Friday 2 July 2010

Sayonara K.Nakagawa

Giant, Badan Besar, Orang Utan, Tok Chik dan berbagai lagi panggilan yang diberikan kepada pemilik nama Kenji Nakagawa. Sebenarnya nama-nama ini diberikan kepada beliau adalah disebabkan ramai di antara kami begitu benci atau meluat dengan sikap beliau sepanjang beliau mengetuai Jabatan Accounts lima tahun yang lalu.

Pada mula kedatangan Nakagawa ke Jabatan Accounts ini aku lihat beliau seorang yang baik dan berbudi bahasa. Tetapi entah mengapa dari sehari ke sehari beliau mula berubah menjadi seorang yang agak kurang ajar, panas baran, suka menjerit, suka marah-marah dan pelbagai lagi sikap negatif yang tidak boleh kami terima. Aku berpendapat mungkin kerana beliau telah menunjukkan sikap ego dengan kuasa yang ada pada beliau.

Aku masih ingat lagi bagaimana kenangan indah aku bersama beliau dan beberapa staff dari jabatan lain pergi ke sebuah kebun di Pontian untuk menikmati durian. Aku melihat beliau begitu mesra alam, tidak lokek dan boleh bergurau hingga lupa protokol bahawa beliau adalah boss paling besar di jabatan Accounts. Oleh kerana beliau masa itu masih baru dan kurang memahami budaya Malaysia khasnya Melayu maka beliau selalu jadi sasaran gurauan dari kami. Kami mengambil kesempatan mengisi buah-buah durian di dalam bonet kereta Proton Gen2 milik beliau. Hehehe... Beliau pula asyik menceritakan keseronokan makan durian kepada staf Jepun yang lain termasuk Managing Director dan keluarga beliau sendiri di Jepun.

Pada masa beliau dilantik AJK untuk Bon Odori iaitu satu festival yang memperkenalkan makanan dan budaya Jepun di Johor Bahru, beliau mahukan aku bertugas mewakili syarikat. Aku beberapa kali menolak cadangan tersebut dan mencadangkan beliau memilih orang lain. Namun begitu beliau tidak berputus asa dan sering memujuk aku hingga aku akur dengan permintaan beliau di saat akhir beberapa hari sebelum Bon Odori berlangsung. Aku dilantik sebagai ketua untuk mengagih-agihkan kopun percuma kepada staff lain yang terlibat. Malah beliau asyik memperkenalkan aku kepada orang-orang Jepun dari syarikat lain yang terlibat sebagai AJK Bon Odori tersebut.

Tetapi masa terus berlalu, beliau mula berubah dan sikapnya amat berbeza seperti mula kedatangan beliau ke jabatan Accounts. Aku pada mulanya masih sabar tetapi kesabaran aku mula terungkai apabila beliau mula menunjukkan sikap kurang ajar kepada aku. Aku masih boleh menerima kalau beliau memarahi aku tetapi kalau tangan beliau sudah mulai berani untuk menyentuh aku sedikit kasar walaupun aku tidak menerima pelempang atau penumbuk membuatkan aku mulai benci beliau semenjak hari itu. Apa sahaja survenior yang diberikan kepada aku apabila pulang dari Jepun akan aku berikan kepada staf lain. Aku amat benci dan enggan lagi bergurau atau bercakap dengan beliau kecuali hal yang berkaitan dengan kerja.

Namun disebalik keburukan beliau itu, aku amat berterima kasih kerana beliau telah mempertahankan kenaikan pangkat aku pada tahun lepas walaupun telah dua tahun berturut-turut Ketua Division Finance menyingkirkan nama aku. Itulah jasa terakhir beliau kepada aku sebelum beliau dipindahkan ke jabatan lain yang bermatian-matian mahukan aku dinaikkan pangkat di saat-saat akhir sebelum nama staff yang dinaikkan pangkat diumumkan.

Hari ini Nakagwa akan meninggalkan syarikat dan aku amat tersentuh pada ucapan terakhir beliau yang meminta maaf kepada semua staf terutama kepada jabatan Accounts dengan sikap beliau selama ini. Aku hampir mengalir air mata kerana mendengar kata-kata sayu dan ikhlas beliau itu. Selain daripada itu aku juga merasa sedih melihat sikap segelintir pekerja termasuk mereka yang terlibat memberi sambutan yang dingin pada beliau hari ini. Aku amat sedih apabila melihat jambangan bunga yang diberikan kepada beliau tidak sehebat diberikan kepada staf Jepun lain yang meninggalkan syarikat.

Walaupun suatu ketika dahulu aku amat membenci Nakagwa namun kenangan makan durian dan Bon Odori akan terus terpahat di hati aku ini. Aku juga berterima kasih kepada K.Nakagawa yang telah menaikkan aku pangkat iaitu setahun sebelum dia mengucapkan sayonara kepada syarikat di Malaysia.

No comments: