Gambar kenangan pelajar-pelajar tingkatan 6 Rendah Sastera A, Sekolah Tinggi Muar, Muar pada tahun 1983.
Sebenarnya Sekolah Tinggi Muar merupakan sekolah yang dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja kecuali tingkatan 6. Guru tingkatan ialah Encik Harun Shafie yang mengajar matapelajaran Geografi. Aku telah dilantik sebagai ketua tingkatan. Tingkatan 6 Rendah ini telah menemukan aku semula dengan beberapa orang pelajar yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Sri Muar dan juga Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar.
Pada hari kemuncak Minggu Orientasi aku sengaja tidak menghadiri kelas kerana dapat sedikit maklumat dari beberapa orang senior yang pernah satu kelas semasa bersekolah di Sekolah Agama. Aku dengar khabar teruk juga semua pelajar tingkatan 6 Rendah kena orientasi dengan pelajar-pelajar senior hingga menyebabkan pihak sekolah bertindak untuk campurtangan.
Oleh kerana kekurangan guru maka pelajar-pelajar tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B menjadi kelam-kabut sedikit. Kami belajar dalam keadaan yang kurang selesa kerana berkongsi guru dalam beberapa matapelajaran dan terpaksa berpindah kelas samada pelajar dari Sastera A pergi ke kelas Sastera B dan sebaliknya. Aku terus memberi cadangan kepada Penolong Guru Besar agar tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B digabungkan dengan menggunakan bilik tingkatan 6 Rendah Econ-Math yang besar tetapi mempunyai bilangan pelajar yang kecil. Apa yang pastinya Penolong Guru Besar bersetuju dan keesokkannya kami pelajar-pelajar Sastera A dan B telah digabungkan di dalam satu kelas namun kami tetap diasingkan senarai nama-nama pelajar dan guru tingkatan sendiri.
Walaupun tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B mempunyai ketua tingkatan masing-masing namun aku sendiri tidak tahu mengapa guru-guru lebih suka menyampaikan segala maklumat hanya kepada aku sahaja. Apa yang lebih pelik guru tingkatan 6 Rendah Sastera B lebih selesa memberi maklumat kepada aku untuk disampaikan kepada keseluruhan kelas ataupun untuk kelas beliau sendiri.
1 comment:
Asslmkm bro. 6 Rendah sastera C ramai yg aku kenal.
Post a Comment