Walaupun aku bukanlah seorang pengulas ataupun pengkritik yang baik tetapi aku sekadar ingin memberi pendapat berkaitan dengan perjalanan Akademi Fantasia 7 (AF7). Apa-apapun aku ingin memohon maaf andaikata tulisan aku ini tidak disenangi oleh mana-mana pihak. Sudah dua minggu AF7 bermula dan malam ini adalah konsert kedua. Persoalannya apakah dan dimanakah ikon atau transformasi yang dilaungkan dan menjadi slogan pengetua AF7.
Aku memerhati dan tertanya-tanya apakah yang cuba ditonjolkan sebagai pembaharuan di dalam AF7. Kalau kita amati perbezaan yang paling ketara AF sebelum ini semua pelajar tidak dibenarkan memakai kasut di dalam rumah atau kawasan pelajar-pelajar menjalani kehidupan sepanjang hari berada di akademi tersebut. Apakah ini transformasi yang diajar dan digalakkan kepada 13 dari 14 pelajar Melayu atau Islam supaya memakai kasut di dalam rumah. Inikah ikon yang dibanggakan supaya majoriti masyarakat Melayu terutama golongan kanak-kanak yang menonton boleh mencontohi ikon-ikon tersebut. Kalau silap haribulan jangan kata masyarakat di luar terikut-ikut budaya ini malah pelajar-pelajar tersebut juga macam menjadi kebiasaan apabila pulang semula ke rumah dan kampung halaman. Tetapi terfikir juga aku mungkin inilah transformasi sebenar dan kita harus juga melihat latarbelakang pengetua AF7 itu sendiri. Erm.. makin bertambah rosak budaya Melayu. Maaflah kalau aku ini berfikiran kolot.
Baru dua minggu berlalu bakal ikon-ikon ini sudah mula berbalah di antara satu sama lain. Walaupun ada kebaikan dasar keberanian dan kelantangan memberi pendapat tetapi ternyata bukan pada tempatnya. Adakah ini ikon budaya Melayu yang dibanggakan? Kalau rasa diri itu sebagai wanita lemah lembut mengapa mahu berlakon untuk menunjukkan sebagai wanita tahan lasak dan akhirnya terjerat dalam skrip sendiri.
Konsert pertama AF7 tiada tarian tradisi atau wajib Menuju Puncak? Haha... inilah kelainan dan transformasi yang cuba ditunjukkan agaknya. Kalau AF sebelum ini menyanyi secara langsung lagu tersebut dan manakala AF6 pula ada satu konsert pelajar buat miming dan AF7 pula transformasi dilakukan dengan ketiadaan nyanyian dan tarian oleh pelajar semasa konsert pertama. Tenaga pelajar memberi alasan kononnya minggu pertama sengaja ditiadakan tarian tersebut kerana ingin pelajar menumpukan vokal sambil perkenalkan pelajar itu sendiri. Ye ke? Atau sebenarnya pelajar masih lagi kaku menari. Haha....
Pengkritik pula kadangkala seperti mempamerkan kelemahan masing-masing walaupun mereka ini banyak pengalaman dalam bidang seni masing-masing. Adakah wajar kalau pengkritik memberitahu kepada penonton bahawa dia yang buat ujibakat dan memilih pelajar tersebut lantas memuji diri sendiri kononnya memilih pelajar berbakat dan terbaik. Apakah pelajar lain yang terpilih bukan dia yang melakukan ujibakat bukan terbaik? Apa perasaan pelajar-pelajar lain.
Ada juga pengkritk yang tidak membuat kajian dan prihatin sedangkan mereka dilantik menjadi pengkritik tetap. Mereka memalukan diri sendiri apabila bertanya kepada pelajar siapa buat pemilihan lagu tersebut dan siapa yang buat 'arrangement' lagu yang dinyanyikan. Pengkritik tidak tahu ke lagu konsert pertama adalah lagu pilihan pelajar yang terdapat dalam senarai pilihan lagu mereka. Pengkritik tidak tahu ke Acis dilantik sebagai pengarah musik AF7 dan sudah pastilah Acis yang bertanggungjawab buat 'arrangement' lagu. Adalah tidak logik pelajar AF yang belum mahir bidang ini buat gubahan sendiri pada lagu asal.
Itu belum diperkatakan pengkritik menganggap pelajar bernama Akim membawa lagu yang terlalu tua buat beliau. Salah ke penyanyi (bakal) generasi baru atau muda menyanyikan lagu lama? Kalau macam itu lagu lama akan terkubur dan hanya layak dinyanyikan oleh golongan veteran sahaja. Kelakarlah pengkritik ini. Si Obri pula dikritik seperti kelihatan 'saiko' (macam orang gila) hanya kerana cara beliau menghayati lagu tersebut dengan gaya tersendiri. Peliklah. Ikut cara penyanyi yang sedia ada pasti dikritik dan cuba bawa identiti sendiri pun dikritik. Ermm.. teringatlah pula aku pada penyanyi terkenal menyanyi dengan penuh perasaan dengan hentakkan kaki. Adakah pengkritik boleh labelkan penyanyi tersebut juga macam 'saiko'?
Jadi adakah ini slogan ikon dan transformasi yang dibanggakan dalam AF7? Fikir-fikirkanlah...
No comments:
Post a Comment