Aku tetap aku... walau di mana dan pada bila masa... Jadi diri sendiri dan jangan jadi orang lain...
Wednesday, 29 December 2010
Tingkatan 6 Atas Sastera A, 1984.
Sebenarnya terlalu banyak kenangan semasa aku berada di kelas ini. Namun yang paling aku tidak boleh lupakan ialah ada berlaku sedikit salah faham antara aku dengan guru tingkatan hingga aku nekad untuk tidak membantu beliau membuat laporan yang perlu diserahkan kepada guru besar setiap bulan. Apa yang pasti aku akan cuba mengelakkan untuk berjumpa dengan guru tingkatan termasuk berkomunikasi dengan beliau. Tetapi suatu hari aku terpaksa juga berkomunikasi dengan guru tingkatan untuk bertanyakan beliau tentang laporan yang diminta oleh guru besar. Entah mengapa hati aku macam tidak yakin dengan laporan yang pertama kali dibuat oleh beliau dan terus menyemak sebelum menyerahkan kepada guru besar. Aku terus memberitahu akan kesilapan laporan tersebut tetapi, guru tingkatan sukar hendak menerima teguran aku. Oleh kerana malas hendak bertekak aku cuma mengingatkan bahawa jangan salahkan aku kalau beliau dipanggil oleh guru besar kerana membuat laporan yang salah.
Namun setelah menamatkan persekolahan aku terkejut apabila penyata sijil berhenti sekolah guru tingkatan menulis segala rekemen dengan perkataan terbaik dari semua sudut termasuk kelakuan, tanggungjawab dan sebagainya. Setiap kali aku melihat sijil berhenti sekolah, maka segala memori aku bersama guru tingkatan 6 Atas Sastera A pasti mengamit semula. Aku ingin memohon maaf kerana sikap aku yang mungkin dianggap kurang ajar kerana menegur kesalahan seorang guru. Apa-apapun terima kasih cikgu.
Friday, 24 December 2010
Tingkatan 6 Rendah Sastera A, 1983.
Sebenarnya Sekolah Tinggi Muar merupakan sekolah yang dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja kecuali tingkatan 6. Guru tingkatan ialah Encik Harun Shafie yang mengajar matapelajaran Geografi. Aku telah dilantik sebagai ketua tingkatan. Tingkatan 6 Rendah ini telah menemukan aku semula dengan beberapa orang pelajar yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Sri Muar dan juga Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar.
Pada hari kemuncak Minggu Orientasi aku sengaja tidak menghadiri kelas kerana dapat sedikit maklumat dari beberapa orang senior yang pernah satu kelas semasa bersekolah di Sekolah Agama. Aku dengar khabar teruk juga semua pelajar tingkatan 6 Rendah kena orientasi dengan pelajar-pelajar senior hingga menyebabkan pihak sekolah bertindak untuk campurtangan.
Oleh kerana kekurangan guru maka pelajar-pelajar tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B menjadi kelam-kabut sedikit. Kami belajar dalam keadaan yang kurang selesa kerana berkongsi guru dalam beberapa matapelajaran dan terpaksa berpindah kelas samada pelajar dari Sastera A pergi ke kelas Sastera B dan sebaliknya. Aku terus memberi cadangan kepada Penolong Guru Besar agar tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B digabungkan dengan menggunakan bilik tingkatan 6 Rendah Econ-Math yang besar tetapi mempunyai bilangan pelajar yang kecil. Apa yang pastinya Penolong Guru Besar bersetuju dan keesokkannya kami pelajar-pelajar Sastera A dan B telah digabungkan di dalam satu kelas namun kami tetap diasingkan senarai nama-nama pelajar dan guru tingkatan sendiri.
Walaupun tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B mempunyai ketua tingkatan masing-masing namun aku sendiri tidak tahu mengapa guru-guru lebih suka menyampaikan segala maklumat hanya kepada aku sahaja. Apa yang lebih pelik guru tingkatan 6 Rendah Sastera B lebih selesa memberi maklumat kepada aku untuk disampaikan kepada keseluruhan kelas ataupun untuk kelas beliau sendiri.
Wednesday, 22 December 2010
Tingkatan 5 Sains 5, 1982
Sebenarnya pelajar tingkatan 5 Sains 5 adalah pelajar-pelajar yang sama sewaktu tingkatan 4 Sains 5 pada tahun 1981. Hanya sedikit perubahan iaitu guru tingkatan Cik Goh (guru matematik tambahan) yang berpindah ke Melaka digantikan dengan kawan baik beliau Cik Khor (guru Fizik). Selain daripada itu Penolong Ketua digantikan dengan pelajar lain.
Kenakalan pelajar-pelajar masih ditahap yang sama. Kadangkala Cik Khor menjadi bahan usikan pelajar-pelajar terutama Khirul Kismie. Cik Khor mencadangkan Penolong Ketua diadakan pemilihan semula dengan mengekalkan orang yang sama atau sebaliknya. Tetiba aku terdengar ada suara seseorang mencalunkan nama aku. Akhirnya semua pelajar Cina dan hanya beberapa orang pelajar Melayu telah mengundi aku dengan kemenangan begitu tipis sekali.
Kalau aku menghadapi masalah untuk membuat ujikaji di makmal sains pasti ramai pelajar-pelajar Cina dengan sukarela datang menghampiri aku. Aku masih ingat ada suatu ketika beberapa orang pelajar Cina menghampiri dan menerangkan aku pasal satu ujikaji tetiba terus diam dan meninggalkan aku yang terpinga-pinga. Aku cuma nampak ada beberapa pelajar Melayu yang berada di sekeliling memandangkan muka aku sebaik sahaja aku melihat sekeliling untuk mengetahui apa yang terjadi. Apa yang peliknya pelajar-pelajar Cina itu menghampiri dan menerangkan semula kepada aku sebaik sahaja pelajar-pelajar Melayu meninggalkan aku sendirian. Entahlah, aku sendiri tidak tahu mengapa situasi ini berlaku.
Kepada pelajar-pelajar Cina, terima kasih kerana sudi berkawan dan menerima aku seadanya. Aku tetap menghargainya. Kepada pelajar-pelajar Melayu, maaf aku pohonkan jika kehadiran aku tidak menyenangkan kamu semua. Apa-apapun aku tidak pernah membenci kamu semua.
Sunday, 19 December 2010
Tingkatan 4 Sains 5, 1981
Di antara nama-nama yang aku ingat di barisan hadapan ialah Ahmad Zawawi, Musleh, Rosli, Theether, Rahim, Mashudi dan Hedzir. Manakala di barisan kedua pula Sanusi, Fairuz, Fuad, Nasarudin, Rozhan, Hamdan dan Khairul Kismie. Manakala di barisan ketiga pula Zulkifli, Shahrudin, Othman dan Zulkarnain. Kepada nama-nama yang tidak disebutkan terutama pelajar Cina, maaf dipohonkan sebab memori aku agak terhad kerana ianya sudah 29 tahun berlalu.
Kenangan yang paling tidak boleh dilupakan ialah apabila tingkatan 4 Sains 5 diumumkan sebagai kelas yang paling kotor dua minggu berturut-turut. Kami semua telah didenda memungut sampah di padang hoki sekolah yang terletak di seberang jalan sekolah atau bertentangan dengan pejabat kerajaan dan istana Muar. Guru tingkatan telah memberi amaran andaikata minggu berikut kelas kami diumumkan sekali lagi sebagai kelas paling kotor maka beliau akan menyuruh kami membersihkan kelas menggunakan baju sekolah masing-masing.
Walaupun di kelas ini ada pelajar dari pelbagai kaum, namun aku paling rapat sekali dengan pelajar-pelajar kaum Cina. Aku pun tidak tahu mengapa aku lebih rapat dengan pelajar Cina, tetapi yang pasti hanya mereka sahaja yang sudi berkawan dengan aku.
Saturday, 18 December 2010
Tingkatan 3D, 1980
Nama-nama yang aku masih ingat di baris hadapan adalah Rohana, Latifah, Roslizah, Siti Azwan, Puan Manjit Kaur, Dass, Nabiha, Faridah, Jameah, Saleha dan Shariah. Manakala di baris kedua ialah Rosnah, Nobiha, Anita, Manimala dan Parawathy. Manakala baris ketiga pula Rashidin, Syed Hussain, Isa, Theether, Moses, Hedzir, Esa dan Zaini. Kepada mereka yang tidak disenaraikan nama harap dimaafkan disebabkan aku terlupa nama. Opss... mana nama aku pula. Aku berada di baris ketiga. Hehe...
Ada banyak kenangan di dalam tingkatan ini. Guru tingkatan pening kepala sebab kelas ini memang selalu membuat bising walaupun berbagai cara dibuat dengan menukarkan tempat duduk pelajar. Di dalam kelas ini ada anak saudara pelawak Mat Sentul. Ada dua pelajar Melayu yang boleh bertutur di dalam bahasa Mandrin. Selain daripada itu ada seorang pelajar perempuan yang merupakan anak seorang guru agama telah berkahwin dengan rakan karib aku semasa di dalam darjah 6.
Setelah tamat tingkatan 3 iaitu Sijil Rendah Pelajaran, empat dari pelajar perempuan telah berpindah ke tingkatan 4 aliran Sains di Sekolah Menengah Perempuan Sultan Abu Bakar, Muar dan tiga pelajar lelaki termasuk aku pula ke Sekolah Tinggi Muar kerana sekolah ini tidak mempunyai aliran Sains.
Namun perkara yang paling menarik dengar khabar ada salah seorang pelajar perempuan amat berminat dengan aku. Aku tidak pasti samada ianya benar ataupun sekadar gossip sahaja.
Friday, 17 December 2010
AJK Jamuan Tahunan
Walaupun beberapa mesyuarat telah diadakan untuk menentukan tarikh, tempat, makanan dan beberapa perkara lagi namun masih ada sedikit cakap-cakap belakang ataupun suara sumbang yang kadangkala tidak faham apakah tujuan mereka. Pada hakikatnya suara-suara tersebut biasanya datang dari pihak atau puak yang sama.
Apa yang menghairankan telah bertahun-tahun AJK adalah orang yang sama tetapi kali ini ada juga yang kecoh kononnya hendak mengetahui siapa AJK yang terlibat. Garu kepala tak gatal aku hendak melayan kerenah mereka ini. Kenapa hendak memeningkan kepala untuk mengetahui siapa AJK kecuali kalau mereka memang berminat dan mengharapkan mereka dilantik menjadi AJK jamuan tersebut. Tetapi kenapa? Mungkin hendak 'glamour'? Haha...
Nasihat percuma aku lupakan sahaja kalau hendak publisiti murahan ataupun 'glamour'. Cukup sahaja apa yang pernah terjadi pada tahun 2009 apabila melantik AJK baru tetapi akhirnya jamuan tahunan dibatalkan kerana berlaku sedikit kekecohan. Biarlah kami AJK lama kendalikannya setelah 2 tahun tiada jamuan tahunan syarikat.
Monday, 13 December 2010
Tingkatan 2D, 1979
Saturday, 4 December 2010
Konvokesyen ITM 1988
Ini adalah barang atau tempat yang kononnya meletakkan sijil Diploma semasa konvokesyen tersebut. Semasa aku kecil selalu melihat di dada-dada akhbar gambar graduan-graduan terbaik dari universiti akan bersama-sama ibu bapa bergambar kononnya melihat sijil yang berada di dalamnya. Tetapi apabila giliran aku konvokesyen di ITM baru aku tahu tiada apapun sijil di dalamnya. Ini semua adalah satu simbolik untuk graduan pada hari konvokesyen.
Ini pula adalah pakaian baju kurung cekak musang yang aku pakai semasa hari konvokesyen tersebut. Pada masa itu semua graduan lelaki Melayu diwajibkan memakai baju kurung berwarna hitam dan songkok. Apa yang uniknya pakaian ini aku sengaja menempahnya tanpa mempunyai pesak. Aku pada mulanya hendak menempah baju kurung Teluk Belanga iaitu pakaian rasmi orang negeri Johor, tetapi membatalkannya kerana bimbang ianya akan menjadi satu kesalahan pada pakaian hari konvokesyen.
Saturday, 20 November 2010
4 Kuning 1975
Di manakah mereka sekarang. Adakah masing-masing masih mengenali di antara satu sama lain? Apa yang pasti aku masih mengingati wajah-wajah mereka walaupun ada di antara nama-nama mereka aku tidak begitu pasti atau mungkin juga telah lupa.
Nama yang aku masih ingat dibaris hadapan ialah Mahzan, Ravi, Shaharudin, Sopie dan Fawzi. Manakala baris kedua ialah Azmi, Hasmad,dan Zainal. Di baris ketiga pula ialah Hamdan, Ungku, Raja, Azlan, Zulkarnain, Fairus dan Hafiz. Sementara di baris keempat pula yang aku masih ingat ialah Najad, Sanusi, Isa, Syed Idros, Suffian, Sulaiman dan Rahim.
Oleh itu kepada mereka yang pernah sekelas dengan aku di dalam darjah 4 kuning 1975 yang namanya tidak aku sebut bukan bermakna aku tidak mengenali kamu semua tetapi mungkin daya ingatan sudah berkurangan. Kalau aku tersalah eja nama atau tersalah nama tu harap maaf aje lah ya. Ada di antara mereka sebaik sahaja tamat sekolah rendah, aku masih berjumpa di sekolah menengah samada di Sekolah Menengah Sri Muar ataupun di Sekolah Tinggi Muar. Namun ada juga di antara mereka yang aku tidak bertemu di sekolah menengah apabila mereka meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Dato Sri Amar Diraja Muar ataupun berpindah sekolah semasa di dalam darjah enam.
Aku rasa mungkin ada yang tertanya di dalam gambar itu yang mana satu ialah aku. Tekalah sendiri. Hehe.....
Friday, 19 November 2010
Cermin Mata Pecah
Wednesday, 17 November 2010
Salam Aidil Adha 1431H
Oleh kerana cuti Aidil Adha hanya sehari dan jatuh pada hari Rabu maka aku mengambil keputusan menyambutnya di Johor Bahru.
Saturday, 13 November 2010
Broadband Buat Hal
Apabila kembali ke Johor Bahru, aku ke pusat Maxis untuk bertanya hal broadband aku ini. Staf tersebut menyatakan kemungkinan ada masalah software. Nasib baik aku membawa latop bersama untuk memudahkan beliau 'download' semula. Aku baru teringat mungkin semasa aku 'download' anti virus yang baru dan buang beberapa program yang tidak diperlukan staf kedai tersebut terbuangkan program yang berkaitan dengan broaband. Aik... memandai pula aku. Hehehe.... Lantaklah, yang penting sekarang dah boleh guna semula internet.
Saturday, 30 October 2010
MD Kemalangan
Oleh kerana ianya melibatkan MD tempat aku bekerja dan beliau ternampak semasa aku melalui jalan tersebut, maka aku cuba untuk mengetahui apa yang berlaku memandangkan MD tidak begitu faham bahasa Inggeris apa lagi dengan bahasa Malaysia. Salah seorang yang berada di situ memberitahu aku supaya ianya diselesaikan. Aku faham maksud beliau samada untuk selesaikan di situ dengan membayar saguhati ataupun membuat laporan di balai polis.
Aku cuba menyatakan kepada MD dan beliau memberitahu telah memberitahu pada Tai. Beberapa saat kemudian Tai tiba dan aku menyatakan bahawa mereka yang terlibat dengan kemalangan ini mahu masalah ini diselesaikan. Kemudian Tai menjawab "I ask my staff can speak Malay". Beberapa saat kemudian salah seorang dari staf dari Jabatan Personnel yang juga melalui jalan itu memberhentikan kereta yang kononnya untuk membantu. Aku terus meninggalkan tempat kejadian untuk ke tempat kerja bagi memastikan gaji aku tidak dipotong kerana datang lewat, tambahan pula bantuan aku tidak diperlukan.
Kadangkala terfikir juga betapa hikmahnya hari semalam kerana kebiasaannya aku memang akan terserempak dengan kereta MD di kawasan tersebut. Oleh kerana gara-gara tertinggal telefon bimbit menyebabkan aku terlewat beberapa minit ke tempat kerja. Apa-apapun aku bersyukur kepada Allah. Terima kasih kepada radio ERA dan juga pakar motivasi Datuk Haji Mohd. Fadilah Kamsah yang memberi berbagai-bagai panduan, tip dan motivasi yang aku dengar di radio sebelum ke tempat kerja. Aku cuba mengamalkannya dengan keizinan Allah.
Namun aku tersenyum dan tertanya-tanya di dalam fikiran ini tentang ungkapan kata-kata Tai. Apakah aku ini tidak pandai bertutur di dalam bahasa Malaysia atau Melayu? Ataupun aku ini bukan Melayu?
Thursday, 28 October 2010
VSS
Tuesday, 19 October 2010
Pengiraan Aneh 2010
- Tetapkan dalam seminggu berapa kali anda ingin makan malam di restoran.
- Darabkan dengan 2.
- Tambah 5.
- Darabkan dengan 50.
- Jika tarikh lahir anda tahun ini sudah lepas, tambah 1760, dan 1759 jika ianya belum lepas.
- Tolak tahun anda dilahirkan.
- Hasilnya, jumlah anda sekarang adalah 3 digit nombor.
- Digit pertama adalah jumlah nombor yang anda ingin makan malam di restoran.
- Manakala dua digit terakhir adalah usia anda.
Sunday, 17 October 2010
Mesyuarat Agung Ke 5
Aku tidak faham apakah motif sebenar beliau. Apakah ada agenda tersembunyi sebab beliau bersama-sama pengerusi lama adalah bekas AJK terdahulu dan asal sejak penduduk mengambil-alih pengendalian pentadbiran dari pemaju perumahan. Aku rasa hanya beliau dan kuncu-kuncu sahaja tahu kenapa sukar untuk menerima orang baru kendalikan pentadbiran.
Apa yang pasti AJK untuk tahun 2010/11 terdiri daripada muka orang lama sejak 5 tahun lalu, AJK yang baru dilantik pada tahun lepas dan juga beberapa muka baru yang mungkin mencuba nasib untuk menjadi popular atau jadi bahan makian penduduk perumahan yang mempunyai banyak ragam.
Wednesday, 13 October 2010
Uniknya Oktober 2010
Apa yang pasti 1hb Oktober merupakan hari jadi arwah kakakku. Setiap kali aku balik ke kampung pada bulan Oktober pasti arwah kakakku akan memberitahu salah seorang sepupu akan menelefon untuk mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada beliau. Kini segalanya sudah tiada lagi.
Sunday, 12 September 2010
Senior
Apa yang lebih menarik suami beliau adalah senior aku semasa bersekolah di Sekolah Tinggi Muar iaitu dua tahun usia dari aku. Inilah ada kerana semasa aku menjejakkan kakiku di Sekolah Tinggi Muar di tingkatan 4 aliran sains, suami beliau berada di tingkatan 6 rendah aliran sains sebagai pengawas. Oleh kerana wajah masing-masing sudah berubah maka sukar untuk kami saling mengingati kecuali kalau melihat semula majalah sekolah "MUARA", tapi sayangnya majalah sekolah milik aku telah musnah dimakan anai-anai.
Walaupun sambutan Hari Raya tahun ini amat muram bagiku, namun kedatangan dua senior yang mempunyai ikatan suami isteri ini memberi sedikit keceriaan kerana mereka adalah tetamu luar yang pertama datang menziarahi aku di Hari Raya ini. Terima kasih Rosmila dan Rosman.
Friday, 10 September 2010
Hari Raya Yang Berbeza
Hari Raya tahun ini amat berbeza buat aku. Hujan yang melimpah bumi di pagi Hari Raya Aidil Fitri tahun ini lagi menampakkan kesepian dan kesuraman rumah pusaka arwah abah dan emak. Kalau Hari Raya tahun sebelumnya kami adik-beradik akan berpakat untuk berkunjung ke rumah abang sulung pada hari dan masa yang sama tetapi kali ini masing-masing dengan cara tersendiri. Entahlah, adakah selepas arwah kakakku meninggal dunia hubungan kami adik-beradik akan mulai renggang dan seterusnya sambutan Hari Raya akan berbeza.
Lebih kurang jam 10.00 pagi aku berkunjung ke rumah abang sulungku setelah kakak ipar menelefon dan anak saudara menghantar sms meminta aku datang untuk menikmati ketupat, rendang dan pelbagai juadah di pagi Hari Raya. Hampir jam 12 tengahari aku balik ke rumah dan aku melihat ada kereta saudara di depan rumah. Apa yang pasti selepas mereka berkunjung di rumah saudara-mara yang juga merupakan jiranku, mereka terus beredar tanpa menziarahi atau bertanya khabar kepadaku. Aku telah jangkakan semua ini akan berlaku mulai Hari Raya tahun ini. Tetapi, aku peduli apa. Ada aku kisah.
Kalau sebelum ini aku kelam kabut membantu arwah kakakku melayan tetamu terutama saudara-maraku yang datang beraya secara berkonvoi tetapi, tahun ini Hari Raya amat berbeza. Tiada kunjungan Hari Raya dari saudara-mara dan anak-anak jiran sekeliling, malah kanak-kanak dari kawasan lain juga tidak kelihatan. Oleh itu tahun ini sambutan Hari Raya aku banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan mencuci kusyen dan langsir. Suasana dan mood Hari Raya tahun ini memang amat berbeza sekali.
Thursday, 9 September 2010
Persiapan Raya
Kali ini rumah pusaka yang ditinggalkan oleh arwah emak dan abah menjadi sepi. Persiapan Hari Raya boleh dikatakan tiada langsung atau ala kadar sahaja. Aku sekadar menyalin langsir, kusyen dan membersihkan habuk dengan mood yang amat berbeza. Kalau diikutkan kata hati aku langsung tidak mahu apa-apa persiapan untuk Hari Raya namun aku gagahkan jua. Apa yang pasti dapur rumah pusaka tiada berasap atau kedengaran deruman mesin pengisar tepung arwah kakakku membuat kek yang menjadi kegemaran keluarga dan tetamu yang sentiasa menanti kek tersebut.
Adalah menjadi kebiasaan aku menyediakan bunga rampai untuk menziarahi pusara arwah-arwah emak, abah, atuk dan anak saudara. Ini telah menjadi kelaziman aku untuk menziarahi pusara-pusara mereka sehari sebelum Hari Raya. Manakala tahun ini satu lagi pusara akan aku ziarahi iaitu arwah kakakku.
Monday, 30 August 2010
Hasil terbinanya facebook ini aku dapat menghubungi semula rakan sekolah dan sekelas semasa darjah lima di Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar iaitu Azlan Huzairi Mustafa'l Adnan. Apa yang pasti Azlan tidak mengingati langsung kerana hubungan kami terputus begitu lama. Namun begitu beliau memuji memori aku kerana masih mengingati sedikit biodata beliau dan kenangan semasa zaman persekolahan dahulu.
Aku berharap dengan wujudnya facebook ini dapat menghubungi semula rakan-rakan sekolah semasa di Sekolah Rendah Ismail (Satu) Muar (1972 - 1977), Sekolah Menengah Sri Muar (1978 - 1980) dan Sekolah Tinggi Muar (1981 - 1984).
Wednesday, 18 August 2010
Gas Dah Habis
Oleh kerana tiada pilihan aku terpaksalah bersahur dengan lauk sejuk. Lantaklah, janji masih boleh makan dan bersahur. Kini yang menjadi masalah aku untuk membeli gas kerana di Johor Bahru ini kadangkala ada kedai yang banyak songeh tidak mahu hantar gas ke rumah. Apa yang peliknya di dalam peti surat rumah penuh dengan iklan penyediaan hantar tong gas ke rumah, tetapi apabila menelefon banyak sahaja alasannya. Nampaknya terpaksa aku cari alternatif lain sementara menunggu hari minggu menanti lori yang menjual tong gas melalui kawasan rumah aku.
Kadangkala apabila melihat keadaan ini membuatkan aku rasa menyesal tidak membeli microwave oven, tetapi apabila ada yang kata ianya merbahayakan kesihatan membuat aku seringkali melupakan hasrat tersebut. Bingung juga memikirkan...
Monday, 16 August 2010
Perut Meragam
Selepas kawasan rehat Pagoh, kesakitan perutku semakin kuat. Aku rasa menyesal pula tidak meminta pemandu bas berhenti sebentar di kawasan rehat Pagoh. Oleh kerana aku tidak mahu menghadapi risiko dengan muka tidak malu aku terpaksa meminta pemandu bas berhenti sebentar di kawasan rehat seterusnya. Semakin hampir di kawasan rehat Yong Peng kesakitan perutku semakin kuat. Alhamdulillah, di dalam keadaan hujan Allah telah kabulkan doaku.
Sebaik sahaja aku turun dari bas telah masuk waktu berbuka puasa bagi kawasan Johor Bahru. Jadi semasa berjalan menuju ke rumah aku hanya berbuka dengan air mineral dan sekeping coklat. Tetapi entah mengapa tetiba sahaja sakit perutku datang kembali. Aku terus melajukan langkah kaki dan sesekali berlari untuk memastikan cepat sampai ke rumah. Apabila tiba di rumah sakit perutku semakin kuat dan lintang-pukanglah aku terus ke bilik air melepaskan hajat.
Selepas mandi aku terus menunaikan solat maghrib dan kemudian aku makan makanan yang dibekalkan oleh abang-abang aku iaitu bubur lambuk dan pengat sagu. Alhamdulillah, kalau dahulu arwah kakak yang akan membekalkan aku makanan dan sekarang sekurang-kurangnya masih ada abang-abang yang mengambil berat tentang diriku.
Friday, 13 August 2010
3 Ramadan 1431H
Thursday, 12 August 2010
2 Ramadan 1431H
Kalau sebelum ini arwah kakakku akan bertanya apa menu untuk juadah berbuka puasa tetapi kali ini semuanya sudah tiada lagi dalam dairi kehidupanku. Aku hanya makan apa sahaja yang disediakan oleh anak saudaraku. Tetapi yang aku geram pada hari pertama aku berpuasa di kampung pihak Jabatan Kesihatan boleh membuat semburan nyamuk dikala orang kampung sedang bersiap-sedia untuk menyediakan juadah berbuka. Jadi faham-faham ajelah mulalah mulut aku ni nak membebel. Sabar ajelah dugaan di bulan puasa ini.
Monday, 9 August 2010
Lanjutan Terlepas Pandang
Kemudian ada lagi emel yang dihantar oleh seseorang yang cuba mempertikaikan mengenai waktu keluar solat Jumaat bagi lelaki yang beragama Islam. Selepas itu ada pekerja bernama M bukan nama sebenar telah menjawab bagi pihak Personnel untuk menerangkan kedudukan sebenarnya. Wow... bahasanya amat tajam kepada semua pihak yang masih tidak faham akan keadaan ini. Kalau aku berada di tempat mereka seperti apa yang dijelaskan oleh si M pasti boleh membuat aku rasa malu. Aku sendiri tidak faham mengapa kita suka menunding jari untuk menyalahkan orang lain sedangkan semua itu berpunca dari kesalahan kita sendiri. Apa yang aku tahu agama Islam tidak pernah membebankan umatnya.
Aku sangka selepas jawapan dari si M pasti pekerja-pekerja akan tesentap dan lebih memahami akan segala peraturan yang telah dibuat oleh pihak syarikat. Bagi aku penerangan dari M cukup padat dan dapat menghuraikan segala persoalan pekerja lelaki beragama Islam akibat dari kita sendiri yang terlepas pandang. Tetiba ada staf baru di dalam nada serious menghantar emel cuba menyalahkan pihak Kesatuan Sekerja kerana hal yang berkaitan solat Jumaat. Aku tetiba naik angin membaca emel tersebut kerana ada juga manusia yang masih tidak faham atau terlepas pandang untuk memahami keterangan yang diberi oleh si M. Aku yang pada mulanya hanya berdiam diri terus menjawab dan menjelaskan serta meminta supaya isu solat Jumaat usah dipanjangkan jika masih tidak mahu faham apa sebenarnya yang telah berlaku. Pada pandangan aku tidak guna kita menunding jari untuk menyalahkan kepada pihak lain kerana yang pasti tundingan jari itu akan kembali kepada kita semula.
Aku bukanlah seorang ustaz tetapi aku malu kalau perbalahan ini akan menunjukkan betapa lemahnya kita umat Islam. Aku berharap emel aku itu tidak menjadi kontroversi kepada pekerja-pekerja lain. Apa yang pasti ada wakil Kesatuan Sekerja telah menyokong keterangan aku dan ada staf Jabatan Personnel tersenyum melihat aku.
Friday, 6 August 2010
Terlepas Pandang
Aku sendiri pun telepas pandang kerana menyangkakan bahawa pada tahun ini umat Islam di Malaysia akan menyambut awal Ramadhan pada 13hb Ogos memandangkan pada hari itu pihak syarikat mengumumkan hari cuti. Aku pula sebulan sebelum itu telah mengambil cuti pada 12hb Ogos kononnya untuk memastikan hari pertama bersahur, puasa dan berbuka di kampung. Apabila memo dikeluarkan oleh pihak Personnel tentang jadual waktu kerja barulah aku tersedar bahawa awal Ramadhan dijangkakan pada hari Rabu 11hb Ogos. Ermmm... nampak gayanya terpaksalah aku berbuka puasa pada 1 Ramadhan 1431H di stesen bas Larkin, Johor Bahru.
Friday, 30 July 2010
Imam Muda
Bagi aku, program anjuran Astro Oasis boleh dibanggakan kerana membuat program konsep dakwah ini. Namun begitu kejayaan Asyraf ini sudah aku duga memandangkan setiap minggu beliau akan memperolehi markah yang tertinggi di samping jawatan yang dipegang oleh beliau adalah seorang Imam. Apa-apapun aku amat berbangga dengan keberanian salah seorang peserta lepasan sekolah dari Kelantan iaitu kalau tidak silap aku nama beliau adalah Shahkir kerana keberanian beliau turut sama menyertainya.
Tahniah Asyraf, peserta-peserta Imam Muda, Astro Oasis dan Jawi yang terlibat dalam program konsep dakwah ini.
Wednesday, 28 July 2010
Sedikit Kemalangan
Sewaktu aku ke tempat kerja melalui Jalan Permas 6 menuju ke Jalan Permas Barat sedikit bencana menimpa aku. Sewaktu aku memberhentikan motor untuk belok ke kanan persimpangan Jalan Permas Barat tetiba hati aku terdetik untuk melihat ke arah belakang. Sebaik sahaja aku memusingkan kepala aku ke kiri, tetiba sahaja ada sebuah kereta putih Myvi yang membelok ke kiri tanpa berhenti melanggar motor aku dari arah belakang. Apa lagi, aku bersama motor terus terjatuh.
Aku naik angin meminta pemandu tersebut iaitu seorang gadis kaum Cina membayar gantirugi sebanyak RM100. Beliau kemudian menelefon teman lelaki konon katanya tidak membawa wang. Aku sebenarnya meraguinya tetapi oleh kerana aku tidak mahu lewat ke tempat kerja aku minta no telefon beliau dan menyuruh beliau telefon aku untuk selesaikan masalah ini. Sebaik sahaja aku tiba ke tempat kerja, teman lelaki perempuan Cina itu menelefon aku dan bertanya tentang gantirugi tersebut. Aku beritahu andaikata beliau tidak mahu selesaikannya aku akan membuat laporan polis tentang kemalangan ini. Oleh kerana teman wanita beliau masih menggunakana lesen P dan kononnya tidak tahu tempat kerja aku, maka kakak perempuan Cina itu pula menelefon dan meminta nombor akaun bank aku.
Di tempat kerja pula aku menjadi popular sekejap kerana ramai yang menelefon untuk bertanya keadaan aku kerana beberapa orang staf ada melihat kejadian tersebut. Sebenarnya aku tidak mengalami kecederaan yang teruk sekadar sedikit luka di tapak tangan kiri dan lutut kaki ada sedikit rasa sakit apabila hendak sujud waktu solat. Manakala motor pula pemijak kaki sebelah kiri bengkok sedikit dan perlu diketuk untuk memperolehi seperti keadaan asal.
Kepada staf yang mengambil berat samada menelefon atau berjumpa aku sendiri untuk bertanyakan khabar, terima kasih aku ucapkan. Ermm... rupanya masih ada yang sayangkan aku.
Sunday, 18 July 2010
Majlis Perkahwinan Nor Aishah
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku menghadiri majlis perkahwinan Aishah kerana sebelum beliau berhenti kerja aku telah mengetahui lebih awal tarikh majlis perkahwinan yang akan diadakan. Oleh kerana aku sering pulang ke kampung atau aktiviti lain, maka aku telah mengaturkan rancangan agar pada hari ini jadual aku kosong untuk menghadiri majlis perkahwinan beliau.
Aku tersenyum melihat majlis perkahwinan Aishah kerana aku tahu beliau begitu minat warna 'pink'. Walaupun baju sanding beliau bukan berwarna 'pink' namun baju pengapit pengantin dan bunga telur tetap 'pink colour'. Hehe...
Wednesday, 14 July 2010
Showdown 2010 Champion
Wakaka Crew yang mempunyai tujuh orang anggota yang diketuai oleh bekas juara program So You Think You Can Dance musim pertama 2008, Muhamad Haslam Abdul Rahman atau Alam. Apa yang menariknya kumpulan ini pula membuat persembahan dengan lagu Waka Waka seperti lebih kurang nama kumpulan ini iaitu Wakaka Crew. Apakah mungkin tanggapan negatif bahawa kemenangan Wakaka Crew kerana Alam walaupun kumpulan ini juga hadir ujibakat untuk pertandingan ini. Namun seperti kata Wakaka Crew pada ucapan akhir meraih kemenangan mereka "Walau Aku Kalah Aku Kisah Apa".
Apa-apapun tahniah Alam dan Wakaka Crew kerana kejayaan menjuarai tarian Showdown 2010.
Saturday, 10 July 2010
Kasut Buat Hal
Sebaik sahaja aku sampai di destinasi yang ditetapkan, tetiba perasaan aku merasakan sesuatu yang tidak kena sahaja. Aku merasakan langkah kaki aku macam tak selesa atau tidak betul sahaja. Sebaik sahaja aku melangkah anak tangga pintu utama tempat yang aku hendak berjumpa Aril tetiba aku melihat tapak kasut yang dipakai macam hendak tertanggal. Alamak... ini adalah kali kedua aku mengalami masalah yang sama. Sementara hendak mencari kasut yang sesuai tanpa aku sedari tapak kasut di sebelah kiri tertanggal. Aku sendiri tidak tahu di mana tapak kasut itu tertinggal dan hanya mampu senyum sendirian. Malunya...
Oleh kerana telah hampir jam 12.00 tengahari iaitu masa yang aku janji dengan Aril dan rasa tidak selesa dengan kasut itu maka aku tidak mempunyai masa untuk mencari kasut yang selesa dan sesuai. Apa sahaja di depan mata yang boleh dipakai terus sahaja aku beli. Hilang mood untuk bergaya. Huhu...
Wednesday, 7 July 2010
Kenaikan Gaji 2010
Aku hanya mampu tersenyum sinis sebaik sahaja data ditayangkan bahawa kenaikan gaji semua senior staf adalah 0.8% namun masih lagi ada pangkat A - E. Ermmm... aku hanya mampu geleng kepala kerana tahun ini pangkat ditambah menjadi lima. Ini suatu perubahan yang menarik. Kenapa tidak sahaja diberikan pangkat dari A hingga ke Z kerana pasti aku akan diberikan pangkat Z bersesuaian pangkal nama aku bermula dengan huruf Z. Huhu....
Aku tahu ramai senior staf tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh jabatan Personnel memandangkan junior staf yang mendapat pangkat E pun masih mendapat 1%. Aku memang sudah malas nak memikirkan semua ini sebab akan menyemakkan data di dalam otak aku ini. Apa yang menarik untuk mengabui mata semua orang maka pihak pengurusan memberi satu ganjaran ataupun bonus kepada setiap pangkat dan yang pasti amat malang bagi staf yang mendapat pangkat E hanya sekadar 0.8% dari gaji asas.
Walaupun berbagai-bagai alasan yang diberikan oleh wakil pihak pengurusan namun ramai yang tidak berpuas hati dengan wujudnya pangkat A - E. Inilah kerana setiap tahun kami boleh mengagak siapa yang akan mendapat pangkat A dan siapa pula yang akan menjadi kambing hitam untuk mendapat pangkat E. Oleh itu tidak perlulah nak bertungkus-lumus semata-mata untuk mengharapkan sesuatu yang tidak pasti atau tidak mungkin akan berlaku kerana seperti kata salah seorang senior staf "semua telah ditetapkan".
Apakah kenaikan gaji 2010 ini aku akan memperolehi pangkat D ataupun aku akan menjadi kambing hitam memperolehi pangkat E. Tunggu dan lihat.
Friday, 2 July 2010
Sayonara K.Nakagawa
Pada mula kedatangan Nakagawa ke Jabatan Accounts ini aku lihat beliau seorang yang baik dan berbudi bahasa. Tetapi entah mengapa dari sehari ke sehari beliau mula berubah menjadi seorang yang agak kurang ajar, panas baran, suka menjerit, suka marah-marah dan pelbagai lagi sikap negatif yang tidak boleh kami terima. Aku berpendapat mungkin kerana beliau telah menunjukkan sikap ego dengan kuasa yang ada pada beliau.
Aku masih ingat lagi bagaimana kenangan indah aku bersama beliau dan beberapa staff dari jabatan lain pergi ke sebuah kebun di Pontian untuk menikmati durian. Aku melihat beliau begitu mesra alam, tidak lokek dan boleh bergurau hingga lupa protokol bahawa beliau adalah boss paling besar di jabatan Accounts. Oleh kerana beliau masa itu masih baru dan kurang memahami budaya Malaysia khasnya Melayu maka beliau selalu jadi sasaran gurauan dari kami. Kami mengambil kesempatan mengisi buah-buah durian di dalam bonet kereta Proton Gen2 milik beliau. Hehehe... Beliau pula asyik menceritakan keseronokan makan durian kepada staf Jepun yang lain termasuk Managing Director dan keluarga beliau sendiri di Jepun.
Pada masa beliau dilantik AJK untuk Bon Odori iaitu satu festival yang memperkenalkan makanan dan budaya Jepun di Johor Bahru, beliau mahukan aku bertugas mewakili syarikat. Aku beberapa kali menolak cadangan tersebut dan mencadangkan beliau memilih orang lain. Namun begitu beliau tidak berputus asa dan sering memujuk aku hingga aku akur dengan permintaan beliau di saat akhir beberapa hari sebelum Bon Odori berlangsung. Aku dilantik sebagai ketua untuk mengagih-agihkan kopun percuma kepada staff lain yang terlibat. Malah beliau asyik memperkenalkan aku kepada orang-orang Jepun dari syarikat lain yang terlibat sebagai AJK Bon Odori tersebut.
Tetapi masa terus berlalu, beliau mula berubah dan sikapnya amat berbeza seperti mula kedatangan beliau ke jabatan Accounts. Aku pada mulanya masih sabar tetapi kesabaran aku mula terungkai apabila beliau mula menunjukkan sikap kurang ajar kepada aku. Aku masih boleh menerima kalau beliau memarahi aku tetapi kalau tangan beliau sudah mulai berani untuk menyentuh aku sedikit kasar walaupun aku tidak menerima pelempang atau penumbuk membuatkan aku mulai benci beliau semenjak hari itu. Apa sahaja survenior yang diberikan kepada aku apabila pulang dari Jepun akan aku berikan kepada staf lain. Aku amat benci dan enggan lagi bergurau atau bercakap dengan beliau kecuali hal yang berkaitan dengan kerja.
Namun disebalik keburukan beliau itu, aku amat berterima kasih kerana beliau telah mempertahankan kenaikan pangkat aku pada tahun lepas walaupun telah dua tahun berturut-turut Ketua Division Finance menyingkirkan nama aku. Itulah jasa terakhir beliau kepada aku sebelum beliau dipindahkan ke jabatan lain yang bermatian-matian mahukan aku dinaikkan pangkat di saat-saat akhir sebelum nama staff yang dinaikkan pangkat diumumkan.
Hari ini Nakagwa akan meninggalkan syarikat dan aku amat tersentuh pada ucapan terakhir beliau yang meminta maaf kepada semua staf terutama kepada jabatan Accounts dengan sikap beliau selama ini. Aku hampir mengalir air mata kerana mendengar kata-kata sayu dan ikhlas beliau itu. Selain daripada itu aku juga merasa sedih melihat sikap segelintir pekerja termasuk mereka yang terlibat memberi sambutan yang dingin pada beliau hari ini. Aku amat sedih apabila melihat jambangan bunga yang diberikan kepada beliau tidak sehebat diberikan kepada staf Jepun lain yang meninggalkan syarikat.
Walaupun suatu ketika dahulu aku amat membenci Nakagwa namun kenangan makan durian dan Bon Odori akan terus terpahat di hati aku ini. Aku juga berterima kasih kepada K.Nakagawa yang telah menaikkan aku pangkat iaitu setahun sebelum dia mengucapkan sayonara kepada syarikat di Malaysia.
Saturday, 19 June 2010
Aril Armani
Tetapi pada hujung tahun 2009 aku terpaksa membeli 'perfume' kegemaran aku di Metrojaya, Plaza Pelangi apabila beberapa lama aku menunggu di kaunter tetapi Aril tidak kelihatan dan gagal dihubungi. Hujung bulan Mei tahun ini aku sekali lagi membeli 'perfume' di Metrojaya memandangkan di HP kehabisan stok dan dari situ dapat maklumat Aril sudah tidak bekerja lagi di Parkson HP.
Malang tidak berbau baru seminggu aku pakai 'perfume' tersebut botolnya terjatuh dan pecah. Aku tidak ada pilihan dan terpaksa memakai 'perfume' sample pelbagai jenama yang sering aku perolehi percuma apabila membeli 'perfume'. Hari ini selepas sembahyang zohor aku cuba pergi ke HP tetapi ternyata 'perfume' tersebut masih lagi tiada. Aku tiada pilihan dan terpaksa ke Metrojaya Plaza Pelangi untuk membelinya. Oleh kerana bimbang promoter tersebut mengenali dan kehairanan melihat aku membeli lagi 'perfume' tersebut selang beberapa minggu maka aku hanya menundukkan muka dan terus menyatakan 'perfume' kegemaran aku tanpa bertanya seperti biasa sekiranya ada sebarang promosi 'perfume' tersebut. Tetapi aku perhatikan wajah promoter tersebut bukan promoter yang aku berurusan beberapa minggu yang lalu.
Selepas menggunakan kupon percuma bernilai RM20.00, aku cuba untuk mengingati promoter tersebut kerana macam pernah melihatnya tetapi tidak tahu di mana. Semasa aku melalui kaunter 'perfume' untuk balik tetiba beliau menyapa dan bertanya samada tadi aku ada pergi ke HP. Aku semakin pelik dan terkejut kerana beliau seolah-olah tahu segala pergerakan aku. Akhirnya baru aku tersedar itu adalah Aril yang dua kali aku berurusan dengannya untuk membeli 'perfume' di HP. Aku hampir tidak mengenalinya memandangkan suatu ketika dulu badan Aril berisi atau besar sedikit seperti badan aku sebelum hujung bulan Mac tetapi, sekarang badan Aril agak sasa dan berotot.
Kami terus berbual-bual pelbagai topik seperti hal-hal kerja, kesihatan, permakanan, pelaburan KWSP, hal peribadi termasuk tunang beliau dan berbagai-bagai lagi. Apa yang paling menarik sekali dalam perbualan kami itu Aril memberi galakan kepada aku untuk membina otot badan dan memberi pelbagai panduan mengenainya. Oleh kerana pada masa itu tiada pelanggan maka Aril menunjukkan pelbagai cara atau senaman yang perlu aku lakukan. Malah Aril juga memberitahu setiap kesan yang akan diperolehi dengan bentuk senaman yang akan dilakukan. Akhirnya jam 6.00 petang aku meminta diri untuk balik memandangkan Aril dikunjungi seorang pelanggan hendak membeli 'perfume'.
Aku amat berterima kasih kepada Aril iaitu seorang pemuda yang berusia 28 tahun pengemar 'perfume' Giorgio Armani, bekas pekerja hotel dan kilang, ejen pelaburan KWSP, seorang promoter 'perfume', model dan juga seorang 'Instructor'.
Friday, 4 June 2010
Kubur
Aku faham mungkin cuti umum yang bersambung menyebabkan pihak pengali kubur mengali banyak kubur untuk kemudahan semua pihak. Namun apa yang menyebabkan aku tidak faham mengapa pengali kubur sanggup menimbus tanah-tanah yang digali ke kubur yang tersedia ada hingga tidak kelihatan identiti kubur tersebut. Ada kubur yang bernasib baik masih lagi kelihatan tanda batu nesan sementara walapun hanya tinggal satu sahaja.
Saturday, 29 May 2010
Hari Ini Dan Semalam
Apa yang pasti hari ini juga akan diadakan reunion pelopor bekas-bekas pelajar Institut Teknologi MARA (ITM) Pahang untuk menyambut 25 tahun (Jubli Perak) penubuhan ITM Pahang. Malam ini reunion yang akan diadakan di Intekma Resort Shah Alam hanya akan dihadiri khas untuk bekas pelajar dari ITM Pahang dari batch Januari dan Julai 1985 sahaja selain daripada beberapa jemputan seperti bekas Pengetua, Pensyarah dan kakitangan di zaman tersebut. Apa yang menarik tema untuk reunion ini adalah Retro 85 iaitu pakaian yang dipakai oleh pelajar-pelajar pada masa itu. Pada masa itu majoriti pelajar perempuan akan memakai baju kurung dan majoriti lelaki pula akan memakai seluar jeans dan kemeja serta kasut sukan pelbagai jenama.
Semalam aku mengambil cuti separuh hari dan selepas sembahyang Jumaat aku balik ke kampung kerana pada malam hari rumah anak saudara aku mengadakan kenduri. Alhamdulillah aku sampai di kampung lebih kurang jam 6.00 petang. Selepas sembahyang maghrib aku pergi ke rumah anak saudara yang mengadakan kenduri. Anak saudara aku suami isteri yang bekerja di Kuala Lumpur membeli rumah di Saba Awor, Muar mengadakan kenduri doa selamat dan juga bacaan surah Yassin serta tahlil arwah untuk abang sulung beliau (anak saudara lelaki aku yang sulung) dan juga arwah kakak aku. Semalam juga genap dua bulan arwah kakak aku meninggal dunia.
Semalam juga pertama kali setelah dua bulan aku mengawal permakanan aku selama ini kecundang dengan nasi minyak dan pelbagai kuih-muih yang disaji di depan mata aku. Tambahan pula kami adik-beradik berkumpul beramai-ramai dan makan bersama-sama. Walaupun aku menjamu selera melebihi dari kadar permakanan yang aku amalkan selama dua bulan ini namun ianya masih lagi terkawal. Maklum sahaja apabila aku diet ramai pula kawan-kawan sekerja risau kerana aku kelihatan kurus dan macam orang sakit walaupun hakikatnya itulah bentuk badan aku sebelum pertengahan tahun era 1990an.
Wednesday, 26 May 2010
Yahooo.. Cuti
Oleh kerana permohoanan cuti aku telah diluluskan maka tidak perlulah aku membuat kepala batu seperti dahulu yang memberitahu Head Division samada cuti aku diluluskan atau tidak yang pasti aku tetap tidak akan hadir untuk bekerja pada hari tersebut. Hehe....
Sunday, 16 May 2010
DPA Julai 1985
- Amy Jarr (Antu)
- Arash Mohd. Zain
- Azmi Abu Bakar (Bilal)
- Azli Ripin (Selipar)
- Fendi (Pendita)
- Hamzah Ramli (Arwah-Somprak)
- Hashim Idris (Pak Malau)
- Hussain Moh (Birah)
- Kamaruzaman Md. Alif (Man Rapu)
- Khairuzaman Sidek (Man Gelap)
- Mohd. Helmi (Tengku)
- Mohd. Jamili (Jimmy)
- Mohd. Niza Simin
- Mohd. Nizam Kadir (Selambe Jr)
- Muliadi Marjohan (DO @ Guru Besar)
- Muzafar Ali
- Nor Afandi Othman (Clark Gable)
- Ramlan Malik (Mr T)
- Sharif Zafar (Che Teh)
- Sidi Lateh (Che Dat)
- Wan Mazlan Wan Zakaria (Apek @ Lemberg)
- Zuhairi Mahamood
- Faraliza Abdul Rahman (Rambo)
- Khamsiah Abd. Rahman (Beserah)
- Marina Othman (Che Puan)
- Norhuda Abd. Malik (Kuda)
- Rohani Abd. Latiff
- Rozita
- Siti Minah Bakar (Kak Chik @ KC)
- Zuraidah Md. Taib (Golden @ Mummy)
Inilah senarai nama-nama bekas pelajar ITM Pahang batch Julai 1985 dari kursus DPA yang aku masih ingat. Oleh itu jika ada nama-nama yang tertinggal ataupun tersalah ejaan aku pohon maaf terlebih dahulu, maklum sahajalah sudah 25 tahun berlalu dan majoritinya tidak pernah aku berjumpa selepas graduan. Jadi kepada bekas pelajar-pelajar DPA ITM Pahang Julai 1985 samada tersenarai atau tidak di dalam memori aku ini dan kawan-kawan yang tahu di mana mereka berada diharap dapat hubungi AJK reunion untuk memberi biodata masing-masing (kalau boleh berserta gambar dahulu dan terkini) seperti alamat, nama tempat bekerja, jawatan, emel dan no telefon.
Thursday, 13 May 2010
Diet
Aku tidak kisah kalau orang hendak kata aku tak hensem ataupun aku kelihatan berusia berbanding dengan dahulu. Apa yang pasti perubahan fizikal aku ini semua ada kaitan masalah kesihatan yang membuat aku bertekad untuk mengubah corak kehidupan aku terutama dari segi permakanan. Kalau dahulu pantang sahaja aku jumpa selagi makanan atau minuman itu berstatus halal aku akan balun sahaja. Tidak pernah ada istilah makanan yang tidak sedap di dalam dairi permakananku. Kini tabiat buruk tersebut telah aku cuba untuk membuangnya demi menjaga kesihatan aku.
Namun begitu ramai yang tidak sanggup untuk mengawal diet permakanan seperti yang aku amalkan kerana masing-masing kata tidak tahan lapar atau godaan makanan. Ada yang kata mereka dah cuba diet tetapi masih tidak dapat turunkan berat badan. Adakah aku makan pil untuk kurus badan? Aku cakap itu perkara mengarut dan tidak perlu untuk makan pil semata-mata untuk kurus. Aku tidak nafikan pada permulaannya untuk aku mengamalkan diet amat terseksa kerana lapar dan godaan makanan memandangkan aku memang suka makan. Tetapi jika kita dapat mengawal minda dan ada azam atau pemangkin pasti semua cabaran itu dapat diatasi dengan mudah sekali.
Walaupun diet yang telah aku lakukan ini membuatkan banyak pakaian aku semuanya longgar, namun aku berpuashati jika ianya membolehkan kesihatanku semakin yang baik. InsyaAllah, itulah harapanku. Apabila aku melihat perubahan fizikal ini membuatkan teringat nostalgia 25 tahun yang lalu bentuk fizikal aku sewaktu menjejakkan kaki di Institut Teknologi MARA (ITM) Pahang.
Friday, 30 April 2010
Sebulan Berlalu
Aku bersyukur rumah perninggalan arwah emak dan abah yang diwariskan kepada arwah kakakku masih terjaga rapi. Apa yang pernah dilakukan oleh arwah kakakku semasa hayatnya masih diamalkan oleh adik-beradikku yang lain walaupun mungkin tidak sebaik arwah kakakku. Oleh kerana aku boleh dikatakan agak rapat dengan arwah kakakku maka aku cuba mengemas dan menyusun rapi segala perkakas rumah seperti yang dilakukan oleh arwah. Kini setelah sebulan berlalu barulah aku faham mengapa arwah kakakku begitu teliti dan sering menegur segala tindak-tanduk aku yang kadangkala tidak memuaskan hatinya yang diwarisi dari sikap arwah emak. Apa yang termampu kini aku akan cuba sebaik mungkin untuk melakukannya dan akan menjaga pokok-pokok bunga milik arwah.
Walaupun sudah sebulan berlalu aku masih merindui arwah kakakku. Segala kenangan aku bersama arwah kakakku akan aku pahatkan di hati ini.
Wednesday, 28 April 2010
Dugaan
Sebaik sahaja arwah kakakku pulang dari umrah beliau dimasukkan ke Hospital Mahkota Melaka kerana penyakit lama beliau kembali lagi. Apa yang membuat aku resah dan berduka apabila aku menerima berita pada masa itu bahawa penyakit arwah kakakku di peringkat tahap ketiga. Aku terus termenung dan hatiku semakin berkecamuk dan mengharapkan keajaiban dari Allah agar arwah kakakku sembuh.
Apa yang membuat aku hatiku semakin resah apabila menerima laporan perubatan kesihatan tahunan aku yang agak mendukacitakan. Aku hampir menangis di depan doktor panel syarikat namun doktor tersebut cuba mententeramkan aku dan mengarahkan aku membuat pemeriksaan kesihatan lanjut di Hospital Pakar Kempas, Johor Bahru. Semasa itu aku rasa duniaku semakin gelap dan semenjak hari itu aku mulai berubah sikap di pejabat menjadi seorang yang murung dan pendiam.
Aku yang sepatutnya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Pakar Kempas pada 28hb Mac terpaksa dibatalkan apabila menerima berita arwah kakakku dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar sehari sebelum itu. Walaupun di depah ahli keluarga aku terpaksa tersenyum dan ceria tetapi hatiku tetap risau dengan kesihatan kakakku dan diriku sendiri. Aku tidak mahu keluarga terutama arwah kakakku risau dengan kedaan serentak ini. Hatiku tersentap, semangatku hilang dan aku rasa duniaku semakin gelap apabila insan yang telah menanggung persekolahanku hingga ke Institut Teknologi MARA selepas arwah abah meninggal dunia dan menjaga segala keperluan harianku selepas arwah emak meninggal dunia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya di depan mataku.
Setelah tiga hari bercuti aku dengan berat hati terpaksa kembali ke Johor Bahru untuk kembali bertugas kerana untuk menyiapkan laporan tahunan 2009. Walaupun jasadku berada di pejabat untuk menyiapkan laporan tetapi hatiku masih berada di kampung, namun begitu aku berjaya juga menyiapkan laporan tersebut seperti yang ditetapkan untuk auditor menyemak laporan tahunan 2009.
Pada 4hb April aku ke Hospital Pakar Kempas untuk membuat pemeriksaan lanjutan kesihatan. Aku semakin takut dan hatiku semakin resah apabila pelbagai ujian harus diambil termasuk ultrasound untuk melihat tahap kesihatan aku. Apakah sebenarnya penyakitku ini. Aku mula fobia melihat makanan dan minuman. Fikiranku semakin kusut dan apa juga aku lakukan semuanya ada yang tak kena dan tidak sempurna. Aku boleh terlupa membawa kad pekerja di tempat kerja dan kad ATM pun boleh hilang. Berbagai-bagai dugaan aku terima termasuklah aku tersedar sendiri ada kesilapan laporan akaun stok yang aku buat walaupun pada masa itu laporan akaun telah ditutup. Aku rasa bersalah dan malu dengan keadaan ini. Malah pihak auditor pula dapat mengesan beberapa laporan dan formula yang aku buat ada beberapa kesilapan. Entahlah, aku semakin tergamam dan gelisah dengan keadaan ini.
Namun aku tahu bahawa ini semua dugaan dari Allah. Aku harus pasrah. Aku tahu mungkin disebalik dugaan yang aku terima mungkin ada rahmat dari Allah. Aku tahu Allah ingin melihat sejauhmana aku boleh menghadapi dugaan dan bagaimana cara aku menyelesaikan segala dugaan ini. Aku tahu Allah masih sayangkan aku dan tidak mahu aku terus terleka dan dibuai mimpi. Aku bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang membuat aku semakin rapat denganNya dan aku semakin menyayangi diriku sendiri.
Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan di tempat kerja seperti Rahimah Othman (Ucu) yang menjadi orang pertama memberi dorongan, nasihat dan semangat apabila aku menceritakan keadaan kesihatan aku. Terima kasih kepada Aishah bekas kerani yang aku anggap seperti adikku sendiri yang memberi semangat dan mendoakan kesejahteraanku. Terima kasih juga kepada Hanis dan Siti Zaharah yang sanggup berkongsi masalah dan amat memahami situasi aku sepanjang aku menghadapi segala dugaan dari Allah.
Tuesday, 27 April 2010
Ucapan Hari Jadi
Sunday, 11 April 2010
Sunyi Dan Sepi
Selepas sembahyang Isyak, aku menonton televisyen sebentar sambil memerhati tempat-tempat yang biasa kakakku duduk. Aku benar-benar rasa sunyi dan kehilangan. Ini dapat dirasakan kerana adalah menjadi kebiasaannya aku pasti akan berbual dengan arwah kakakku sehingga masing-masing mengantuk. Tetapi kini tiada siapa lagi yang akan melayan aku berbual.
Pada hari esok pula iaitu 10 April selepas sembahyang subuh iaitu lebih kurang jama 6.30 pagi aku berhasrat untuk menziarahi pusara arwah emak, arwah abah, arwah anak saudara dan arwah kakak tergendala memandangkan hujan. Erm... tidak apalah kata hati kecilku memandangkan mungkin aku boleh pergi pada waktu petang ataupun pada hari esok. Tetapi lebih kurang jam 7.00 pagi hujan berhenti dan aku terus mencapai motor untuk meneruskan hasrat aku untuk menziarahi pusara mereka. Alhamdulillah.
Sepanjang dua hari aku berada di kampung aku benar-benar rasa sunyi dan sepi. Apabila rindukan arwah kakakku, aku akan melihat tempat-tempat yang biasa arwah duduk seperti kerusi makan, bilik sembahyang, tempat menonton televisyen dan aku akan membuka almari untuk melihat pakaian-pakaian arwah. Aku begitu sebak. Aku juga melihat dan menjaga pokok-pokok bunga arwah yang masih tinggal kerana ada sebahagian pokok bunga abang aku yang sulung telah mengambil untuk menjaganya. Apa yang pasti aku cuba melakukan yang terbaik dan cuba mengamalkan apa yang sering arwah kakakku lakukan pada rumah pusaka peninggalan arwah abah dan arwah emak.
Sunday, 28 March 2010
Kakakku Pergi Jua
Setelah sampai ke kampung, aku terus ke hospital untuk menziarahi Ngah. Kami adik-beradik sentiasa bergilir-gilir menemani Ngah. Aku sentiasa berada di sisi Ngah dan sesekali aku akan balik ke rumah jika ramai pelawat yang datang melawat Ngah. Sesekali aku membaca surah Al Fatihah dan surah Yassin untuk Ngah. Selepas maghrib aku menjaga Ngah sementara menanti anak saudaraku Ain menemani Ngah memandangkan peraturan hospital kerjaan tidak membenarkan lelaki menjaga pesakit perempuan.
Lebih kurang jam 4.00 pagi aku menerima panggilan telefon dari anak saudaraku menyuruh aku ke hospital dengan segera. Aku terus mengejutkan abang aku dan kami terus ke hospital. Aku hairan dengan jururawat macam buat tidak tahu sahaja sebaik kami dua beradik memasuki wad dan menuju ke katil. Lebih kurang setengah jam baru salah seorang jururawat bertanya mengapa kami lelaki berada di situ. Hendak sahaja aku menampar jururawat tersebut kerana kemarahan aku masih belum lagi reda semenjak petang semalam kerana mereka langsung tidak mengambil tindakan apabila alat yang memasukkan darah, air atau ubat yang berada di tangan kakakku tercabut. Lepas tu semasa giliran anak saudaraku Ain menjaga mereka boleh menuduh kakak aku yang mencabutnya. Nasib baiklah anak saudaraku mulut laser dan pandai menjawab setelah beliau menelefon aku untuk bertanya akan hal ini.
Lebih kurang jam 6.00 pagi aku balik ke rumah untuk menunaikan fardu Subuh dan bersedia untuk datang menjaga kakakku semula. Lebih kurang jam 8.00 pagi abang aku memberitahu doktor mengarahkan semua ahli keluarga berkumpul. Aku terus berlari ke hospital dan menuju ke wad dan katil. Aku terus mengajar Ngah mengucap dan memohon maaf segala kesalahanku. Air mataku terus berjurai. Aku melihat pernafasan Ngah makin lemah dan perlahan, namun mulutku masih terus mengajarnya mengucap sehingga aku melihat pernafasan Ngah macam terhenti apabila kakak iparku mencuit bahuku. Aku memberitahu salah seorang jururawat yang berada di situ tetapi memang dasar jururawat lembab, beliau buat tidak tahu sahaja. Akhirnya tepat jam 8.30 pagi kakakku pergi jua menyahut panggilan Ilahi.
Air mataku terus berjurai. Aku terus sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah dan Yassin di sisi jenazah arwah kakakku. Aku kemudian mengiringi jenazah arwah kakakku ke rumah mayat untuk dimandikan jenazah dan hanya aku sahaja lelaki yang berada di bilik tersebut untuk memandikan dan mengkafankan jenazah arwah kakakku.
Semasa jenazah arwah kakakku berada di rumah, aku sentiasa berada di sini kecuali ada hal tertentu yang terpaksa aku uruskan. Lepas zohor arwah kakakku dikebumikan. Setelah urusan pengebumian arwah kakakku selesai hanya aku sahaja tidak berganjak dari kubur arwah kakakku. Air mataku terus berjurai semasa membaca surah Al-Fatihah sambil membetulkan tanah-tanah di perkuburan arwah kakakku. Adik-beradikku dan saudara-mara yang lain amat memahami situasi aku pada masa itu dan mereka menunggu dan membiarkan aku sendirian. Akhirnya dengan berat hati dan air mata berjurai aku melangkah lemah meninggalkan kubur arwah kakakku sambil memandang kubur tersebut. Anak saudaraku Ezani terus menarik bahuku untuk meninggalkan tanah perkuburan.
Aku tetap bersyukur, walaupun arwah kakakku telah pergi jua untuk selama-lamanya, namun arwah kakakku sempat menunaikan fardu umrah kerana arwah kakakku baru sahaja seminggu kembali dari menunaikan fardu umrah.
Al-Fatihah untuk roh arwah kakakku Maznah Mahmood, semoga di tempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan soleha. Amin.
Sunday, 14 March 2010
Sindiran
Kalau kita perhatikan di sekeliling kehidupan kita penuh dengan sindiran tetapi samada ianya kita sedari atau tidak sedari ataupun pura-pura tidak menyedarinya. Jika sindiran itu sebenarnya untuk kita tetapi kita tidak menyedari ataupun menyangkakan itu sindiran untuk orang lain, maka adalah sia-sia sahaja orang yang menyindir kita. Apa yang paling teruk jika sindiran dituju kepada kita tetapi kita masih lagi boleh ketawa terbahak-bahak atau bersubahat dengan sindiran tersebut hanya disebabkan kita tidak memahami bahawa sindiran itu sebenarnya ditujukan kepada kita.
Oleh itu kita perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita terutama apa sahaja kata-kata yang diucapkan oleh orang di sekeliling kita. Aku tidak bermaksud untuk menyatakan semua kata-kata orang di sekeliling kita penuh dengan sindiran untuk kita tetapi sekadar untuk mengingatkan supaya lebih cuba memahami ucapan atau sindiran tersebut. Aku berpendapat adalah sesuatu yang malang jika kita turut sama ketawa dan tersenyum dengan sindiran yang diucapkan orang sekeliling kita walapun yang sebenarnya sindiran tersebut adalah untuk kita.
Saturday, 13 March 2010
Tidak Hadir Reunion
Aku sebenarnya terlalu berat hati untuk menyatakan "tidak" pada reunion ini. Tetapi aku terpaksa juga memberi jawapan tersebut kerana tidak mahu dianggap sebagai banyak songeh. Aku sebenarnya terlalu sibuk dengan urusan kerja samada di awal bulan ataupun di akhir bulan. Oleh kerana ahli jawatankuasa (AJK) reunion telah memilih tarikh hujung bulan sudah pasti aku tidak boleh menghadirinya.
Aku tidak mempunyai niat untuk memberi berbagai alasan tetapi, itulah hakikatnya. Aku tahu pada 28hb Mei 2010 adalah 'Public Holiday' bagi sesetengah pihak yang berkerja tetapi tidak bagi tempat aku bekerja. Walaupun berlangsungnya reunion adalah hari Sabtu iaitu hari cuti bagi tempat aku bekerja namun aku tidak pasti kerana kemungkinan hari itu aku dikehendaki bekerja lebih masa.
Oleh itu di blog ini aku ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada AJK reunion yang telah berusaha keras untuk menyatukan semula bekas pelajar-pelajar pelopor ataupun perintis ITM Pahang sempena tertubuhnya ITM Pahang 25 tahun. Aku juga memohon maaf kepada kawan-kawan terutama bekas pelajar kursus DPA batch Julai'85 dan kawan-kawan dari kursus lain terutama Muslim (DSS) kerana aku tidak dapat menyertai reunion ITM Pahang.
Tuesday, 9 March 2010
Umrah
Aku hanya mampu mendoakan semoga kakak aku tidak menghadapi kesukaran atau kesulitan sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari menunaikan ibadat umrah. Aku juga berdoa semoga kakak, abang, kakak ipar dan anak-anak saudara akan selamat dan dapat menyempurnakan ibadat umrah yang sempurna.
Walaupun aku begitu risau dengan kesihatan kakak aku, namun aku percaya Allah sentiasa mendengar doaku. Ya Allah, hanya kepadaMu tempat aku bermohon panjangkan usia kakak, abang dan anak-anak saudara semoga mereka kembali ke tanah air dengan keadaan sihat walafiat pada 21 Mac ini nanti. Amin.
Monday, 1 March 2010
Kasut Anti-Statik
Sebenarnya ramai juga pekerja-pekerja tidak bersetuju kawasan pejabat pentadbiran diwajibkan memakai kasut anti-statik memandangkan kawasan ini langsung tiada kaitan dengan pengeluaran. Tetapi aku berpendapat walaupun mungkin akan timbul sedikit kesukaran dalam beberapa perkara kerana terpaksa menukar kasut, namun sebagai pekerja makan gaji segala arahan dan peraturan haruslah diikuti.
Monday, 22 February 2010
Bantal Busuk
Friday, 19 February 2010
Cuti Tahun Baru Cina
13hb (Sabtu) - Walaupun cuti sudah bermula aku masih lagi berada di Johor Bahru. Aku malas hendak bergegas pulang ke kampung memandangkan cuti perayaan ini tiada kaitan dengan aku. Oleh itu aku mengambil kesempatan untuk mencuci pakaian, mengosok baju dan sebagainya. Apabila aku melayari blog didapati ada tetamu blog yang tidak berpuashati dengan artikel yang aku tulis. Ada aku kisah.
14hb (Ahad) - Aku pulang ke kampung. Aku sangka perhentian bas Larkin akan sunyi sedikit tetapi masih ramai dipenuhi dengan kaum Cina. Ermm... kemungkinan ada segelintir di antara mereka pulang ke rumah mertua masing-masing. Di dalam bas cuma ada 4 orang sahaja kaum Melayu termasuk pemandu. Lebih kurang jam 12.oo tengahari aku sampai ke kampung. Entah mengapa tetiba magrain aku datang kembali.
15hb (Isnin) - Selepas sembahyang subuh aku menaiki motor Honda C70 ke tanah perkuburan Bakri Batu 6 untuk menziarahi pusara arwah emak, arwah abah, arwah anak saudara dan juga arwah atuk. Selepas sarapan aku rumah abang sulung untuk melihat cucu saudara. Aku cuma dapat berjumpa dengan Fairuz sahaja kerana Syafrie tidak balik kampung. Aku terhibur dengan gelagat cucu saudaraku yang terpengaruh dengan cerita ultraman.
16hb (Selasa) - Aku pergi ke Pusat Rawatan Iridology & Aura, Taman Tasik Utama, Air Keroh, Melaka. Pusat rawatan ini menggunakan kaedah mengesan penyakit melalui mata dan menggunakan penawar biotech. Oleh kerana terlalu ramai pesakit maka giliran aku lebih kurang jam 2.oo petang menyebabkan migrain aku muncul kembali. Tetapi apabila doktor tersebut mengurut kepala aku dengan Bioliz Cream, migrain aku pulih pada masa itu. Selepas itu aku bersama keluarga pergi makan tengahari di sebuah restoran makanan arab kerana aku ingin merasai makanan tersebut. Aku sebenarnya tidak tahu nama nasi tersebut tetapi nasi tersebut lebih kurang macam nasi beriani atau nasi minyak. Kalau makan nasi tersebut tanpa laukpun tetap sedap. Anak saudara aku menggelar nasi itu sebagai nasi arab.
17hb (Rabu) - Lebih kurang jam 2.00 pagi aku dikejutkan oleh abang aku untuk menghantar kakak aku sakit ke Hospital Mahkota, Melaka. Aku bergegas mengemas untuk membawa barang keperluan peribadi yang penting. Lebih kurang jam 3.00 pagi kami sampai di hospital dan kakak dimasukan ke wad kerana kekurangan darah dan jangkitan kuman pada paru-paru. Walaupun rasa mengantuk, aku tidak dapat melelapkan mata. Oleh kerana kakak aku terpaksa bermalam di hospital, lebih kurang jam 6.30 petang aku pulang ke rumah untuk mengambil barang keperluan lain yang terlupa untuk dibawa kerana aku ingin menjaga kakak aku pada malam itu.
18hb (Khamis) - Lebih kurang jam 8.30 pagi doktor memberitahu kakak aku masih perlu lagi dimasukan darah dan akan keluar dari hospital hari esok. Sebenarnya doktor yang biasa merawat kakak aku masih bercuti jadi doktor gantian mungkin merasa ragu-ragu untuk membuat sesuatu keputusan. Jam 3.10 petang, aku meninggalkan hospital untuk balik ke Muar memandangkan aku harus balik ke Johor Bahru jam 5.00 petang. Lebih kurang jam 7.30 malam aku sampai rumah di Johor Bahru. Walaupun aku merasa letih dan kurang tidur namun aku berpuas hati dapat menjaga kakak aku yang banyak menanggung persekolahan aku.