Sebenarnya pelajar tingkatan 5 Sains 5 adalah pelajar-pelajar yang sama sewaktu tingkatan 4 Sains 5 pada tahun 1981. Hanya sedikit perubahan iaitu guru tingkatan Cik Goh (guru matematik tambahan) yang berpindah ke Melaka digantikan dengan kawan baik beliau Cik Khor (guru Fizik). Selain daripada itu Penolong Ketua digantikan dengan pelajar lain.
Kenakalan pelajar-pelajar masih ditahap yang sama. Kadangkala Cik Khor menjadi bahan usikan pelajar-pelajar terutama Khirul Kismie. Cik Khor mencadangkan Penolong Ketua diadakan pemilihan semula dengan mengekalkan orang yang sama atau sebaliknya. Tetiba aku terdengar ada suara seseorang mencalunkan nama aku. Akhirnya semua pelajar Cina dan hanya beberapa orang pelajar Melayu telah mengundi aku dengan kemenangan begitu tipis sekali.
Kalau aku menghadapi masalah untuk membuat ujikaji di makmal sains pasti ramai pelajar-pelajar Cina dengan sukarela datang menghampiri aku. Aku masih ingat ada suatu ketika beberapa orang pelajar Cina menghampiri dan menerangkan aku pasal satu ujikaji tetiba terus diam dan meninggalkan aku yang terpinga-pinga. Aku cuma nampak ada beberapa pelajar Melayu yang berada di sekeliling memandangkan muka aku sebaik sahaja aku melihat sekeliling untuk mengetahui apa yang terjadi. Apa yang peliknya pelajar-pelajar Cina itu menghampiri dan menerangkan semula kepada aku sebaik sahaja pelajar-pelajar Melayu meninggalkan aku sendirian. Entahlah, aku sendiri tidak tahu mengapa situasi ini berlaku.
Kepada pelajar-pelajar Cina, terima kasih kerana sudi berkawan dan menerima aku seadanya. Aku tetap menghargainya. Kepada pelajar-pelajar Melayu, maaf aku pohonkan jika kehadiran aku tidak menyenangkan kamu semua. Apa-apapun aku tidak pernah membenci kamu semua.
No comments:
Post a Comment