah sebagai pelajar ITM Pahang aku mula membuang sikap ego aku. Aku mula merasa seronok dan bangga menjadi warga ITM. Asrama Remaja yang menjadi tempat penginapanku yang berdekatan dengan bandar dan kampus di Taman Gelora yang juga berdekatan Teluk Cempedak membuat aku seronok menjadi tetamu Kuantan, Pahang. Di ITM aku mula berkawan rapat dan mengenali kawan-kawan Melayu terutama orang-orang Pantai Timur. Di Pahang aku mula mengenali makanan masyarakat Pantai Timur iaitu keropok lekor dan sata. Walaupun hanya 2 tahun aku mengenali masyarakat Pantai Timur namun gaya percakapan aku mula berubah kepada lenggok atau slang Pantai Timur yang lebih ke arah Kelantan. Apa lebih melucukan sewaktu aku sambung belajar di ITM Shah Alam ada pelajar Kelantan sendiri fikir aku budak Kelantan.
Walaupun kini sudah 21 tahun aku menamatkan pelajaran di ITM, namun aku masih lagi terbayang saat pahit dan manis sepanjang 3 tahun menjadi pelajar ITM. Walaupun suatu ketika dahulu ITM hanya dikenali sebagai universiti kelas kedua tetapi kini ITM boleh berbangga kerana melahirkan ramai graduan bumiputera yang kini telah dinaikkan taraf sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjadi pilihan utama kebanyakkan pelajar lepasan sekolah.
Kini 3 orang anak saudara aku juga telah berjaya menamatkan pelajaran mereka di UiTM dalam kursus Perbankan, Komunikasi Massa dan Teknologi Pejabat. Aku berbangga kerana menerima tawaran belajar di ITM suatu ketika dahulu. Terima kasih ITM...

1 comment:

Unknown said...

Salam ZM,

Koi rasa sbb awok gembira masuk ITM dulu kerna jumpa koi rakan roomate and coursemat... ahaks...