Wednesday, 29 December 2010

Tingkatan 6 Atas Sastera A, 1984.

Ini adalah gambar kenangan pelajar-pelajar tingkatan 6 Atas Sastera A (6ASA), Sekolah Tinggi Muar, 1984. Ada beberapa orang pelajar yang sama kelas semasa tingkatan 6 Rendah Sastera A telah meninggalkan sekolah kerana menyambung pelajaran samada ke Maktab Perguruan ataupun ke Institut Teknologi MARA (ITM). Apa yang pasti aku sebagai ketua tingkatan masih dikekalkan untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Sebenarnya terlalu banyak kenangan semasa aku berada di kelas ini. Namun yang paling aku tidak boleh lupakan ialah ada berlaku sedikit salah faham antara aku dengan guru tingkatan hingga aku nekad untuk tidak membantu beliau membuat laporan yang perlu diserahkan kepada guru besar setiap bulan. Apa yang pasti aku akan cuba mengelakkan untuk berjumpa dengan guru tingkatan termasuk berkomunikasi dengan beliau. Tetapi suatu hari aku terpaksa juga berkomunikasi dengan guru tingkatan untuk bertanyakan beliau tentang laporan yang diminta oleh guru besar. Entah mengapa hati aku macam tidak yakin dengan laporan yang pertama kali dibuat oleh beliau dan terus menyemak sebelum menyerahkan kepada guru besar. Aku terus memberitahu akan kesilapan laporan tersebut tetapi, guru tingkatan sukar hendak menerima teguran aku. Oleh kerana malas hendak bertekak aku cuma mengingatkan bahawa jangan salahkan aku kalau beliau dipanggil oleh guru besar kerana membuat laporan yang salah.

Namun setelah menamatkan persekolahan aku terkejut apabila penyata sijil berhenti sekolah guru tingkatan menulis segala rekemen dengan perkataan terbaik dari semua sudut termasuk kelakuan, tanggungjawab dan sebagainya. Setiap kali aku melihat sijil berhenti sekolah, maka segala memori aku bersama guru tingkatan 6 Atas Sastera A pasti mengamit semula. Aku ingin memohon maaf kerana sikap aku yang mungkin dianggap kurang ajar kerana menegur kesalahan seorang guru. Apa-apapun terima kasih cikgu.

No comments: