Saturday, 7 February 2009

Kemelut Politik Di Perak

Mungkin pembaca akan tertanya tak berminat kah aku menulis tentang kemelut politik di Perak ini. Entahlah. Walaupun aku ni bekas graduan Institut Teknologi MARA (ITM) yang mana Sains Politik adalah menjadi salah satu matapelajaran wajib bagi kursus yang aku ikuti namun semuanya telah aku tinggalkan apabila memulakan alam pekerjaan di bidang Accounts. Namun ini tidak bermakna aku melupakan semuanya begitu sahaja yang menjadi asam garam kehidupan.

Aku tidak bermaksud untuk memihak mana-mana parti politik di Malaysia namun aku tetap akan menjalankan tanggungjawab aku sebagai rakyat apabila pilihanraya diadakan. Apabila ditanya siapakah atau parti mana akan aku undi, maka jawapan yang aku jawap secara spontan "Undi adalah rahsia". Ermm... teringat pula semasa membuat kertas kerja tutorial semasa di ITM kerana itulah jawapan yang aku berikan apabila disoal oleh kawan-kawan sekelas. Aku pasti kawan-kawan teringat peristiwa ini terutama Man Gelap yang menyoal aku semasa aku membuat pembentangan kertas kerja dan Bilal pula gelak besar mendengar jawapan aku.

Berbalik kepada kemelut politik di Perak ini membuat aku semakin tak faham kenapa masih ada lagi pemimpin dan rakyat yang berfikiran sempit apabila cuba melibatkan diri di dalam arena politik ini. Pemimpin atau wakil rakyat mula menunjukkan taring atau keegoan masing-masing dengan tuduh sana sini, cerca sana sini dan yang paling kelakar bila sekejap lompat parti sana dan kemudian lompat parti sini. Itu belum kita kaji pula yang hanya gah bercakap konon dia yang paling baik tetapi bila kena batang hidung sendiri nada lain pula berbunyi. Pelik tapi benar. Itulah permainan politik. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Malam tadi aku melihat dan mendengar berita di TV tentang sepanduk, piket, rusuhan dan berbagai lagi untuk melahirkan rasa tidak puashati apabila kerajaan Negeri Perak yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat telah ditumbang oleh Barisan Nasional (BN) akibat macam permainan kanak-kanak yang suka merajuk dan lompat melompat. Kemudian satu pihak ego tidak mahu menerima kekalahan hingga engkar dengan arahan Sultan dan dipihak yang lain pula tidak sabar untuk menerajuinya.

Tapi tanpa kita sedari ataupun mungkin sedar tapi ada rasa sifat ego hingga lupa bahawa hanya ada satu pihak sahaja yang terlibat dalam rusuhan tersebut. Persoalannya di mana perginya satu pihak yang lain. Adakah pihak tersebut duduk di rumah sekadar menonton TV sambil bertepuk tangan dan ketawa besar. Seperti kata Raja Lawak 2 Astro 'Lu fikirlah sendiri'. Apakah kejadian semalam masih belum menyedarkan rakyat. Fikir-fikirkanlah.

Aku tahu ada kalangan pembaca yang bersetuju dan juga yang tidak bersetuju dengan tulisan aku ini. Aku sekadar menulis untuk memberi pendapat dan itu hak masing-masing untuk menilainya. Aku tidak berniat untuk menimbulkan kontorversi. Aku sedar bahawa aku masih belum layak untuk membuat ulasan tentang politik di Malaysia ini tetapi, sekadar nasihat walau apapun tindakan kita jagalah kedaulatan dan maruah bangsa Malaysia.

No comments: