Hari ini seperti biasa apabila ada yang terluang pasti aku akan balik kampung sejak dari dulu lagi. Walaupun hari ini hari cuti namun yang pasti aku tetap membawa latop balik ke kampung kerana untuk menyiapkan kerja-kerja pejabat yang masih belum selesai. Maklum sahaja hujung bulan seperti ini aku harus menyediakan beberapa data dahulu sebelum membuat laporan stok pada awal setiap bulan.
Apa yang pasti hari ini juga akan diadakan reunion pelopor bekas-bekas pelajar Institut Teknologi MARA (ITM) Pahang untuk menyambut 25 tahun (Jubli Perak) penubuhan ITM Pahang. Malam ini reunion yang akan diadakan di Intekma Resort Shah Alam hanya akan dihadiri khas untuk bekas pelajar dari ITM Pahang dari batch Januari dan Julai 1985 sahaja selain daripada beberapa jemputan seperti bekas Pengetua, Pensyarah dan kakitangan di zaman tersebut. Apa yang menarik tema untuk reunion ini adalah Retro 85 iaitu pakaian yang dipakai oleh pelajar-pelajar pada masa itu. Pada masa itu majoriti pelajar perempuan akan memakai baju kurung dan majoriti lelaki pula akan memakai seluar jeans dan kemeja serta kasut sukan pelbagai jenama.
Semalam aku mengambil cuti separuh hari dan selepas sembahyang Jumaat aku balik ke kampung kerana pada malam hari rumah anak saudara aku mengadakan kenduri. Alhamdulillah aku sampai di kampung lebih kurang jam 6.00 petang. Selepas sembahyang maghrib aku pergi ke rumah anak saudara yang mengadakan kenduri. Anak saudara aku suami isteri yang bekerja di Kuala Lumpur membeli rumah di Saba Awor, Muar mengadakan kenduri doa selamat dan juga bacaan surah Yassin serta tahlil arwah untuk abang sulung beliau (anak saudara lelaki aku yang sulung) dan juga arwah kakak aku. Semalam juga genap dua bulan arwah kakak aku meninggal dunia.
Semalam juga pertama kali setelah dua bulan aku mengawal permakanan aku selama ini kecundang dengan nasi minyak dan pelbagai kuih-muih yang disaji di depan mata aku. Tambahan pula kami adik-beradik berkumpul beramai-ramai dan makan bersama-sama. Walaupun aku menjamu selera melebihi dari kadar permakanan yang aku amalkan selama dua bulan ini namun ianya masih lagi terkawal. Maklum sahaja apabila aku diet ramai pula kawan-kawan sekerja risau kerana aku kelihatan kurus dan macam orang sakit walaupun hakikatnya itulah bentuk badan aku sebelum pertengahan tahun era 1990an.
No comments:
Post a Comment