Tuesday, 6 January 2009

Hari Pertama Di Awal Persekolahan

Persekolahan bagi tahun 2009 telah bermula. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak memasuki darjah satu pasti begitu sibuk untuk melayan kerenah anak-anak mereka bagi memulakan awal persekolahan.

Aku sebenarnya ingin berkongsi cerita hari pertama aku melangkah ke alam persekolahan iaitu darjah satu. Hari pertama aku dihantar oleh abah untuk mendaftarkan diri di Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar. Aku di tempatkan di dalam darjah satu Hijau. Apa lagi terpampanglah 'name tag' nama dan juga kelas pada baju di kocek baju. Name tag yang besar tersebut dibuat dari kertas 'kad Manila'. Setelah semua urusan selesai abah terus pulang dan membiarkan aku berada di sekolah bersama-sama kawan baru. Ada juga aku melihat ibu bapa masing-masing menunggu anak-anak mereka. Sekolah aku itu pula terdiri daripada pelajar lelaki sahaja.

Sewaktu rehat abang aku yang juga bersekolah di sekolah yang sama telah datang melihat aku bersama kawan-kawan dia. Dia kemudian membawa aku berjalan-jalan sambil menunjukkan persekitaran sekolah itu. Aku yang tidak tahu apa-apa cuma ikut sahaja. Tambahan pula sekolah itu amat luas kerana setiap darjah ada empat kelas dengan dipisahkan oleh setiap blok. Selain daripada itu kawasan darjah satu hingga tiga dan empat hingga enam dipisahkan oleh blok lain terdiri daripada dewan, bilik guru, kawasan rehat dan sebagainya. Maklum aje lah sekolah tersebut tidak macam sekolah sekarang bertingkat-tingkat.

Sebaik sahaja abang aku menunjukkan kelas dia, loceng menandakan waktu rehat telah tamat. Aku lihat ramai pelajar-pelajar berlari-lari ke kelas masing-masing. Maklum ajelah sekolah itu penuh dengan displin. Abang aku bergegas untuk menghantar aku kembali ke kelas yang jauh dari kelas beliau. Dalam perjalanan tersebut terserempak jiran kami yang merupakan pelajar darjah dua. Jadi abang aku meminta pertolongan jiran tersebut untuk menghantar aku. Sebaik sahaja beliau (jiran) tiba di kelas dia, dia terus tinggalkan aku dan suruh balik ke kelas sendiri. Aku menjadi panik sebab tidak tahu kembali semula ke kelas memandangkan jalan yang mula abang aku bawa dan jiran adalah jalan yang berlainan. Aku cuma mampu berdiri dan memandang sekeliling untuk mencari jalan kembali ke kelas. Aku takut dan panik dan mulalah nak menangis. Tiba-tiba ada seorang cikgu menghampiri aku dan bertanya kenapa aku menangis. Aku cakaplah tak tahu nak balik ke kelas. Cikgu itu kemudian melihat name tag dan meminta salah seorang murid lain (senior) menghantar aku ke kelas. Abang senior itu terus menghantar aku ke kelas sambil memujuk aku supaya jangan menangis.

Hari kedua dan seterusnya ke sekolah aku menaiki beca bersama-sama abang aku. Entah mengapa dugaan yang telah Allah berikan kepada aku tiba-tiba pada satu hari abang beca yang selalu aku dan abang aku naiki ke sekolah ada hal dan tidak dapat mengambil dan menghantar aku ke sekolah. Oleh itu aku terpaksalah menaiki bas sekolah Lian Hoe. Untuk pengetahuan, jiran aku tu ke sekolah menaiki bas. Jadi abang aku sekali lagi meminta bantuan jiran supaya menunjukkan bas sewaktu balik dari sekolah. Aku pun tunggu di satu tempat yang telah ditetapkan untuk menanti jiran. Pada masa itu pelajar darjah satu hingga tiga akan pulang awal sedikit dari pelajar darjah empat hingga darjah enam dan pelajar darjah satu selama sebulan pula akan lebih awal lima minit dari pelajar darjah dua dan tiga.

Aku terus menunggu tapi batang hidung jiran tidak kelihatan sehinggalah loceng berbunyi menandakan kelas telah tamat bagi pelajar darjah empat hingga lima. Aku lihat bas sekolah dah mula nak bergerak meninggalkan kawasan sekolah tapi aku masih menunggu dan langsung tidak nampak kelibat jiran ataupun abang aku. Aku pula tidak tahu nak naik bas yang mana satu sebab banyak dan tidak tahu bas mana yang akan melalui jalan rumah aku. Tiba-tiba aku nampak abang aku terjun dari bas yang mula nak bergerak dan menjerit nama aku. Abang aku tanya kenapa aku tidak menaiki bas. Aku jawablah sebab aku tidak tahu bas yang mana satu.

Sebaik sahaja sampai di kawasan yang ditetapkan untuk pulang ke rumah aku dan abang aku termasuk jiran turun dari bas. Namun jiran aku tu selamba dan buat bodoh je bila abang aku tanya kenapa tak ambil aku. Pada hari esoknya pula tanpa diminta, jiran pergi tempat aku menunggu dan mengajak aku menaiki bas untuk balik. Aku buat tak tahu aje dan terus menunggu abang aku. Aku bukanlah nak jual mahal tapi macam dah tak percaya aje pada jiran aku itu. Setelah dua hari aku menaiki bas, aku kembali semula menaiki beca setelah abang beca tu selesai urusan dia.

Maka setiap kali bermulanya awal persekolahan maka pasti memori aku akan mengamit dua kejadian ini yang kadangkala membuat aku tersenyum dan juga geram. Apa-apapun kepada abang senior yang telah menolong aku, jutaan terima kasih diucapkan dan kepada jiran aku itu .... sendiri mahu ingatlah....

No comments: