Sunday, 28 March 2010

Kakakku Pergi Jua

Di pagi subuh Sabtu 27hb Mac aku menerima panggilan telefon dari kampung memberitahu kakak aku yang lebih mesra aku panggil Ngah dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. Selepas bersiap serba ringkas dan menelefon kakak ipar aku di Taman Perling, aku bergegas ke stesen bas Larkin, Johor Bahru untuk pulang ke kampung dengan harapan mendapat tiket bas paling awal. Alhamdulillah, aku mendapat tiket bas jam 8.15 pagi walaupun tempat duduk di belakang sekali.

Setelah sampai ke kampung, aku terus ke hospital untuk menziarahi Ngah. Kami adik-beradik sentiasa bergilir-gilir menemani Ngah. Aku sentiasa berada di sisi Ngah dan sesekali aku akan balik ke rumah jika ramai pelawat yang datang melawat Ngah. Sesekali aku membaca surah Al Fatihah dan surah Yassin untuk Ngah. Selepas maghrib aku menjaga Ngah sementara menanti anak saudaraku Ain menemani Ngah memandangkan peraturan hospital kerjaan tidak membenarkan lelaki menjaga pesakit perempuan.

Lebih kurang jam 4.00 pagi aku menerima panggilan telefon dari anak saudaraku menyuruh aku ke hospital dengan segera. Aku terus mengejutkan abang aku dan kami terus ke hospital. Aku hairan dengan jururawat macam buat tidak tahu sahaja sebaik kami dua beradik memasuki wad dan menuju ke katil. Lebih kurang setengah jam baru salah seorang jururawat bertanya mengapa kami lelaki berada di situ. Hendak sahaja aku menampar jururawat tersebut kerana kemarahan aku masih belum lagi reda semenjak petang semalam kerana mereka langsung tidak mengambil tindakan apabila alat yang memasukkan darah, air atau ubat yang berada di tangan kakakku tercabut. Lepas tu semasa giliran anak saudaraku Ain menjaga mereka boleh menuduh kakak aku yang mencabutnya. Nasib baiklah anak saudaraku mulut laser dan pandai menjawab setelah beliau menelefon aku untuk bertanya akan hal ini.

Lebih kurang jam 6.00 pagi aku balik ke rumah untuk menunaikan fardu Subuh dan bersedia untuk datang menjaga kakakku semula. Lebih kurang jam 8.00 pagi abang aku memberitahu doktor mengarahkan semua ahli keluarga berkumpul. Aku terus berlari ke hospital dan menuju ke wad dan katil. Aku terus mengajar Ngah mengucap dan memohon maaf segala kesalahanku. Air mataku terus berjurai. Aku melihat pernafasan Ngah makin lemah dan perlahan, namun mulutku masih terus mengajarnya mengucap sehingga aku melihat pernafasan Ngah macam terhenti apabila kakak iparku mencuit bahuku. Aku memberitahu salah seorang jururawat yang berada di situ tetapi memang dasar jururawat lembab, beliau buat tidak tahu sahaja. Akhirnya tepat jam 8.30 pagi kakakku pergi jua menyahut panggilan Ilahi.

Air mataku terus berjurai. Aku terus sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah dan Yassin di sisi jenazah arwah kakakku. Aku kemudian mengiringi jenazah arwah kakakku ke rumah mayat untuk dimandikan jenazah dan hanya aku sahaja lelaki yang berada di bilik tersebut untuk memandikan dan mengkafankan jenazah arwah kakakku.

Semasa jenazah arwah kakakku berada di rumah, aku sentiasa berada di sini kecuali ada hal tertentu yang terpaksa aku uruskan. Lepas zohor arwah kakakku dikebumikan. Setelah urusan pengebumian arwah kakakku selesai hanya aku sahaja tidak berganjak dari kubur arwah kakakku. Air mataku terus berjurai semasa membaca surah Al-Fatihah sambil membetulkan tanah-tanah di perkuburan arwah kakakku. Adik-beradikku dan saudara-mara yang lain amat memahami situasi aku pada masa itu dan mereka menunggu dan membiarkan aku sendirian. Akhirnya dengan berat hati dan air mata berjurai aku melangkah lemah meninggalkan kubur arwah kakakku sambil memandang kubur tersebut. Anak saudaraku Ezani terus menarik bahuku untuk meninggalkan tanah perkuburan.

Aku tetap bersyukur, walaupun arwah kakakku telah pergi jua untuk selama-lamanya, namun arwah kakakku sempat menunaikan fardu umrah kerana arwah kakakku baru sahaja seminggu kembali dari menunaikan fardu umrah.

Al-Fatihah untuk roh arwah kakakku Maznah Mahmood, semoga di tempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan soleha. Amin.

2 comments:

aifa99 said...

aslm...takziah zuhairi...

enalsaria said...

salam takziah.... semoga rohnya sentiasa dirahmati oleh Allah SWT dan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang beriman.

Aku rasa yang seharusnya memiliki kereta. bukan utk tunjuk kemewahan tp utk kemudahan semasa berlakunya kes2 kecemasan. lagi pun kau mampukan.....