Aku tetap aku... walau di mana dan pada bila masa... Jadi diri sendiri dan jangan jadi orang lain...
Saturday, 21 March 2009
Ikon Dan Transformasi
Aku memerhati dan tertanya-tanya apakah yang cuba ditonjolkan sebagai pembaharuan di dalam AF7. Kalau kita amati perbezaan yang paling ketara AF sebelum ini semua pelajar tidak dibenarkan memakai kasut di dalam rumah atau kawasan pelajar-pelajar menjalani kehidupan sepanjang hari berada di akademi tersebut. Apakah ini transformasi yang diajar dan digalakkan kepada 13 dari 14 pelajar Melayu atau Islam supaya memakai kasut di dalam rumah. Inikah ikon yang dibanggakan supaya majoriti masyarakat Melayu terutama golongan kanak-kanak yang menonton boleh mencontohi ikon-ikon tersebut. Kalau silap haribulan jangan kata masyarakat di luar terikut-ikut budaya ini malah pelajar-pelajar tersebut juga macam menjadi kebiasaan apabila pulang semula ke rumah dan kampung halaman. Tetapi terfikir juga aku mungkin inilah transformasi sebenar dan kita harus juga melihat latarbelakang pengetua AF7 itu sendiri. Erm.. makin bertambah rosak budaya Melayu. Maaflah kalau aku ini berfikiran kolot.
Baru dua minggu berlalu bakal ikon-ikon ini sudah mula berbalah di antara satu sama lain. Walaupun ada kebaikan dasar keberanian dan kelantangan memberi pendapat tetapi ternyata bukan pada tempatnya. Adakah ini ikon budaya Melayu yang dibanggakan? Kalau rasa diri itu sebagai wanita lemah lembut mengapa mahu berlakon untuk menunjukkan sebagai wanita tahan lasak dan akhirnya terjerat dalam skrip sendiri.
Konsert pertama AF7 tiada tarian tradisi atau wajib Menuju Puncak? Haha... inilah kelainan dan transformasi yang cuba ditunjukkan agaknya. Kalau AF sebelum ini menyanyi secara langsung lagu tersebut dan manakala AF6 pula ada satu konsert pelajar buat miming dan AF7 pula transformasi dilakukan dengan ketiadaan nyanyian dan tarian oleh pelajar semasa konsert pertama. Tenaga pelajar memberi alasan kononnya minggu pertama sengaja ditiadakan tarian tersebut kerana ingin pelajar menumpukan vokal sambil perkenalkan pelajar itu sendiri. Ye ke? Atau sebenarnya pelajar masih lagi kaku menari. Haha....
Pengkritik pula kadangkala seperti mempamerkan kelemahan masing-masing walaupun mereka ini banyak pengalaman dalam bidang seni masing-masing. Adakah wajar kalau pengkritik memberitahu kepada penonton bahawa dia yang buat ujibakat dan memilih pelajar tersebut lantas memuji diri sendiri kononnya memilih pelajar berbakat dan terbaik. Apakah pelajar lain yang terpilih bukan dia yang melakukan ujibakat bukan terbaik? Apa perasaan pelajar-pelajar lain.
Ada juga pengkritk yang tidak membuat kajian dan prihatin sedangkan mereka dilantik menjadi pengkritik tetap. Mereka memalukan diri sendiri apabila bertanya kepada pelajar siapa buat pemilihan lagu tersebut dan siapa yang buat 'arrangement' lagu yang dinyanyikan. Pengkritik tidak tahu ke lagu konsert pertama adalah lagu pilihan pelajar yang terdapat dalam senarai pilihan lagu mereka. Pengkritik tidak tahu ke Acis dilantik sebagai pengarah musik AF7 dan sudah pastilah Acis yang bertanggungjawab buat 'arrangement' lagu. Adalah tidak logik pelajar AF yang belum mahir bidang ini buat gubahan sendiri pada lagu asal.
Itu belum diperkatakan pengkritik menganggap pelajar bernama Akim membawa lagu yang terlalu tua buat beliau. Salah ke penyanyi (bakal) generasi baru atau muda menyanyikan lagu lama? Kalau macam itu lagu lama akan terkubur dan hanya layak dinyanyikan oleh golongan veteran sahaja. Kelakarlah pengkritik ini. Si Obri pula dikritik seperti kelihatan 'saiko' (macam orang gila) hanya kerana cara beliau menghayati lagu tersebut dengan gaya tersendiri. Peliklah. Ikut cara penyanyi yang sedia ada pasti dikritik dan cuba bawa identiti sendiri pun dikritik. Ermm.. teringatlah pula aku pada penyanyi terkenal menyanyi dengan penuh perasaan dengan hentakkan kaki. Adakah pengkritik boleh labelkan penyanyi tersebut juga macam 'saiko'?
Jadi adakah ini slogan ikon dan transformasi yang dibanggakan dalam AF7? Fikir-fikirkanlah...
Tuesday, 17 March 2009
Kopi 434
Ini pula kopi 3 in 1 yang mengandungi kopi, gula dan krimer susu.
Ini pula kopi O uncang tetapi yang membezakannya dengan kopi O biasa keluaran mereka ini adalah menggunakan serbuk kopi "Elephant Bean".
Selain daripada gambar yang aku pamerkan ini, sebenarnya terdapat berbagai lagi keluaran kopi 434 yang tidak dapat aku pamerkan. Ada juga kopi 2 in 1 yang mengandungi kopi dan gula. Manakala kopi O itu sendiri terdapat berbagai-bagai bentuk bungkusan dan terserah kepada penggemar kopi untuk membelinya samada bentuk uncang yang pelbagai bentuk bungkusan ataupun yang berminat membeli kopi berbentuk serbuk yang dikehendaki menggunakan tapis untuk mengelakkan terminum keladak kopi tersebut.
Aku pula sebagai penggemar kopi setiap kali pulang ke kampung pasti akan membeli sebungkus kopi O uncang. Erm... jangan pula merasa pelik di mana pula aku dapat mengambil gambar bungkusan lain sedangkan aku tidak membeli kopi tersebut. Sebenarnya rakan kerja meminta aku membeli kopi 3 in 1 dan 4 in 1 dan sebelum diserahkan kepada beliau aku sempat merakamkan gambar bungkusan kopi tersebut. Hehe...
Saturday, 14 March 2009
Akademi Fantasia 7
Aku kadangkala tergelak juga apabila melihat sedutan rakaman semasa pelajar-pelajar mengadakan ujibakat. Kalau yang boleh menyanyi walaupun gagal mendapat kad hijau kerana suara mereka tidak dapat perhatian juri masih boleh dimaafkan. Tetapi ada juga yang memang tidak berbakat pun masih hendak membuang masa untuk diujibakat. Akhirnya buang masa dan memalukan diri sendiri sebab dilihat oleh penonton Astro Ria.
Selain daripada itu semasa diujibakat ada yang menangis kononnya sedih jika gagal masuk AF maka tidak dapat tonjolkan bakat. Kelakarlah. Semasa diumumkan 14 calun yang berjaya ke AF7 ada juga calun pelajar menangis terduduk hanya kerana gagal terpilih sebagai salah seorang calun 14 tersebut. Ada yang sanggup meninggalkan anak, isteri atau suami kerana konon alasan untuk menjadi penyanyi. Ermm... memang aku tak faham. Kemudian bila telah terpilih mulalah menangis teringatkan anak, isteri atau suami. Kalau mereka kata masuk AF kerana hendak merebut hadiah yang lumayan bolehlah diterima alasan tersebut.
Bermulanya konsert AF7 maka 10 minggu dari sekarang akan muncul lagi juara AF dan penyanyi baru. Apakah kemunculan juara AF7 dengan slogan transformasi akan mengikut juara AF3 Mawi yang menjadi satu fonomena yang kini bergelar jutawan. Apakah beliau akan menjadi aset lumayan buat Astro dan Maestro seperti yang dilakukan oleh Mawi. Adakah beliau juga boleh mengugat dan mengatasi Mawi atau sekurang-kurangnya boleh popular seperti Mawi. Adakah juara AF7 ini juga akan menjadi juara suam-suam kuku dan kemudian lenyap setelah merasa hidup glamour hanya 10 minggu sahaja.
Apa-apapun tunggu dan lihat...
Monday, 9 March 2009
Kerana Air Sembahyang
Adalah menjadi kelaziman aku bila tiba waktu untuk menunaikan sembahyang di tempat kerja pasti akan mengambil air sembahyang di 'tea room' di ofis. Ini bagi memudahkan urusan aku yang tidak perlu untuk menanti giliran mengambil air sembahyang di tempat bilik sembahyang atau kadangkala tiada bekalan air seperti yang terjadi pada hari ini. Tetapi untuk menjadikan cerita sewaktu aku hendak mengambil air sembahyang tetiba ada seorang perempuan serabai ni hendak masuk ke 'tea room' untuk makan walaupun masa itu bukan waktu rehat. Oleh kerana aku menyangkakan dia itu jenis orang yang berfikiran terbuka maka aku suruh dia jangan masuk dahulu di bilik tersebut kerana aku hendak mengambil air sembahyang.
Namun baru hari ini aku dapat tahu kononnya si serabai ini telah mengadu sesuatu kepada seseorang tentang perihal aku. Apabila si Nobita dengar perkataan sembahyang tanpa mengetahui kedudukan sebenar terus menyampuk perbualan untuk menutup 'tea room' tersebut kalau aku sembahyang di situ. Kelakarlah sebab tak logik nak bersembahyang di bilik tersebut yang kecil dan tak sesuai dengan suasana untuk menjadikan tempat bersembahyang. Tetapi ada seorang staff terus membangkang dan menjelaskan bahawa aku bukan sembahyang di tempat itu tetapi cuma mengambil air sembahyang. Apa yang pasti si Nobita tidak memahami dan terpaksa staff tersebut menjelaskan walaupun staff tersebut bukan beragama Islam.
Aku tahu mungkin cara aku mengambil air sembahyang di tempat tersebut boleh jadi satu kesalahan tetapi sekurang-kurangnya tidak macam si serabai tu yang datang ke 'tea room' ofis jabatan lain dan hendak makan bukan di waktu rehat seperti yang ditetapkan. Aku bengang bila mengetahui berita ini namun aku tetap bersabar sebab tidak mahu melibatkan staff yang mengadu kepada aku. Aku pula kadangkala hairan si Nobita ni walaupun seorang ketua kadangkala takut hendak bertanya kepada aku untuk mengetahui kedudukan sebenar. Selain itu dia langsung tidak mempertikaikan si serabai tu yang merayap dengan tidak membuat kerja dan hendak makan bukan waktu rehat.
Apa yang berlaku kepada aku ini sebenarnya adalah sikap segelintir masyarakat kita yang tidak pernah hendak mengetahui adat, budaya atau agama sesuatu kaum. Inilah juga yang berlaku kepada politik Malaysia hari ini bila sesuatu kaum atau agama enggan menghormati atau mengetahui sesuatu kaum atau agama yang lain. Apa-apapun kejadian ini menjadi pengajaran buat aku.
Thursday, 5 March 2009
Raja Lawak 3
Adakah esok perserta yang dinobatkan Raja Lawak musim ketiga benar-benar layak dan membuat lawak pada malam itu atau akan muncul Raja Lawak yang tak lawak dan menjadi juara kerana kasihan dan simpati. Fikir-fikirkanlah. Apa-apapun pengundi yang akan menentukan dan terserah kepada mereka untuk mengundi siapapun yang mereka suka dengan alasan tersendiri.
Jadi adakah perserta yang aku rasa layak akan jadi Raja Lawak? Ataupun akan muncul Raja Lawak kali ini perserta tunggal wanita? Oleh itu tunggu dan lihat sahaja di televisyen malam esok ataupun mendengar radio Sinar FM.
Namun begitu aku hanya ketahui jawapan siapa Raja Lawak musim ketiga berkemungkinan keesokkannya (Sabtu) dan melihat siaran ulangan kerana pada masa itu aku di dalam bas KKKL untuk pulang ke kampung. Hehe....