Saturday, 29 August 2009

Zakat Fitrah

Zakat Fitrah di negeri Johor pada tahun ini yang diwajibkan bagi umat Islam ialah sebanyak RM5.00 atau RM7.50 berdasarkan harga beras yang dimakan. Jadi terserahlah kepada penduduk di Johor untuk memilih yang mana satu untuk mereka membayar zakat samada mengikut beras yang mereka makan atau tidak perlu berkira dengan membayar RM7.50 kerana hanya setahun sekali.

Adalah menjadi kebiasaan aku akan membayar zakat fitrah selepas waktu zohor kerana mungkin menjadi tradisi di Johor Bahru kaunter zakat di masjid dibuka selepas waktu zohor. Kali ini aku berhasrat untuk membayar zakat fitrah berdekatan masjid di rumah aku. Tapi aku pelik sebaik sahaja aku sampai di masjid tersebut lebih kurang jam 2.oo petang kaunter zakat ditutup dan notis memberitahu kaunter dibuka jam 2.45 petang.

Aku terus beredar dari masjid tersebut dan menuju ke masjid di kawasan lain yang menjadi tradisi aku sejak 5 tahun yang lalu. Sebenarnya sebelum ini bertahun-tahun aku lebih suka membayar zakat fitrah di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru tetapi berubah sejak 5 tahun yang lalu. Sementara ku menanti giliran motor aku di "service" aku pergilah ke masjid yang biasa aku bayar zakat sebelum ini yang berdekatan dengan kedai motor. Sekali lagi aku menerima kejutan apabila amil zakat tiada dan terdapat notis yang menyatakan kaunter dibuka jam 1.30 petang.

Sebaik sahaja aku selesai membetulkan motor, aku bergegas sekali lagi ke masjid yang kedua aku pergi namun kaunter zakat masih sunyi dan seterusnya ke masjid pertama yang berdekatan di rumah aku juga sunyi walaupun jam telah menunjukkan jam 3.00 petang. Walaupun di kedua-dua kaunter zakat terdapat notis menyatakan nombor telefon amil zakat untuk dihubungi, namun prinsip aku tidak akan menelefonnya. Aku terus tertanya-tanya di dalam hati apakah amil zakat 1430H ini terlalu sibuk dan tidak perlu menunggu di masjid walaupun kelazimannya mereka pasti sentiasa berada di masjid selepas waktu zohor.

Oleh kerana aku memang tidak suka melengahkan pembayaran zakat fitrah aku terus ke pusat membeli-belah yang juga berdekatan di rumah aku. Kali ini aku bernasib baik kerana amil zakat fitrah berada di situ untuk menanti orang ramai membayar zakat. Aku terus menjalankan kewajipan aku untuk membayar zakat. Syukur Alhamdulillah kerana tidak perlulah aku membuat temujanji dengan amil zakat untuk membayar zakat pada tahun ini.

Monday, 24 August 2009

Arwah Emak - 13 Tahun

Hari ini adalah 3 Ramadan 1430H bersamaan dengan 24 Ogos 2009. Hari ini adalah genap 13 tahun arwah emak meninggal dunia yang menjadikan aku anak yatim piatu. Masa begitu cepat berlalu kerana telah 13 tahun juga aku tidak dapat berpuasa bersama arwah emak dan sekaligus tidak dapat mencium tangan arwah emak setiap pagi Hari Raya.

Hari ini aku masih berada di kampung dan akan pulang ke Johor Bahru pada petang ini jam 5.00 petang. Walaupun arwah emak telah meninggalkan aku selama 13 tahun namun segala kenangan terutama di bulan puasa sentiasa di dalam memori aku. Aku tahu masa tidak akan berputar kembali kerana yang hidup perlu teruskan perjalanannya. Walaupun pada masa itu aku sudah bekerja, namun apabila aku pulang ke kampung pada bulan puasa pasti arwah emak akan bertanya lauk atau kuih apa yang aku teringin nak makan. Apa juga makanan atau kuih yang aku sebut pasti dia akan dengan senang hati membuatnya. Apabila sehari dua sebelum sambutan Hari Raya aku telah pulang ke kampung pasti dia akan bertanya samada aku telah membayar zakat atau belum walaupun arwah emak tahu aku sebenarnya adalah anaknya yang sering membayar awal.

Walaupun telah 13 tahun berlalu, segala memori bersama arwah emak pasti tidak akan aku lupa. Aku akan terus berdoa selagi mampu agar arwah emak dicucuri rahmat oleh Allah dan di tempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal salleh.

Sunday, 23 August 2009

2 Ramadan 1430H

Alhamdulillah hari ini adalah hari ke 2 umat Islam di Malaysia menunaikan ibadat puasa. Aku masih lagi berada di kampung untuk menyambut bulan Ramadan. Ini bermakna aku dapat lagi berbuka puasa pada 2 Ramadan bersama-sama keluarga. Namun suasana berbuka puasa 2 Ramadan ini amat berbeza kerana kami adik-beradik berkumpul walaupun tidak kesemuanya ada bersama-sama. Tetapi yang pasti ia mengamit kenangan aku bersama arwah emak dan abah.Walaupun juadah berbuka puasa hanyalah makanan biasa namun keriuhan berbuka puasa tetap terasa dengan gelagat anak-anak saudara aku walaupun mereka semua sudah membesar. Anak saudara aku yang berusia 15 tahun mencadangkan berbuka puasa dengan mee kari. Jadi terpaksalah kami mengikut perancangan yang diaturkan oleh beliau.


Anak saudara aku yang tinggal di Johor Bahru pula mencadangkan buat air sirap bandung. Dia kemudian sms kepada sepupu dia yang sebaya meminta bapanya membeli aiskrim soda. Aku pula dengan segera membekukan ais di dalam peti ais. Anak-anak saudara aku juga sesama mereka membuat kuih buah melaka atau onde-onde. Kalau dah tiga orang yang membuatnya, pastilah bentuknya tidak sama. Jadi apabila 15 minit lagi waktu berbuka, kakak ipar aku pula mengambil giliran untuk membuat air sirap bandung. Aku yang memang jarang berbuka dengan air batu terliur juga untuk meminumnya walaupun aku tetap dengan berbuka dengan air panas. Semasa hendak membuat air teh didapati air panas tinggal sedikit sahaja dan dalam kelam kabut tu tetiba dengar suara azan menandakan berakhirnya 2 Ramadan 1430H.

Walaupun kami tidak dapat mengumpulkan kesemua adik-beradik dan ipar duai serta anak-anak saudara, namun kemeriahan 2 Ramadan cukup terasa. Jadi tidaklah sia-sia aku mengambil cuti pada hari esok semata-mata untuk menyambut bulan Ramadan di kampung.

Saturday, 22 August 2009

Ramadan 1430H

Hari ini bermulanya 1 Ramadan bermakna bermula puasa bagi umat Islam terutamanya di Malaysia. Sebenarnya agak lama juga sejak aku bekerja dan merantau tidak dapat menyambut puasa di hari pertama di kampung. Oleh kerana kerinduan suasana tersebut dan bermulanya Ramadan pada hari Sabtu, aku cuba luangkan masa untuk pulang ke kampung dan juga mengambil cuti pada hari Isnin ini.

Bermula Ramadan ini selepas bersahur dan sembahyang subuh aku pergi menziarahi pusara arwah emak, abah dan anak saudara. Selain membaca dan sedekahkan bacaan surah Yassin, aku juga sempat membersihkan daun-daun dan lalang yang tumbuh di sekeliling pusara. Aku puas melihat pusara mereka bersih. Oleh kerana aku hampir terkucil (faham-faham aje lah) aku terus pulang tanpa berkesempatan menziarahi puasara arwah atuk. Maafkan aku.

Apakah bermula Ramadan 1430H akan memberi cahaya kepada kita semua untuk meneruskan perjuangan hidup. Apakah kita masih ditahap lama dengan memberi sejuta alasan untuk tidak berpuasa. Aku gembira kerana ada seorang kawan perempuan menjadikan awal Ramadan 1430H sebagai langkah pertama beliau ingin memakai tudung. Tahniah.

Aku ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf dan mengucapkan Salam Ramadan 1430H kepada pembaca blog ini, semua kawan-kawan dan bekas kawan-kawan serta bekas guru-guru di Sekolah Agama Parit Setongkat dan Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Sekolah Rendah Ismail (Satu), Sekolah Menengah Sri Muar, Sekolah Tinggi Muar, ITM Pahang dan Shah Alam dan rakan sekerja di mana jua anda berada. Kepada Kak Antoi terima kasih kerana menghantar sms malam tadi sewaktu aku berada di Perhentian Bas Larkin dan Azmi Abu Bakar (Bilal), terima kasih kerana menghantar 'sms' jam 11.58 malam tadi.

Selamat berpuasa dan Salam Ramadan 1430H.

Friday, 14 August 2009

Kematian

Hampir setiap hari kita mendengar angka kematian akibat H1NI atau selsema babi terus meningkat. Tapi apakah langkah-langkah yang perlu kita ambil untuk menghindar perkara ini terus berlaku. Kalau semasa wabak selsema burung atau SARS pada tahun 2003 kasihan pada ayam Mak Temah, Mak Kiah, Pak Leman dan Pak Abu di pelusuk kampung terpaksa dimusnahkan tetapi kenapa selsema babi atau H1N1 babi Pak Chin, Pak Chong, Mak Lim dan Mak Yong tidak dimusnahkan. Kasihan...

Sebenarnya pagi tadi aku menerima berita kematian suami kepada staf 'Production Department' iaitu Azizah Jamaluddin (Azie). Kematian Jais ini amat mengejutkan memandangkan kami tidak pernah mendengar Jais mengalami penyakit yang serious. Sebenarnya suami Azie yang berusia sekitar 40an ini pernah bekerja di tempat kami pada sekitar tahun 1990an di Jabatan Store sebagai Storekeeper. Apa yang aku dengar beliau menghembuskan nafas yang terakhir tanpa siapapun di sisi kerana meninggal sewaktu tidur dan Azie hanya mengetahui apabila cuba mengejutkan suaminya dari tidur di waktu pagi.

Takziah kepada Azizah Jamaluddin sekeluarga.

Saturday, 1 August 2009

Akta ISA

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Akta ISA kini hangat diperkatakan lagi. Aku sendiri tidak faham dengan kerenah masyarakat Malaysia sejak kebelakangan ini. Apakah masyarakat Malaysia kini semakin pandai memandangkan terlalu banyak universiti dan pangajian tinggi ataupun sebenarnya masyarakat Malaysia semakin bodoh.

Aku bukanlah seorang ahli politik tetapi sebagai masyarakat Malaysia aku kadangkala semakin keliru dengan situasi politik hari ini. Aku bukanlah seorang rakyat yang jahil langsung tidak mengetahui tentang sejarah wujudnya Akta ISA, tetapi bagaimana dengan pemahaman orang lain. Adakah rakyat kita hari ini telah buta sejarah? Ataupun adakah sejarah telah membutakan rakyat Malaysia.

Apakah perlu dan berbaloi rasanya demontrasi jalanan diadakan semata-mata untuk menjadi jaguh dengan menggesa pihak kerajaan memansuhkan Akta ISA. Adakah Akta ISA ini adalah satu akta untuk kesenangan kerajaan Barisan Nasional? Adakah ianya juga merupakan satu malapetaka kepada pihak pembangkang? Adakah ia memberi kebaikan kepada rakyat? Jadi fikirkanlah sendiri dengan hati yang terbuka dan fikiran yang waras.

Walau apapun jawapan yang diberi, setakat hari ini aku belum pernah terdengar pula mereka yang ditahan di bawah Akta ISA diseksa. Apakah memang ada tetapi aku yang ketinggalan tentang fakta ini. Entahlah.

Pada pandangan aku janganlah kerana permainan bibir-bibir orang politik ini akan memusnahkan kedaulatan negara Malaysia. Janganlah kerana kita buta sejarah maka kita terus menjadi pak turut. Jangan kita salahkan sejarah kalau kita tidak faham tentang sejarah. Jangan kita lupakan sejarah yang telah memerdekakan Tanah Melayu. Namun yang aku rasa pelik kenapa orang Melayu yang bersugguh-sungguh menentang Akta ISA hingga sanggup mengadakan demontrasi yang kemudian menyusahkan kaum Melayu sendiri.