Wednesday, 1 April 2009

April Fool

Apabila munculnya 1hb setiap tahun di bulan April pasti perkataan yang akan terkeluar di bibir masyarakat ialah perkataan 'April Fool'. Sebenarnya bulan April adalah bulan pertama jumlah hari yang penuh iaitu 30 hari dan itu sebab ia dikenali dengan nama April Fool.

Aku ingin berkongsi cerita berkaitan 'April Fool' semasa aku menuntut di Institut Teknologi MARA (ITM), cawangan Pahang. Kejadian ini berlaku semasa aku menuntut di semester 2 di Asrama Remaja blok C. Itulah peristiwa April Fool yang akan sentiasa menjadi kenangan hidup aku sebagai pelajar terutama sebagai penghuni asrama dan pelajar ITM.

Pada malam kejadian itu aku tidur agak lewat sedikit. Aku sebenarnya tidak mengesyaki akan terjadinya peristiwa usik mengusik sebagai menyambut April Fool. Apa yang aku pasti ramai juga pelajar-pelajar terdiri daripada rakan rapat teman sebilik aku iaitu Sidi lepak dan berborak di bilik kami. Aku macam biasa akan buat hal sendiri dan terus berbaring di atas katil aku di tingkat atas. Sebaik sahaja tepat jam 12 tengah malam iaitu 1hb April aku melihat seperti asap berkepul masuk ke bilik melalui lubang bawah pintu. Suasana agak bising dan kelam kabut. Aku yang terpingga-pingga baru nak terlelap mata terus bingkas bangun dan turun dari katil apabila di arah keluar. Aku pada mulanya panik dan menyangkakan asrama terbakar akhirnya mendapat jawapan itu hasil dari semburan pemadam api yang kononnya sambutan April Fool.

Walaupun pada mulanya aku merasa bengang namun aku hanya mampu tersenyum melihat kejadian itu. Lepas itu aku melihat berbagai-bagai kejadian yang berlaku sepanjang hari itu bermula dari kejadian yang berlaku di bilik aku. Aku lihat pelajar-pelajar perempuan di blok A dan B juga menyambut April Fool dengan cara tersendiri. Ada di antara pelajar perempuan berani membuka angin tayar motor pelajar lelaki. Namun begitu kalau tidak silap aku ada pelajar lelaki telah membaling satu bungkusan plastik yang mengandungi air kencing ke blok pelajar perempuan. Hehe...

Sebenarnya apa yang telah berlaku di bilik aku telah menimbul kemarahan pada si Pyan dan rakan-rakan yang tinggal bertentangan dengan bilik aku. Sewaktu Pyan membebel aku ada terdengar dia ada menyebut nama aku. Akhirnya aku dapat tahu Pyan dan rakan-rakan sengaja lepak di bilik aku dengan harapan tiada siapa akan berani mengacau bilik tersebut kerana adanya Sidi dan pastinya akan menghormati aku. Tetapi macam biasalah kadangkala apabila kita terlalu seronok bergurau kita juga akan kerap melupakan orang lain.

Selain daripada itu kami pelajar DPA pula telah dipermainkan oleh pensyarah Statistik, Cik Norsiah sewaktu di dalam bilik kuliah. Sebaik sahaja beliau melangkah ke bilik kuliah beliau meminta pelajar mengeluarkan kertas kerana ada ujian (kuiz). Apa lagi pelajar-pelajar tidak berpuashati dan mula membantah kerana tidak diberitahu terlebih dahulu. Cik Norsiah dengan wajah yang serious terus menyuruh kami menyalin soalan di 'white board'. Kami tidak ada pilihan dan terpaksa akur untuk menyalin soalan tersebut. Namun dengan muka yang selamba Cik Norsiah terus menulis "April Fool". Apa lagi ketawa besarlah kami pelajar-pelajar DPA.

Kata orang ada ubi ada batas, ada budi ada balas. Sebaiknya kuliah berakhir dan Cik Norsiah melangkah meninggalkan bilik kuliah tiba-tiba aku terdengar suara si Sarif memanggil Cik Norsiah untuk memberitahu ada barang tertinggal di atas meja. Apabila Cik Norsiah memusingkan badan untuk berpatah balik ke meja, Sarif terus berkata 'April Fool'. Cik Norsiah tersenyum dan kami semua ketawa besar. Haha...

Kepada adik-adik dan anak-anak yang membaca artikel ini, aku cuma mampu nasihat janganlah meniru kenakalan rakan-rakan aku ini. Apa-apapun kepada rakan-rakan di ITM kenangan bersama anda tidak akan dapat aku lupakan.

No comments: