Hari ini umat Islam menyambut 1 Syawal 1431H. Setelah selesai solat subuh aku menaiki motosikal menuju ke Bakri Batu 6 untuk menziarahi pusara-pusara arwah keluargaku yang telah menyahut panggilan Ilahi. Aku melihat cuaca tidak begitu baik. Sepanjang perjalanan aku bedoa semoga hujan tidak turun untuk sementara waktu agar memberi kesempatan aku menziarahi pusara-pusara arwah keluargaku terutama arwah kakakku yang pertama kali aku ziarahi di pagi Hari Raya. Tanpa disedari air mataku mengalir walaupun aku cuba menahannya semasa aku membaca surah Yassin di pusara arwah kakakku.
Hari Raya tahun ini amat berbeza buat aku. Hujan yang melimpah bumi di pagi Hari Raya Aidil Fitri tahun ini lagi menampakkan kesepian dan kesuraman rumah pusaka arwah abah dan emak. Kalau Hari Raya tahun sebelumnya kami adik-beradik akan berpakat untuk berkunjung ke rumah abang sulung pada hari dan masa yang sama tetapi kali ini masing-masing dengan cara tersendiri. Entahlah, adakah selepas arwah kakakku meninggal dunia hubungan kami adik-beradik akan mulai renggang dan seterusnya sambutan Hari Raya akan berbeza.
Lebih kurang jam 10.00 pagi aku berkunjung ke rumah abang sulungku setelah kakak ipar menelefon dan anak saudara menghantar sms meminta aku datang untuk menikmati ketupat, rendang dan pelbagai juadah di pagi Hari Raya. Hampir jam 12 tengahari aku balik ke rumah dan aku melihat ada kereta saudara di depan rumah. Apa yang pasti selepas mereka berkunjung di rumah saudara-mara yang juga merupakan jiranku, mereka terus beredar tanpa menziarahi atau bertanya khabar kepadaku. Aku telah jangkakan semua ini akan berlaku mulai Hari Raya tahun ini. Tetapi, aku peduli apa. Ada aku kisah.
Kalau sebelum ini aku kelam kabut membantu arwah kakakku melayan tetamu terutama saudara-maraku yang datang beraya secara berkonvoi tetapi, tahun ini Hari Raya amat berbeza. Tiada kunjungan Hari Raya dari saudara-mara dan anak-anak jiran sekeliling, malah kanak-kanak dari kawasan lain juga tidak kelihatan. Oleh itu tahun ini sambutan Hari Raya aku banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan mencuci kusyen dan langsir. Suasana dan mood Hari Raya tahun ini memang amat berbeza sekali.
No comments:
Post a Comment