Hari ini aku ingin bercerita kisah kotak hitam yang menjadi topik hangat di pejabat melalui balasan emel. Sebenarnya kotak hitam yang ingin aku ceritakan ini tidak ada kena mengena dengan kotak hitam yang sering dicari oleh penyiasat bila berlaku sebarang kemalangan kenderaan seperti kapalterbang dan juga bas. Kotak hitam di pejabat aku adalah kotak pungutan derma jika ada kematian waris pekerja yang kebiasaannya menjadi ahli Kesatuan Sekerja.
Perkara ini menjadi perbincangan dimulakan dengan seorang pekerja yang ingin meminta pendapat berhubung dengan cara kutipan dan bagaimana wang tersebut diagihkan. Perkara ini bukanlah untuk menimbulkan kontroversi tetapi sekadar pendapat atau lebih tepat untuk mengetahui perkara sebenar ke atas perkara yang menjadi persoalan bagi sesetengah pekerja.
Aku pula turut memberi pendapat bahawa persoalan mengapa kotak hitam itu lambat diedarkan atau cara pembahagian wang derma itu harus dijawab oleh orang yang bertanggungjawab terhadap kotak hitam tersebut. Pada pandangan aku kata-kata tersebut memang mudah dan jelas kerana jika orang lain yang membuat kenyataan pastilah mula ayat yang merapu.
Namun ada seorang mamat ini telah menjawab bahawa kelewatan kotak hitam itu diedarkan disebabkan pekerja lain tidak perihatin untuk panjang-panjangkan kotak hitam tersebut dan kalau menderma biarlah ikhlas.
Aku malas hendak menjawab kerana nanti akan tercetus kontroversi namun aku tersenyum membaca komen mamat tersebut. Aku yakin mamat tersebut memang tidak memahami keadaan tersebut tetapi berminat untuk memberi pendapat. Sebenarnya kelewatan kotak hitam itu diedarkan dari satu jabatan ke satu jabatan bukan disebabkan staff sesuatu jabatan itu tidak perihatin dengan sengaja melewatkan perjalanan kotak tersebut tetapi disebabkan jabatan yang pertama menerima kotak hitam itu lewat menerima dari orang yang bertanggungjawab ke atas kotak tersebut. Apa yang aku perhatikan kebiasaannya selepas enam bulan ahli keluarga itu meninggal dunia barulah kotak hitam itu diedarkan.
Oleh itu aku berpendapat si mamat ini ada kemungkinan hanya memasukkan duit di dalam kotak hitam tersebut tanpa mengetahui apa sebenarnya tujuan kotak hitam tersebut. Nasib baiklah kotak itu memang untuk pungut derma tetapi kalau untuk tujuan lain mungkin sia-sia perbuatan mamat tersebut. Namun aku juga berpendapat ada kemungkinan mamat itu sebenarnya tidak menderma pun itu sebab dia dia tidak perihatin dengan keadaan yang berlaku. Kalau dia menderma pasti dia akan membaca butiran yang ada pada kotak tersebut dan mengetahui tarikh sebenar ahli keluarga pekerja meninggal. Adalah mustahil jika di hati mamat itu tidak berdetik kehairanan jika melihat tarikh kematian dan edaran kotak itu terlalu jauh.
Jadi pada pandangan aku bila ingin memberi komen atau pendapat biarlah kita tahu apa sebenarnya berlaku. Jadi fikir-fikirkanlah....
No comments:
Post a Comment