Aku percaya ramai diantara kita pernah mendengar atau membaca perpatah atau peribahasa "Pukul anak sindir menantu". Persoalannya perlukah kita memukul anak hanya sekadar untuk menyindir atau memberitahu menantu akan sesuatu perkara. Bagaimana kalau dah puas kita memukul anak tetapi menantu masih lagi tidak memahaminya ataupun tidak mengetahui sebenarnya perkara itu hendak dituju kepada beliau. Kalau begitu sia-sia sahaja anak kita kena pukul dan menanggung kesakitan.
Kalau kita perhatikan di sekeliling kehidupan kita penuh dengan sindiran tetapi samada ianya kita sedari atau tidak sedari ataupun pura-pura tidak menyedarinya. Jika sindiran itu sebenarnya untuk kita tetapi kita tidak menyedari ataupun menyangkakan itu sindiran untuk orang lain, maka adalah sia-sia sahaja orang yang menyindir kita. Apa yang paling teruk jika sindiran dituju kepada kita tetapi kita masih lagi boleh ketawa terbahak-bahak atau bersubahat dengan sindiran tersebut hanya disebabkan kita tidak memahami bahawa sindiran itu sebenarnya ditujukan kepada kita.
Oleh itu kita perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita terutama apa sahaja kata-kata yang diucapkan oleh orang di sekeliling kita. Aku tidak bermaksud untuk menyatakan semua kata-kata orang di sekeliling kita penuh dengan sindiran untuk kita tetapi sekadar untuk mengingatkan supaya lebih cuba memahami ucapan atau sindiran tersebut. Aku berpendapat adalah sesuatu yang malang jika kita turut sama ketawa dan tersenyum dengan sindiran yang diucapkan orang sekeliling kita walapun yang sebenarnya sindiran tersebut adalah untuk kita.
No comments:
Post a Comment