Friday, 30 July 2010

Imam Muda

Hari ini pencarian Imam Muda terunggul yang berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur anjuran Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menemui jawapannya. Program yang berlangsung selama 10 minggu setiap malam Jumaat, jam 9 malam telah memilih Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26 tahun dari Sungai Gelugur Pulau Pinang sebagai pemenang musim pertama.

Bagi aku, program anjuran Astro Oasis boleh dibanggakan kerana membuat program konsep dakwah ini. Namun begitu kejayaan Asyraf ini sudah aku duga memandangkan setiap minggu beliau akan memperolehi markah yang tertinggi di samping jawatan yang dipegang oleh beliau adalah seorang Imam. Apa-apapun aku amat berbangga dengan keberanian salah seorang peserta lepasan sekolah dari Kelantan iaitu kalau tidak silap aku nama beliau adalah Shahkir kerana keberanian beliau turut sama menyertainya.

Tahniah Asyraf, peserta-peserta Imam Muda, Astro Oasis dan Jawi yang terlibat dalam program konsep dakwah ini.

Wednesday, 28 July 2010

Sedikit Kemalangan

Hari ini aku ke tempat kerja dalam suasana hujan. Adakala hujan itu membawa satu rahmat dan adakala ianya membawa bencana. Aku sendiri tidak pasti samada hujan pagi ini membawa rahmat atau bencana kepada aku.

Sewaktu aku ke tempat kerja melalui Jalan Permas 6 menuju ke Jalan Permas Barat sedikit bencana menimpa aku. Sewaktu aku memberhentikan motor untuk belok ke kanan persimpangan Jalan Permas Barat tetiba hati aku terdetik untuk melihat ke arah belakang. Sebaik sahaja aku memusingkan kepala aku ke kiri, tetiba sahaja ada sebuah kereta putih Myvi yang membelok ke kiri tanpa berhenti melanggar motor aku dari arah belakang. Apa lagi, aku bersama motor terus terjatuh.

Aku naik angin meminta pemandu tersebut iaitu seorang gadis kaum Cina membayar gantirugi sebanyak RM100. Beliau kemudian menelefon teman lelaki konon katanya tidak membawa wang. Aku sebenarnya meraguinya tetapi oleh kerana aku tidak mahu lewat ke tempat kerja aku minta no telefon beliau dan menyuruh beliau telefon aku untuk selesaikan masalah ini. Sebaik sahaja aku tiba ke tempat kerja, teman lelaki perempuan Cina itu menelefon aku dan bertanya tentang gantirugi tersebut. Aku beritahu andaikata beliau tidak mahu selesaikannya aku akan membuat laporan polis tentang kemalangan ini. Oleh kerana teman wanita beliau masih menggunakana lesen P dan kononnya tidak tahu tempat kerja aku, maka kakak perempuan Cina itu pula menelefon dan meminta nombor akaun bank aku.

Di tempat kerja pula aku menjadi popular sekejap kerana ramai yang menelefon untuk bertanya keadaan aku kerana beberapa orang staf ada melihat kejadian tersebut. Sebenarnya aku tidak mengalami kecederaan yang teruk sekadar sedikit luka di tapak tangan kiri dan lutut kaki ada sedikit rasa sakit apabila hendak sujud waktu solat. Manakala motor pula pemijak kaki sebelah kiri bengkok sedikit dan perlu diketuk untuk memperolehi seperti keadaan asal.

Kepada staf yang mengambil berat samada menelefon atau berjumpa aku sendiri untuk bertanyakan khabar, terima kasih aku ucapkan. Ermm... rupanya masih ada yang sayangkan aku.

Sunday, 18 July 2010

Majlis Perkahwinan Nor Aishah

Semalam aku telah menghadiri majlis perkahwinan bekas kerani jabatan Accounts tempat aku berkerja yang aku anggap seperti adik aku iaitu Nor Aishah. Walaupun ada seorang dua staf yang tidak suka atau sentiasa mencari kesalahan beliau, namun bagi aku Aishah adalah seorang gadis yang matang, tabah, senang berkomunikasi, menghormati orang lain, mudah menerima teguran dan mudah menerima pembelajaran. Sebenarnya staf yang sering mencari kesalahan Aishah memang sikap begitu kepada sesiapa sahaja staf baru kecuali staf itu pandai mengampu beliau.


Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku menghadiri majlis perkahwinan Aishah kerana sebelum beliau berhenti kerja aku telah mengetahui lebih awal tarikh majlis perkahwinan yang akan diadakan. Oleh kerana aku sering pulang ke kampung atau aktiviti lain, maka aku telah mengaturkan rancangan agar pada hari ini jadual aku kosong untuk menghadiri majlis perkahwinan beliau.

Walaupun hadiah yang aku berikan kepada Aishah tidaklah begitu mahal, namun aku berharap hadiah tersebut sesuai untuk beliau dan semoga Aishah akan sentiasa mengingati aku sebagai bekas ketua dan juga sebagai abang beliau. Aku amat menghormati beliau kerana banyak berkongsi rahsia hal peribadi kepada aku. Selain daripada itu aku amat terharu kerana Aishah banyak memberi aku semangat semasa aku kehilangan arwah kakakku dan juga apabila aku menerima berita yang kurang baik tentang kesihatan. Apapun yang pasti aku bangga kerana Aishah bukanlah salah seorang Melayu Mudah Lupa.


Aku tersenyum melihat majlis perkahwinan Aishah kerana aku tahu beliau begitu minat warna 'pink'. Walaupun baju sanding beliau bukan berwarna 'pink' namun baju pengapit pengantin dan bunga telur tetap 'pink colour'. Hehe...
Selamat Pengantin Baru kepada Nor Aishah Hamzah dan Kamarodzaman Md Esa, semoga diberkati Allah dan bahagia hingga akhir hayat.

Wednesday, 14 July 2010

Showdown 2010 Champion

Akhirnya Wakaka Crew menjuarai program realiti tarian Showdown 2010 yang berlangsung di KL Life, Kuala Lumpur. Kumpulan ini membuat persembahan menarik dengan persembahan pertama mengikut rentak lagu tema Piala Dunia 2010, Waka Waka nyanyian Shkira diikuti Prdolzhaetja Boj. Hasil kemenangan ini, Wakaka Crew membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Wakaka Crew yang mempunyai tujuh orang anggota yang diketuai oleh bekas juara program So You Think You Can Dance musim pertama 2008, Muhamad Haslam Abdul Rahman atau Alam. Apa yang menariknya kumpulan ini pula membuat persembahan dengan lagu Waka Waka seperti lebih kurang nama kumpulan ini iaitu Wakaka Crew. Apakah mungkin tanggapan negatif bahawa kemenangan Wakaka Crew kerana Alam walaupun kumpulan ini juga hadir ujibakat untuk pertandingan ini. Namun seperti kata Wakaka Crew pada ucapan akhir meraih kemenangan mereka "Walau Aku Kalah Aku Kisah Apa".

Apa-apapun tahniah Alam dan Wakaka Crew kerana kejayaan menjuarai tarian Showdown 2010.

Saturday, 10 July 2010

Kasut Buat Hal

Aku kebiasaan kalau keluar ke mana-mana memang sempoi dan selamba sahaja. Tiada maknanya untuk bergaya sakan cukup sekadar apa yang aku rasa selesa sahaja seperti selipar, jeans dan baju T. Tetapi kerana hari ini aku keluar makan tengahari dengan Aril maka aku tak boleh sesuka hati hendak pakai selipar sahaja sebab aku tidak mahu sesiapa rasa tak selesa termasuklah aku sendiri. Oleh itu aku memakai kasut, namun jeans dan baju T tetap pilihan hati.

Sebaik sahaja aku sampai di destinasi yang ditetapkan, tetiba perasaan aku merasakan sesuatu yang tidak kena sahaja. Aku merasakan langkah kaki aku macam tak selesa atau tidak betul sahaja. Sebaik sahaja aku melangkah anak tangga pintu utama tempat yang aku hendak berjumpa Aril tetiba aku melihat tapak kasut yang dipakai macam hendak tertanggal. Alamak... ini adalah kali kedua aku mengalami masalah yang sama. Sementara hendak mencari kasut yang sesuai tanpa aku sedari tapak kasut di sebelah kiri tertanggal. Aku sendiri tidak tahu di mana tapak kasut itu tertinggal dan hanya mampu senyum sendirian. Malunya...


Oleh kerana telah hampir jam 12.00 tengahari iaitu masa yang aku janji dengan Aril dan rasa tidak selesa dengan kasut itu maka aku tidak mempunyai masa untuk mencari kasut yang selesa dan sesuai. Apa sahaja di depan mata yang boleh dipakai terus sahaja aku beli. Hilang mood untuk bergaya. Huhu...

Sebenarnya kasut yang tertanggal tapak itu sudah lama aku beli tetapi tidak pernah memakainya. Jadi 'moral of the story' lain kalau sudah beli sesuatu hendaklah menggunakannya. Kalau biar tersimpan sahaja akhirnya langsung tidak dapat digunakannya. Siapa yang rugi? Huhu...

Wednesday, 7 July 2010

Kenaikan Gaji 2010

Mulai hari ini tiga hari berturut-turut semua 'senior' staf dipanggil mesyuarat atau taklimat untuk menerangkan tentang kenaikan gaji bagi tahun 2010. Aku kadangkala malas hendak mendengar semua ini kerana setiap tahun kenaikan gaji memang tidak akan berpihak kepada aku. Tetapi aku hadiri juga taklimat tersebut sekadar ingin mendengar apa lagi permainan politik yang akan berlaku oleh pihak atasan pengurusan dan syarikat.

Aku hanya mampu tersenyum sinis sebaik sahaja data ditayangkan bahawa kenaikan gaji semua senior staf adalah 0.8% namun masih lagi ada pangkat A - E. Ermmm... aku hanya mampu geleng kepala kerana tahun ini pangkat ditambah menjadi lima. Ini suatu perubahan yang menarik. Kenapa tidak sahaja diberikan pangkat dari A hingga ke Z kerana pasti aku akan diberikan pangkat Z bersesuaian pangkal nama aku bermula dengan huruf Z. Huhu....

Aku tahu ramai senior staf tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh jabatan Personnel memandangkan junior staf yang mendapat pangkat E pun masih mendapat 1%. Aku memang sudah malas nak memikirkan semua ini sebab akan menyemakkan data di dalam otak aku ini. Apa yang menarik untuk mengabui mata semua orang maka pihak pengurusan memberi satu ganjaran ataupun bonus kepada setiap pangkat dan yang pasti amat malang bagi staf yang mendapat pangkat E hanya sekadar 0.8% dari gaji asas.

Walaupun berbagai-bagai alasan yang diberikan oleh wakil pihak pengurusan namun ramai yang tidak berpuas hati dengan wujudnya pangkat A - E. Inilah kerana setiap tahun kami boleh mengagak siapa yang akan mendapat pangkat A dan siapa pula yang akan menjadi kambing hitam untuk mendapat pangkat E. Oleh itu tidak perlulah nak bertungkus-lumus semata-mata untuk mengharapkan sesuatu yang tidak pasti atau tidak mungkin akan berlaku kerana seperti kata salah seorang senior staf "semua telah ditetapkan".

Apakah kenaikan gaji 2010 ini aku akan memperolehi pangkat D ataupun aku akan menjadi kambing hitam memperolehi pangkat E. Tunggu dan lihat.

Friday, 2 July 2010

Sayonara K.Nakagawa

Giant, Badan Besar, Orang Utan, Tok Chik dan berbagai lagi panggilan yang diberikan kepada pemilik nama Kenji Nakagawa. Sebenarnya nama-nama ini diberikan kepada beliau adalah disebabkan ramai di antara kami begitu benci atau meluat dengan sikap beliau sepanjang beliau mengetuai Jabatan Accounts lima tahun yang lalu.

Pada mula kedatangan Nakagawa ke Jabatan Accounts ini aku lihat beliau seorang yang baik dan berbudi bahasa. Tetapi entah mengapa dari sehari ke sehari beliau mula berubah menjadi seorang yang agak kurang ajar, panas baran, suka menjerit, suka marah-marah dan pelbagai lagi sikap negatif yang tidak boleh kami terima. Aku berpendapat mungkin kerana beliau telah menunjukkan sikap ego dengan kuasa yang ada pada beliau.

Aku masih ingat lagi bagaimana kenangan indah aku bersama beliau dan beberapa staff dari jabatan lain pergi ke sebuah kebun di Pontian untuk menikmati durian. Aku melihat beliau begitu mesra alam, tidak lokek dan boleh bergurau hingga lupa protokol bahawa beliau adalah boss paling besar di jabatan Accounts. Oleh kerana beliau masa itu masih baru dan kurang memahami budaya Malaysia khasnya Melayu maka beliau selalu jadi sasaran gurauan dari kami. Kami mengambil kesempatan mengisi buah-buah durian di dalam bonet kereta Proton Gen2 milik beliau. Hehehe... Beliau pula asyik menceritakan keseronokan makan durian kepada staf Jepun yang lain termasuk Managing Director dan keluarga beliau sendiri di Jepun.

Pada masa beliau dilantik AJK untuk Bon Odori iaitu satu festival yang memperkenalkan makanan dan budaya Jepun di Johor Bahru, beliau mahukan aku bertugas mewakili syarikat. Aku beberapa kali menolak cadangan tersebut dan mencadangkan beliau memilih orang lain. Namun begitu beliau tidak berputus asa dan sering memujuk aku hingga aku akur dengan permintaan beliau di saat akhir beberapa hari sebelum Bon Odori berlangsung. Aku dilantik sebagai ketua untuk mengagih-agihkan kopun percuma kepada staff lain yang terlibat. Malah beliau asyik memperkenalkan aku kepada orang-orang Jepun dari syarikat lain yang terlibat sebagai AJK Bon Odori tersebut.

Tetapi masa terus berlalu, beliau mula berubah dan sikapnya amat berbeza seperti mula kedatangan beliau ke jabatan Accounts. Aku pada mulanya masih sabar tetapi kesabaran aku mula terungkai apabila beliau mula menunjukkan sikap kurang ajar kepada aku. Aku masih boleh menerima kalau beliau memarahi aku tetapi kalau tangan beliau sudah mulai berani untuk menyentuh aku sedikit kasar walaupun aku tidak menerima pelempang atau penumbuk membuatkan aku mulai benci beliau semenjak hari itu. Apa sahaja survenior yang diberikan kepada aku apabila pulang dari Jepun akan aku berikan kepada staf lain. Aku amat benci dan enggan lagi bergurau atau bercakap dengan beliau kecuali hal yang berkaitan dengan kerja.

Namun disebalik keburukan beliau itu, aku amat berterima kasih kerana beliau telah mempertahankan kenaikan pangkat aku pada tahun lepas walaupun telah dua tahun berturut-turut Ketua Division Finance menyingkirkan nama aku. Itulah jasa terakhir beliau kepada aku sebelum beliau dipindahkan ke jabatan lain yang bermatian-matian mahukan aku dinaikkan pangkat di saat-saat akhir sebelum nama staff yang dinaikkan pangkat diumumkan.

Hari ini Nakagwa akan meninggalkan syarikat dan aku amat tersentuh pada ucapan terakhir beliau yang meminta maaf kepada semua staf terutama kepada jabatan Accounts dengan sikap beliau selama ini. Aku hampir mengalir air mata kerana mendengar kata-kata sayu dan ikhlas beliau itu. Selain daripada itu aku juga merasa sedih melihat sikap segelintir pekerja termasuk mereka yang terlibat memberi sambutan yang dingin pada beliau hari ini. Aku amat sedih apabila melihat jambangan bunga yang diberikan kepada beliau tidak sehebat diberikan kepada staf Jepun lain yang meninggalkan syarikat.

Walaupun suatu ketika dahulu aku amat membenci Nakagwa namun kenangan makan durian dan Bon Odori akan terus terpahat di hati aku ini. Aku juga berterima kasih kepada K.Nakagawa yang telah menaikkan aku pangkat iaitu setahun sebelum dia mengucapkan sayonara kepada syarikat di Malaysia.