Sunday, 22 November 2009

Mesyuarat AJK Apartmen

Hari ini mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) yang pertama diadakan oleh pihak pengurusan apartmen tempat aku tinggal selepas pemilihan AJK baru untuk sessi 2009/2010 lebih kurang sebulan yang lepas. Sebenarnya mesyuarat sepatutnya diadakan seminggu yang lepas tetapi dibatalkan disebabkan kesilapan teknikal.

Adalah menjadi kebiasaan seperti mesyuarat di tempat lain walaupun mesyuarat sepatutnya diadakan pada jam 10.00 pagi tetapi mesyuarat pasti diadakan lewat 30 minit kerana kelewatan kehadiran AJK. Namun begitu juga adalah menjadi kebiasaan aku akan hadir sekurang-kurangnya 5 minit lebih awal kecuali beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Penantian sungguh menyeksakan.

Memang telah menjadi kelaziman mesyuarat atau perlantikan AJK, pasti ramai yang sanggup atau menerima jawatan tersebut dengan rasa bangga mungkin kerana rasa glamour, tetapi bila diminta hadir untuk mesyuarat keadaan amat menyedihkan. Kalau di luar mesyuarat cakap berkobar-kobar hendak tanya itu ini atau hendak ubah konsep fikiran AJK lama jika terpilih, tetapi apabila telah diberi peluang sebagai AJK jawapannya cakap tak serupa bikin.

Inilah kalau lidah tidak bertulang. Inilah juga yang mungkin berlaku di dalam dunia politik di Malaysia hari ini. Kata orang kalau bab bangkang-membangkang dan suara lantang ini serah sahaja kepada golongan tertentu pasti akan keluar suara sumbang berkata AJK tidak betul, makan duit dan sebagainya. Tetapi bila dapat peluang mana janji mereka? Mana batang hidung mereka? Mana suara lantang mereka? Mengapa hanya berani jadi jaguh di luar gelanggang sahaja. Apa guna ada taji kalau sekadar perhiasan sahaja. Apakah ini sebenarnya sikap orang Melayu? Jawapannya tepuklah dada tetapi jangan tanya pada selera. Lu fikirlah sendiri....

No comments: