Thursday, 29 January 2009

Borak Cuti Tahun Baru Cina

Sudah hampir seminggu aku berada di kampung sempena cuti Tahun Baru Cina. Walaupun bercuti sakan namun aku kerap juga menghadap laptop ini untuk membuat persediaan kerja sebelum bermulanya hari kerja pada minggu depan.

Hari semalam aku sempat ke sekolah lama aku untuk mengimbau kenangan silam. Aku sempat juga mengambil gambar bekas sekolah. InsyaAllah akan aku abadikan dilain artikel. Namun aku tidak pasti apakah gambar yang telah aku ambil dapat dikongsi bersama dengan pembaca. Maklum ajelah aku ini kadangkala kurang faham perkara teknikal seperti komputer atau kamera. Sebenarnya aku tersedar akan masalah bila aku cuba mengabadikan gambar semasa artikel "Sarapan".

Sepanjang aku berada di kampung selain daripada berehat sempat juga aku menambahkan berat badan. Hehehe... Aku tidak boleh melihat makanan sebab asyik nak makan aje. Kalau ke dapur atau meja makan mulalah tangan aku menyelongkar apa yang boleh dimakan. Ermm... macam manalah aku nak diet.

Pada 26hb Januari aku berkesempatan menghantar anak sepupuku bertandang untuk bersanding ke rumah pengantin lelaki. Sebenarnya sudah sebulan mereka bernikah.

Apabila bercerita tentang majlis perkahwinan ini aku ingin memohon maaf kepada kawan sekerja tetapi berlainan jabatan kerana tidak dapat menghadiri majlis persandingan beliau pada 31hb Januari di Johor Bahru. Ini adalah kerana tiket bas untuk aku pulang ke JB pada 1hb Februari yang telah aku beli sebulan yang lalu. Aku rasa terkilan juga sebab aku sering meminta bantuan beliau untuk menghantar barang ke rumah aku seperti hadiah "long service" memandangkan rumah kami berdekatan. Tetapi dalam keadaan ini aku tidak dapat menghadiri majlis bahagia beliau. Aku berharap beliau tidak berkecil hati dan akan memahami keadaan aku. Apa-apapun kepada Mohd. Najib Ali aku ingin ucapkan Selamat Pengantin Baru dan semoga bahagia hingga akhir hayat.

Tuesday, 27 January 2009

Sarapan


Ini adalah sate Muar. Sebenarnya sate Muar ni sama sahaja dengan sate yang dijual di daerah lain ataupun mungkin di negeri lain. Kalau ada perbezaan pun mungkin dari segi cara pembuatan atau kuah sate itu sendiri.

Uniknya sate Muar adalah ia menjadi salah satu dari menu sarapan pagi di daerah Muar. Kalau sesiapa berkunjung di daerah Muar, jangan terkejut di pagi hari kamu dihidangkan sarapan dengan sate. Selain itu juga kamu akan melihat banyak kereta berbaris di kedai makan kerana menanti untuk membeli sate. Ada yang membawa keluarga menikmati sate di kedai atau ada juga yang membeli untuk dibawa balik. Aku sendiri pagi tadi hendak membeli sate hanya sekadar 20 cucuk aje terpaksa menanti lebih dari setengah jam. Lenguh kaki aku berdiri. Nasib baik tauke kedai tu baik hati memberi aku secawan teh tarik percuma bila nampak aku berdiri begitu lama menanti. Hehe.....

Sebaik sahaja aku tiba di rumah aku terus menikmati sate bersama air kopi O 434 yang juga begitu popular di Muar. Air kopi O ini aku bancuh sendiri. Haha...

Itulah uniknya Muar bersarapan dengan sate.

Friday, 23 January 2009

Tetamu Tak Diundang

Semalam blog aku dikunjungi oleh tetamu yang tidak diundang dengan menggunakan nick "Anonymous". Sebenarnya aku teringatkan blog kawanku yang lain seperti Budak ITM Pahang dan Cinta View Finder yang satu ketika dulu juga sering dikunjungi oleh orang yang sama. Kali ini dia ini cuba mengacau blog aku pula.

Walaupun Anonymous ini sebagai tetamu tak diundang tidak memperkenalkan diri beliau tetapi aku sudah boleh agak siapakah sebenarnya beliau ini. Kalau dulu di blog kawan aku, dia ni sering menggunakan berbagai nama untuk mencetuskan kontroversi. Aku hairan dengan si mamat ni yang tidak pernah serik dengan segala perbuatan beliau.

Aku tidak tahu mengapa dia tidak begitu senangi kewujudan blog aku ini hinggakan apa yang aku tulis pun jadi kesalahan termasuklah tajuk blog aku ini. Perlukah aku meminta idea dari si mamat ini untuk menamakan blog aku ini. Dari awal lagi telah aku jelaskan ini adalah blog aku dan sukahati aku hendak mencorakkannya. Walaupun dia tidak menyukai aku namun dia masih berminat membaca blog aku ini.

Aku tahu si mamat ni sengaja hendak membuat aku melenting dengan komen dan kutukan beliau. Aku tidak tahu mengapa dia ni masih tidak serik dengan perbuatan dia yang lalu. Pernah suatu ketika dahulu si mamat ni pernah menghina dan mengutuk aku melalui sms. Tapi aku buat tidak tahu malah tidak membalas sms tersebut. Setelah bertahun-tahun aku tidak melayan sms beliau akhirnya pada satu hari aku telah memaafkan agar menjadi satu pengajaran buat beliau. Tetapi aku amat kesal seorang kawan yang amat baik dengan aku semasa belajar di ITM Pahang suatu ketika dahulu rupanya tidak menghargai langsung kemaafan dari aku malah dia sanggup menjadikan aku sebagai musuh dia nombor satu.

Aku sangkakan dengan sebuah kemaafan yang aku berikan akan merapatkan semula perhubungan persahabatan kami tetapi ternyata ianya meleset sama sekali. Aku terus dimusuhi, aku terus dicerca, aku terus diumpat dan pelbagai lagi bagi memuaskan hati beliau. Masalahnya apakah kesalahanku. Tapi kalau si mamat tu merasakan dia amat bahagia dengan kehidupan seperti itu teruskanlah.

Walaupun dia sebagai tetamu tak diundang tetapi sebagai pemilik blog ini aku ingin mengucapkan terima kasih kerana sekurang-kurang dia masih mengenali aku yang pernah menjadi kawan baik beliau suatu ketika dahulu. Kalau itulah kemahuan si mamat ini maka teruskanlah menjadi "Tetamu Tak Diundang".

Thursday, 22 January 2009

Limau Oh Limau




Mengapa ek tahun ni tak banyak dapat buah limau seperti tahun sebelumnya. Adakah kerana kegawatan ekonomi maka tiada supplier hendak memberi kami buah limau tersebut sempena Tahun Baru Cina yang akan menjelang beberapa hari lagi. Sebenarnya setiap tahun banyak juga lah aku mendapat buah limau cuma tahun ni je boleh dikira dengan 10 jari.

Tapi berita terbaru aku dengar ada gossip mengatakan ada seseorang yang berpengaruh sudah menghebohkan kepada buyer dan supplier yang kononnya sekarang pihak pengurusan baru tidak suka atau tidak boleh menerima buah limau yang kononnya ke arah rasuah. Betul ker? Erm... tak kan bila pekerja dapat merasa buah limau tu pun dianggap rasuah. Entahlah aku pun tak tahu.

Kalau dah macam tu aku beli sendiri je lah ye limau dan lepas tu makan sendiri. Aku tak boleh kongsi dengan orang lain macam dahulu nanti dikata memberi rasuah pula. Limau oh limau....

Wednesday, 21 January 2009

Voucher KFC

Hari ini majikan tempat aku bekerja mengedarkan voucher KFC kepada semua pekerja. Sebenarnya sejak minggu lepas ramai yang bertanya kepada aku bila voucher ini hendak diserahkan kepada mereka. Bingit aku mendengarnya. Kalau pembaca hendak mengetahui inilah voucher yang menggantikan makanan Annual Dinner yang sepatutnya diadakan pada 16hb Januari 2009. Huhuhu...

Sebenarnya perancangan Annual Dinner telah dibatalkan kerana kegawatan ekonomi. Kami Welfare & Receration Club tidak bersetuju dengan pembatalan Annual Dinner tetapi terpaksa akur juga dengan kehendak pihak pengurusan. Akhirnya inilah voucher yang mampu diberikan oleh pihak majikan kepada pekerja-pekerja. Ermm... terima ajelah ye. Huhuhu...

Oleh itu tahun ini tiadalah pakaian glamour yang hendak dipamerkan oleh pekerja-pekerja. Aku pun tak perlu nak pening kepala hendak melayan pekerja-pekerja yang kerap memberi komen yang negatif selepas Annual Dinner berlalu. Kalau kata jamuan tidak menarik tetapi aku lihat ramai juga yang hadiri dan mula nak mabuk-mabuk atau menari disco sebagai penutup Annual Dinner. Tahun ini rasakan kepada mereka yang asyik nak komen aje.

Jadi gunakanlah voucher tersebut dan pandai-pandailah buat glamour sendiri. Hehe...

Kakak Angkat @ Abang Angkat

Aku ingin borak-borak perihal kakak angkat ataupun abang angkat. Suatu ketika dulu aku ni ada juga orang yang ingin mengambil aku sebagai adik angkat. Masa tu aku tidak faham hal-hal ini maklum ajelah masa itu masih muda remaja. Hehe....

Ini semua bermula gara-gara aku kerap pergi ke rumah bekas jiran yang telah berpindah ke Jalan Tunku Bendahara. Kalau tidak silap, masa tu aku berusia 13 tahun. Ada seorang kakak tu yang aku tidak kenali minat sangat aku. Masa tu aku cute tau. Hehehe.... Aku mulanya takut juga. Kakak tu hendak sangat gambar aku. Dia sanggup meminta bekas jiran aku tu mengambil gambar aku walaupun dia malu hendak berjumpa atau bergambar dengan aku. Oleh kerana aku tidak mahu menghampakan orang maka aku bersetuju jadi adik angkat beliau. Tetapi bila aku dah mula jarang ke rumah bekas jiran aku itu maka hubungan aku dengan kakak tersebut terputus begitu sahaja.

Manakala di Sekolah Menangah Sri Muar pula aku aktif menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Ada seorang kakak ni yang menjadi pengerusi PBSM bernama Norlina Othman sering memberi perhatian kepadaku. Dia melantik aku menjadi ketua kumpulan PBSM. Aku sering mendapat apa juga yang berkaitan dengan persatuan. Kalau ada surat aku di pejabat sekolah pasti dia akan mengambilkan untuk aku. Ada suatu ketika dia telah memberi aku butang baju uniform PBSM. Bila orang lain tanya dia lantas menjawab aku membelinya padahal aku langsung tidak membelinya. Bila aku memasuki tingkatan 3 kakak Lina ini telah tamat belajar dan hubungan kami terputus hingga di situ. Walaupun dia tidak menyatakan ingin menjadi kakak angkatku namun dari perlakuan itu bolehlah dinyatakan aku menganggap dia sebagai kakak angkat.

Kemudian semasa aku di tingkatan dua atau tiga di sekolah yang sama ada seorang kakak bernama Norhayati juga amat berminat untuk mengambil aku sebagai adik angkat beliau. Kakak Yati ni pemalu sikit dan rasa rendah diri kerana dia merasakan dia dari keluarga yang miskin. Aku tahu kakak Yati ini hendak mengambil aku jadi adik angkat melalui kawan sekolah bernama Shariah. Shariah inilah yang menjadi orang penghantaran antara kami. Namun sebaik sahaja aku melangkahkan kaki ke tingkatan empat dan berpindah di Sekolah Tinggi Muar hubungan aku dan kakak angkat aku terputus begitu sahaja. Kali terakhir aku melihat dia sewaktu aku menyertai sukan merentas desa di sekolah dan kebetulan laluan larian tersebut melalui belakang rumah dia di Jalan Khalidi dan dia dan aku secara spontan terpandang dan hanya mampu tersenyum sahaja.

Semasa aku sambung pelajaran di Institut Teknologi MARA cawangan Pahang ada seorang kakak tukang masak di dewan makan yang berasal dari Kelantan amat berminat terhadap aku. Pada mulanya aku tidak mengetahui hal ini tetapi Slumber Jr telah memberitahu aku bahawa kakak itu minat sangat hendak mengambil aku sebagai adik angkat beliau. Kakak itu fikir aku adalah budak Kelantan kerana kata dia loghat percakapan aku macam budak Kelantan. Sejak dari itu aku selalu aje kena kutuk dengan Slumber Jr kerana setiap kali aku ke dewan makan pasti banyak kelebihan yang aku perolehi. Kalau aku tidak membawa kad makan pun tak mengapa. Kalau ada kuih yang sedap lebihan pagi pasti kakak tersebut akan memberi aku. Lauk pauk pasti lah kakak tu ceduk kan banyak untuk aku. Hehehe... Namun bila aku ke ITM Shah Alam hubungan aku dengan kakak tu terputus begitu sahaja.

Di tempat kerja pula ada seorang kakak yang juga amat rapat dengan aku. Aku dah anggap macam kakak aku sendiri namanya Antoi Ahmad. Aku lebih mesra panggil dia dengan nama 'Akak'. Dia bekerja sebagai Warden Asrama. Dia ni kalau setiap kali mendapat maklumat yang tidak pasti atau tidak faham pasti aku lah jadi sasaran dia. Kalau aku terangkan baru lah dia faham dan percaya. Jadi setiap kali kenaikan gaji, bonus atau kenaikan pangkat atau apa aje yang berlaku di tempat kerja ni pasti dia akan menelefon aku untuk kepastian.

Aku asyik bercerita pasal kakak angkat aje. Aku tiada abang angkat ke? Ada ke tidak aku pun tak tahu. Tapi yang pasti aku amat rapat dengan bekas pemandu kereta tempat aku kerja ini bernama Abdul Razak Kassim. Aku panggil dia "Abang". Aku mula rapat dengan dia gara-gara kuih tart buatan isteri beliau. Wow... hingga menjilat jari kuih tart buatan isteri beliau. Setiap kali Hari Raya Aidil Fitri pasti aku akan membeli tart dengan abang Razak ini. Pernah suatu ketika isteri abang Razak memberi aku satu bungkusan pada Hari Raya. "Ambil ni... isteri abang kasi muruku". Setelah abang Razak dan keluarga berpindah ke KL aku sudah lagi tidak merasai kuih tart tersebut. Tahun lepas abang Razak ada menghubungi aku dan dia ketawa bila aku cakap rindu kuih tart. Kata abang Razak isteri dia dah tak buat jual tart sebaliknya sekarang sibuk menjaga anak orang. InsyaAllah kalau ada kesempatan bila aku ke KL aku akan menghubungi abang Razak dan meminta isteri beliau buatkan kuih tart untuk aku. Hehe...

Inilah dia kakak atau abang yang bukan dari darah dagingku yang aku hormati yang memberi banyak kenangan sepanjang aku mengenali mereka. Terima kasih buat kalian.

Monday, 19 January 2009

Cucu Saudara



Ini adalah cucu saudara kesayanganku. Yang besar tu namanya Muhammad Fairuz Ezzuan bin Mohd. Farid dan yang kecil tu pula Syafriezal Syafrie bin Ezani.
Fairuz yang dilahirkan dan menetap di Kuala Lumpur ini sekarang berusia 1 tahun 10 bulan. Fairuz ini kalau kita cakap dengan dia menggunakan Bahasa Malaysia atau Inggeris pasti dia faham. Maklum aje lah anak kelahiran Kuala Lumpur. Makanan kegemaran pasti coklat. Bapa dia orang Melaka bekas graduan ITM (DPA) dan ibunya pula tentulah orang Muar juga bekas graduan ITM (DIB).
Syafrie yang dilahirkan di Muar dan menetap di Melaka ini sekarang berusia 8 bulan. Aku dah lama tak jumpa beliau. Kali terakhir aku jumpa semasa Hari Raya Aidil Fitri yang lepas. Bapa dia orang Muar dan ibunya pula orang Perak.

Sunday, 18 January 2009

Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23

Tepat jam 9 malam ini, AJL ke-23 akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Sebanyak 14 buah lagu atau komposer akan bertanding iaitu Etnik Kreatif 3 buah, Balada 6 buah dan Pop Rock 5 buah. Persoalannya betul atau tidak AJL ini yang saban tahun diadakan oleh TV3 adalah untuk menaikkan mertabat atau khas buat komposer dan penulis lirik? Cuba fikirkan...

Setiap lagu bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM 12,000 berserta trofi, manakala juara AJL pula RM25,000 berserta trofi. Samada kita sedar ataupun tidak bahawa setiap kemenangan itu akan dibahagi kepada 3 pihak iaitu komposer, penulis lirik dan penyanyi. Kalau benar dakwaan penganjur AJL bahawa pertandingan ini khas untuk komposer dan penulis lirik kenapa pula wang tunai dan trofi tersebut perlu dibahagikan kepada 3 pihak. Pada pandangan aku yang layak mendapat pengiktirafan untuk AJL ialah komposer dan penulis lirik.

Kita bukan hendak menafikan bahawa penyanyi juga memainkan peranan dalam AJL. Tetapi tidak cukup ke wang tunai RM 10,000 berserta trofi setiap satu untuk penyanyi bagi kategori Persembahan dan Vokal Terbaik? Cuba kita buat pengiraan Matematik kalau seseorang penyanyi itu membolot kedua-dua anugerah yang khas dibuat untuk penyanyi dan kemudian lagu yang dia nyanyi pula memenangi kategori dan ditakdir pula menjadi juara AJL. Jadi pihak mana yang dapat habuan yang banyak? Untuk penyanyi itu sahaja dah dapat RM 20,000 dan belum ditambah menumpang sekaki terhadap wang tunai bagi lagu tersebut.

Itu belum lagi kita tengok bila penyanyi itu yang lebih-lebih membuat ucapan dan mendapat publisiti yang meluas oleh semua media cetak dan elektronik. Jadi masih releven kalau TV3 kata AJL ini adalah anugerah untuk komposer dan penulis lirik? Tepuk dada tanya hati dan fikiran.

Siapa pun jadi juara malam ini "Aku tak kisah". Masalahnya malam ini aku nak tengok siaran langsung kat mana? TV rumah aku sejak hari Khamis telah di hantar ke rumah sakit. Huhu... Boring betul. Aku cuma ada pilihan samada pergi rumah abang aku, rumah pak saudara, dengar radio atau aku tido je dan tunggu kawan baik aku si Muslim menghantar sms memberitahu keputusan. Apa-apapun semua di tangan aku dan ada masa lagi untuk berfikir dan buat keputusan. Tunggu......

Saturday, 17 January 2009

Tarian Zapin

Semasa aku membaca blog kawan baikku FG atau Muslim bertajuk Ewah... teringat lak di zaman persekolahan dahulu. Hehe..

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa aku pernah membuat persembahan tarian di atas pentas semasa aku menuntut di tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Muar. Sebenarnya penglibatan aku dibidang ini hanya bidan terjun je. Ini adalah gara-gara kawan aku iaitu Kamaruzaman yang sengaja hendak mengenakan aku bila aku kutuk dia terlibat dalam persembahan tarian semasa Hari Penyampaian Hadiah. Dia ini aku kenal bila dia memasuki tingkatan 6 kerana sebelum ini dia bersekolah di tempat lain iaitu di salah sebuah sekolah menengah di Pagoh.

Aku sebenarnya tidak tahu bahawa aku ni ada bakat menari. Aku rasa macam kayu je bila menari. Ala ala Mawi menari kot. Hehe... Tetapi masa latihan lebih kurang dalam seminggu je kawan-kawan yang lain termasuk Cikgu tarian terkejut sebab aku menari lebih baik dari yang lain. Aku sebenarnya serba salah untuk menari dan lagi pun aku ni pemalu. Kalau nak tahu aku ni adalah Pengerusi Persatuan Agama Islam. Apa lagi terperanjat beruk lah Cikgu Penasihat Persatuan Agama Islam bila melihat Pengerusi menari. Hehe... Apa kan tidaknya kerana perlantikan AJK Persatuan Agama Islam adalah hasil mesyuarat Cikgu-cikgu yang mengajar matapelajaran ini.

Oleh kerana aku tidak mahu menjadi kontroversi maka aku terus meletakkan jawatan dan juga meninggalkan bidang tarian walaupun puas dipujuk oleh Cikgu Penasihat supaya jangan meletakkan jawatan Pengerusi.

Ermm... begitulah kisah aku yang pernah mencetus kontroversi. Apa kau orang ingat Mawi je boleh buat kontroversi. Hehe....

Friday, 16 January 2009

Sakit Hati, Geram ...

Sakit hati, geram.... itulah ungkapan yang dapat aku nyatakan di pagi ini bermulanya waktu kerja. Sebaik sahaja aku memasuki pintu pejabat Accounts, tetiba dengar ucapan "Good morning. We all waiting for you.... (bla bla....)". Begitulah lebih kurang kedengaran suara Big Boss. Alamak terdetik kata hati kecilku.

Aku betul-betul sakit hati dan geram sebab Big Boss bertanya pasal 'Budget Material Cost' bagi model baru. Dia tanya mengapa aku masih lagi tidak memberi data tersebut kepada perempuan dot dot tu. Heeee... sakitnya hati aku. Padahal aku dah beri laporan kepada Department Head sebelum aku cuti lagi iaitu pada 8hb tempohari dan telah di'forward'kan (sorry sebab pinjam perkataan Inggeris) kepada perempuan dot dot dan Department Head Division.

Apa lagi aku terus aje hentam dan memberitahu perkara sebenar. "Oh...". Itu aje lah ucapan yang termampu dikatakan oleh perempuan dot dot bila membuka email yang aku nyatakan itu dan Department Head Division tertunduk kepala. Malu dan bengang lah tu. Entah apa aku tidak begitu tumpu sangat bila Big Boss membebel sedikit. Aku rasa pasti dia bebel kat perempuan dot dot lah tu. Aku terus blah dari ofis dan mula sms kat Yana iaitu bekas rakan kerja Accounts yang kini telah bekerja di tempat lain.

Heee.... sakitnya hati aku.... geram.... nak aje aku hempuk kepala perempuan dot dot ni dengan kerusi keras yang aku duduk ini. Dia langsung tidak rasa bersalah. Ermmm.... nasib baiklah hari ini hari Jumaat sebab esok tidak kerja. Cepatlah sikit kol 5.30 petang sebab aku nak balik dan dah malas nak tengok muka perempuan dot dot dan Big Boss ni.

Thursday, 15 January 2009

Kakak

Hari itu dari 10-13 Januari 2009 sebaik sahaja aku menyiapkan segala laporan Stock Inventory aku telah mengambil cuti pulang ke kampung menjaga kakakku yang sedang sakit.

Alhamdulillah kakak telah beransur sembuh. Sebenarnya hari itu keluargaku yang lain mempunyai urusan lain jadi aku dikehendaki mengambil giliran menjaga kakakku. Sepanjang aku menjaga kakak segala-gala aku uruskan. Oleh kerana aku ni memang tak tahu memasak maka kantin kat Hospital Muar atau gerai-gerai adalah tempat aku membeli makanan. Aku bersyukur kerana kakakku berselera untuk makan dan memberi sedikit tenaga buat dirinya. Kakakku dari lemah tenaga untuk berjalan akhirnya dapat juga berjalan sendiri walaupun dipantau oleh aku. Kadangkala di pagi hari tatkala sedang aku diulit mimpi aku akan dikejutkan oleh kakakku untuk ke bilik air. Semuanya aku lakukan dengan ikhlas.

Ada juga kawan-kawan di pejabat tertanya-tanya kenapa aku buat semua ini dan tiada orang lain yang boleh mengambil kerja-kerja tersebut. Aku tidak kisah sangat benda-benda ini tapi bagi aku ini adalah tanggungjawab dan pengorbanan aku kepada kakakku. Sebenarnya aku tidak mahu menjadi seperti kacang lupakan kulit. Semenjak abah menyahut panggilan Ilahi pada usia aku 15 tahun segala persekolahanku kakakku yang tanggung. Sepanjang aku belajar di Institut Teknologi MARA segala yuran beliau juga yang tanggung. Kini apartmen yang aku miliki di Johor Bahru ini juga hasil usaha kakakku. Segala makan minum aku selepas emak menyahut panggilan Ilahi juga diuruskan oleh kakak. Tanpa bantuan beliau aku tidak akan berdiri gagah seperti ini. Jadi perlukah aku melupakan jasa beliau dan membiarkan kakakku terlantar sakit tanpa bantuan aku? Walaupun aku tahu kakak tidak pernah meminta balasan segala pengorbanan beliau selama ini, namun aku perlu lakukan tanggungjawab sebagai seorang adik.

Setiap kali selepas sembahyang aku selalu berdoa semoga jangan ada syaitan yang cuba menggoda agar aku lupa jasa kakak. Aku tidak mahu lupa diri. InsyaAllah selagi termampu aku akan selalu pulang ke kampung seperti dahulu untuk melihat perkembangan positif tentang kakak.

Wednesday, 7 January 2009

Bonus 2008

Hari ini aku mendapat bonus bagi tahun 2008. Walaupun berlaku kegawatan ekonomi aku rasa bersyukur majikan tempat aku kerja masih memberi bonus kepada pekerja-pekerja.

Macam biasa seperti hari gaji, ramai juga operator beratur di depan mesin ATM untuk mengeluarkan duit yang lebih banyak kerana duit gaji dan bonus. Manakala telah menjadi rutin aku pula akan mengasingkan slip gaji senior staff. Hari ini aku sengaja lambat menyerahkan slip gaji senior staff. Aku tahu ramai senior staff turut tertanya-tanya gred apa yang akan mereka perolehi pada tahun ini walaupun mereka tahu peratusan gred bagi tahun ini adalah terlalu sedikit dari tahun sebelumnya. Kalau mereka nak beratur di depan mesin ATM pun tidak memadai sebab gaji dan bonus bagi senior staff hanya akan dimasukkan pada waktu tengahari. Tapi bagi aku untuk mengetahui gred bonus aku memanglah mudah, maklum ajelah slip gaji senior staff aku yang pegang. Hehe.... Jadi sebelum staff lain tahu dahulu sudah pastilah aku yang tahu dahulu selain daripada ketua divisyen Accounts. Tapi jangan salah sangka pula sebab aku cuma tengok slip gaji aku saja.

Aku tahu ramai dikalangan staff yang tidak berpuashati mengeni bonus pada tahun ini. Masing-masing mula lah merungut. Entahlah... aku tak faham dengan perangai mereka ini. Aku bukanlah nak berlagak tetapi aku tidak kisah sangat tentang gred yang aku perolehi setiap tahun. Bagi aku, dapat bonus walaupun sedikit aku tetap bersyukur. Tapi mulalah ada suara sumbang. "Ala.... abang gaji besar". "Kau boleh lah tak kisah sebab gaji kau besar...". Ishhh.... tak fahamlah aku dengan mereka ini. Kadangkala nak aje aku jawab "Kalau nak gaji besar, belajarlah pandai-pandai". Tapi hakikatnya gaji aku ni taklah sebesar manapun dan walaupun pandai sekalipun tidak semestinya bergaji besar. Kadangkala aku jawap juga "Kalau tak puas hati resignlah". Tapi yang peliknya mereka yang selalu merungut ini masih juga bertahan bekerja di tempat yang sama lebih dari 15 tahun.

Walaupun setiap tahun aku boleh menjangkakan bonus gred apa yang akan aku perolehi namun bonus tahun ini yang agak sedikit memberi sedikit gangguan untuk aku membeli sesuatu sebagai kenangan dapat bonus. Namun itu bukan alasan kerana aku akan pastikan dapat membeli sesuatu yang berguna yang aku idamkan selama ini kerana dalam minggu ini juga aku mendapat duit undi atau kata orang duit kutu. Jadi kalau dicampur duit bonus dan undi pastilah barangan idaman itu akan aku perolehi juga tahun ini. Apa sekali pun aku tidak mahu menangguh pembelian tersebut dari setahun ke setahun. Sebenarnya barangan yang aku hendak beli tu tidaklah mahal sangat tapi selalu saja tertangguh. Huhu....

Aku cuma nak nasihatkan kepada kawan-kawan sekerja atau sesiapa sahaja supaya bersyukur apa aje bonus yang kita perolehi. Aku tahu ramai yang tersentap pada tahun ini. Kepada kawan-kawan sekerja yang suka membandingkan bonus mereka dengan aku mengapa tidak kali ini kamu cuba bandingkan bonus kamu dengan operator. Kalau kamu rasa kecewa kerana merasakan bonus gred A kali ini adalah sedikit tapi kamu patut bersyukur kerana kamu masih dinilai gred A. Pernah kamu terfikir kekecewaan orang lain yang mendapat bonus gred C setiap tahun. Jadi belajarlah bersyukur dengan gred bonus yang kamu perolehi.

Tuesday, 6 January 2009

Hari Pertama Di Awal Persekolahan

Persekolahan bagi tahun 2009 telah bermula. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak memasuki darjah satu pasti begitu sibuk untuk melayan kerenah anak-anak mereka bagi memulakan awal persekolahan.

Aku sebenarnya ingin berkongsi cerita hari pertama aku melangkah ke alam persekolahan iaitu darjah satu. Hari pertama aku dihantar oleh abah untuk mendaftarkan diri di Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar. Aku di tempatkan di dalam darjah satu Hijau. Apa lagi terpampanglah 'name tag' nama dan juga kelas pada baju di kocek baju. Name tag yang besar tersebut dibuat dari kertas 'kad Manila'. Setelah semua urusan selesai abah terus pulang dan membiarkan aku berada di sekolah bersama-sama kawan baru. Ada juga aku melihat ibu bapa masing-masing menunggu anak-anak mereka. Sekolah aku itu pula terdiri daripada pelajar lelaki sahaja.

Sewaktu rehat abang aku yang juga bersekolah di sekolah yang sama telah datang melihat aku bersama kawan-kawan dia. Dia kemudian membawa aku berjalan-jalan sambil menunjukkan persekitaran sekolah itu. Aku yang tidak tahu apa-apa cuma ikut sahaja. Tambahan pula sekolah itu amat luas kerana setiap darjah ada empat kelas dengan dipisahkan oleh setiap blok. Selain daripada itu kawasan darjah satu hingga tiga dan empat hingga enam dipisahkan oleh blok lain terdiri daripada dewan, bilik guru, kawasan rehat dan sebagainya. Maklum aje lah sekolah tersebut tidak macam sekolah sekarang bertingkat-tingkat.

Sebaik sahaja abang aku menunjukkan kelas dia, loceng menandakan waktu rehat telah tamat. Aku lihat ramai pelajar-pelajar berlari-lari ke kelas masing-masing. Maklum ajelah sekolah itu penuh dengan displin. Abang aku bergegas untuk menghantar aku kembali ke kelas yang jauh dari kelas beliau. Dalam perjalanan tersebut terserempak jiran kami yang merupakan pelajar darjah dua. Jadi abang aku meminta pertolongan jiran tersebut untuk menghantar aku. Sebaik sahaja beliau (jiran) tiba di kelas dia, dia terus tinggalkan aku dan suruh balik ke kelas sendiri. Aku menjadi panik sebab tidak tahu kembali semula ke kelas memandangkan jalan yang mula abang aku bawa dan jiran adalah jalan yang berlainan. Aku cuma mampu berdiri dan memandang sekeliling untuk mencari jalan kembali ke kelas. Aku takut dan panik dan mulalah nak menangis. Tiba-tiba ada seorang cikgu menghampiri aku dan bertanya kenapa aku menangis. Aku cakaplah tak tahu nak balik ke kelas. Cikgu itu kemudian melihat name tag dan meminta salah seorang murid lain (senior) menghantar aku ke kelas. Abang senior itu terus menghantar aku ke kelas sambil memujuk aku supaya jangan menangis.

Hari kedua dan seterusnya ke sekolah aku menaiki beca bersama-sama abang aku. Entah mengapa dugaan yang telah Allah berikan kepada aku tiba-tiba pada satu hari abang beca yang selalu aku dan abang aku naiki ke sekolah ada hal dan tidak dapat mengambil dan menghantar aku ke sekolah. Oleh itu aku terpaksalah menaiki bas sekolah Lian Hoe. Untuk pengetahuan, jiran aku tu ke sekolah menaiki bas. Jadi abang aku sekali lagi meminta bantuan jiran supaya menunjukkan bas sewaktu balik dari sekolah. Aku pun tunggu di satu tempat yang telah ditetapkan untuk menanti jiran. Pada masa itu pelajar darjah satu hingga tiga akan pulang awal sedikit dari pelajar darjah empat hingga darjah enam dan pelajar darjah satu selama sebulan pula akan lebih awal lima minit dari pelajar darjah dua dan tiga.

Aku terus menunggu tapi batang hidung jiran tidak kelihatan sehinggalah loceng berbunyi menandakan kelas telah tamat bagi pelajar darjah empat hingga lima. Aku lihat bas sekolah dah mula nak bergerak meninggalkan kawasan sekolah tapi aku masih menunggu dan langsung tidak nampak kelibat jiran ataupun abang aku. Aku pula tidak tahu nak naik bas yang mana satu sebab banyak dan tidak tahu bas mana yang akan melalui jalan rumah aku. Tiba-tiba aku nampak abang aku terjun dari bas yang mula nak bergerak dan menjerit nama aku. Abang aku tanya kenapa aku tidak menaiki bas. Aku jawablah sebab aku tidak tahu bas yang mana satu.

Sebaik sahaja sampai di kawasan yang ditetapkan untuk pulang ke rumah aku dan abang aku termasuk jiran turun dari bas. Namun jiran aku tu selamba dan buat bodoh je bila abang aku tanya kenapa tak ambil aku. Pada hari esoknya pula tanpa diminta, jiran pergi tempat aku menunggu dan mengajak aku menaiki bas untuk balik. Aku buat tak tahu aje dan terus menunggu abang aku. Aku bukanlah nak jual mahal tapi macam dah tak percaya aje pada jiran aku itu. Setelah dua hari aku menaiki bas, aku kembali semula menaiki beca setelah abang beca tu selesai urusan dia.

Maka setiap kali bermulanya awal persekolahan maka pasti memori aku akan mengamit dua kejadian ini yang kadangkala membuat aku tersenyum dan juga geram. Apa-apapun kepada abang senior yang telah menolong aku, jutaan terima kasih diucapkan dan kepada jiran aku itu .... sendiri mahu ingatlah....

Monday, 5 January 2009

Borak-borak

Pada 28hb Disember 2008 aku balik kampung dan kebetulan rumah sepupu buat majlis perkahwinan anak perempuan beliau. Dikesempatan itu dapat juga aku berjumpa sanak saudara yang kadangkala jarang untuk bertemu. Tapi yang paling seronok dapat jumpa cucu saudaraku yang sulung yang berumur 1 tahun 9 bulan. Terhibur aku melihat gelagat dia. Manakala yang seorang lagi berumur 7 bulan tidak dapat balik kampung.

Sepanjang seminggu aku bercuti di kampung dapatlah aku menjaga kakak aku yang tidak berapa sihat. Pada 3hb Januari 2009 dia dimasukkan ke Hospital Mahkota Melaka. Jadi aku mengambil tugas menemankan kakakku di hospital tersebut. Pada keesokkannya kakakku keluar dari hospital. Entah mengapa tiba-tiba aku kena migrain. Sebaik sahaja sampai di rumah aku terus baring. Aku risau juga sebab migrain aku tidak pulih sedangkan jam 5.00 petang aku harus balik semula ke JB. Alhamdulillah, nasib baik jam 4.00 petang aku terjaga dari tidur dan migrain ku hampir pulih. Aku tiba di JB (rumah) lebih kurang jam 7.30 malam.

Sewaktu di kampung, seperti dijanjikan dapat juga aku menziarahi pusara mak, abah, anak saudara dan juga atuk. Selain membaca surah yassin untuk arwah, aku dapat juga membersihkan pusara mereka. Alhamdulillah.

Walaupun aku bercuti, aku masih lagi membawa kerja-kerja pejabat bagi memastikan aku dapat menyiapkan laporan pada masa yang ditetapkan. Aku sebenarnya ingin bercuti lagi pada 10 - 13 Januari ini untuk menjaga kakakku. Aku pasti ramai yang tertanya kenapa aku berbuat demikian. InsyaAllah suatu ketika nanti aku akan ceritakan.

Hari ini, 5hb Januari 2009 aku baru mulakan kerja selepas bercuti hari itu. Aku lihat ada juga pejabat yang agak sunyi. Maklum aje ramai yang menyambung cuti untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Tapi aku lihat muka yang sama aje bercuti bila hari pertama persekolahan. Aku bukanlah nak pertikaikan mereka cuti tapi cuma rasa pelik aje. Masa zaman aku sekolah dahulu arwah abah hanya menguruskan persekolahan 2 kali sahaja iaitu semasa aku memasuki darjah satu di Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar dan juga masa aku masuk darjah satu di Sekolah Agama Parit Setongkat, Muar. Kemudian tahun-tahun berikutnya semua aku uruskan sendiri. Ermm... agaknya zaman sekarang ni ibu bapa kena uruskan? Tapi kenapa semua anak saudaraku menjalani kehidupan persekolahan seperti zaman aku sedangkan kawan-kawan pejabat ramai yang bercuti semata-mata nak uruskan anak-anak yang bukan memasuki darjah satu. Pelik lah. Apa bezanya anak saudaraku dengan anak-anak mereka ek...

Apa yang pasti minggu ini aku agak sibuk untuk menyiapkan laporan memandangkan aku hendak mengambil cuti. Aku dari awal dah berbincang dengan Ketua Jabatan tentang masalah aku untuk bercuti dan Alhamdulillah Ketua Jabatan memahami dan meminta aku menyiapkan semua laporan. Oleh kerana kesibukan kerja-kerja aku menjadi kurang berminat untuk mengetahui pemberian bonus pada hari Rabu ini. Walaupun ramai yang merungut pasal bonus kurang memuaskan, namun aku tidak fikirkan sangat sebab setiap tahun aku sudah tahu di mana tahap kedudukan aku. Apa-apapun aku tetap bersyukur.