Hari ini genap setahun arwah kakakku meninggalkan aku buat selama-lamanya. Masa begitu cepat berlalu tanpa aku sedari. Walaupun sedikit demi sedikit aku sudah mulai menerima hakikat bahawa aku sudah tidak mempunyai seorang kakak namun aku masih lagi merinduinya.
Setiap kali apabila aku pulang ke kampung halaman aku akan pastikan aku akan menziarahi pusara arwah kakakku. Hanya inilah salah satu cara aku melepaskan rasa rindu aku pada arwah kakak. Aku merasa puas dapat membersihkan pusara arwah kakak kerana arwah kakak memang terlalu perihatin pada kebersihan. Apa yang pasti aku akan cuba menjaga sebaik yang mungkin segala pokok bunga kesayangan arwah kakak.
Apabila pulang ke kampung, setiap sudut di rumah pusaka pasti akan mengamit kenangan bersama arwah kakak. Setiap kali melihat segala harta dan barangan tinggalan arwah kakak membuat aku bertambah sayu. Namun itu juga cara aku melepaskan rasa rindu apabila dapat menjaga ianya dengan baik sekali.
Walaupun kini arwah kakakku sudah tiada lagi, namun segala jasanya akan ku kenang sehingga akhir hayatku. Segala pengorbanan arwah kakak yang menanggung segala perbelanjaan persekolahanku sejak aku di tingkatan 3 sehinggalah aku meneruskan pembelajaranku di Institut Teknologi MARA tidak akan aku lupakan. Malah pengorbanan arwah kakak kepada adik bungsunya sehingga dapat memilik sebuah rumah akan sentiasa dihargai. Terima kasih Ngah.
Al-Fatihah... Amin...
No comments:
Post a Comment