Wednesday, 7 July 2010

Kenaikan Gaji 2010

Mulai hari ini tiga hari berturut-turut semua 'senior' staf dipanggil mesyuarat atau taklimat untuk menerangkan tentang kenaikan gaji bagi tahun 2010. Aku kadangkala malas hendak mendengar semua ini kerana setiap tahun kenaikan gaji memang tidak akan berpihak kepada aku. Tetapi aku hadiri juga taklimat tersebut sekadar ingin mendengar apa lagi permainan politik yang akan berlaku oleh pihak atasan pengurusan dan syarikat.

Aku hanya mampu tersenyum sinis sebaik sahaja data ditayangkan bahawa kenaikan gaji semua senior staf adalah 0.8% namun masih lagi ada pangkat A - E. Ermmm... aku hanya mampu geleng kepala kerana tahun ini pangkat ditambah menjadi lima. Ini suatu perubahan yang menarik. Kenapa tidak sahaja diberikan pangkat dari A hingga ke Z kerana pasti aku akan diberikan pangkat Z bersesuaian pangkal nama aku bermula dengan huruf Z. Huhu....

Aku tahu ramai senior staf tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh jabatan Personnel memandangkan junior staf yang mendapat pangkat E pun masih mendapat 1%. Aku memang sudah malas nak memikirkan semua ini sebab akan menyemakkan data di dalam otak aku ini. Apa yang menarik untuk mengabui mata semua orang maka pihak pengurusan memberi satu ganjaran ataupun bonus kepada setiap pangkat dan yang pasti amat malang bagi staf yang mendapat pangkat E hanya sekadar 0.8% dari gaji asas.

Walaupun berbagai-bagai alasan yang diberikan oleh wakil pihak pengurusan namun ramai yang tidak berpuas hati dengan wujudnya pangkat A - E. Inilah kerana setiap tahun kami boleh mengagak siapa yang akan mendapat pangkat A dan siapa pula yang akan menjadi kambing hitam untuk mendapat pangkat E. Oleh itu tidak perlulah nak bertungkus-lumus semata-mata untuk mengharapkan sesuatu yang tidak pasti atau tidak mungkin akan berlaku kerana seperti kata salah seorang senior staf "semua telah ditetapkan".

Apakah kenaikan gaji 2010 ini aku akan memperolehi pangkat D ataupun aku akan menjadi kambing hitam memperolehi pangkat E. Tunggu dan lihat.

No comments: