Sekolah Menengah Sri Muar (SMSM) sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar adalah tempat aku menuntut ilmu semasa tingkatan satu hingga tiga iaitu tahun 1978 - 1980. Sekolah Sri Muar ini pada masa itu mempunyai pelajar lelaki dan perempuan yang majoritinya dikalangan pelajar Cina.
Sebenarnya terlalu banyak kenangan semasa aku menuntut di sekolah ini. Aku pada mulanya di tempatkan di tingkatan 1G iaitu kelas yang mempunyai hanya lima orang sahaja pelajar Melayu lelaki. Guru tingkatan adalah Puan Jameah yang mengajar Sejarah. Puan Halimah adalah guru yang mengajar Bahasa Inggeris yang tidak begitu disenangi oleh pelajar kerana begitu garang, tetapi dia begitu baik dengan aku kerana hanya aku sahaja pelajar lelaki yang kononnya bagus dalam matapelajaran ini. Manakala guru Matematik pula Cik Zaiton (betul ke namanya.. lupa daa) yang lebih kurang perangai seperti Puan Halimah. Namun aku selalu dapat tumpuan beliau kerana aku sahaja pelajar Melayu yang mampu menguasai Matematik yang setaraf dengan pelajar Cina. Tetapi sesekali kena juga cubit dengan Cik Zaiton bila silap memberi jawapan dalam Matematik. Hehe... Namun yang uniknya buku nota aku sering dipinjam oleh guru-guru sebagai rujukan kerana nota yang lengkap dan mudah dibaca tulisannya.
Semasa tingkatan dua pula aku ditempatkan di tingkatan 2D yang pada mulanya terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan, tetapi selepas sebulan kelas ini dirombak dengan menempatkan semua pelajar lelaki. Aku sekali lagi menjadi harapan kerana hanya aku sahaja pelajar Melayu yang sering memperolehi kedudukan nombor tiga ke bawah. Tahun ini juga menjadi isu yang hangat apabila pelajar lelaki Melayu berhasrat untuk memakai seluar panjang tetapi tidak dibenarkan kerana hanya pelajar tingkatan empat dan lima sahaja dibenarkan. Namun begitu sebelum cuti akhir tahun kami pelajar Melayu berpakat akan memakai seluar panjang sebaik melangkah hari pertama ke tingkatan tiga.
Aku ditempatkan di tingkatan 3D yang yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan. Sebenarnya dapat berjumpa kembali pelajar perempuan yang pernah ditempatkan sekejap semasa tingkatan dua sebelum berlaku perombakan kelas. Kedudukan meja pelajar-pelajar terpaksa dirombak apabila mendapat aduan bahawa tingkatan 3D bagitu bising bila ketiadaan guru. Hehe... Walau apapun dibuat yang pasti kelas tetap bising. Nama aku sering dicatit oleh ketua tingkatan Siti Azwan sebagai pelajar yang membuat bising, namun belum pernah diambil tindakan oleh guru. Pelik tapi benar. Sebenarnya sebelum sempat guru tingkatan melihat nama-nama tersebut aku yang bertindak lebih pantas. Kalau hendak tahu rahsianya itu kenalah tanya Saleha, Roslizah, Faridah, Shahriah dan Latiffah sebab mereka inilah pemberi maklumat dan menghasut aku. Hehe...
Walaupun hanya tiga tahun sahaja aku menuntut di Sekolah Menangah Sri Muar namun terlalu banyak kenangan suka duka yang aku alami. Semasa aku di tingkatan tiga aku menjadi anak yatim kerana abah menyahut panggilan Ilahi. Semasa di tingkatan dua kalau tak silap hanya aku sahaja diberi borang biasiswa Dato Onn sedangkan pelajar-pelajar lain mendapat borang biasiswa yang lain. Kata mereka duit biasiswa Dato Onn jumlahnya besar dan susah untuk diperolehi, namun begitu aku tidak dapat pun biasiswa tersebut. Di sekolah ini juga rupanya aku ada peminat bukan sahaja berminat untuk mengambil aku sebagai adik angkat tetapi ada juga yang secara diam telah terpikat dengan aku. Kwang.. kwang...
Bersambung..... Kita jumpa di artikel akan datang.
1 comment:
Aku pun belajar disini juga. Asal nama sekolah tersebut adalah Lower English Secondary School. Kemudian ditukar kepada Sekolah Menengah Rendah Jalan Mariam dan akhirnya ditukar kepada Sekolah Menengah Sri Muar. Pada asalnya pelajar sekolah tersebut diasingkan lelaki dan perempuan. Pada tahun 1971 tingkatan 4 diwujudkan dan pelajar lelaki dan perempuan dicampur. Aku adalah penuntut pertama yang belajar ditingkatan 4.
Pada masa itu guru besarnya adalah Mrs Stanley. Ramai guru-guru lama yang berbakat mengajar disitu seperti Cikgu Md. Zin. Pn Saraswati (menjadi Senator), En Rokhani (menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Johor) dan ramai lagi.
Ramai juga pelajar yang berjaya menjadi Dato', datin, doktor, peguam, akauntan, akitek (saya salah saorang daripadanya),pengurus besar, peniaga dan pensyarah. Tidak lupa juga yang tidak berjaya.
Sekiranya aku balik keMuar aku mesti lalu dihadapan sekolah tersebut. Dahulunya jalan masuk sekolah tersebut adalah dari Jalan Mariam tetapi sekarang jalan Mohamadiah.
Masa telah berlalu dari sekolah tiga blok dua tingkat telah ditambah bangunan darjah. Hingga hari ini sekolah tersebut tidak ada padang sekolah.
Kepada para bekas pelajar yang berjaya ingatlah disinilah langkah alam sekolah menengah dimulakan sehingga kita jadi manusia yang berbakti hingga hari ini. Kepada bekas-bekas guru yang tiada dan telah pulang keRahmatullah mari kita hadiah Alfatihah.
Post a Comment