Hari ini aku baru terima satu maklumat di tempat kerja yang sebenarnya ianya telah berlaku minggu lalu. Apa yang hendak aku kongsikan kepada pembaca ialah tentang kekurangan fahaman masyarakat kita pada hari ini tentang adat, budaya dan agama sesuatu kaum.
Adalah menjadi kelaziman aku bila tiba waktu untuk menunaikan sembahyang di tempat kerja pasti akan mengambil air sembahyang di 'tea room' di ofis. Ini bagi memudahkan urusan aku yang tidak perlu untuk menanti giliran mengambil air sembahyang di tempat bilik sembahyang atau kadangkala tiada bekalan air seperti yang terjadi pada hari ini. Tetapi untuk menjadikan cerita sewaktu aku hendak mengambil air sembahyang tetiba ada seorang perempuan serabai ni hendak masuk ke 'tea room' untuk makan walaupun masa itu bukan waktu rehat. Oleh kerana aku menyangkakan dia itu jenis orang yang berfikiran terbuka maka aku suruh dia jangan masuk dahulu di bilik tersebut kerana aku hendak mengambil air sembahyang.
Namun baru hari ini aku dapat tahu kononnya si serabai ini telah mengadu sesuatu kepada seseorang tentang perihal aku. Apabila si Nobita dengar perkataan sembahyang tanpa mengetahui kedudukan sebenar terus menyampuk perbualan untuk menutup 'tea room' tersebut kalau aku sembahyang di situ. Kelakarlah sebab tak logik nak bersembahyang di bilik tersebut yang kecil dan tak sesuai dengan suasana untuk menjadikan tempat bersembahyang. Tetapi ada seorang staff terus membangkang dan menjelaskan bahawa aku bukan sembahyang di tempat itu tetapi cuma mengambil air sembahyang. Apa yang pasti si Nobita tidak memahami dan terpaksa staff tersebut menjelaskan walaupun staff tersebut bukan beragama Islam.
Aku tahu mungkin cara aku mengambil air sembahyang di tempat tersebut boleh jadi satu kesalahan tetapi sekurang-kurangnya tidak macam si serabai tu yang datang ke 'tea room' ofis jabatan lain dan hendak makan bukan di waktu rehat seperti yang ditetapkan. Aku bengang bila mengetahui berita ini namun aku tetap bersabar sebab tidak mahu melibatkan staff yang mengadu kepada aku. Aku pula kadangkala hairan si Nobita ni walaupun seorang ketua kadangkala takut hendak bertanya kepada aku untuk mengetahui kedudukan sebenar. Selain itu dia langsung tidak mempertikaikan si serabai tu yang merayap dengan tidak membuat kerja dan hendak makan bukan waktu rehat.
Apa yang berlaku kepada aku ini sebenarnya adalah sikap segelintir masyarakat kita yang tidak pernah hendak mengetahui adat, budaya atau agama sesuatu kaum. Inilah juga yang berlaku kepada politik Malaysia hari ini bila sesuatu kaum atau agama enggan menghormati atau mengetahui sesuatu kaum atau agama yang lain. Apa-apapun kejadian ini menjadi pengajaran buat aku.
No comments:
Post a Comment