Hari itu dari 10-13 Januari 2009 sebaik sahaja aku menyiapkan segala laporan Stock Inventory aku telah mengambil cuti pulang ke kampung menjaga kakakku yang sedang sakit.
Alhamdulillah kakak telah beransur sembuh. Sebenarnya hari itu keluargaku yang lain mempunyai urusan lain jadi aku dikehendaki mengambil giliran menjaga kakakku. Sepanjang aku menjaga kakak segala-gala aku uruskan. Oleh kerana aku ni memang tak tahu memasak maka kantin kat Hospital Muar atau gerai-gerai adalah tempat aku membeli makanan. Aku bersyukur kerana kakakku berselera untuk makan dan memberi sedikit tenaga buat dirinya. Kakakku dari lemah tenaga untuk berjalan akhirnya dapat juga berjalan sendiri walaupun dipantau oleh aku. Kadangkala di pagi hari tatkala sedang aku diulit mimpi aku akan dikejutkan oleh kakakku untuk ke bilik air. Semuanya aku lakukan dengan ikhlas.
Ada juga kawan-kawan di pejabat tertanya-tanya kenapa aku buat semua ini dan tiada orang lain yang boleh mengambil kerja-kerja tersebut. Aku tidak kisah sangat benda-benda ini tapi bagi aku ini adalah tanggungjawab dan pengorbanan aku kepada kakakku. Sebenarnya aku tidak mahu menjadi seperti kacang lupakan kulit. Semenjak abah menyahut panggilan Ilahi pada usia aku 15 tahun segala persekolahanku kakakku yang tanggung. Sepanjang aku belajar di Institut Teknologi MARA segala yuran beliau juga yang tanggung. Kini apartmen yang aku miliki di Johor Bahru ini juga hasil usaha kakakku. Segala makan minum aku selepas emak menyahut panggilan Ilahi juga diuruskan oleh kakak. Tanpa bantuan beliau aku tidak akan berdiri gagah seperti ini. Jadi perlukah aku melupakan jasa beliau dan membiarkan kakakku terlantar sakit tanpa bantuan aku? Walaupun aku tahu kakak tidak pernah meminta balasan segala pengorbanan beliau selama ini, namun aku perlu lakukan tanggungjawab sebagai seorang adik.
Setiap kali selepas sembahyang aku selalu berdoa semoga jangan ada syaitan yang cuba menggoda agar aku lupa jasa kakak. Aku tidak mahu lupa diri. InsyaAllah selagi termampu aku akan selalu pulang ke kampung seperti dahulu untuk melihat perkembangan positif tentang kakak.
No comments:
Post a Comment