Esok umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal 1431H. Kebiasaannya selepas bersahur dan solat subuh aku akan membantu kakakku menyediakan juadah Hari Raya terutama merebus ketupat dan mengemas rumah. Tetapi kali ini persiapan Hari Raya seperti itu hanya tinggal kenangan. Apa yang pasti selepas bersahur dan solat subuh aku menyambung semula tidurku.
Kali ini rumah pusaka yang ditinggalkan oleh arwah emak dan abah menjadi sepi. Persiapan Hari Raya boleh dikatakan tiada langsung atau ala kadar sahaja. Aku sekadar menyalin langsir, kusyen dan membersihkan habuk dengan mood yang amat berbeza. Kalau diikutkan kata hati aku langsung tidak mahu apa-apa persiapan untuk Hari Raya namun aku gagahkan jua. Apa yang pasti dapur rumah pusaka tiada berasap atau kedengaran deruman mesin pengisar tepung arwah kakakku membuat kek yang menjadi kegemaran keluarga dan tetamu yang sentiasa menanti kek tersebut.
Adalah menjadi kebiasaan aku menyediakan bunga rampai untuk menziarahi pusara arwah-arwah emak, abah, atuk dan anak saudara. Ini telah menjadi kelaziman aku untuk menziarahi pusara-pusara mereka sehari sebelum Hari Raya. Manakala tahun ini satu lagi pusara akan aku ziarahi iaitu arwah kakakku.
No comments:
Post a Comment