Friday 20 February 2009

Sekolah Tinggi Muar


Pada 4hb Januari 1981 aku terpaksa meninggalkan Sekolah Menengah Sri Muar untuk melanjutkan pelajaranku di Sekolah Tinggi Muar di dalam aliran Sains. Sebenarnya pada masa itu Sekolah Menengah Sri Muar tidak mempunyai tingkatan 4 aliran Sains. Sejak dari hari itu bermulalah kisah perjalanan hidupku sebagai pelajar di Sekolah Tinggi Muar yang hanya bersebelahan dengan Sekolah Menengah Sri Muar. Sekolah Tinggi Muar adalah merupakan sekolah untuk pelajar lelaki kecuali tingkatan 6 terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan.





Sepanjang aku menuntut di Sekolah Tinggi Muar bermula tahun 1981 di tingkatan 4 aliran Sains sehingga menamatkan pelajaran pada tahun 1984 di tingkatan 6 aliran Sastera berbagai kenangan pahit dan manis aku lalui. Hubungan aku dengan pelajar kaum Cina semakin rapat dan akrab. Di sini juga aku mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Malah di sekolah ini juga aku dapat berjumpa semula beberapa orang kawan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kawan yang berkongsi makanan semasa di sekolah rendah tetapi menjauhkan diri hanya kerana aku bukan di kelas yang terbaik.



Ini adalah merupakan kelas pertama aku sebagai pelajar Sekolah Tinggi Muar iaitu tingkatan 4 Sains 5 (4Sc5) yang terletak di tingkat dua. Aku pada masa itu duduk di tempat belakang sekali. Kelas ini boleh dikatakan sebagai kelas aliran sains yang agak terkenal bukan kerana kelas terbaik aliran Sains tetapi kerana kenakalan pelajar-pelajarnya. Kelas ini juga ada pelajar terpantas sekolah dan juga nakal iaitu Khairul Kismie yang sering menggunakan nama dia yang unik untuk mempermainkan guru-guru. Manakala Hamdan pula suka menampalkan seluar dia dengan kulit yang kononnya koyak tetapi pada hakikatnya itu adalah salah satu dari fesyen seluar beliau. Apa yang paling mengharukan untuk menyatakan betapa nakalnya kami apabila pernah dua minggu berturut-turut kelas kami diumumkan sebagai kelas yang paling kotor sehingga memeningkan dan memalukan bukan sahaja guru tingkatan malah kena tempias pada guru-guru lain yang mengajar kami.



Ini adalah kelas aku semasa di tingkatan 5 Sains 5 (5Sc5) yang juga berada di tingkat dua. Di tahun ini juga guru tingkatan yang sama semasa tingkatan 4 yang mengajar matapelajaran Matematik Tambahan telah bertukar sekolah dan digantikan dengan guru tingkatan baru iaitu Cik Khor Mooi Hong yang mengajar matapelajaran Fizik. Cik Khor mahukan Penolong Tingkatan dibuat pemilihan semula manakala Ketua Tingkatan masih dikekalkan dengan pelajar yang sama semasa di tingkatan 4. Akhirnya aku berjaya menjawat jawatan tersebut dengan kemenangan yang tipis atas sokongan kesemua pelajar kaum Cina dengan menewaskan bekas Penolong Tingkatan yang lama.



Ini adalah bilik Pengawas yang pada zaman persekolahan aku adalah kawasan kosong yang menjadi laluan ke kelas lain. Kawasan yang berada di tingkat dua yang bedekatan tangga ini adalah menjadi laluan ke tingkatan 5 Sastera A (sewaktu aku tingkatan 5) dan 6 Rendah Sastera B (sewaktu aku tingkatan 6 Rendah). Semasa aku di tingkatan 6 Rendah Sastera A (6RSA) aku ditempatkan di kelas yang sama semasa aku di tingkatan 5 tetapi hanya seminggu sahaja sebelum pelajar dari Sastera A dan B digabungkan dan ditempatkan di bangunan dan kelas yang lain iaitu berhampiran kantin dan makmal sains untuk pelajar tingkatan 6. Ini semua atas cadangan aku kepada pihak sekolah. Pada tahun itu juga aku dilantik sebagai Ketua Tingkatan atas sokongan kuat dari pelajar kaum Cina yang juga terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan yang sewaktu di tingkatan 5 bersekolah di sekolah lain.



Ini pula adalah kelas semasa aku di tingkatan 6 Atas Sastera A (6ASA) dan masih mengekalkan jawatan Ketua Tingkatan. Pada masa itu kelas ini bersebelahan dengan tingkatan 6 Atas Sastera B yang berdekatan dengan bilik air pelajar lelaki (pada masa artikel ini ditulis ianya berdekatan dengan kantin sementara disebabkan pengubahsuaian bangunan tingkatan 6). Tingkatan 6ASA sering diumumkan sebagai kelas paling bersih yang dianjurkan oleh Persatuan Bimbingan dan Kaunseling tetapi yang menjadi hairan kelas ini gagal memenangi kelas terbersih sepanjang penggal pertama kerana ada unusur perbuatan sabotaj. Kontroversi telah berlaku dan akhirnya permilihan kelas terbersih atau terkotor terpaksa dihentikan.



Ini adalah dewan Sekolah Tinggi Muar sebelum dibina bangunan baru. Di dewan inilah banyak menjadi saksi penglibatan aku dalam pelbagai bidang. Tingkatan 6ASA telah menjadi johan perbahasan Bahasa Malaysia dan aku adalah salah seorang pemidato tersebut. Di dewan ini juga kegiatan pendidikan jasmani iaitu gimnsastik diadakan. Malah di dewan ini juga buat pertama kali semasa aku di tingkatan 6 Rendah aku membuat persembahan tarian zapin sewaktu Hari Penyampaian Hadiah dan Sijil.


Sekolah Tinggi Muar mempunyai dua buah padang untuk kegiatan sukan pelajar-pelajar. Salah satu daripada padang tersebut adalah seberang jalan sekolah yang berdekatan dengan Bangunan Pejabat Kerajaan dan juga Istana Muar Sultan Johor. Di sinilah kegiatan Pendidikan Jasmani yang mana kami pelajar-pelajar hanya dibenarkan memakai seluar pendek sahaja tanpa baju. Namun pada tahun-tahun berikutnya junior kami dibenarkan memakai seluar track panjang dan berbaju semasa kegiatan Pendidikan Jasmani. Di padang ini jugalah aku dan kawan-kawan dari 4Sc5 pernah didenda memungut sampah selepas perhimpunan sekolah (pada masa itu hari Ahad adalah hari pertama persekolahan) dua minggu berturut-turut kerana muncul sebagai kelas yang paling kotor selama dua minggu berturut-turut.

3 comments:

Mus_Astley said...

Woi,
Terrornya kau dapat masuk dalam kelas lagi ambik gambar?? Pak Guard tak marah ke..?? Lesen apa ko pakai..??

hairie @ zm said...

Haha... macam itulah bekas pelajar yang paling glamour dan boleh tahan kepala batu. Kalau ikutkan hati semua sudut yg ada jejak aku nak aje aku ambil, tapi masa tu tergesa-gesa. Semua gambar diambil masa cuti Tahun Baru Cina. Ada tukang kebun tersengih masa aku nak ambil gambar. Mesti dia ingat wartawan. Haha... Walaupun cuti, ramai pelajar tgh buat latihan hoki kat padang sekolah

Unknown said...

ASSALAMUALAIKUM ADMIN. SY ADA NAK BUAT RESEARCH SIKIT TENTANG SEK TINGGI MUAR. BOLEH SY DAPATKAN CONTACT? FACEBOOK PUN JADILAH... SY PELAJAR UITM SEGAMAT JOHOR